Halaman

17 January 2013

Kumpul bacaan sikap pengundi tanpa andaian semata-mata : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT) mengumpul maklumat mengenai bacaan sikap pengundi tanpa bertolak ansur dan hanya bersandarkan andaian semata-mata kerana mahu menjaga hati serta hubungan dengan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata sikap itu bukan sahaja menyukarkan maklumat tepat dikumpul bagi melicinkan perjalanan parti, malah boleh menjejaskan matlamat Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Kita yakin dan percaya dengan kursus dan tunjuk ajar yang dijalani kakitangan sehingga hari ini, APMT mampu menjalankan tugas dengan sempurna, penuh amanah dan bertanggungjawab dengan memastikan maklumat serta laporan yang diterima adalah tepat dan bukan berasaskan andaian semata-mata.

 “Saya menyerui anggota APMT mendapatkan maklumat mengenai bacaan sikap, kedudukan, isu dan sebagainya (mengenai penduduk) dengan penuh tanggungjawab tanpa mengambil kira perasaan, peribadi, ukhwah kita untuk memastikan parti ini terus dipertahankan sampai bila-bila,” katanya di Majlis Makan Malam menteri Besar Bersama kakiatangan APMT, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pengarah APMT, Haji Roshali Taha.

Menteri Besar berkata, dalam situasi PRU13 yang semakin hampir tidak lama lagi, perjuangan kakitangan APMT juga harus berterusan sehingga ke penghujungnya dan tidak tewas sebelum mencapai sasaran kejayaan.

 “Justeru itu, dalam keadaan kita berada di persimpangan PRU13  yang semakin hampir, semua kakitangan APMT juga tidak boleh lemah dan longlai di pertengahan jalan sebelum mencapai kejayaan khususnya dalam memperjuangkan parti BN dan Umno serta memenangi PRU13  dengan majoriti yang besar.

“ Demi memastikan kejayaan itu, saya berharap jentera kita dapat bergerak seiring, seirama dan sederap bagi memperkukuhkan parti dan politik kita serta menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab untuk kesinabungan parti BN dan Umno, supaya mampu dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, semua kakitangan APMT juga harus bekerja keras, memperbaiki kelemahan dan menggandakan kekuatan bagi mencapai kejayaan dan sasaran sebenar.


TNB perkenal bil baru

Oleh; Esah Abdullah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperkenalkan bil elekrik baru kepada semua pengguna mulai April depan dengan saiznya masih dikekalkan dengan saiz asal.

Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Perkhidmatan dan Pemasaran), Jabatan Perkhidmatan Pengguna & Pemasaran Bahagian Pembahagian TNB. Puan Noraini Shaarani berkata bil baru itu lebih ringkas dan mudah difahami.

``Selain bil ia turut tercatat maklumat dan kempen semasa pada belakang bil bergantung kepada isu-isu semasa seperti banjir dan lain-lain,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan TNB 2013 Peringkat Negeri di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TNB Kuala terengganu semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Bahagian Perolehan Pembelian dan Perkongsian TNB, Ir Nor Azli Shari. Hadir sama Pengurus Besar TNB negeri, Encik Md Yuslan Md Yusof

Katanya, penggunaan bil baru itu bergantung kepada maklum balas daripada pengguna di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam yang dilaksanakan sebagai percubaan.

Menurutnya, pengguna di tiga kawasan berkenaan mula diperkenalkan dengan bil baru pada awal Januari ini untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan.

``Selepas mendapat reaksi positif daripada pengguna di tiga kawasan berkenaan , TNB akan membuat peningkatan untuk memastikan bil baru memenuhi hasrat pengguna,’’ ujarnya.

 

Bantuan `one-off' RM500 untuk mangsa banjir agih bulan depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kedukaan kira-kira 9,000 keluarga di Terengganu yang terlibat dengan banjir baru-baru ini sedikit terubat apabila kerajaan negeri bersetuju mengagihkan bantuan sebanyak RM500 kepada semua mangsa bencana alam itu mulai pertengahan Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata bantuan `one-off’ kepada setiap keluarga yang terlibat itu dianggarkan mencecah sehingga RM4.5 juta akan diberikan kepada mangsa yang mendaftar dengan pusat pemindahan banjir yang diiktiraf.

"Peruntukan itu adalah tambahan daripada bantuan kepada mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Pusat, kerana kerajaan negeri juga prihatin dengan nasib malang yang menimpa mereka.

“Hasil kunjungan ke kawasan terlibat kita lihat banyak taman perumahan yang terbabit dan dengan bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban mereka,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, bantuan yang pertama kali dilaksanakan kerajaan negeri itu akan diagihkan di setiap daerah dengan peruntukan keseluruhan antara RM4 juta hingga RM4.5 juta.

 Menurutnya, Kemaman merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu apabila merekodkan kira-kira 3,000 mangsa.


SPR lantik pemerhati bantu PRU 13

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melantik 16 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemerhati dari negara Asean sebagai langkah memantau proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) supaya berjalan lancar.

 Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan mengenai itu akan diputuskan panel pemilih yang ditubuhkan atas nasihat Wisma Putra. “Antara negara yang bakal dilantik, termasuk Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand selain beberapa pemerhati daripada Sekretariat Asean.

"Setakat ini belum muktamad, ada beberapa negara tidak dijemput seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan Laos. Wisma Putra yang kendalikan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat PRU-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR zon timur di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu

Beliau berkata pemerhati asing dan NGO yang terbabit perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan SPR, dan jika gagal mematuhinya, nama mereka akan digugurkan daripada senarai.

 "Setiap NGO boleh hantar tiga wakil untuk satu bahagian. Kalau ada lima NGO berminat untuk satu bahagian, maka ada 15 pemerhati di bahagian itu dan mereka boleh memohon mana tempat yang mereka nak pergi," katanya.

 Dalam pada itu, NGO yang akan dilantik bagi Zon Semenanjung adalah Institut For Democracry and Economy Affairs (Idea), Merdeka Center, Centre For Public Policy Study (CPPS-ASLI) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

 Bagi Zon Sarawak, ia akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian Kuching, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Cawangan Sarawak, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persatuan Orang Ulu Sarawak (OUNA) dan Saberkas.

Bahagian Sibu pula Sibu Chinese Chamber Of Commerce and Industry dan Persatauan Melanau Sibu manakala bahagian Mirio, Persatuan China Miri, Persatuan Dayak Miri dan Federation of Orang Ulu Association Malaysia (Forum) dan bagi Zon Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan China Sabah.

 

16 January 2013

12,772 pelajar DUN Kota Putera dapat wang pendahuluan


YB Muhamad Pehimi menyampaikan bantuan persekolahan

Oleh: Mohammad Ishak 

Bukan janji kosong tetapi sudah dibuktikan begitulah apabila kerajaan yang bertanggung jawab sentiasa menunaikan janji dan rakyat mendapat manfaat.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang peka kepada rakyat meneruskan agenda membela rakyat apabila bantuan wang persekolahan untuk pelajar mula diagihkan secara berperingkat mulai semalam.

Bagi pelajar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera,tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, SK Keluang dan SK Permaisuri Nur Zahirah mula menerima agihan wang berkenaan hari ini.

Seramai 12,772 pelajar dari 20 sekkolah rendah di DUN berkenaan dijangka menerima sumbangan wang pendahuluan persekolahan yang dijanjikan Perdana Menteri,Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak.

ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof hari ini menyampaikan bantuan wang pendahuluan itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Keluang, dekat Jertih.

Muhamad Pehimi berkata, rakyat kini mendapat pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan negeri dan pusat

Katanya, pengagihan wang kepada pelajar itu sebahagian usaha kerajaan untuk membantu ibu bapa meringankan beban bagi menanggung persekolahan anak.

Terengganu catat 40,357 belum daftar pemilih

 Oleh: Suriati Ali

 Terengganu mencatatkan negeri yang mempunyai paling sedikit bilangan individu yang belum berdaftar sebagai pemilih berbanding negeri lain sehingga akhir tahun lalu.

 Berdasarkan jumlah itu, hanya enam peratus atau 40,357 daripada keseluruhan 678,642 pemilih di negeri ini masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, kita dapati kira-kira 3 juta pemilih masih belum berdaftar di seluruh negara dan Terengganu adalah yang paling sedikit.


"Ini perkara menarik untuk diperkatakan tentang negeri ini kerana kesedaran rakyatnya untuk mendaftar sebagai pemilih adalah tinggi berbanding negeri lain," katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Taklimat Pengurusan Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Terengganu, Pahang dan Kelantan, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu,  hari ini.

 Hadir sama Pengarah Pilihan Raya negeri Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab. Wahab.

 Tan Sri Abdul Aziz turut memberitahu, sebanyak 342 buah pusat mengundi akan dibuka di Terengganu dengan 332 daripadanya melibatkan bangunan sekolah manakala selebihnya adalah dewan orang ramai.

 “Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

 “Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada setiap hari.

 “Mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi,” katanya.

 

Pinjaman perumahan RM50,000 untuk rakyat Terengganu

Menteri Besar ketika menjawab pertanyaan wartawan.
Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan dan berpendapatan RM3,000 ke bawah kini boleh memohon dana pinjaman perumahan sehingga maksimum RM50,000 seorang bagi membina rumah masing-masing.

Pada peringkat permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta yang dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 pemohon di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan bersedia menimbang untuk menambah dana RM50 juta itu selepas ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan  mendapat kemudahan dan manfaat itu pada masa depan.

 “Pemohon boleh mendapatkan borang-borang permohonan dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mendapatkan pinjaman sehingga maksimum RM50,000 bagi setiap unit rumah menerusi dana RM50 juta itu.


 “Insya-Allah, selepas ini kita akan pertimbangkan semula untuk menambah dana berkenaan untuk masa depan,” katanya di sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemohon boleh mendapatkan borang permohonan pelan setara melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kadar caj untuk setiap kelulusan pelan berharga RM50 bagi kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan RM100 bagi Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri menetapkan pemohon boleh membina rumah yang bernilai maksimum RM80,000 seunit, bagaimanapun lebihan RM30,000 selepas ditolak jumlah maksimum pinjaman RM50,000 berkenaan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemohon.

“Kita hanya memberi pinjaman (maksimum) RM50,000 dengan tempoh bayaran balik 30 tahun, selain dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus berdasarkan baki pinjaman, sebagaimana pinjaman kerajaan yang lain,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja dana pinjaman perumahan, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan perumahan yang lain bagi membantu rakyat negeri ini termasuk skim rumah kos rendah, rumah mampu bilik, bantuan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin dan peruntukan RM1 juta di setiap Dun bagi membaiki rumah dan menggantikan atap yang baru.

 

LPP isytihar 2013 tahun kutip hutang

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu menjadikan tahun ini (2013) sebagai tahun kutipan hutang yang terkumpul lebih RM12 juta.

Pengarah LPP terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, pihaknya akan perhebatkan usaha bagi mengesan penghutang terdiri daripada peniaga kalangan ahli dan bukan ahli bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Hutang yang tertunggak merupakan hutang lama dan baru yang berlarutan sejak enam tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Tahunan Anggota LPP di Wisma Peladang Kuala Terengganu semalam.

Ketua Pengarah LPP, Dato’ Haji Arpan Shah Satu, hadir sama dalam perhimpunan tahunan berkenaan dan sebelum itu beliau membuat tinjauan ke ladang pembiakan kambing baka di Hulu Terengganu.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan penghutang serta menghantar penyata hutang kepada mereka yang terbabit setiap bulan.

Menurutnya, terdapat beberapa sebab peniaga tidak mampu membayar balik pinjaman seperti menghadapi masalah kegagalan projek, ditimpa bencana alam dan juga masalah sendiri liat bayar hutang.

 “Jika berlaku kegagalan projek, kita nasihatkan mereka bangkit semula dan sedia memberi khidmat nasihat tetapi kalau sengaja tak mahu bayar kes mereka akan dibawa ke jawatankuasa tindakan timbangtara,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat 52 orang telah melalui proses timbangtara dan perbicaraan dijalankan sama seperti kes yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, sepanjang tahun lalu JPP telah berjaya membuat kutipan hutang berjumlah RM2 juta dan tahun ini dijangka dapat mengumpul kutipan dalam jumlah lebih banyak.

 

HSNZ terima 100,000 stoking untuk bayi

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyerahkan stoking kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) HSNZ, Dr Muhada Suzana Mokhtar.
Oleh: Aida Abd Rahman

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima sumbangan 100,000 pasang stoking untuk kegunaan bayi yang lahir sepanjang Januari hingga Mac.

Sumbangan bernilai RM200,000 dari Syarikat My Socks Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Gong Badak menerusi Ketua Pegawai Ekskutifnya , Johnny Wong yang disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) HSNZ, Dr Muhada Suzana Mokhtar sebelum diagihkan kepada bayi yang bakal lahir di HSNZ.

Dato’ Seri Haji Ahmad memuji langkah syarikat itu tampil bagi menjalankan tanggungjawab sosial dengan  menghulurkan sumbangan kepada masyarakat di negeri ini.

 “Terima kasih kepada My Socks Malaysia Sdn Bhd kerana sudi menghulurkan sumbangan stoking untuk bayi yang baru lahir di HSNZ berjumlah 100,00 pasang yang bernilai RM200,000 sebagai menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat di sini,” katanya.


UniSZA lahir 30 orang doktor tahun depan

Prof. Dr. Yahya Ibrahim.
Oleh; Esah Abdullah

 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mengeluarkan 30 orang doktor pakar tahun depan yang akan menjadi tenaga pengajar di hospital-hospital dan juga hospital universiti itu apabila beroperasi kelak.

Naib Cancelor (NC) UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, ini merupakan kumpulan pertama pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang bakal menamatkan pengajian tahun depan.

“Saya akan cuba berbincang dengan pihak bertanggung jawab untuk mempercepatkan pembinaan hospital UniSZA kerana tuntutan keperluan pengajaran di fakulti perubatan ini sangat kritikal,” katanya dalam sidang media di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, mulai tahun depan 30 pelajar jurusan perubatan akan keluar dan mereka memerlukan tempat mengajar kerana Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sudah penuh dan tidak mampu menerima pelajar dari UniSZA.

Menurutnya, pembinaan hospital UniSZA di kawasan seluas 100 hektar itu nanti sangat memberi manfaat kepada pelajar terutama dari UniSZA serta memberi khidmat dan sumbangan kepada masyarakat setempat.

Prof Dr Yahya yang mula mengalas tugas sebagai NC bermula 1 Januari lalu berazam untuk memikul amanah yang diberikan sebaik mungkin serta berusaha membuat penambahbaikan pembangunan di universiti itu menjadi sebuah kampus yang serba lengkap.

 “Saya memerlukan sokongan semua pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan untuk mengangkat matabat UniSZA ke tahap lebih tinggi dalam konteks pembangunan akademik dan kecemerlangan,” katanya.

Pada masa yang sama saya akan membangunkan bangunan canselori yang menempatkan pejabat NC, timbalan NC , pendaftar dan bendahari dan akan menaiktaraf bangunan lama sebagai sebuah canselori untuk capai matlamat pengurusan mesra dan efektif .