Halaman

09 January 2013

Terowong Jalan Kemajuan sudah dibuka

Oleh: Suriati Ali

Penduduk setempat terutama pelajar sekolah berdekatan mengakui lega kerana terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu yang dibina awal Mac tahun lalu sudah dapat digunakan.

Kemudahan bernilai RM2.6 juta itu merupakan jalan pintas untuk ke pelbagai destinasi, termasuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cina Chung Hwa Wei Sin, Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Jalan Bukit Kecil dan Pulau Kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Kambing, Encik Elias Jantan,berkata keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) membenarkan orang ramai menggunakan terowong itu sangat dihargai walaupun belum siap sepenuhnya.


Katanya, pegawai atasan JKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato' Toh Chin Yaw sudah memantau keadaan terowong itu dan membenarkan orang ramai melaluinya bermula 1 Januari lalu.

“Kebenaran itu dianggap berita paling mengembirakan terutama bagi pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan 2013 .

 “Kami tidak perlu lagi bimbang mengenai keselamatan anak-anak dan penduduk kampung yang ingin melintasi jalan itu di mana sebelum ini sentiasa bedepan dengan risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Ketua Penolong Pengarah (Jalan) Jabatan Kerja Raya Terengganu, Encik Ibrahim Awang, berkata pembinaan terowong berjalan kaki bernilai RM2.6 juta itu sebenarnya sudah lama dirancang untuk kemudahan pelajar dan penduduk setempat.

 Katanya, terowong 98 peratus siap itu, dibuka kepada kepada orang ramai pada 1 Januari lalu,. “Hanya kerja asas saja belum dapat disiapkan, termasuk memasang lampu jalan, landskap dan meratakan laluan kaki lima” katanya.

 Pelajar Tingkatan Empat SMK (Cina) Chung Hwa Wei Sin, Muhammad Lylia Zokarnain Rohaimi, berkata dia dan rakan lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membina terowong itu.

 “Apabila ianya siap kelak, tiada lagi risiko berlaku kemalangan dan didenda guru akibat lewat datang sekolah,” katanya.

 

Nilai dan etika kerja jadi keutamaan pada 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Nilai dan etika kerja menjadi dua asas penting yang diberi tumpuan di kalangan penjawat awam di Wisma Darul Iman (WDI) amnya dan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri khasnya bermula 2013 ini.



Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kedua-dua elemen itu amat penting dalam memastikan kelangsungan kepada kejayaan dan kecemerlangan setiap anggota, ahli dan juga sebuah organisasi seperti pentadbiran SUK sendiri.

“Kita harus menerapkan nilai dan etika kerja sebagai asas penting dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam pada hari ini.

“Berdasarkan pengalaman saya, sektor perkhidmatan awam pada zaman 70-an dan 80-an lebih di pandang tinggi dan dihormati kerana etika kerja penjawat awam yang lebih kukuh dan mantap dari aspek integritinya,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan dan Anugerah Cemerlang Bulanan Peringkat WDI, di Dewan Besar WDI, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Terengganu (ICU), Haji Ahmad Shahrom Yasin.

Dalam pada itu, Dato’ Haji Mazlan menolak tanggapan bahawa sektor perkhidmatan awam hari ini tidak cemerlang, bagaimanapun sikap segelintir penjawat awam yang tidak memiliki nilai dan etika kerja yang baik serta kurang berintegriti telah mengakis serta mencemarkan imej sektor itu di mata umum.

Katanya, ramai di kalangan penjawat awam yang menyalahgunakan hak dan tanggungjawab masing-masing termasuk ponteng kerja, memanjangkan waktu rehat, menyalahguna cuti kecemasan mahu pun cuti sakit.

“Ada di kalangan kita, ada cuti sakit (MC) tetapi keluar meronda-ronda ke tempat lain. Malah ada juga yang menggunakan waktu bekerja untuk melayari internet yang bukan untuk tujuan bekerja.

“Kecanggihan teknologi masa kini dengan pelbagai media sosial seperti facebook, Youtube, twitter dan Myspace juga menyebabkan ada di kalangan penjawat awam gagal memberi tumpuan terhadap kerja hakiki, selain ada yang menjadi ketagih dengannya (media sosial) sehingga menjejaskan prestasi kerja,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah melibatkan nilai dan etika kerja di kalangan kakitangan awam termasuk menerusi kempen, slogan dan pelbagai program yang bertujuan menambah baik sistem pentadbiran negeri secara keseluruhannya.

Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan seperti istem Integriti Korporat, Konsep 5S, Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan Modul Khas Pengurusan Integriti.



Anugerah cemerlang penjawat awam cetus motivasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif kerajaan negeri menganjurkan anugerah pekerja cemerlang mampu menyuntik semangat penjawat awam untuk terus meningkatkan kualiti, menjaga nilai serta etika kerja bagi memantapkan kerjaya, organisasi serta jabatan di sektor awam.

Terbaru, seramai 15 penjawat awam menerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI) bagi Oktober hingga Disember yang disampaikan di Majlis Perhimpunan dan Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Peringkat WDI, di Dewan Besar WDI, pagi ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Terengganu (ICU), Haji Ahmad Shahrom Yasin.

Bagi seorang penerima anugerah, Puan Noraini Che Abas, pembantu tadbir dari Unit Komunikasi Negeri, anugerah itu seumpama hadiah daripada kerajaan yang mencetus motivasi dan keazaman kepadanya dan rakan  penjawat awam yang lain supaya sentiasa mematuhi arahan majikan demi kebaikan organisasi..

“Terima kasih kerajaan negeri dan juga majikan saya Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong yang memilih saya pada kali ini. Penghargaan ini harus dibayar balik dengan melakukan kerja sebaik mungkin sebagaimana digariskan ketua dan majikan saya,” katanya.

Encik Mohamad Shaharizan Chik dari Pejabat Unit Pengurusan Maklumat Negeri, pula menganggap anugerah pekerja cemerlang bagi bulan Disember yang diperolehinya sebagai suntikan moral kepadanya supaya terus menambah baik mutu dan prestasi kerja.

“Sebagaimana rakan yang lain, saya juga merasakan anugerah ini sebagai platform terbaik untuk kita mengukur sejauh mana prestasi kerja kita dan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

 “Bagaimanapun, apa yang sudah baik haruslah perlu ditambah baik dan diperbaiki supaya imej jabatan kita dipandang tinggi semua pihak. Pada masa yang sama, saranan ketua pentadbiran negeri, Dato’ SUK juga seharusnya menjadi pedoman utama dan dipraktikkan bagi mencapai kecemerlangan,” katanya.


Buang masa sokong Pas - bekas pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Bekas pemimpin Pas menganggap perjuangan beliau kira-kira 40 tahun dalam parti itu sia-sia dan membazir masa sahaja.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut, Jusoh Idris, berkata beliau tidak melihat sebarang faedah diperolehi hasil perjuangannya dalam parti tersebut yang nyata tidak ada pendirian.

“Sia-sia saja berjuang dalam Pas kerana tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan bagi kepentingan umat Islam. Tambahan pula kini perjuangan Pas makin bercelaru apabila mereka bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, dulu Pas memperjuangkan Islam dengan moto “Membangun Bersama Islam” dan itulah yang dicanang pemimpin Pas kepada ahli dan penyokong parti tersebut.

“Kini timbul pula negara berkebajikan, apa benda ni. Apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Pas,” ujar beliau.

Justeru itu, katanya, beliau tidak kesal meninggalkan parti itu dan kini menyokong perjuangan Umno.

“Saya yakin lebih ramai ahli Pas di Besut akan keluar Pas dan masuk Umno sebelum pilihan raya ini kerana mereka sudah bosan dengan perjuangan Pas,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan parti itu banyak merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam.

“Saya minta pemimpin Pas tarik balik Amanat Haji Hadi demi perpaduan umat Islam dan Melayu dan demi menegakkan kesucian agama Islam,” ujar beliau.



08 January 2013

Perbincangan bab agama dalam facebook harus ada batasan, rujuk pakar agama

Oleh: Aida Abd Rahman

Trend memberi komen dan pandangan mengenai agama menerusi laman facebook di kalangan pengguna media sosial yang bukan pakar mengenai bidang itu boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan sesama umat Islam.

Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah, berkata dasar langit terbuka kini memberi banyak ruang dan peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk melayari internet, malah mempunyai akaun facebook dan twitter masing-masing bagi menghebahkan setiap perkara termasuk membicarakan mengenai bab agama.

“Sememangnya kita menggalakkan semua individu celik IT dan sentiasa berdiskusi untuk mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan termasuk perihal agama.

“Namun, perlu diingat perkara ini (agama) perlu ada batasan, harus dirujuk dan hanya boleh diperdebatkan oleh mereka yang pakar kerana dibimbangi apabila kenyataan terpesong, diputarbelit oleh pihak yang mengambil kesempatan, situasi itu boleh mencetus kepada perpecahan dan huru-hara di kalangan umat Islam,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar membincangkan isu agama, malah ada pula yang bersikap di luar batasan dengan membuat kenyataan di laman sosial seperti facebook yang menghina Islam.

Terbaru, sebuah akhbar melaporkan Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang wanita yang menggunakan akaun `Adlin Abdul Jalil’ di facebook yang berunsur hasutan serta menghina kesucian agama Islam.

 Ustaz Ahmad Kamal berkata, contoh paling mudah, sekiranya seseorang individu mengalami penyakit dan memerlukan keputusan segera apakah kakinya harus dipotong bagi memastikan penyakit yang dihidapinya tidak melarat, keputusan itu harus dirujuk kepada pakar perubatan.

Menurutnya, adalah tidak wajar sekiranya mendapat pandangan dan membuat keputusan mahupun ketetapan mengenai sesuatu perkara daripada orang yang tidak profesional dan arif di bidang berkenaan kerana kemungkinan besar akan menimbulkan kemudaratan dan risiko akibat tindakan itu nanti.

Katanya, pandangan mengenai hukum agama hanya boleh dikeluarkan oleh para alim ulama dan tidak boleh diperdebatkan secara terbuka serta sembarangan dalam facebook mahu pun twitter yang bertujuan supaya mendapat respon (komen) oleh pelbagai golongan termasuk bukan Islam.

“Kalau kita bukan pakar, tidak arif dan tiada ilmu mengenai hukum Islam, kita tidak boleh beri ulasan mengikut persepsi dan pandangan peribadi kita semata-mata.

“Kejahilan dan kekurangan ilmu agama di kalangan umat Islam itu sendiri boleh memerangkap dan menjadi racun yang meruntuhkan institusi agama.Oleh yang demikian, kita harus sentiasa merujuk kepada ulama dan ilmuwan sekiranya mahu merungkai setiap permasalahan agama,” katanya.

Menurutnya, umat Islam juga harus sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan kenyataan oleh segelintir golongan yang mungkin menyamar di sebalik nama seorang Islam dan mempunyai agenda tersendiri mahu meracuni pemikiran umat dengan hasrat supaya kekuatan umat kian lumpuh.


Peruntukan RM640,000 beli mesin jahit di 32 Dun

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan membuat penambahbaikan Kelas Jahitan Komuniti  di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan menukar mesin-mesin jahitan lama kepada berkelajuan tinggi tahun ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, terdapat 32 Kelas Jahitan Komuniti dan tujuh Kelas Akademi Jahitan di wujudkan setiap parlimen sejak 1994 serta masihmendapat sambutan sehingga kini.

“Paling lewat pada  Mac depan, kita akan menyediakan 10 buah mesin jahit ‘high speed’ di 32 Dun dengan peruntukan berjumlah RM640,000 atau RM20 ribu untuk setiap Dun,” katanya di Majlis Graduasi Pelatih Jahitan dan Penutup Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak di Dewan Utama, YPKT baru-baru ini..

Katanya, sehingga kini seramai 3,086 orang belia dan beliawanis lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi telah mengikuti kelas jahitan YPKT.

 Tambahnya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM500,000 bagi kelas jahitan komuniti dan juga akademi untuk golongan belia dan juga beliawanis di negeri ini menambah kemahiran.

 Menurutnya, kelas jahitan komuniti dijalankan selama empat bulan untuk setiap sesi yang diadakan tiga kali setahun, manakala kelas Akademi Jahitan pula dijalankan selama enam bulan di tujuh parlimen.

 “Kita mengalakkan belia dan beliawanis yang tidak berpeluang menonjol dalam bidang akademik fokus dalam bidang kemahiran seperti jahitan dan percaya bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan jika mereka bersungguh-sungguh dan juga menjaga kualiti dan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Sehubungan itu seramai 160 pelatih Akademi Jahitan YPKT yang telah tamat menjalani kursus jahitan menerima sijil masing-masing .

 

Amanat Haji Hadi ibarat bangkai gajah

Oleh: Suriati Ali 

 Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Ustaz Kamaruddin Omar menyifatkan `Amanat Haji Hadi’ yang memecah-belahkan masyarakat Islam di negara ini sebagai bangkai gajah yang tidak dapat disembunyikan.

 Amanat itu merujuk kepada sedutan ceramah umum yang disampaikan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

 Sedutan ucapan tersebut pernah dicetak dalam bentuk poster dan dan ditampal pada dinding markas Pas sekitar tahun sama.


Ustaz Kamarudin berkata, beliau hairan mengapa isu yang ditimbulkan dan diakui kebenarannya oleh penyokong tegar parti itu sendiri hendak diputarbelitkan dengan menyatakan isu lapuk, diubah suai dan gimik politik.

 “Sebaliknya perkara itu benar-benar berlaku, termasuk menjadi punca pecah belah umat Islam dan penyebab berlakunya solat dua imam di beberapa lokasi khususnya di Terengganu. “Jika pemimpin Pas hendak menafikan, mengapa pula ia dicetak, dibukukan dan diedar di serata tempat oleh Sekretariat Pemuda Pas Pusat,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Katanya, dia sedih kerana perkara tersebut masih menjadi ikutan di kalangan pengikutnya dan boleh menimbulkan kebencian terhadap orang Umno. Kenyataan dalam amanat itu menyebut, `kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno.

Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembanggan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.

 “Apa yang dinyatakan itu, benar-benar boleh menimbulkan kebencian dan berlaku perpecahan yang kritikal di kalangan masyarakat Melayu yang masih memegang kukuh kepada fahaman itu. “Sebagai manusia biasa, kita harus mengakui bahawa kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan terutama yang dilakukan pada masa silam.

 “TIdak guna bagi mana-mana pemimpin atau ahli politik cuba menegakkan `benang basah’ lebih-lebih agi apabila mereka tahu bahawa yang dilakukan itu tidak betul dari segi akidah,” katanya.

 

Umno sedia ‘tawan’ Bukit Payong

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Umno dan Barisan Nasional (BN) sedia menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, pada pilihan raya umum akan datang. Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong,

Encik Zaidi Muda, berkata dengan sokongan golongan muda yang kian bertambah dan dokongan pengundi veteran yang masih setia dengan perjuangan Umno, tidak mustahil BN akan merampas semula kerusi berkenaan daripada pembangkang.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kita (BN) hanya kalah dengan majoriti tipis iaitu 115 undi. Saya yakin dengan kesungguhan jentera Umno bekerja sejak sekian lama hingga saat pilihan raya akan datang, kita akan merampas semula kerusi DUN Bukit Payong,” katanya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, sehingga ini semua jentera pilihan raya bagi sembilan peti undi di DUN Bukit Payong telah siap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

“Begitu juga 23 cawangan Umno yang ada di DUN Bukit Payong telah siap sedia untuk menggempur kawasan pembangkang bagi menarik pengundi supaya menyokong BN,” katanya.

Encik Zaidi yakin dengan kerjasama semua pihak dan bantuan Umno Bahagian Marang, tidak ada masalah besar bagi BN memenangi semula DUN Bukit Payong yang dimenangi BN pada PRU 12.

“Sejak kebelakangan ini sokongan dari golongan muda, terutama pengundi baru meningkat dan kita yakin senario ini akan membantu BN menawan semula DUN Bukit Payong,” katanya.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan meningkatkan usaha mendekati pengundi dan terus membantu golongan kurang bernasib baik bagi memenangi hati penduduk di DUN berkenaan.



Tumpuan terhadap aspek pendidikan mampu kembangkan sektor pelancongan

Oleh: Noraini Jusoh

Usaha kerajaan negeri dalam mengembangkan sektor pelancongan di negeri ini mampu direalisasikan dengan memberi tumpuan terhadap semua aspek termasuk pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 khususnya, sektor pelancongan memerlukan sebahagian daripada mereka yang berpengetahuan.

"Kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan satu program khas kepada lepasan graduan khusus dalam bidang berkaitan pelancongan merupakan langkah baik dalam membawa pendidikan berasaskan pelancongan kepada tahap yang sepatutnya.

"Kursus Perancang Pelancongan yang diperkenalkan oleh TESDEC dan UiTM merupakan antara persiapan pendidikan untuk melatih dan memberi pengalaman kepada mereka dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang mampu mewujudkan serta membangunkan suatu lokasi bagi industri pelancongan.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara TESDEC dan UiTM, di Kampus Induk Kolej TESDEC, Marang, semalam.

Katanya, menerusi perjanjian tersebut, beliau percaya dapat memberi nilai tambah kepada lepasan graduan apabila selesai mengikuti kursus tersebut sekaligus dapat membantu kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong sempena (TMT) 2013.

Difahamkan, pada peringkat awal, 20 peserta mengikuti kursus sembilan bulan yang melibatkan empat bulan teori dan lima bulan praktikal, dimana turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM500 sebulan sepanjang tempoh kursus.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri ini, buktinya menerusi peningkatan peruntukan bajet negeri sebanyak RM186.74 juta untuk tahun ini berbanding RM138.85 juta tahun lepas.

 

Musim `ikan lik' aktiviti riadah, tambah pendapatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Musim tengkujuh yang lazimnya menyekat pelbagai aktiviti terutama kepada nelayan kecil mencari sumber laut bukan halangan kepada segelintir penduduk di Terengganu untuk menambah punca pendapatan.

Musim `ikan lik’ iaitu menghambat dan menangkap ikan yang bertelur di hulu sungai sebaik hujan pada musim tengkujuh antara Oktober hingga Januari , mungkin asing bagi segelintir penduduk, namun tidak bagi mereka yang tinggal berhampiran sungai di sekitar Setiu dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Kelebihan fenomena alam itu digunakan sebaiknya oleh sekumpulan pemuda dari Kampung Pulau Sekati, Manir apabila mereka berkampung di Sungai Lawit, Tasik Kenyir, baru-baru ini untuk menjayakan program Pemantapan Kepimpinan Belia 4B (M) Cawangan Kampung Sekati sambil menjalankan aktiviti `ikan lik’.

Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Kampung Sekati, Encik Mohd Yassin Embong, berkata seramai 25 ahli persatuan yang menyertai aktiviti itu berjaya menaikkan lebih 50 kilogram pelbagai spesies ikan sungai seperti ikan lampan, baung, sebarau dan toman.

“Aktiviti memancing di Tasik Kenyir bukan asing kepada kami. Malah, setiap tahun kami ke Tasik Kenyir untuk aktiviti riadah sambil berkumpul bersama rakan dan belia kampung ketika cuaca baik.

“Bagaimanapun, aktiviti ikan lik pertama kali kami dapat lakukan dan ternyata ia pengalaman menyeronokkan dan sukar ditemui di tempat lain," katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran sungai menjadikan ia sebagai sumber pendapatan sampingan pada musim tengkujuh, bagaimanapun hasil tangkapan yang diperolehi ketika itu diagihkan sesama mereka untuk dijadikan menu utama sebaik pulang ke rumah masing-masing.