Oleh: Aida Abd Rahman
Bersandarkan keyakinan dan semangat yang kental, seorang pelajar yang mengalami cacat pendengaran sejak lahir berjaya mengatasi keupayaan pelajar normal apabila muncul satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini yang memperolehi 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hari ini.
Pelajar berkenaan, Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu menggunakan alat bantuan pendengaran sejak berusia 12 tahun antara 124 CBK yang menduduki PMR di 39 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.
“Dalam kelas, saya perlu berada di kedudukan paling depan bagi memastikan apa yang guru ajar dapat didengar dan difahami dengan baik. Bagaimanapun, dengan kekurangan saya ini, saya lebih rapat dengan buku berbanding dengan guru kerana saya lebih memahami setiap apa yang diajar menerusi pembacaan dan juga bahan rujukan.
“Kaedah belajar, saya rasa sama sahaja sebagaimana dipraktikkan rakan yang lain, selain memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran ketika di kelas. Pada masa yang sama juga, saya sering berdoa dan memohon keberkatan dari Allah s.w.t dengan melakukan solat hajat dan tahajud,” katanya.
Anak kedua daripada enam beradik yang mendapat 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR itu berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lagi dan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi menggapai impian menjadi doktor.
Katanya, dia yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan hanya bergantung hidup daripada mata pencarian bapa sebagai buruh di kilang bahan binaan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan, nekad mahu mengubah nasib keluarga tanpa menjadikan kecacatan sebagai penghalang baginya untuk meraih kejayaan.
“Ibu bapa, Aziz Ismail, 45, dan Zalina Mat Lazim, 44, menjadi sumber inspirasi yang mendorong kejayaan saya hari ini.Selain mereka, guru dan rakan-rakan juga tidak meminggirkan saya, malah mereka memahami dan memberi layanan serta tumpuan sama rata sebagaimana pelajar normal yang lain.
“Rakan di luar sana, saya berharap tidak menjadikan kecacatan seperti saya sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.
Dia yang sering berulang-alik dengan berbasikal sejauh tiga kilometer dari rumah ke sekolah setiap hari hanya mengetahui berita gembira itu apabila memasuki bilik pengetua selepas dipanggil seorang guru sebaik sahaja tiba di sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan itu.
Sementara itu, guru kelasnya, Encik Akla Su, 45, turut berbangga dengan potensi dan pencapaian Alia Syuhada, malah menyifatkan pencapaian luar biasa pelajar yang berkarektor pendiam itu mampu menjadi perangsang pelajar normal lain supaya dapat mencapai kejayaan yang sama.
“Disebabkan dia OKU (cacat pendengaran), dia minta supaya ditempatkan di barisan paling depan dalam kelas bagi memastikan setiap apa yang guru ajar lebih jelas didengar.
“Sebagai guru kelas dan turut mengajar subjek Kemahiran Hidup, saya tidak meminggirkan dia, malah memberi tumpuan sama rata sebagaimana juga pelajar saya yang lain,” katanya.