Halaman

17 October 2012

BN perlu kekal memerintah-Dato' Yahya

Oleh; Esah Abdullah

Dato' Yahya Khatib
Pemimpin boleh bertukar ganti, namun parti Barisan Nasional (BN) perlu kekal sebagai pemerintah di negara ini bagi meneruskan kesinambungan tradisi membela kebajikan rakyat.

 Ketua UMNO Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad menegaskan bahawa jentera BN berjalan lancar serta siap siaga untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada bila-bila masa sahaja.

“Apabila jentera berada dalam keadaan baik dan teratur ia menggambarkan pemimpinnya seorang yang bagus dan berwibawa,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, kepimpinan negeri berjaya memikul amanat presiden parti menjaga kebajikan rakyat dan menggerakkan pembangunan negeri dengan jayanya.

Kerajaan BN sentiasa telus dan fokus membantu golongan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik dan warna kulit.

“Pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang di bawa Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyerlahkan lagi ketrampilan sikap seorang pemimpin yang komited untuk mendekati golongan rakyat pelbagai peringkat.

“Menteri Besar dan saf kepimpinan negeri sentiasa turun padang, amat mudah didekati rakyat dan banyak masalah penduduk tempatan dapat diselesaikan dengan cepat.

 “Rakyat menilai keadaan ini dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengalih sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur janji,” katanya.

Dato’ Yahya Khatib berkata, kini rasa tidak puas hati berkait dengan bantuan dan tidak cakna pemimpin sudah jarang kedengaran kecuali isu yang dipolitikkan oleh pembangkang.

Katanya, ini memberi gambaran baik bahawa BN kini berada di hati rakyat Terengganu dan mereka akan menyokong calon-calon BN pada pilihan raya akan datang.

 

Program Komunikasi Patriotik beri kesedaran

Oleh: Suriati Ali 

Pendekatan Unit Komunikasi Negeri menganjurkan Program Komunikasi Patriotik memberi kesan mendalam terhadap peserta terutama kepada ketua cawangan dan perayu undi.

 Segelintir mereka yang kurang sedar dengan kelemahan masing-masing mula menanam azam dan berjanji untuk berubah sikap dengan melaksanakan apa yang dipertanggungjawab itu sebaik mungkin.

Mrereka ikhlas berubah kerana tidak mahu lagi dan serik berada dibawah kepimpinan pembangkang sebaliknya mahu Barisan Nasional kembali menerajui DUN Batu Burok pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua Cawangan Umno Pantai Batu Burok, Encik Hamad Senik, berkata dia berazam dan seboleh-bolehnya akan membaiki setiap kelemahan dan kelopangan yang masih terdapat di kawasan peti undi Pantai Batu Burok.

“Langkah itu akan dilaksanakan bersama jentera parti lain supaya mampu menambat hati pengundi seterusnya memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya akan datang,” katanya Beliau ditemui Teganukita pada pada Program Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Batu Burok hadir pada majlis yang dirasmikan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato' Che Mat Jusoh.

 Ketua Cawangan Umno Jalan Budiman, Encik Aziz A Rahman, dia berharap pengundi atau rakyat di DUN Batu Burok mengenang jasa kerajaan yang telah banyak membantu dan tidak hanya fokus pada pembangunan yang terdapat di DUN itu.

“Bantuan yang diterima sebelum ini seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M), dana rakyat, bantuan persekolahan anak-anak dan sebagainya sewajarnya dikenang dan berterima kasih.

“Tidak wajar kita sebagai rakyat cuba bertindak sebagai `menikam pemberi daripada belakang’,” katanya.

 

PPD prihatin nasib ibu tunggal dilema rumah hampir roboh

Oleh: Aida Abd Rahman

Rumah seorang ibu tunggal hampir rebah apabila dinding dan lantainya sudah lebih 60 peratus di makan anai-anai.

Jika lambat dibantu pasti Selamah Abdullah, 62, dari kampung Gong Merawang, Rhu Muda, sukar menjalani kehidupan dengan lebih lancar dan selesa bersama lapan anaknya.

Haji Nik Dir memeriksa lantai rumah seorang penduduk sebelum menggantikan yang baru.
Sebagai pemimpin yang prihatin, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, turun padang meninjau masalah dihadapi wanita berkenaan, baru-baru ini (12 Oktober).

Haji Nik Dir bersama JKKK kampung itu, Haji Othman meluangkan masa melihat dan menilai sendiri kerosakan rumah Selamah, seterusnya berjanji untuk menyalurkan sumbangan sewajarnya bagi menyelesaikan dilema yang menghimpit keluarga itu sejak beberapa tahun lalu.

 “Kita meminta JKKK membuat penilaian dan mengemukakan permohonan mengikut prosedur supaya bantuan segera dapat dibuat bagi memastikan Selamah dapat tinggal lebih selesa bersama keluarganya selepas ini.

Nasib Selamah Abdullah mendapat perhatian Pegawai DUN Rhu Rendang.
“Penduduk seperti Selamah, seorang ibu tunggal yang menerima bantuan am bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat dan tidak berkemampuan menyediakan peruntukan bagi membaiki rumahnya merupakan kelompok masyarakat yang harus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Menurut Nik Dir, beliau yang dipertanggungjawab memikul amanah yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional (BN)  akan berusaha menjaga kebajikan penduduk yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Pas-Rhu Rendang) dengan sebaik yang mungkin.

Katanya, hanya Kerajaan BN yang mendengar keluhan dan membela nasib rakyat selama ini, sekaligus menepati janji yang diuar-uarkan dengan hasrat rakyat mendapat pembelaan.

Pada masa yang sama, beliau yakin dan percaya tahap keyakinan penduduk terhadap BN semakin baik berdasarkan sokongan serta sambutan mereka dalam program yang dilaksanakan BN dan Umno di peringkat cawangan, DUN mahupun Parlimen.

 

Jentera parti perlu ubah sikap

Oleh: Suriati Ali

Jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok diminta ubah sikap dan berani menangkis tohmahan pembangkang sekiranya mahu DUN itu kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Dato' Che Mat Jusoh menyampaikan amanat kepada jentera parti DUN Batu Buruk pada majlis Komunikasi Patriotik  yang dianjurkan oleh Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu
 Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato' Che Mat Jusoh, berkata dia kesal dengan sikap segelintir pemimpin setempat yang bersikap hanya mendengar kutukan dan kiritikan pembangkang terhadap agenda kerajaan.

 “Kita sebagai individu yang dipercayai di peringkat kampung tidak wajar bersikap demikian sebaliknya perlu menangkis setiap apa yang diperkatakan itu melalui apa jua kaedah sekali pun.

“Turun padang menjeguk rakyat antara kaedah terbaik dan wajar dilaksanakan sejak dulu lagi. Kaedah itu juga boleh mengetahui isi hati rakyat dimana silap, kurang dan lebihnya mentadbir kampung,” katanya.

Menurutnya, jika itu pun tidak tidak mahu dan malsa hendak laksanakan, kita patut malu dengan jawatan yang dipegang.

“Kita tidak wajar selesa dengan jawatan yang dipegang sebaliknya bertanggunjawab dengan apa yang diamanahkan pemimpin utama dan rakyat.

“Dalam tempoh singkat ini iaitu sebelum menjelang pilihan raya, kita sebagai jentera parti perlu bersiap sedia dengan strategi tertentu supaya mudah untuk pika pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong memberi motivasi kepada jentera pilihanraya DUN Batu Buruk
Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong turut hadir bersama-sama kira-kira 200 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Batu Burok, pada majlis berkenaan.

Dato’ Che Mat turut memberitahu, kita perlu bekerja lebih kuat di DUN Batu Buruk supaya kita menang pada pilihan raya akan datang.

 “Jangan ada ‘cas kenting’ dan semua pihak perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan BN dalam menentukan calon untuk bertanding di kawasan berkenaan,” katanya.

 

16 October 2012

Orang ramai diminta hargai alam sekitar


Abdullah dibantu Muhamad Pehimi menanam pokok di Tanjung Lali

Oleh: Mohammad Ishak 

Rakyat perlu menghargai keindahan alam sekitar yang terdapat di negara ini dengan sentiasa bertanggungjawab untuk memelihara kebersihan persekitaran dalam kehidupan seharian.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata keindahan alam sekitar di negara ini antara yang terbaik di dunia hingga mengkagumkan pelancong luar untuk datang menikmatinya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal terdapat segelintir rakyat yang tidak menghargai anugerah dari Allah hingga kadang kala sanggup melakukan pemusnahan hingga menyebabkan keindahan alam sekitar tercemar.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Kempen Cintai Alam Sekitar kita anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kota Putera di kawasan Pangkalan Lali di Kampong Raja di sini.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kota Putera, Wan Zaki Wan Othman pula berkata kesan dari aktiviti pukal tunda daratan menyebabkan jumlah ikan di perairan Besut semakin berkurangan sejak kebelakangan.

Katanya, kegiatan pengusaha pukat tunda daratan yang beroperasi pada musim tengkujuh telah menyebabkan hidupan laut rosak hingga menyebabkan ikan tidak membiak.

“ Aktiviti pukat tunda yang menjalankan kegiatannya dikawasan sejauh 5 kilometer dari pantai itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan kepada unjam malah kemusnahan kepada hidupan laut terutamanya batu karang”,

katanya Sebelum itu seramai 100 belia dari pelbagai NGO turut menyertai kempen yang dianjurkan dengan mengadakan tanaman pokok dan rumputan di persekitaran tebing dan Pangkalan Lali, Kampung Raja dekat Kampung Raja.

Akibat tidur sebantal mimpi lain-lain...

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Celarunya hubungan Pas dan DAP
Umum sudah tahu bahawa pakatan antara Pas dengan DAP umpama tidur sebantal tapi mimpi lain-lain...

Perkahwinan campur antara dua parti itu, kini terbukti tidak mampu membuahkan hasil yang baik apabila masalah demi masalah menimpa Pas yang hanya terpaksa tunduk kepada kehendak DAP.

Terkini, parti itu menghadapi masalah untuk melaksanakan garis panduan papan iklan di Kedah yang antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.

Peraturan yang mahu diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) itu bakal menekankan model dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika model yang terlibat beragama Islam, mereka perlu menutup aurat.

Pas ingin berbohong lagi kepada rakyat.
Selepas Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad tampil membuat kenyataan bahawa pihaknya bercadang untuk melaksanakan peraturan tersebut, DAP dengan lantang menegaskan bahawa parti itu menentang undang-undang berunsur Islam jika ia mahu dilaksanakan Kerajaan Pas Kedah.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik menegaskan pihaknya menentang cadangan tersebut kerana sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat Pusat dan negeri.

Itu baru soal kecil berkaitan undang-undang kecil yang mahu dilakukan oleh Majlis Perbandaran Alor Star, bukan lagi berhubung isu lebih besar seperti pelaksanaan hukum hudud.

Bayangkan jika Pas mahu melaksanakan hukum hudud yang sememangnya diketahui umum ia sangat ditentang oleh pucuk pimpinan DAP, termasuk Karpal Singh yang pernah menegaskan Pas perlu melangkah mayatnya terlebih dulu sebelum mahu melaksanakan hudud.

Dalam hal ini kita semua dapat melihat dengan jelas betapa celarunya hubungan antara Pas dan DAP.

Dan amat wajarlah jika banyak pihak, termasuk beberapa pemimpin kanan Pas sendiri menentang pakatan Pas dengan DAP kerana mereka sedar masalah besar yang bakal menimpa parti itu.

Bahana lebih besar bakal menimpa Pas jika masalah itu berlarutan dan lebih ramai pemimpinnya meninggalkan parti kerana tidak puas hati dengan pakatan Pas-DAP yang hanya direstui segelintir saja pemimpin Pas.


Sektor huluan petroleum sumbang RM87 bilion KDNK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato' Haji Mazlan Ngah
Aktiviti huluan petroleum dan gas mewakili RM87 bilion atau 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sementara aktiviti hiliran termasuk industri petrokimia pula menyumbang RM24 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK.

Selain aktiviti huluan dan hiliran, industri minyak dan gas turut melibatkan aktiviti pertengahan dan hiliran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata aktiviti huluan meliputi cari gali, pembangunan dan pengeluaran sumber minyak dan gas.

Katanya, aktiviti pertengahan dan hiliran pula terdiri daripada pengangkutan minyak dan gas, ke penapisan dan pemprosesan sehingga ke pemasaran dan perdagangan produk akhir.

“Syarikat Minyak Nasional (Petronas) memainkan peranan utama dalam mengalakkan pertumbuhan industri melalui pembangunan sumber minyak dan gas selain mewujudkan peluang bagi syarikat tempatan untuk membina kapasiti dan kemampuan mereka di sepanjang rantaian nilai itu.

 “Bagi segmen pertengahan, ianya terdiri daripada talian paip, pengangkutan dan aset logistik lain yang kebanyakannya dikawal oleh Petronas dan syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia di mana ia menyumbang purata RM3.2 bilion setahun,” katanya.

 Katanya, di segmen hiliran pula, dua zon utama petrokimia bersepadu ditubuhkan di Kerteh, Terengganu dan Gebeng, Pahang yang mana zon itu menarik pelaburan asing terutamanya dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun, seperti Dow Chemical, BASF and Idemitsu yang melengkapi pelaburan daripada Petronas.

Pelaburan ini termasuk pengeluaran bahan petrokimia seperti polipropilena, asetil dan lain-lain bahan.

Beliau berkata, terdapat juga kilang penapisan yang dikendalikan oleh Petronas iaitu di Kerteh, Terengganu dan di Sungai Udang, Melaka, serta oleh Shell dan ExxonMobil, kedua-duanya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, industri perkhidmatan dan peralatan telaga minyak di Malaysia, yang menyokong terutamanya kegiatan huluan pula menyumbang RM1 hingga 2 bilion kepada KDNK ketika ini.

Katanya, perkhidmatan dalam sektor ini seperti gerudi darat, gerudi luar pesisir, geofizik, kejuruteraan dan pembinaan, pemasangan dan pembuatan peralatan, fabrikasi dan pemasangan struktur luar pesisir serta pengendalian dan penyelenggaraan.

 

Agensi pelancongan perlu ada khidmat pemandu pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Agensi pelancongan yang tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong semasa membawa pengunjung secara berkumpulan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Pengarah Pejabat Kemententerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, mereka yang terlibat dalam industri pelancongan perlu mengambil berat dengan perkara ini.

 “Menjadi satu kesalahan seandainya agensi pelancongan yang membawa pelancong secara berkumpulan tidak menyediakan pemandu pelancong samada ada pelancong domestik mahupun luar.

“Mereka boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Industri Pelancongan. Antara sebab, agensi terlibat tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, mungkin adalah untuk menjimatkan kos,” katanya. kepada media di majlis suaikenal ‘Payang Walk’ kepada penggiat industri pelancongan negeri Terengganu di Rebana Hall, Primula Beach Hotel (PBH).

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Encik Wan Mohd Sofian Wan Ishak.

Menurutnya, ada kelebihan apabila sediakan khidmat pemandu pelancong kerana banyak maklumat dan info tentang negeri Terengganu dapat disampaikan sepanjang perjalanan ke destinasi menarik di negeri ini.

Beliau berharap agensi pelancongan tidak memandang remeh perkara itu, walaupun tidak boleh memaksa pelancong yang datang secara bersendirian untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong semasa datang ke sini.

Katanya, perkara itu juga perlu difikirkan untuk jangka masa panjang, jika perkhidmatan yang disediakan baik, sudah tentu pelancong tidak serik untuk mengunakan lagi agensi terlibat.

Menurutnya, sehingga ini terdapat 88 orang pemandu pelancong yang telah mengikuti paling kurang tiga siri kursus dalam tempoh setahun dan 130 agensi pelancongan berdaftar di negeri ini.

 

Hati Seorang Pengayuh Beca


Oleh: Lan Bayu, Pengarang Teganukita.


“Saya susah, tapi saya tidak ada kerja lain nak buat. Saya dah tiga puluh tahun kayuh teksi di bandar ini, memanglah pendapatan amat kurang sekarang. Orang dah tak nak naik teksi lagi, cuma banyak bergantung kepada pelancong,”luah Ismail Din, 67 tahun. 
Ismail adalah di antara beberapa ‘kerat’ pengayuh beca yang masih wujud di bandar Kuala Terengganu, khususnya di sekitar kawasan pasar Kedai Payang tempat mereka mencari penumpang.

Penulis dekati seorang pengayuh beca ini, Ismail dari Kampung Gong Tok Nasek dan dia memberitahu setulusnya bahawa pendapatan beliau sehari,  “kadang kadang RM10, kadang-kadang dapatlah juga RM30”

180 sertai multaqa imam, bilal

Oleh: Mastura Jamaluddin

Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu baru-baru ini telah menganjurkan satu majlis Multaqa Imam dan Bilal peringkat daerah Hulu Terengganu yang disertai 180 orang imam dan bilal.

Para peserta program tersebut berpeluang mendengar ceramah yang turut diadakan oleh penceramah jemputan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato Haji Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, Datuk Haji Embong Awang dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Hajjah Samsiah Dato Haji Awang.

Dalam ucapannya Dato Tengku Putera mengingatkan imam dan bilal supaya menjalankan tugas dengan baik di samping dapat mengimarahkan masjid dengan sempurna.

Beliau juga mengingatkan imam dan bilal supaya dapat menilai kepimpinan yang baik supaya masa depan negara terjamin.

Beliau dengan panjang lebar menceritakan kisah susah senangnya pihak kerajaan membangunkan masjid-masjid di daerah ini untuk pengetahuan imam dan bilal dan menasihatkan mereka supaya tidak termakan dengan dakyah-dakyah pembangkang demi menjaga agama, bangsa dan negara.