Halaman

06 December 2012

Kejohanan bolasepak bawah 12 tahun cungkil bakat baru

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” (COC) 2012 yang bermula 1 Disember lalu bertujuan untuk mencungkil bakat baru bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir Kejohanan Belia Dunia Bawah 17 Tahun pada 2019.

Berlangsung selama sembilan hari di Terengganu, kejohanan edisi kedua ini menunjukkan peningkatan dengan penglibatan 12 pasukan yang mengambil bahagian di mana hanya 8 pasukan yang terlibat semasa pertama kali diadakan di Muar, Johor pada 11 hingga 18 Disember tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata, kejohanan ini adalah acara kemuncak dan paling berprestij bagi kejohanan bawah 12 tahun di negara ini.

"Untuk kejohanan pada kali ini, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganjurkan program yang menjadi medan dalam mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk beraksi mewakili negara ke kejohanan bertaraf dunia itu nanti.

"Kejohanan ini merupakan program pembangunan bolasepak negara yang telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Ibrahim pada Jun 2010,” ujarnya ketika berucap di majlis makan malam bagi meraikan pasukan yang menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” 2012, bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, malam tadi.

Katanya, semua pemain diharap dapat kekalkan displin dan fokus ketika bermain kerana mereka merupakan pasukan yang terpilih antara juara-juara kejohanan di peringkat negeri mahupun kebangsaan yang telah diadakan sepanjang tahun ini dan telah diiktiraf oleh FAM.

"Terengganu sendiri mempunyai dua pasukan yang menyertai kejohanan pada kali ini iaitu pasukan Mykids Soccer dan MSST Terengganu (johan bolasepak MSSM),” ujarnya.

Tambah Dato’ Rosol, dalam melahirkan pemain yang bakal mengharumkan nama negara kelak, semua pihak harus memberi sokongan padu kepada pemain khususnya ibu bapa.

Difahamkan, antara pasukan lain yang layak ke kejohanan ini termasuk pasukan Mykids Soccer dari Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur; Johan Borneo Cup (Sabah); Johan Bawah 12 Tahun Melaka (Kiddo Kickers); Johan Bawah 12 Tahun Pahang (First Touch Pahang); Johan Bawah 12 Tahun Negeri Sembilan; Pasukan Projek 2019 Negara; Johan 1 Malaysia Cardiff City Tournament serta pasukan Petriot Medan dari Indonesia sebagai jemputan.

 

JBPT kenalpasti 108 premis wajib ada sijil perakuan bomba

Oleh; Esah Abdullah

 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT) mengenalpasti 108 premis milikan kerajaan dan swasta di negeri ini diwajibkan mempunyai Sijil Perakuan Bomba .

 Pengarahnya, Encik Md Salleh Sarbini berkata, daripada jumlah itu sebanyak 81 buah membabitkan premis swasta manakala bakinya adalah premis kerajaan.

“Daripada jumlah itu, 37 premis termasuk 22 buah milik swasta dan 15 kerajaan masih dalam proses kelulusan,” katanya

Menurutnya, menjadi kesalahan kepada premis yang telah ditetapkan mempunyi Sijil Parkuan Bomba mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

``Jabatan tidak akan bertolak ansur dan bertindak tegas terhadap mana-mana premis yang telah digazetkan tetapi ingkar, kerana ia melibatkan kepentingan awam seperti hotel dan pusat membeli belah,’’.

``Selain itu premis yang telah diberi sijil akuan juga perlu memperbaharuinya setiap tahun dengan memastikan penyelenggaraan peralatan kebakaran diselia dengan baik sebelum diluluskan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di pejabatnya semalam. Hadir sama Timbalannya, Penguasa Kanan Bomba 1, Nor Mahathir Muhamad.

Katanya, tahun ini terdapat tiga pemilik premis telah dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal mematuhi peraturan setelah beberapa peringatan dikeluarkan.

Encik Md Salleh berkata, bukan semua bangunan tinggi perlu mendapatkan sijil tersebut, sebaliknya ia hanya diwajibkan ke atas premis-premis awam seperti hotel, pusat membeli-belah, dan pejabat.

 Selain itu jabatan sentiasa mengadakan dialog dengan pemilik premis terbabit untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan untuk kepentingan dan keselamatan awam.

Sempena dengan majlis itu seramai 27 pegawai menerima sijil dan pemakian tanda pangkat manakala 10 anggota menerima sijil perkhidmatan 30 tahun serta tiga orang menerima sijil pesara.

 Lain-lain sijil turut diberikan kepada dua pekerja contoh, sijil perakuan Bomba (tiga premis), teman pili bomba (10), sijil penghargaan kepada orang awam (lapan) dan sijil penubuhan Briged Bomba kepada Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu.

 

Biro Penerangan UMNO Besut anjur program “Amanat Presiden”



Oleh: Mohammad Ishak 

Biro Penerangan UMNO Bahagian Besut mengatur strategi selepas menerima suntikan semangat di Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini sebagai usaha meningkatkan semangat ahli terhadap perjuangan parti.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Biro itu, Ghazali Che Noh semalam memutuskan beberapa aktiviti yang bakal diadakan menjelang akhir tahun ini yang akan dijalankan oleh biro berkenaan.

Mendahului senarai aktiviti ialah penganjuran Program Amanat Presiden yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, pada 14 Disember ini.

Majlis yang dijangka disertai kira-kira 2,000 peserta mewakili pemimpin empat peringkat itu bertujuan menyampikan kandungan ucapan dan perbahasan perwakilan kepada ahli akar umbi yang tidak dapat hadir pada perhimpunan berkenaan.

Ghazali berkata, Ketua Umno Bahagian itu,Datuk Seri Idris Jusoh akan menyampaikan sesi taklimat amanat Presiden menggunakan multimedia bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada setiap pemimpin yang hadir.

Katanya, menerusi penerangan itu diharap ahli parti dapat menyelami apa yang diperkatakan oleh Presiden Umno,Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak pada perhimpunan baru-baru ini untuk dipraktikkan oleh jentera parti terutama bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Selain itu, katanya, biro berkenaan juga akan menganjurkan program temu mesra dengan semua bekas pemimpin parti semua peringkatdi bahagian itu dalam satu majlis makan malam hujung tahun ini.

Sebelum itu,kata Ghazali biro itu juga akan mengadakan sijil pentauliahan kepada kira-kira 500 penceramah tempatan yang akan berfungsi sebagai penceramah menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Kursus Asas Fotografi pikat golongan muda

Oleh :Amirullah Othman

Seramai 30 peserta terdiri daripada anak-anak muda dari seluruh negeri menyertai program Kursus Asas dan Komposisi Seni Fotografi di Motel Desa, semalam.

Kursus tersebut bertujuan mendedahkan mereka kepada teknik-teknik fotografi yang dikendalikan tenaga pengajar hebat dan berpengalaman. Yusnirafi Yahya, Pengerusi Kelab Fotografi Kuala Terengganu merupakan penganjur program itu dan amat berpuas dengan kerjasama dan peningkatan teknik semua peserta yang hadir.

Beliau juga turut melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana program ini merupakan idamannya sejak dulu lagi atas rasa minat yang sangat mendalam dalam bidang fotografi.

Amirul Mukminim merupakan pengelola program dan membuat pengisian yang tersusun dan sistematik dengan mengadunkan teori dan amali.

Salah seorang peserta, Basha Suri dari Felda Mengkawang amat berterimakasih kepada penganjur dan dia selalu menantikan peluang bagi mengikuti kursus secara percuma kerana anak Felda sepertinya tidak mampu mengikuti program seumpama itu jika dikenakan bayaran.

Tenaga pengajar untuk program ini adalah Mohd Asri Yusof dari Eman Foto Enterprise yang merupakan jurugambar profesional dan sering dipilih sebagai jurugambar di majlis-majlis perkahwinan.

Program itu bertujuan menjinakkan anak-anak muda kepada bidang fotografi sebagai salah satu hobi untuk memenuhi masa lapang dan juga sebagai punca pendapatan dengan moto “cemerlang bersama fotografi”.

Langkah itu juga bertujuan mengalihkan perhatian golongan muda kepada budaya tidak sihat seperti melepak dan merempit.

 

05 December 2012

Satu daerah satu muzium

Perbadanan Muzium Negeri bercadang mewujudkan sebuah muzium di setiap daerah pada masa akan datang sebagai gedung mengekal dan mengetengahkan khazanah warisan setempat.

Pengarahnya,Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pada masa ini pihaknya telah mewujudkan dua buah muzium daerah iaitu di Dungun sejak beberapa tahun lalu dan terbaru di Kemaman, Julai lalu.

“Langkah ini juga mampu menambahkan daya tarikan pelancong di setiap daerah di Terengganu yang tentunya mempunyai keunikan tersendiri di samping memudahkan mereka mengenali latar belakang setiap kawasan yang dilawati.

 “Saya pasti ramai yang tidak mengetahui tentang sejarah daerah tempat mereka lawati dan kita berharap muzium ini dapat membantu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Yusof berkata, jabatan itu mengambil pendekatan mencari, mengubah suai dan menggunakan bangunan lama berbanding membina sebuah bangunan baru dalam usaha mewujudkan muzium berkenaan.

Katanya, perkara itu bagi memberi nilai tambah kepada pengekalan bangunan lama yang kebanyakannya mempunyai nilai dan sejarahnya tersendiri.

Sebagai contoh katanya, sebuah bangunan dua tingkat yang merupakan bekas ibu pejabat bijih besi yang dibeli oleh Malayan Banking satu ketika dahulu telah dijadikan sebagai Muzium Daerah Kemaman.

“Bangunan berharga RM1 juta itu kita beli daripada Malayan Banking untuk dijadikan muzium yang akan menempatkan gambar tokoh-tokoh ternama negeri ini selain menceritakan tentang sejarah daerah ini.

“Muzium yang terletak di bandar Cukai itu mula dibuka kepada orang ramai sejak Julai lalu dan majlis perasmian dijangka disempurnakan Menteri Besar dalam masa terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak pameran serta aktiviti di sekitar kawasan tersebut bagi mempromosikan muzium daerah berkenaan.

“Sebelum ini, kita telah mewujudkan sebuah muzium di daerah Dungun dan ketika ini jumlah pengunjung semakin bertambah. Jadi, kita yakin muzium daerah Kemaman ini juga akan mendapat sambutan sama,” katanya.

“Kita juga akan mengadakan aktiviti di sekitar kawasan muzium itu bagi mempromosikan tempat sejarah berkenaan kepada umum,” jelasnya.


Terengganu mara ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja

Terengganu mara ke peringkat separuh akhir Piala Emas Raja-Raja setelah menundukkan juara tahun lalu, Pahang dengan jaringan besar 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.



Walaupun kalah dalam pusingan sama di gelanggang lawan sebelum ini dengan jaringan 1-2, Terengganu bermain bermati-matian pada pusingan kedua di gelanggang sendiri dan mara ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 6-2.

Dengan kemenangan itu, pasukan Terengganu akan beraksi menentang Kedah di peringkat separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Kedah pada 8 Disember ini.

Manakala pertandingan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 15 Disember. Satu lagi pertandingan separuh akhir menyaksikan kemaraan pasukan Selangor dan Perak yang akan berentap dalam dua pertandingan timbal balik di tempat masing-masing.



Terengganu pastinya akan beraksi dengan cemerlang untuk mara ke peringkat akhir, seterusnya bergelar juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini.

 



BN sudah lama bersedia hadapi PRU ke 13

Oleh: Suriati Ali

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah lama bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

 Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

Katanya, dia yakin PRU kali ini masih milik Barisan Nasional (BN) cuma dari segi peratusannya tidak boleh jangka tetapi percaya majoriti dua pertiga akan kita kekalkan.

“Soal calon dan siapa yang akan dicalonkan, kita akan tahu apabila tiba masanya nanti, yang pasti semua senarai itu sudah dihantar kepada presiden parti awal tahun ini.

 “Saya percaya sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat selepas beberapa agenda berjaya dilakukan dengan sempurna dan teratur,” katanya.

 “Banyak perubahan telah berlaku berbanding dahulu, , jika rakyat tidak berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan itu, dia dan pemimpin lain tidak tahu bagaimana lagi hendak memuaskan hati rakyat,” katanya.
 

Empat jabatan mendapat penarafan empat bintang

Oleh: Suriati Ali 

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco tadi.
Kerajaan negeri memberi sumbangan RM80,000 kepada empat jabatan kerajaan Terengganu di atas kejayaan memperoleh penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2011 daripada Jabatan Audit Negara.

Empat jabatan itu adalah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Pejabat Tanah Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dengan kejayaan itu, setiap jabatan layak memperoleh RM20,000 sebagai pendorong untuk terus kekal cemerlang.

Katanya, dengan pengiktirafan dan sumbangan yang dipersetujui ini, diharapkan banyak lagi jabatan lain tampil cemerlang, terutama bagi 11 pihak yang kini berada di taraf tiga bintang.

 “Untuk mendapat pengiktirafan empat bintang, setiap jabatan perlu memperoleh markah antara 90 hingga 100 peratus.

“Kebanyakan jabatan di negeri ini memperoleh penarafan dua bintang dan tiada pihak yang memperoleh satu bintang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli-ahli Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kira-kira 91,000 hektar kawasan di seluruh Terengganu akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya, kawasan yang dikenalpasti paling luas adalah Gunung Tebu, Setiu dan beberapa lokasi di Hulu Terengganu.

 “Dalam tempoh terdekat 60,000 hektar lagi akan diwartakan selepas selesai kajian daripada pihak berkaitan,” katanya

 

YPU dan Risda jalin kerjasama lahir usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bekerjasama untuk melahirkan usahawan berjaya dari kalangan pekebun kecil.

Ketua Pegawai Ekesekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai dengan Risda baru-baru ini, YPUT diberikan tanggungjawab untuk membimbing usahawan bimbingan Risda untuk diketengahkan.

“Usaha ini bagi merealisasikan hasrat Risda untuk melahirkan 10,000 pekebun kecil yang bergelar usahawan menjelang 2015,” katanya.

Katanya, YPU akan memberi kerjasama dalam menyediakan latihan dan kursus pembangunan modal insan untuk meningkatkan taraf usahawan kelas menengah ke peringkat global.

 “Mereka ini akan dibantu dari segi latihan usahawan, latihan kemahiran dan juga pembungkusan serta pemasaran produk dengan lebih kreatif sebagai persediaan bukan saja untuk pasaran tempatan sebaliknya mampu menembusi pasaran global,” katanya.

Selain itu, YPU dan Risda capai persetujuan menyediakan kursus kepada peserta-peserta program keusahawanan kendalian Risda.

“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan motivasi dan juga menambah ilmu pengetahuan berkaitan bidang keusahawanan bagi mencapai matlamat meningkatkan pendapatan isi rumah kalangan pekebun kecil,” katanya.

Sehubungan itu YPU akan cuba membantu kira-kira 772 usahawan pekebun kecil yang ada di seluruh negeri supaya berjaya meningkatkan produktiviti di samping membimbing mereka orang baru untuk menjadi usahawan.

 

Morvan dan Canfield ungguli hari pertama Piala Monsun 2012

Pelayar negara, dari pasukan Koo Racing Team gagal memungut sebarang mata pada  peringkat awal.
Pelayar Perancis, Pierre Antoine Morvan dari pasukan Vannes Agglo Sailing Team dan pelayar dari Virgin Island, Taylor Canfield (pasukan USOne) mendahului saingan awal Piala Monsun 2012 yang sedang beralngsung di Pulau Duyong, pada saingan hari pertama pusingan kelayakan semalam.

Morvan dan Canfield masing-masing mengumpul dua mata untuk berkongsi kedudukan selaku pendahulu kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah berjumlah RM1.5 juta.

Pertandingan awal saingan itu menyaksikan bekas juara dunia, datul Peter Gilmore (Yanmar Racing), Johnie Berntsson (Berntsson Racing Team) serta pendatang baru, David Gilmore (Team Giilmore) berkongsi satu mata.

Pelayar negara, Jeremy Koo dari pasukan Koo Racing Team bermula dengan baik, tetapi gagal memungut sebarang mata. Pelayar lain juga gagal mendapat mata iaitu Bjorn Hansen dari Sweden yang menyertai Mekonomen Sailing Team.

Pertandingan hari ini yang merupakan hari kedua kejohanan tersebut dijangka semakin sengit dengan pasukan-pasukan yang bertanding akan bertungkus lumus bagi memastikan mereka mendapat mata yang tinggi bagi mengatasi saingan pihak lawan.