Halaman

16 October 2012

Sektor huluan petroleum sumbang RM87 bilion KDNK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato' Haji Mazlan Ngah
Aktiviti huluan petroleum dan gas mewakili RM87 bilion atau 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sementara aktiviti hiliran termasuk industri petrokimia pula menyumbang RM24 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK.

Selain aktiviti huluan dan hiliran, industri minyak dan gas turut melibatkan aktiviti pertengahan dan hiliran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata aktiviti huluan meliputi cari gali, pembangunan dan pengeluaran sumber minyak dan gas.

Katanya, aktiviti pertengahan dan hiliran pula terdiri daripada pengangkutan minyak dan gas, ke penapisan dan pemprosesan sehingga ke pemasaran dan perdagangan produk akhir.

“Syarikat Minyak Nasional (Petronas) memainkan peranan utama dalam mengalakkan pertumbuhan industri melalui pembangunan sumber minyak dan gas selain mewujudkan peluang bagi syarikat tempatan untuk membina kapasiti dan kemampuan mereka di sepanjang rantaian nilai itu.

 “Bagi segmen pertengahan, ianya terdiri daripada talian paip, pengangkutan dan aset logistik lain yang kebanyakannya dikawal oleh Petronas dan syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia di mana ia menyumbang purata RM3.2 bilion setahun,” katanya.

 Katanya, di segmen hiliran pula, dua zon utama petrokimia bersepadu ditubuhkan di Kerteh, Terengganu dan Gebeng, Pahang yang mana zon itu menarik pelaburan asing terutamanya dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun, seperti Dow Chemical, BASF and Idemitsu yang melengkapi pelaburan daripada Petronas.

Pelaburan ini termasuk pengeluaran bahan petrokimia seperti polipropilena, asetil dan lain-lain bahan.

Beliau berkata, terdapat juga kilang penapisan yang dikendalikan oleh Petronas iaitu di Kerteh, Terengganu dan di Sungai Udang, Melaka, serta oleh Shell dan ExxonMobil, kedua-duanya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, industri perkhidmatan dan peralatan telaga minyak di Malaysia, yang menyokong terutamanya kegiatan huluan pula menyumbang RM1 hingga 2 bilion kepada KDNK ketika ini.

Katanya, perkhidmatan dalam sektor ini seperti gerudi darat, gerudi luar pesisir, geofizik, kejuruteraan dan pembinaan, pemasangan dan pembuatan peralatan, fabrikasi dan pemasangan struktur luar pesisir serta pengendalian dan penyelenggaraan.

 

Agensi pelancongan perlu ada khidmat pemandu pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Agensi pelancongan yang tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong semasa membawa pengunjung secara berkumpulan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Pengarah Pejabat Kemententerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, mereka yang terlibat dalam industri pelancongan perlu mengambil berat dengan perkara ini.

 “Menjadi satu kesalahan seandainya agensi pelancongan yang membawa pelancong secara berkumpulan tidak menyediakan pemandu pelancong samada ada pelancong domestik mahupun luar.

“Mereka boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Industri Pelancongan. Antara sebab, agensi terlibat tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, mungkin adalah untuk menjimatkan kos,” katanya. kepada media di majlis suaikenal ‘Payang Walk’ kepada penggiat industri pelancongan negeri Terengganu di Rebana Hall, Primula Beach Hotel (PBH).

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Encik Wan Mohd Sofian Wan Ishak.

Menurutnya, ada kelebihan apabila sediakan khidmat pemandu pelancong kerana banyak maklumat dan info tentang negeri Terengganu dapat disampaikan sepanjang perjalanan ke destinasi menarik di negeri ini.

Beliau berharap agensi pelancongan tidak memandang remeh perkara itu, walaupun tidak boleh memaksa pelancong yang datang secara bersendirian untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong semasa datang ke sini.

Katanya, perkara itu juga perlu difikirkan untuk jangka masa panjang, jika perkhidmatan yang disediakan baik, sudah tentu pelancong tidak serik untuk mengunakan lagi agensi terlibat.

Menurutnya, sehingga ini terdapat 88 orang pemandu pelancong yang telah mengikuti paling kurang tiga siri kursus dalam tempoh setahun dan 130 agensi pelancongan berdaftar di negeri ini.

 

Hati Seorang Pengayuh Beca


Oleh: Lan Bayu, Pengarang Teganukita.


“Saya susah, tapi saya tidak ada kerja lain nak buat. Saya dah tiga puluh tahun kayuh teksi di bandar ini, memanglah pendapatan amat kurang sekarang. Orang dah tak nak naik teksi lagi, cuma banyak bergantung kepada pelancong,”luah Ismail Din, 67 tahun. 
Ismail adalah di antara beberapa ‘kerat’ pengayuh beca yang masih wujud di bandar Kuala Terengganu, khususnya di sekitar kawasan pasar Kedai Payang tempat mereka mencari penumpang.

Penulis dekati seorang pengayuh beca ini, Ismail dari Kampung Gong Tok Nasek dan dia memberitahu setulusnya bahawa pendapatan beliau sehari,  “kadang kadang RM10, kadang-kadang dapatlah juga RM30”

180 sertai multaqa imam, bilal

Oleh: Mastura Jamaluddin

Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu baru-baru ini telah menganjurkan satu majlis Multaqa Imam dan Bilal peringkat daerah Hulu Terengganu yang disertai 180 orang imam dan bilal.

Para peserta program tersebut berpeluang mendengar ceramah yang turut diadakan oleh penceramah jemputan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato Haji Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, Datuk Haji Embong Awang dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Hajjah Samsiah Dato Haji Awang.

Dalam ucapannya Dato Tengku Putera mengingatkan imam dan bilal supaya menjalankan tugas dengan baik di samping dapat mengimarahkan masjid dengan sempurna.

Beliau juga mengingatkan imam dan bilal supaya dapat menilai kepimpinan yang baik supaya masa depan negara terjamin.

Beliau dengan panjang lebar menceritakan kisah susah senangnya pihak kerajaan membangunkan masjid-masjid di daerah ini untuk pengetahuan imam dan bilal dan menasihatkan mereka supaya tidak termakan dengan dakyah-dakyah pembangkang demi menjaga agama, bangsa dan negara.


Puteri siap hadapi pilihan raya

Oleh:Noraini Jusoh 

Bagi memastikan Terengganu kekal di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), semua jentera BN dilihat semakin sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU 13), termasuk Pergerakan Puteri UMNO negeri.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, pihaknya bertangungjawab menjaga bahagian Teknologi Maklumat (IT) ketika hari pilihan raya nanti.

“Sebagai persiapan awal, lima orang petugas di setiap peti undi telah mengikuti kursus IT untuk melancarkan proses mengemaskini daftar pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kami turut bekerjasama dengan Pergerakan Pemuda UMNO negeri untuk mengenal pasti pengundi pertama kali atau dikenali sebagai ‘first timer vouters’ dan proses kemaskini data selanjutnya dijangka akan dibuat pada 3 November depan bermula dengan daerah Marang,” ujar beliau ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Walaupun sibuk dengan bahagian IT, Puan Nordiana dan ahli pergerakannya sentiasa mencuri masa untuk mendekati masyarakat setempat.

“Kami akan mengadakan lawatan ke hospital dan pelbagai program yang melibatkan ahli sebagai aktiviti sampingan untuk mengeratkan hubungan dengan orang ramai dan sesama ahli,” katanya.

 “Selain menganjurkan program dan membuat aktiviti di peringkat pergerakannya, Puteri UMNO Terengganu turut membantu jentera parti yang lain seperti terlibat secara langsung dalam pembahagian dana remaja untuk mereka yang layak baru-baru ini,” ujar beliau.


Jentera parti perlu buat persiapan rapi

Oleh: Suriati Ali

Jentera parti diingatkan membuat persiapan lebih rapi bagi merebut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang tewas tipis kepada pembangkang pada PilihanRaya Umum lalu.

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang Dato' Wan Hisham Wan Salleh, berkata perlaksanaan gerak kerja sempurna selain usaha bersungguh-sungguh akan menjamin perkembangan positif kepada parti.

Katanya, apa yang penting, semua pihak perlu menyedari DUN Ladang bukanlah kawasan kubu kuat pembangkang.

“Saya harap perkara ini jangan dipandang ringan supaya mudah untuk kita hadapi cabaran dengan cara terbaik,” katanya.

 Menurutnya, dia meminta jentera parti memperkuatkan kerjasama antara satu sama lain tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

 “Kita perlu belajar melalui kesilapan lalu memadangkan BN sudah pun berdepan cabaran hebat kerana pernah tewas kepada pembangkang.

 “Setiap jentera arti perlu bijak menawan hati pengundi dengan turun padang dan bertanya khabar supaya BN memperoleh kemenangan selesa,” katanya.

 Katanya, pihaknya berharap, pengalaman lalu diambil sebagai penganjaran berguna untuk membaikinya secara menyeluruh.

 “Apa yang kurang di mata rakyat, kita akan usahakan seboleh yang mampu, yang sudah elok, kita akan tambah supaya jadi lebih sempurna,” katanya.

 

DBP perkenal Program Audit Bahasa

Oleh: Suriati Ali

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah positif dengan memperkenalkan Program Audit Bahasa demi memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan di sektor awam.

Tiga perkara utama yang akan diaudit adalah dokumen-dokumen rasmi, komunikasi lisan dan paparan. Manakala aspek pengauditan tertumpu kepada taraf dan mutu bahasa Melayu.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Rusli Abd Ghani, berkata menerusi program yang diperkenalkan itu, semua dokumen di jabatan dan agensi kerajaan akan mua diaudit menjelang 2013.

Katanya, pada masa sama, kerajaan akan mewujudkan sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

 “Pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa melalui program pengantarabangsaan bahasa Melayu juga diusahakan secara konsisten dan sistematik.

 “Sehubungan itu, DBP menerusi kerjasama pihak tertentu bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di luar negara.

 “Usaha itu bakal meletakkan bahasa Melayu sebagai salah sebuah bahasa yang terpenting di dunia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa.

Encik Rusli turut memberitahu, Potensi besar bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa juga ditandai dengan kewujudan 100 pusat bahasa Melayu/Indonesia.

 

Terengganu tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-53

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan raya (MKJR) ke-53 yang dijadualkan berlangsung di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 2 hingga 4 November ini.

Menurut jurucakap, perasmian mesyuarat itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 3 November, jam 9 malam.

 “Mesyuarat berkenaan bagi membincangkan isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia melalui seminar dan juga pembentangan kertas kerja.

“Melalui resolusi yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, segala keputusan dan cadangan akan dibawa ke Kabinet Malaysia untuk dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya.

Katanya, pada penghujung mesyuarat, ahli MKJR Malaysia akan memilih tuan rumah bagi mesyuarat agung seterusnya. Pada mesyuarat agung tahun lalu yang berlangsung di Perak pada 2 hingga 3 Disember memilih Terengganu sebagai tuan rumah kali ini.

MKJR diwujudkan bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan menjalankan kajian keselamatan jalan raya.

Peranan lainnya termasuk menyelaras tindakan seperti meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya, menyebarkan informasi berkaitan keselamatan jalan raya, memastikan kejuruteraan jalan selari dengan aspek keselamatan jalan raya, memberi nasihat kepada kementerian pengangkutan dalam hal berkaitan keselamatan jalan raya serta menyelaras tindakan keselamatan jalan raya oleh mana-mana jabatan , pertubuhan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

 

Pesta Loykrathong di Sungai Ibai Jumaat ini

Oleh; Esah Abdullah

Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 akan berlangsung di perkarangan pinggir Sungai Ibai, Chendering Kuala Terengganu pada Jumaat ini (19 dan 20 Oktober).

Pengerusi Tetap Persatuan Loykrathong negeri Terengganu, Encik Chan A/L Tom berkata, pelbagai acara menarik disediakan bagi memeriahkan pesta tersebut.

Menurutnya, antara aktiviti menarik sepanjang pesta tersebut ialah pertandingan ratu Loykrathong, kereta berhias, persembahan tarian, nyanyian dan gerai-gerai jualan.

 “Saya ingin mengajak semua lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum yang ada di negara ini untuk turut serta memeriahkan Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 yang diadakan di sini.

 “Jika dahulu perlu ke negara Thailand untuk melihat pesta kebudayaan ini, tetapi sekarang tidak lagi perlu ke sana. Pada tahun lepas, lebih 15,000 pengunjung telah datang untuk menyaksikan pesta ini,” katanya.

 “Kita menjangkakan, tahun ini lebih ramai pengunjung akan hadir,” katanya pada sidang media sempena Pesta Perayaan Loykrathong di Green Acres Golf and Country Resort, Kuala Ibai.

Menurutnya, beberapa negeri turut mengadakan pesta ini tetapi pengajuran di Terengganu lebih besar dan meriah.

 

BN boleh menang Wakaf Mempelam jika tarik pengundi muda

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Barisan Nasional (BN) boleh menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika berjaya menarik pengundi muda mengundi calon BN.

Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (gambar), berkata kini terdapat 24,949 pengundi di kawasan itu dengan 55 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan belia.

“Jika kita (jentera BN) dapat menarik sebahagian besar daripada pengundi muda ini, kita boleh menang di DUN Wakaf Mempelam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong turut hadir bersama-sama kira-kira 180 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Wakaf Mempelam, pada majlis berkenaan.

Haji Wan Mahyuddin berkata, DUN Wakaf Mempelam sudah terlalu lama dimenangi oleh parti pembangkang iaitu kira-kira 34 tahun.

“Kali terakhir kita menang di kawasan ini ialah pada Pilihan Raya Umum 1978,” ujar beliau. Beliau berharap BN dapat memenangi pilihan raya kali ini bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad Said) telah berjanji jika kali ini BN dapat menanwan DUN Wakaf Mempelam, kerajaan negeri akan membina 1,000 unit rumah kos rendah untuk penduduk kawasan ini.

“Saya mahu pengundi di kawasan ini merebut tawaran yang dibuat oleh Menteri Besar dengan mengundi calon BN,” katanya. Menurut beliau, selain projek rumah kos rendah banyak lagi projek lain bakal dilaksanakan kerajaan di kawasan itu jika BN menang pada pilihan raya akan datang.