Halaman

11 February 2013

Pesakit terharu terima kunjungan MB

Oleh: Suriati Ali
Gambar: Hazli Mustafa

Tiada yang mampu diucapkan pesakit dan penerima Bantuan Atap Biru melainkan jutaan terima kasih apabila menerima kunjungan istimewa daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dato’ Seri Haji Ahmad sempat meluangkan masa hampir sehari bagi melawat 13 pesakit dan uzur terlatar di Kampung (Kg) Darat, Kg Beris Nenas dan Kg Bukit Anak Dara, Kijal, Kemaman, semalam.

 Lebih istimewa, Pegawai Perubatan Klinik Awana Kijal, Prof Dr Selvaraj Y Subramaniam turut serta dalam kunjungan itu bagi merawat pesakit secara lebih terperinci.


 Dato' Seri Haji Ahmad sentiasa prihatin dan tidak pernah jemu menjaga kebajikan penduduk terutama yang keuzuran 

class="fullpost">

 Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, 20 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kemaman dan 15 kakitangan Pusat Khimat Masyarakat DUN Kijal.

Rombongan itu menghulurkan wang sumbangan dan pelbagai barangan keperluan dapur bagi meringankan beban membeli ubat, lampin pakai buang dan susu khas.

 Pada masa sama, rombongan itu turut membantu tiga penduduk di Kampung (Kg) Darat, Kijal yang kurang berkemampuan memasang atap biru yang disumbangkan kerajaan negeri.


Prof Dr Selvarajsetia bersama Dato' Seri Haji Ahmad bagi merawat pesakit

Rata-rata pesakit dan penerima atap biru menyatakan perasaan terharu dan gembira kerana pemimpin utama negeri sudi menjenguk mereka walaupun menyedari sibuk mengurus pelbagai urusan harian terutama kini semakin tiba Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13.

 Isteri pesakit, Rahmah Abu Bakar, 78, berkata terima kasih banyak kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri sebab sudi melawat suami, Abdul Karim Jusoh, 80 yang sudah sepuluh bulan terlantar akibat serangan strok.

Katanya, kunjungan Dato’ Seri bersama rombongan lain cukup bermakna, selain sedikit sebanyak meghilangkan rasa sedih dengan apa yang dialami itu.

"Segala nasihat Dato’ Seri dan doktor supaya terus tabah menjaga suami dengan memberi makanan berkhasiat, mengurut, dan tidak putus asa berdoa akan dituruti,” katanya.

 

Sambut Maulidul Rasul di atas rakit


Peserta berakit di Sungai Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk di kawasan pedalaman Hulu Besut mempunyai kelainan tersendiri menyambut Maulidul Rasul tahun ini apabila mereka mengadakan aktiviti itu di atas rakit.

Program anjuran Pergerakan Pemuda Umno Hulu Besut itu, satu aktiviti menarik dan mendapat sambutan penduduk setempat kerana ia agak berlainan dengan acara yang biasa dilakukan untuk sambutan berkenaan.

Penyelaras program, Wan Zulkifli Aizan Zakaria, berkata menerusi program itu peserta secara berkumpulan dapat melahirkan daya kreativiti masing-masing untuk menghias rakit diperbuat daripada buluh.

Katanya, seramai 130 peserta mewakili 13 peti undi dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menyertai program berakit sehari menyusuri Sungai Besut.

ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad melakukan upacara pelepasan di Kampung Batu 13, manakala ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut,melakukan upaca penutup dan menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya.

Pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai RM1,000 kepada pasukan yang bergelar johan, naib johan RM700 dan ketiga RM600.

Beliau berkata, program itu selain menguji semangat kerja berpasukan peserta ia juga bertujuan menggalakkan peserta mengenai kededaran menjaga khazanah alam yang banyak terdapat sepanjang sungai berkenaan.

Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Besut tetap meriah



Oleh: Mohammad Ishak 

Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Besut tetap meriah dan mendapat sambutan daripada penduduk pelbagai kaum di daerah itu.

Majlis yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Jertih dihadiri oleh semua pemimpin Barisan Nasional (BN) Besut serta komuniti setempat.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato;Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih, Timbalanya, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera), Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut), Bendahari, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin,(Ahli Parlimen Besut), ADUN Jabi, Ramlan Ali

Yang lain ialah, Ketua MCA Besut, Lee Chan Fook,Ketua Wanita UMNO Bahagian, Engku Naimah Engku Taib, dan Ketua Puteri UMNO, Che Senah Sulaiman. Pada majlis itu tetamu turut disajikan dengan pelbagai jenis jamuan selain dapat beramah mesra dengan pemimpin terbabit.

Berucap pada majlis itu, Idris mahu masyarakat Cina negeri ini terus menymokong BN bagi mempastikan ekonomi negara terus kukuh dan rakyat berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Katanya, jika pembangkang memerintah Malaysia dikhuatiri keadaan akan berlaku sebaliknya dan rakyat tanpa mengira bangsa akan berada dalam keadaan tidak selesa.

“Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU13) rakyat patutk menolah Pakatan Rakyat (PR) kerana gabungan mereka adalah rapuh dan tidak kosisten dalam mengurus negara,” katanya.

RM2 bilion naiktaraf landasan kereta api

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat Terengganu bakal menerima perkhidmatan kereta api laju sebagai altenatif pengangkutan awam untuk ke beberapa destinasi di negara ini apabila projek menaiktaraf landasan diluluskan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindistrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, projek menaiktaraf landasan sudah diluluskan dan kini dalam proses kajian dan reka bentuk.

“Projek berkenaan dianggarkan menelan kos hampir RM2 bilion,” katanya dalam sidang media di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu semalam..

Katanya,setakat ini kita mendapat kelulusan untuk menyambung dan melebarkan landasan dari Pelabuhan Kemaman terus ke Bukit Besi.

Menurutnya landasan asal dari Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan ke Kemaman dan Kerteh dikhaskan untuk muatan kargo sahaja.

Katanya, usaha menaiktaraf landasan termasuk melebarkannya akan disambung ke Bukit Besi ke Chabang Kerteh seterusnya ke Teluk Kalong, ke Pelabuhan Kemaman, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

“Projek ini juga akan disesuaikan dengan teknologi terkini, iaitu di samping untuk kegunaan pengangkutan kargo juga untuk pengangkutan awam,” katanya.

Katanya projek ini diharapkan berterusan ke laluan Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan terus ke Kuala Lumpur yang akan menjadikan satu sistem pengangkutan lengkap dan menyumbang dalam pembangunan aktiviti industri di sini.
 

Peranan jentera JR penting

Oleh: Noraini Jusoh

Peranan jentera Jalinan Rakyat (JR) di kalangan ahli wanita Umno sangat penting dalam memastikan pengundi menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamat berkata, Terengganu mempunyai kira-kira 18,000 jentera JR.

"Peranan mereka adalah untuk mendekati pengundi di mana seorang ahli wanita Umno yang bertindak sebagai JR akan menjaga sepuluh buah rumah yang berdekatan dengan rumahnya.

"Semua yang layak mengundi dalam rumah di bawah jagaannya menjadi tanggungjawab JR berkenaan untuk memastikan segalanya berjalan lancar contohnya seperti pendaftaran pengundi terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Pensijilan ISO 9001:2008 di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baru-baru ini.

Katanya, selain dari tugas tersebut jentera JR juga berperanan mengenalpasti setiap permasalahan yang dihadapi pengundi di bawah jagaannya dan sekiranya ada apa-apa masalah, mereka akan melaporkan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai siapa calon yang akan bertanding pada PRU-13 nanti, katanya telah menjadi pendirian wanita untuk akur kepada siapa juga calon yang dipilih.

"Cuma harapan saya agar calon yang terpilih akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

 

10 February 2013

Tahun Ular disambut meriah

Dato' Toh Chin Yaw melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.
Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 8,000 orang mengunjungi Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2013 yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Terengganu hari ini.

Penglibatan seluruh rakyat pelbagai bangsa dan keturunan termasuk Melayu dan India tambah menceriakan suasana dengan menampilkan tarian singa mengiringi ketibaan para tetamu di pintu masuk ke dewan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, sambutan masyarakat tahun ini amat luar biasa.

“Semua masyarakat tanpa mengenal usia dan fahaman politik bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada Tahun Ular dalam suasana penuh harmoni,” katanya pada sidang media di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.


Hadir sama Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Farid Wan Salleh; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh dan Adun Ladang Dato’ Haji Tengku Hasan Tengku Omar serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, suasana ini mengambarkan semangat perpaduan dan keharmonian kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan tahun ular tahun ini termasuklah pertandingan menghias rumah kedai, karnival, sukaneka serta pameraan motor dan kereta klasik.
 

RM7 juta untuk transformasi fizikal premis perniagaan

Oleh; Esah Abdullah

Program Penjaja 1Malaysia (PPIM) yang diperkenalkan bertujuan menaiktaraf kawasan fizikal perniagaan yang lebih bersih dan menarik.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, penekanan diberi kepada penyediaan makanan yang sihat kepada pelanggan serta suasana persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

“Peruntukan RM7 juta disediakan untuk transformasi fizikal premis-premis perniagaan penjaja dan peniaga kecil di kawasan sedia ada,” katanya di majlis Bicara Pengguna di Dewan Majlis Daerah Marang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Dato’ Md Arif Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.

Selain itu katanya, sebanyak 85 buah Kedai 1Malaysia (KRIM) berjaya dibuka di seluruh negara sehingga akhir tahun lalu dan tiga daripadanya dibuka di negeri ini.

Manakala terdapat 3,228 buah premis menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MRIM) yang diperkenalkan dan daripada jumlah tersebut 319 buah dibuka di negeri ini.

“Program ini adalah antara usaha kerajaan membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat di mana dalam program ini pakej sarapan pagi serendah RM2 dan makan tegahari berharga RM4,” katanya.

Dalam program TUKAR pula terdapat 35 buah kedai runcit daripada 568 buah di seluruh Negara telah ditransformasikan di negeri ini dan ia berjaya meningkatkan hasil jualan dengan kaedah pengurusan perniagaan lebih sistematik serta menjadi tumpuan ramai.

Selain dari trasformasi kedai runcit, bengkel-bengkel kenderaan juga turut diperkemaskan dan sebanyak 15 buah bengkel di Terengganu telah menyertai program ini.

Dato’ Sri Ismail Sabri kemudiannya telah meluluskan sebuah KRIM bagi daerah Marang, sebuah van jenazah untuk kegunaan rakyat tempatan dan bersetuju memberi peruntukan untuk menaiktaraf 16 gerai makan yang terletak di hadapan pasar besar bandar Marang.
 

Pasar borong bernilai RM50 juta bakal dibina di Bukit Payong

Oleh: Noraini Jusoh

Pasar borong bernilai RM50 juta yang akan dibina di Bukit Payong, Marang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk memasarkan produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, kerajaan negeri telah merancang pembinaan pasar borong tersebut sejak tahun 2006 lagi, tetapi tertangguh kerana beberapa masalah tertentu.

"Tapak pasar borong berkenaan seluas kira-kira 20 hektar sudahpun siap sepenuhnya.

"Cuma masalah yang dihadapi adalah berkaitan dengan laluan masuk kerana kedudukannya di tepi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dimana menyukarkan lori-lori dari Cameron Highlands contohnya untuk menghantar sayur-sayuran kepada peniaga di pasar borong terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan Kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu Tahun 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Negeri, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun Haji Asha’ari berkata, masalah tersebut telah dibincang dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jalan penyelesaiannya telah ditemui.

Katanya, setelah semua masalah selesai pembinaan pasar borong tersebut akan dilaksanakan tidak lama lagi dimana bakal menempatkan 120 sehingga 130 peniaga apabila siap sepenuhnya nanti.

"Para petani dan nelayan khususnya sangat memerlukan pasar borong ini kerana itulah tempat terbaik untuk mereka menjual hasil pertanian dan hasil laut terutamanya kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Katanya, dengan terbinanya pasar borong itu nanti diharap dapat menyelesaikan masalah peniaga kerana di situlah sebahagian besar daripada rangkaian produk pemasaran mereka.

 

09 February 2013

RM32 juta baiki rumah, ganti atap

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM32 juta tahun ini bagi tujuan membaiki rumah penduduk miskin dan menggantikan atap kediaman yang bocor di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya mengagihkan RM1 juta bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka yang layak dikenal pasti melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kerajaan mahu penduduk di negeri ini mendiami rumah yang selesa dan tidak ada lagi masalah rumah yang atapnya bocor,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah penduduk yang uzur di Kampung Pondok Pasir, Kijal, hari ini.

 Salah seorang warga emas yang uzur dan berusia melebihi 100 tahun di kampung berkenaan, Nik Wook Nik Lah, turut dilawati Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Sebelum itu, beliau turut menyertai penduduk Kampung Bukit Takal bergotong-royong menggantikan atap empat buah rumah penduduk di kampung tersebut. Sempena program turun padang di DUN Kijal hari ini,

Dato’ Seri Haji Ahmad turut meluangkan masa menziarahi tujuh penduduk di beberapa kampung yang uzur.

“Program turun padang ini saya mulakan sejak lama dulu dan diteruskan hingga sekarang ini. Sempena program hari ini saya menyertai program membaiki atap rumah dan menziarahi orang sakit dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan RM11,000 disediakan bagi mengantikan atap rumah penduduk di Kampung Bukit Takal yang bocor.

 

Sambutan meriah, acara Walk About Kampung Cina dilanjutkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang memanjangkan tempoh masa sambutan Tahun Baru Cina 2013 kepada dua hari berikutan sambutan baik yang diterima di kalangan pengunjung ke acara Walk About Kampung Cina malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sambutan baik itu diharap supaya dapat menyemarakkan kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Saya rasa sambutan pada kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dan kita harap supaya ia dapat dirancang dengan lebih baik supaya dapat membantu menarik pelancong pada tahun ini serta tahun akan datang.

 “Kalau boleh saya mahu pastikan supaya jalan di Kampung Cina ditutup sepanjang dua hari bagi memastikan orang ramai yang pulang bercuti dapat meluangkan lebih masa menyaksikan acara sambutan ini di Kampung Cina (Esplanade),” katanya selepas melancarkan Majlis Walk About Kampung Cina bersempena Tahun Baru Cina 2013 di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta supaya Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dapat melancarkan usaha itu, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia untuk mengawal trafik dan tahap keselamatan orang ramai.