Halaman

22 December 2012

15 pelajar Kolej TESDEC terima diploma UniKL

Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 15 orang belia yang mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance [DET(AMT)] Kolej TESDEC menerima diploma mereka di Majlis Konvokesyen kali ke-9 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mengikuti program DET(AMT) ambilan pertama pada bulan Julai 2009 apabila Kolej TESDEC bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute (UniKL-MFI) memperkenalkan program diploma berkenaan di negeri Terengganu.

Tempoh pengajian berkenaan adalah selama tiga tahun bersamaan dengan enam semester pengajian selama enam bulan setiap satunya.

Pelajar-pelajar mengikuti kelas teori dan amali di bengkel selama lima semester yang pertama dan kemudiannya menjalani latihan praktikal di pusat-pusat servis automotif terpilih pada semester keenam.

Pelajar yang lulus menerima diploma yang dianugerahi oleh Universiti Kuala Lumpur sendiri.

Pada masa ini, terdapat 118 orang pelajar sedang mengikuti program tersebut di Kolej TESDEC, Marang, Terengganu. Pelajar ambilan ketiga pula akan menjalani latihan industri pada bulan Januari 2013 nanti dan dijangka tamat pengajian pada bulan Julai 2013.

Sepanjang tempoh pengajian para pelajar dibimbing oleh pensyarah yang terlatih di dalam bidang automotif berkelayakan ijazah dan menjalani latihan di bengkel automotif serba lengkap dengan kenderaan dan peralatan terkini.

Belia-belia yang berminat memasuki kolej berkenaan boleh berhubung dengan Bahagian Kemasukan dan Rekod, Kolej TESDEC, 21600 Marang, Terengganu atau telefon. 09-627 2222 atau melayari www.tesdec.edu.my.

 

Ucap selamat tinggal kepada Pas-MB

Oleh; Esah Abdullah



Setelah 32 tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah cengkaman Pas, saya harap masyarakat di sini perlu mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sudah sampai masanya penduduk Manir membuat perubahan dan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Dia perintah pun tak beri apa-apa kepada rakyat, pemimpin BN juga yang datang bantu orang sakit dan baiki rumah orang susah,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, sehingga ini sudah 347 unit rumah mampu milik dibina oleh kerajaan BN untuk masyarakat dalam kawasan ini. “Saya janji jika DUN Manir menang BN selepas PRU nanti, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 20,000 hadirin yang membanjiri padang bola.

Tambahnya, tiga gelanggang futsal lagi akan dibina sebagai tambahan untuk golongan muda menjalan aktiviti masing-masing.

 “Saya harap rakyat memilih kerajaan BN untuk terus kekal memerintah negeri dan negara dan menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya
 

Cukup sampai di sini saja sokong Pas

Oleh; Esah Abdullah

Jadikan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kali ini sebagai satu ‘noktah’ untuk tidak lagi bersama parti Pas.



Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, tidak ada maknanya beri undi pada Pas kerana semua kebajikan untuk penduduk dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).


“Cukup, cukup sudah biar sampai di sini saja, masyarakat DUN Manir berubah dan beri sokong BN dalam Pilihan raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pemimpin BN bersilih ganti datang ke Manir memberi bantuan serta bertanya khabar sambil menghulur bantuan kepada yang memerlukan.

“Wakil rakyat Pas ada, tapi tidak buat apa-apa selain dari berceramah dan menabur janji, sedangkan pahala kebajikan dibuat oleh pemimpin BN,” katanya.

Tambahnya, penduduk dalam DUN Manir perlu fikir nasib masa depan anak cucu mereka jika terus di bawah wakil rakyat yang tidak peka dengan pemasalahan rakyat.
 

TPM lulus peruntukan RM4.9 juta untuk DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sempena lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, membawa ‘ole-ole’ berupa peruntukan sebanyak RM4.9 juta bagi membiayai projek pembangunan di kawasan berkenaan.



Daripada jumlah itu, RM2 juta akan digunakan bagi membaiki dan membaikpulih rumah penduduk di kawasan itu yang uzur. Manakala RM2.9 juta bakal digunakan bagi membiayai pelbagai projek kecil yang dirancang di kawasan berkenaan.


Dalam ucapannya di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pihaknya prihatin dan komited dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Kita mahu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat daripada pelbagai kategori seperti petani, peniaga, pengusaha industri kecil dan sederhana serta kakitangan awam dan swasta,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana mereka semua adalah warga negara ini.

Beliau berharap rakyat di kawasan DUN Manir akan terus memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak program dan projek dapat dilaksanakan di kawasan itu.

 

Petanda awal BN bakal tawan Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kehadiran luar biasa di majlis Jamuan Rakyat 1 Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, sempena kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini, merupakan petanda awal Barisan Nasional (BN) menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, pada pilihan raya akan datang.


Dalam ucapannya, Timbalan Presiden Umno itu amat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai walaupun dalam keadaan lebat sejak awal pagi, menandakan rakyat tempatan mula beralih sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerap datang ke negeri ini bagi melihat usaha-usaha dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Kita mahu memastikan program dan projek berkenaan dapat memberi faedah yang maksima kepada rakyat. Kita mahu negeri Terengganu berubah wajah menjadi negeri yang maju,” katanya.

Beliau berkata, hasil penelitiannya didapati pemimpin Umno dan BN di negeri ini komited dalam melaksanakan tugas mereka dan bekerja bersungguh-sungguh bagi membantu penduduk negeri ini.

Sikap cakna pemimpin Umno dorong ahli Pas masuk Umno

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sikap cakna pemimpin Umno yang tidak jemu-jemu menghulur bantuan dan menjenguk penyokong tegar Pas, Hassan Tahir, 67, dari Kampung Pulau Bahagia, Manir, yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu, mendorong beliau dan seisi keluarga keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.


Hassan berikrar mulai saat ini, dia dan semua ahli keluarganya akan memberi sokongan padu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia dapat menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Beliau menyifatkan dirinya amat bertuah kerana menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini.

“Hati saya amat tersentuh dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang sudi bertanya khabar saya dan keluarga.

"Sebelum ini tidak ada pemimpin Pas yang menjenguk dan bertanya khabar sejak saya terlantar sakit,” kata Hassan ketika ditemui selepas Tan Sri Muhyiddin menziarahinya di kediamannya di Kampung Pulau Bahagia.

Hassan berkata, dia merupakan penyokonng tegar Pas sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan menyertai pelbagai program dan ceramah yang dianjurkan parti tersebut.

“Saya sedar selama ini perjuangan saya dalam Pas sia-sia saja dan kebajikan saya tidak terjaga, terutama bila saya sakit.


Tidak ada pemimpin Pas yang datang dan beri bantuan. “Sebaliknya, pemimpin Umno pula yang mengambil berat soal kebajikan saya dan keluarga. Pak Yusof (Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam) sering datang melawat saya dan menghulurkan macam-macam bantuan,” katanya.

Sikap prihatin pemimpin Umno membuatkan Hassan terfikir berapa ruginya dia menyokong Pas, lalu membuat keputusan untuk menyokong Umno dan BN.

“Bila dapat tahu Timbalan Perdana Menteri akan melawat saya di rumah, saya rasa tersentuh lalu membuat keputusan untuk keluar Pas dan masuk Umno.

Saya minta isteri (Latifah Yusof, 66) dan semua lapan orang anak saya ikut jejak langkah saya,” katanya.

 Hassan kemudiannya menyerahkan borang keahlian Umno beliau, isteri dan semua anaknya kepada Tan Sri Muhyiddin sebelum Timbalan Perdana Menteri beredar dari rumahnya.

 





Gembira sertai program gemilang siswa

Oleh: Noraini Jusoh

Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) rata-rata memberikan maklumbalas positif mengenai Program Gemilang Siswa Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta yang telah diadakan di kolej tersebut baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama TESDEC berjaya mengumpulkan kira-kira 200 orang pelajar institut kemahiran terbabit dalam satu program yang banyak memberi pendedahan baru kepada mereka.


Seorang pelajar kolej tersebut yang ditemui Teganukita, Muhamad Ali Hashim,19, berkata, dia berasa bertuah dan sangat gembira kerana terpilih mengikuti program yang banyak memberi ilmu baru kepadanya.

"Banyak benda yang saya tidak pernah tahu sebelum ini dapat saya pelajari setelah mengikuti program ini,” ujarnya.

Menurut pelajar yang berasal dari Manir dan sedang mengikuti kursus Lukis Pelan Senibina itu lagi, selain dapat mempelajari banyak perkara menerusi aktiviti yang dijalankan, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara dia dan rakan-rakan yang lain.


Pelajar yang sedang mengikuti kursus Pembuat Pakaian Wanita, Noor Ain Mohd Nor, 18, pula berkata, menerusi aktiviti yang diadakan contohnya ceramah 1Malaysia secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada dia dan rakan-rakan bagaimana pentingnya menjaga perpaduan dan keharmonian kaum demi mengekalkan keamanan di negara ini.

"Saya berharap agar program sebegini akan diadakan lagi kerana dapat memberikan banyak kebaikan kepada saya dan rakan-rakan,” katanya.

Difahamkan, tujuan utama Program Gemilang Siswa diadakan adalah untuk mendekati dan memberi pemahaman secara lebih jelas kepada pelajar kolej terbabit berhubung dasar kerajaan, khususnya mengenai Gagasan 1Malaysia.

Perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI) JPNT, Encik Mustaffa Abdul Kadir yang mewakili Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Che Razali Adis.

 



21 December 2012

Pemuda UMNO Besut dekati masyarakat



Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut menggerakkan jenteranya dengan menyertai program turun padang mendekati masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

Usaha itu selaras dengan matlamat Pemuda untuk mendampi rakyat selain menyampai bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Timbalan Ketua Pemuda, Kamarulzaman Idris berkata, program terbaru disertai pemuda ialah mengadakan kunjungan ke rumah penduduk yang ditimpa kemalangan dan menghadapi penyakit.

Semalam, Pemuda Besut menyertai Program Cakna Pemuda bersama Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut dan Pejabat Penerangan Daerah Besut.

Ketika mengadakan program di Kampung Pasir Akar, Pemuda turut menyampaikan cek RM16,250 kepada seorang pesakit,Anuar Muhamad serta menyampaikan kerusi roda kepada seorang pesakit lelaki berumur 14 tahun yang terlantar akibat kemalangan.

Katanya, pihaknya juga mendapat kerjasama dan sokongan melalui Dana Sosial Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyampaikan bantuan kepada dua pesakit terbabit.

Kamarulzaman berkata, Pemuda juga merancang lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan dan akan sentiasa turun padang bersama pemimpin setempat.

Beliau berharap, jentera ajkan umbi termasuk pemuda cawangan mengenapasti mereka yang memerlukan bantuan di kampung masing-masing untuk disenarai dan pertimbangan bagi pemberian bantuan mengikut keperluan masing-masing.

Persiapan pertandingan kebersihan dan keceriaan kampung



Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk enam kampung daerah Besut yang terpilih mewakili daerah itu ke Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2012 giat menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersih dan mengindahkan kampung masing-masing.

Kampung terbabit mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukiut Payong, Kayu Kelat, Gong Gucil, Amer Hilir, Lay Out Tok Saboh dan Perumahan Awam Seberang Jertih.

Berikutan itu, penduduk menjalankan kerja gotong royong untuk menghias kampung masing-masingg dengan pelbagai bentuk hiasan serta membina replica dan tugu berlambangkan identi kampong terbabit.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata bagi menjayakan iprogram tu pihaknya meminta kerjasama jabatan terbabit untuk membantu JKKK dalam melaksanakan kewrja-kerja mengindahkan kampung.

Antara jabatan yang terbabit ialah Majlis Daerah Besut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pertanian.

A Rahim berkata, beliau gembira sambutan yang diberikan oleh JKKK yang terpilih menyertai pertandingan itu kerana sebahagian besarnya berminat dan bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan.

“Adalah menjadi harapan pejabatnya supaya ada dikalangan kampong di daerah itu akan tersenarai pada peringkat akhir dalam pertandingan anjuran Kerajaan Negeri,” katanya.

Jadual lawatan TPM ke Terengganu

Jadual Lawatan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Terengganuu pada 22 Disember 2012 (Sabtu).

22 DISEMBER 2012 (SABTU)

8.30 pagi : Ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sultan MAhmud, Kuala Terengganu.

10.30 pagi : Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Aturcara : - Ucapan Aluan Ketua Bahagian Hulu Terengganu

- Ucapan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu

- Ucapan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Penyerahan Bantuan Pentadbiran oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia - Penyerahan Bantuan Sekolah

- Jamuan Makan Tengahari - Sidang Media

1.30 petang : Perjumpaan Khas YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama Pegawai Pengurusan Tertinggi & Profesional di Auditorium 1, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. (Program Tertutup)

4.00 petang : Majlis Sepetang Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri dengan Penghulu, Ketua Kampung, JKKK, Imam dan Bilal seluruh negeri Terengganu di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Aturcara :

- Ucapan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu

- Ucapan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Sesi Dialog

- Penyerahan Bantuan Pentadbiran oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Bersurai

 6.00 petang : YAB Timbalan Perdana Menteri berlepas balik dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.