Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Terengganu menggesa kerajaan melucutkan taraf kerakyatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menuduh insiden Lahad Datu konspirasi Umno.
Mereka berpendapat tuduhan itu amat melampau dan pemimpin kanan PKR itu patut diberi hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Pada 1 Mac lalu, Tian Chua telah menggemparkan negara dengan membuat kenyataan kononnya insiden tembakan yang berlaku di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno di mana ia telah mengguris banyak pihak, terutama keluarga mangsa dan seluruh pasukan keselamatan di negara ini.
Yang Dipertua PBTM Negeri Terengganu, Haji Abdullah Che Muda melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Tian Chua.
"Kami rasa kecewa dengan tindakannya yang mengatakan kematian anggota keselamatan kita yang bertugas di sana hanya sandiwara dan ini merupakan kenyataan biadap dan tidak boleh dimaafkan.
"Saya mewakili 5,000 ahli PBTM di negeri ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pemimpin pembangkang itu dan menuntut agar beliau memohon maaf, terutamanya kepada waris anggota keselamatan yang terkorban di Lahad Datu,” ujarnya kepada pemberita semasa mengadakan demostrasi secara aman bagi membantah kenyataan Tian Chua di Kuala Terengganu, hari ini.
Naib Pengerusi PBPM Negeri Terengganu, Haji Abdul Kahar Hamzah pula, menyifatkan kemungkinan ada dalang di sebalik kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua.
"Sebagai bekas seorang anggota polis, saya mengecam tindakan tersebut dan merasakan seolah-olah ada dalang di sebalik kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua.
"Sebagai seorang pemimpin,beliau sepatutnya memberikan sokongan terhadap pasukan keselamatan dan bukan bertindak sebaliknya,” katanya.
Tambah Abdul Kahar, Tian Chua sepatutnya bersyukur dilahirkan di sebuah negara aman seperti Malaysia dan harus menyelami perasaan pejuang-pejuang yang menggadai nyawa mempertahankan keselamatan negara dan bukannya cuba memecah-belahkan rakyat di negara ini.
Timbalan Pengerusinya, Syed Kastrudin Syed Hasan turut mengutuk tindakan Tian Chua dan sebagai seorang bekas anggota polis, beliau akan menentang habis-habisan mereka yang cuba menghancurkan negara.
Menurut Naib Presiden PBPM Negeri Terengganu, Haji Hussin Awang Ngah, Tian Chua tidak sepatutnya mempermainkan isu keselamatan negara.
"Jika beliau seorang pemimpin, saya cabar beliau turun sendiri ke Lahad Datu dan mengambil alih tempat anggota keselamatan kita untuk menentang penceroboh.
"Saya harap pihak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas dan seeloknya lucutkan saja taraf kerakyatan beliau,” katanya yang turut mewakili 3,500 ahli PBPM membuat laporan polis bersama wakil PBTM selepas demostrasi secara aman tersebut.
Abdul Razak Hamzah, yang merupakan Ketua Pegawai Penerangan PBPM Negeri Terengganu turut bersetuju supaya kerajaan melucutkan taraf kerakyatan Tian Chua.
"Orang seperti itu tidak sepatutnya menjadi warganegara Malaysia kerana tidak tahu menjaga sensitiviti orang lain.
"Tindakan beliau menuduh apa yang terjadi di Lahad Datu seolah-olah sandiwara yang cuba dilakonkan Umno, seolah-olah menggambarkan beliau menghina bangsa Melayu yang beragama Islam,” katanya.