Halaman

06 March 2013

Polis Terengganu hantar lima anggota ke Sabah

Oleh: Suriati Ali 

Polis Terengganu menghantar lima anggota, termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superitendan (ASP) bagi membantu penyiasatan kejadian pertempuran di Sabah.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Dato' Jamsah Mustapa, berkata semua anggota dari Unit Penyiasatan Cawangan Penjenayah itu dihantar bertugas di negeri itu bermula semalam.

“Sekiranya masih ada permintaan dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, (PDRM) kita akan terus menghantarnya secara berperingkat-peringkat.

“Setakai ini, mereka yang diarahkan itu tidak akan terlibat dengan operasi, sebaliknya hanya bertindak menyiasat bersama pasukan keselamatan lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Solat Hajat dan Bacaan Yasin, di Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, majlis yang diadakan itu bertujuan memohon kepada Allah S.W.T supaya keadaan pertempuran di Sabah beransur pulih, di samping mengharapkan kemenangan berpihak kepada anggota keselamatan Malaysia.

“Kita berharap apa yang terjadi ini tidak akan berlaku lagi pertumpahan darah di kalangan anggota polis dan tentera pada masa akan datang.

“Kepada anggota yang telah kembali ke ramahtullah Supritendan Ibrahim Lebar dan Inspektor Zukifli Mamat, moga-moga rohnya ditempatkan bersama umat Islam yang soleh,” katanya.

Katanya, Polis Kontinjen Terengganu menyokong setiap apa tindakan dan rancangan pihak kerajaan untuk mengatasi pencerobohan penjenayah dan bagi menjaga keselamatan negara.

“Kami sebagai sebahagian anggota keselamatan negara akan terus berjuang walaupun pelbagai speklulasi dan fitnah ditimbulkan masyarakat,” katanya.

 

MB bakal rasmi pecah tanah projek PB Sentral

Oleh: Noraini Jusoh

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan mengadakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek PB Sentral bertempat di tapak projek di Jalan Engku Embong Fatimah, Kuala Terengganu, esok (7 Mac).

Menteri Besar merangkap Pengerusi PMINT, Dato Seri Haji Ahmad Said dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam PMINT, Zawiah Zakaria berkata, kira-kira 3000 orang akan hadir terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan / agensi kerajaan serta orang awam.

Menurut beliau, berdasarkan cadangan aturcara majlis selepas ucapan perasmian oleh Menteri Besar, gimik perasmian akan diadakan diikuti lawatan ke tapak projek dan sidang media selepas itu.

 

JPNT wujud pusat media PRU13

 Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) bakal mewujudkan pusat media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bagi memudahkan penyelarasan, penyebaran dan pengaksesan maklumat di kalangan pengamal media berkaitan proses pilihan raya, sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pengarahnya, Puan Azizah Awang, berkata pihaknya akan melengkapi pusat berkenaan dengan kemudahan logistik yang dapat melancarkan pengaksesan maklumat berkaitan profil calon, peti undi, aktiviti calon, peratusan keluar mengundi dan keputusan PRU13.

“Pusat media ini akan beroperasi mengikut tiga fasa, pertama sebaik sahaja pembubaran kita mungkin akan membukanya sehingga waktu pejabat sekitar jam 5 petang, fasa kedua sewaktu penamaan calon dan kempen PRU, ia akan dibuka sehingga jam 12 malam.

“Manakala pada waktu puncak dalam tempoh tiga hari sebelum waktu pembuangan sehingga pengiraan undi, pusat media dijangka akan beroperasi 24 jam dan hanya ditutup sebaik sahaja selesai keputusan PRU13 secara rasmi,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Kawat, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat merangkap Pegawai Perhubungan Awam JPNT, Encik Iskandar Jaafar dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Puan Azizah berkata, pada dasarnya, pihaknya sudah berbincang dengan Presiden Kawat dan kedua-dua pihak bersepakat bagi memastikan kelancaran operasi pusat media yang akan diketuai Encik Iskandar serta dibantu lima hingga 10 kakitangan JPNT secara bergilir-gilir itu.

 “Kita sudah bersiap-sedia dan akan segera menyiapkan keperluan dan input di pusat media itu sebaik sahaja pembubaran parlimen yang dijangka akan diumumkan pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini.

“Kewujudan pusat media ini diharap akan memudah cara dan melancarkan tugas wartawan dan jurugambar memperolehi maklumat untuk menyiapkan laporan di media masing-masing,” katanya.


Wanita Terengganu kutuk Tian Chua

Pergerakan Wanita UMNO dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus membuat laporan polis berhubung kebiadaban Tian Chua yang menuduh konspirasi kerajaan dan UMNO mengenai pencerobohan di Lahat Datu, Sabah.
Oleh; Esah Abdullah

Keceluparan dan kebiadaban Naib Presiden PKR,Tian Chua yang menuduh pertempuran anggota pasukan keselamatan dengan penceroboh di Lahat Datu,Sabah sebagai konspirasi kerajaan dan UMNO tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, kenyataan itu sangat menguris hati semua pihak termasuk keluarga anggota keselamatan kita yang terkorban dalam pertempuran itu.

Sehubungan itu, Pergerakan Wanita dari lapan bahagian seperti Besut, Setiu, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis di daerah masing-masing semalam.

Manakala Wanita dari bahagian Kuala Terengganu dan Kuala Nerus membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pagi ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat Naib Presiden PKR itu dan berharap tindakan tegas diambil terhadap Tian Chua yang bukan sahaja telah menghina UMNO malahan pihak polis yang berkhidmat untuk negara dan keluarga mangsa,” katanya.

Menurutnya, serentak dengan laporan polis, Wanita turut mengadakan mengadakan solat sunat hajat memohon perlindungan Allah SWT terhadap anggota keselamatan yang sedang berdepan penceroboh di Sabah.

“Wanita juga mengadakan majlis tahlil di masjid-masjid di lapan Parlimen seluruh negeri untuk anggota keselamatan kita yang terkorban,” katanya.

 

Tindakan Tian Chua terus dikecam

Oleh: Noraini Jusoh

Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menganggap insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno terus dikecam rakyat.


Semalam, seramai 100 orang tampil ke Balai Polis Batu Rakit untuk membuat laporan polis dan mengadakan demostrasi secara aman bagi membantah kenyataan pemimpin pembangkang itu.

Diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat, mereka terdiri daripada jentera Pergerakan Pemuda Umno, Pergerakan Wanita Umno dan Kelab Sukan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan penuh perasaan melaungkan kata-kata sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengutuk dakwaan tidak berasas yang dilemparkan Tian Chua kepada Umno.

Haji Khazan dalam kenyataannya kepada media melahirkan rasa kecewa kerana masih ada golongan yang sanggup mempolitikkan hal berkaitan keamanan dan keselamatan negara.

"Apa yang dilemparkan Tian Chua adalah satu tuduhan yang sangat berat dan boleh mengugat keselamatan negara dan agama terancam.

"Saya berharap pihak berkuasa menyiasat kenyataan Tian Chua dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai membuat laporan polis tersebut.

Katanya, sekiranya Tian Chua menarik balik tuduhannya terhadap Umno, siasatan akan berakhir.

Tambah beliau, kerajaan juga telah mengunakan pendekatan secara berhemah bagi menyelesaikan krisis di Lahad Datu supaya ia berakhir dengan baik.

 

BELASUNGKAWA: SUPT IBRAHIM LEBAR BERJIWA PATRIOTIK SEJAK REMAJA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita 

HAMPIR 30 tahun lalu (1983) kami sama sama tinggal serumah.

Waktu itu saya masih belajar di sebuah sekolah swasta di bandar Kuala Terengganu.

Ibrahim yang lebih mesra dipanggil Dinsmia ringkasnya Dins, baru habis belajar di sebuah sekolah menengah di Besut dan tinggal bersama kami untuk hidup berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarganya di Jabi, lalu mengintai peluang peluang pekerjaan di bandar Kuala Terengganu.
Allahyarham bertopi, manakala penulis berbaju biru di depannya.
Kami serumah semua 6 orang, 4 darinya semua dari Jabi Besut iaitu Aziz serta adiknya Din juga namanya , Hadi Yaacob termasuk Allahyarham dan saya dari Mengabang Telipot.

Seorang lagi juga bernama Din berasal dari Kuala Brang. Jadi ada tiga Din dalam rumah sewa kami itu.

Saya, Hadi dan Din Kuala Brang sama-sama di sekelas di tingkatan enam atas di sebuah sekolah swasta yang sifat pengajarannya cenderung kepada politik pembangkang. Aziz@ Abdullah dan adiknya Din telah bekerja (Aziz bekerja di Telekom), jadi kami tinggal serumah di sebuah pondok usang yang sewanya hanya RM70 sahaja dan kami berkongsi bayar belas-belas riggit sahaja sebulan.

Rumah sewa kami waktu itu sudah buruk dan senget keadaannya, sebab itu sewanya murah terletak di Jalan Panji Alam, bersebelahan dengan rumah Ustaz Embat seorang pakar khat tulisan jawi.

Sekarang telah dirobohkan diganti bangunan baru. Ibrahim atau Dins seorang yang pendiam, sentiasa terukir senyuman dan mudah mesra.

Kalau perempuan melihatnya pasti akan cepat jatuh cinta.

Walau pun saya mulanya tidak mengenali dia dan datang menumpang di situ kerana ajakan kawan sekelas, Hadi dan Din Kuala Brang, tetapi mereka (Aziz dan adiknya dan Allahyarham) yang sama-sama sekampung dari Jabi itu tetap menerima saya dengan baik untuk tinggal bersama di rumah itu.

Kalau tidak silap Allahyarham lebih senior dua tahun sahaja dari saya, waktu itu umurnya 22 tahun (1983) dan saya awal 20.

Oleh itu mungkin Allahyarham terkorban semalam pada usia 52 tahun. Allahyarham Ibrahim (Dins) begitu amat rapat dengan saya kerana kebetulan hobi saya mengarang waktu itu, terutama puisi dan bingkisan rasa, sering disiarkan di radio Terengganu dan beliau selalu bekongsi ayat-ayat cinta atau ayat-ayat indah dengan saya.

Allahyarham Ibrahim menjalinkan cinta dengan seorang anak ahli politik yang berketurunan Tengku, yang tinggal di Gong Kapas tidak jauh dari rumah sewa kami. Tapi sayang, cinta mereka tidak kesampaian oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Lantaran itu hubungan persahabatan kami menjadi akrab kerana kebersamaan jiwa sentimental kami waktu itu.

Kami selalu berbincang tentang percintaan, perkahwinan dan masa depan, walaupun saya masih belajar.

Tahun berkenaan merupakan tahun kereta nasional diperkenalkan dan rakyat Malaysia diminta mencadangkan nama-nama bagi kereta itu.

Dins adalah antara yang banyak mengemukakan cadangan.

Kami juga selalu berbincang tentang politik, tetapi Allahyarham seorang yang amat taat kepada kerajaan yang memerintah, walaupun saya dan rakan-rakan di sekolah itu agak berjiwa penentang kerana diasuh dengan aliran politik pembangkang.

Allahyarham banyak menasihat kami supaya tumpu pada pelajaran dahulu dan jangan bersikap anti kerajaan.

Maknanya jiwa patriotik Allahyarham sudah tinggi waktu itu. Selepas akhir tahun 1983, saya telah selesai peperiksaan STPM- tahun tersebut cukup bersejarah kerana kami terpaksa menghadapi dua kali peperiksaan kerana kerajaan memutuskan peperiksaan pertama batal kerana kebocoran soalan.

Semasa peperiksaan pertama kami selalu dipanggil polis untuk siasatan kerana soalan-soalan spot yang kami miliki kebetulan tepat- sebab itu kami jadi mangsa soal-siasat.

Sebagai pelajar memanglah perasaan takut kepada pihak polis amatlah tinggi, walaupun tidak bersalah kerana soalan itu kami perolehi dari kawan-kawan yang tidak diketahui sumber asalnya.

Namun begitu Allahyarham yang sentiasa memberi semangat kepada kami supaya jangan takut pergi ke balai polis bila dipanggil untuk sesi soa-siasat.

Tanpa saya duga rupanya selepas itu, Allahyarham menyertai pasukan polis sebab pada tahun 1984 saya ke Taman Tun Dr.Ismail, Kuala Lumpur melibatkan diri sebagai wartawan kadet di syarikat Karangkraf (Bacaria).

Sehinggalah dua hari lepas saya terbaca dalam blog dan FB mengenai polis yang terkorban di Semporna itu adalah salah seorangnya pegawai kanan polis, Supt Ibrahim Lebar dari Besut.

Sesungguhnya pemergianmu menemui-Nya cukup dirasai oleh kami semua, walaupun keluarga Allahyarham sendiri tidak mengenali kami. Kaulah sahabatku- Wira Negara. Alfatihah.

 

LAGI SELEWENG HUKUM MENGENAI BRIM OLEH PAS

Oleh: Pengarang Teganukita 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, yang juga bekas Exco Kerajaan Pas Terengganu, Haji Abu Bakar Abdullah mengatakan, adalah disuruh oleh Islam dan mendapat pahala yang banyak apabila penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia, BRIM melawan pihak yang memberikan wang itu.


Katanya, kita tidak perlu memihak kepada pihak yang memberikan BRIM itu, malah Islam menuntut supaya kita menentang pihak pemberi wang itu.

“Ambil boleh, jangan tak ambil, tapi lawan balik yang beri itu dan dalam Islam kita akan diberikan pahala yang banyak dengan berbuat demikian,” katanya dalam satu ceramah di Bukit Tumboh, Dun Bukit Tunggal malam tadi.

Ceramah itu adalah sempena pembukaan rasmi markas peti undi di situ yang didapati hanya dihadiri tidak lebih dari lebih kurang 20 orang sahaja.

Beliau yang juga bekas Ketua Pas kawasan Kuala Nerus berikutan tewas kepada Shukrimun Shamsuddin dalam pemilihan lalu berkata, BRIM itu adalah rasuah pemimpin kerajaan Barisan Nasional “ibarat menabur makanan kepada ayam, kemudian nak disembelihkan, sebagaimana maksud Tok Guru”.

Kata, berilah kuasa kepada Pas untuk menegakkan pemerintahan menurut syariat sebagaimana menjadi tuntutan agama.

Beliau mendakwa, pemimpin Umno menolak syariat Islam, Al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Ustaz Abu Bakar juga, mengejek Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib dan isteri dengan kata-kata, “ untuk mengetahui tarikh pilihan raya kenalah tanya Rosmah”.

 

Gotong Royong bersih Pulau Perhentian


Penduduk gotong royong bersih Pulau Perhentian...

Oleh: Mohammad Ishak 

Keindahan pusat peranginan terkenal Pulau Perhentian yang tercemar dengan sampah sarap selepas dilanda banjir baru-baru ini kini dapat dipulihkan apabila kerja gotong royong membersih pantai berkenaan dilakukan oleh pihar terbabit semalam.

Majlis Daerah Besut (MDB) dengan kerjasama pengusaha chalet, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Umno Bahagian Besut melancarkan kerja gotong royong terbabit.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad berkata, kira-kira 100 peserta menyertai gotong royong yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian itu.

Katanya, program gotong royong itu dilancarkan selepas mendapati banyak sambah sarap yang dihanyutkan air bah tersadai di persisiran pantai menyebabkan kawasan terbabit kelihatan kotor dan tidak terurus.

Beliau berkata, selain penduduk tempatan pelancong asing yang kebetulan tinggal di pusat pelancongan itu juga turut serta menyertai gotong royong bersama orang ramai.

 Ibrahim berkata, pihak berkuasa mula membuka aktiviti pelancongan di pulau itu kepada pelancong sejak awal bulan ini selepas ia ditutup kepada semua pelancong pada Oktober tahun lalu berikutan musim tengkujuh.

Beliau berharap, keindahan pulau pelancongan itu akan pulih seperti biasa selepas semua sampah sarap dikutip dan dibakar ditempat yang disediakan.

“Selain, pulau pihaknya juga turut mengadakan gotong royong di Jeti Pelancongan Kuala Besut yang menjadi pintu masuk pelancong ke pulau berkenaan,” katanya.  .

05 March 2013

Kerajaan diminta lucut taraf warga negara terhadap Tian Chua


Ahli Jawatankuasa PBPM Cawangan Besut buat laporan polis

Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan diminta melucutkan taraf kewarnageraan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan kerajaan dan Umno dengan insidenn pencerobohan bersenjata di Lahat Datu, Sabah.

Gesaan itu dibuat oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Besut kerana menganggap pemimpin pembangkang itu tidak patriotik sebaliknya menimbulkan kemarahan rakyat.

Pengerusinya, Hussin Awang Ngah berkata, persatuan rasa kecal dan kecewa dengan kenyataan Ahli Parlimen PKR itu kerana mempersendakan anggota pasukan keselamatan khususnya pasukan polis.

Katanya, suara bantahan itu dilakukan menerusi laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hari ini yang turut disertai ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.

Menurutnya, sikap ego beliau yang mengeluarkan kenyataan secara biadap selain berunsur fitnah itu juga perlu diberi perhatian pihak berkuasa.

“Saya berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Tian Chua berlandaskan undang-undang negara ini,” katanya.

 Hussin berkata, rakyat sudah muak dengan tindakan pemimpin PKR itu yang sering menimbulkan kotroversi kerana kenyataan beliau banyak berunsur fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan Negara.

80,000 pelajar sedang ikuti kelas KAFA seluruh negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 80,000 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun sedang mengikuti Kelas fardu Ain (KAFA) di 3,000 kelas seluruh negeri membabitkan 3,200 guru tahun ini.

 Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) peruntukan kira-kira RM36 juta setahun untuk membayar elaun guru-guru KAFA di negeri ini.

Menurutnya, dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) peringkat kebangsaan tahun lalu Terengganu muncul pelajar paling ramai mendapat keputusan 8A iaitu 3,800 orang daripada 25,000 yang menduduki peperiksaan itu.

 “Dalam UPKK tahun lalu pelajar kita mendapat markah 799/800 mendapat tempat kedua terbaik di peringkat kebangsaan manakala tahun sebelumnya muncul johan dengan menperolehi markah penuh 800/800,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Haji Md Kamaru Al-Amin kebanyakan kelas KAFA di jalankan di luar waktu belajar iaitu pada sebelah petang di sekolah biasa, balai raya atau di bangunan milik persendirian seperti di Felda-Felda.

Selain itu, untuk memantapkan tahap penyampaian guru-guru KAFA pihak YIT sentiasa mengadakan kursus-kursus dari semasa kesemasa serta mengatur pertemuan dengan pemimpin kanan kerajaan .