Halaman

13 March 2013

Tawaran istimewa kepada peminjam YT

Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman.
Oleh: Suriati Ali

 Lebih 3,000 pelajar yang diberi pinjaman Yayasan Terengganu (YT) layak menikmati potongan 20 peratus jika membayar balik pinjaman itu secara penuh.

 Pada masa yang sama potongan 10 peratus diberi kepada peminjam yang membuat bayaran secara ansuran selama 12 bulan berturut-turut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, melalui tawaran istimewa itu juga mereka yang disenarai hitam juga layak menikmati tawaran itu yang berkuatkuasa mulai 1 April hingga 31 Disember 2013.

“Peminjam perlu mendapatkan pengesahan baki sebenar hutang masing-masing daripada YT sebelum membuat bayaran.

“Setiap pembayaran boleh dibuat melalui semua saluran yang telah ditetapkan. Penyata bayaran hendaklah dihantar ke YT melalui e-mail atau faksimili, kecuali bayaran secara tunai perlu dibuat di kaunter bayaran YT,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pendekatan itu mampu menarik minat dan menggalakkan peminjam membayar balik hutang dan baki yang tertunggak.

“Apa yang dilaksanakan ini mengikut kaedah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan kadar potongan sama,” katanya.

Beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada dua keluarga anggota pasukan keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 21 Mac ini.

 Setiap keluarga anggota yang terkorban layak menerima sumbangan RM50,000 dan diserahkan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad.

Dua anggota keselamatan kelahiran Terengganu yang terkorban dalam insiden itu ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, anggota Komando VAT 69, berasal dari Kampung Kubang Ikan, Jerteh.

 Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Noor dan dua anak lelaki, Noor Aqmar Amiruddin, 4 dan Noor Muhammad Akil satu tahun.

 Seorang lagi mangsa ialah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggopta Cawangan Khas Bukit Aman yang berasal dari Jabi, Besut. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosiah Dahlan serta tiga anak berusia 17 hingga 22 tahun.

 

Hapus cukai pintu, usaha perbodohkan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas yang terdesak meraih undi rakyat negeri ini bukan sahaja sanggup menanam api kebencian kepada rakyat supaya menidakkan keupayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN), malah turut menipu rakyat dengan menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas berusaha menarik perhatian rakyat dengan menafikan dasar dan undang-undang termasuk memutuskan cukai pintu dihapuskan ketika pemerintahan parti itu pada 1999-2004 lalu.

Katanya, jika pemansuhan itu satu perkara yang boleh dilaksanakan oleh pembangkang, pastinya negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan turut melaksanakan perkara itu.

“Ini akta. Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

 “Enakmen tidak laku kerana akta mengatasi enakmen. Tidak timbul pun negeri lain mahu menghapuskan cukai pintu. Terengganu sahaja `sombong’, konon banyak pitih. Masa memerintah Terengganu (1999-2004) mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu, berikutan ia tidak boleh diluluskan di DUN mengikut Akta 131 kerana bercanggah di Parlimen,” katanya.

 Katanya, Pas terpaksa `memperbodohkan’ dan menipu rakyat bagimenambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sedangkan mereka tidak mampu mengotakan apa yang dijanjikan ketika itu.

“Ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun dalam stor di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk. Akhirnya bayaran itu menjadi tunggakan,” katanya.

 Malah, implikasi daripada tindakan tidak berasas pembangkang ketika itu menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan yang mencukupi, sekaligus mengakibatkan Kerajaan Pas gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membersih sampah-sarap di kawasan perbandaran masing-masing.

 Janji untuk mengecualikan cukai pintu kediaman itu pernah disuarakan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU13. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu yang ada dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU13 itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu tidak berhasil, melainkan sekadar menipu rakyat.


KENANGAN YANG PAHIT...

Oleh: Lan Bayu



Masa berlalu, tetapi sejarah tidak boleh ditipu.

Tanah dan kebun yang diusahakan oleh rakyat sebelum 1999 dirampas dan dimusnahkan.

Itulah zaman derita dan kegelapan Terengganu yang tidak pernah dilupa oleh rakyat. Mereka merasakan, bila berkuasa boleh buat segala-galanya.

Boleh rampas dan halau sesiapa sahaja.

Namun begitu segala apa yang dilakukan tidak boleh disembunyikan...surat-surat dan keputusan mesyuarat tetap ada di dalam rekod di jabatan kerajaan.

Hendak nafikan....ia hanyalah suatu pembohongan kerana fakta dan sejarah tidak boleh ditipu.

Kini datanglah dengan segala janji-janji manis!


 

PAJAK GADAI ISLAM TIDAK SATU PUN, YANG ADA PAJAK GADAI RIBA DIUTAMA

Oleh: Lan Bayu

Janji Pas Terengganu dalam manifesto pilihanraya umum ke 10 lalu, fasa 5.1 menyebut- memperkenalkan dasar kewangan Islam yang akan menyelamatkan rakyat dari kutukan dan penindasan riba.

Fasa 5.2 Memastikan sumber hasil kerajaan bebas dari sebarang unsur haram (tender premis oleh Bahagian Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri puluh-puluh ribu untuk pajak gadai riba tu tak sumber haram ke.? )

Bila menang dan berkuasa: Di bawah pemerintahan Pas di Terengganu, kedai pajak gadai konvensional yang mengamalkan riba tetap dibenarkan, walaupun pemimpin mereka bersyarah mereka telah menghapuskan riba sebaik berkuasa.

Tiada satupun diwujudkan Pajak Gadai Islam semasa berkuasa, walaupun bercakap dan berjanji berbagai-bagai perkara kononnya lebih mengamalkan Islam. Faktanya...

Antaranya ialah dua buah di Kuala Terengganu, masing-masing satu di Kemaman, Dungun dan Kuala Berang.

• Pajak Gadai Jalan Bandar (Kg China) K.Terengganu Dengan bayaran tender RM45,999 sebulan
• Pajak Gadai Jalan Banggol, Kuala Terengganu (Bayaran tender RM39,999 sebulan)
• Pajak gadai di Kemaman (RM28,888 sebulan)
• Pajak Gadai di Dungun (RM8,888 sebulan)
• Pajak Gadai di Kuala Berang (RM5, 520 sebulan)

Tender atau tawaran dikeluarkan oleh Lembaga Tawaran Negeri di bawah Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Pas.

Pajak Gadai Islam yang ada yang diusahakan oleh Kerajaan BN sebelumnya, bayaran tendernya RM505 sahaja sebulan.

Oleh itu kita kesal kerana Pas cuba memutarbelitkan maklumat dan fakta yang sebenar semasa berhadapan dengan rakyat melalui ceramah dan sebagainya, kononnya bila dapat ganti semula atau memerintah semula, mereka akan hapuskan riba.

Janji Tidak DiTepati, sekarang datang lagi dengan berbagai janji dalam manifesto.

 

BN Terengganu mampu menang besar

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dijangka berupaya memperoleh kemenangan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) berikutan kini pelbagai isu besar terbongkar dan melanda parti pembangkang.

 Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar berkata, antara isu besar yang dicetus pembangkang yang akan memakan dirinya sendiri ialah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

 "Ramai orang mendakwa PRU-13 kali ini merupakan ibu segala PRU yang kritikal kepada BN.

Namun dengan segala macam isu besar yang dicetus pemimpin pembangkang, sudah pasti PRU kali ini merupakan pilihan raya paling mudah bagi BN.

"Kita sebagai umat Islam, sudah tentu tidak boleh berkongsi kalimah Allah dengan agama dan bangsa lain kerana ia hak eksklusif orang Islam," katanya pada satu majlis di Marang, baru-baru ini.

 Dato’ Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai 'The Giant Killer' selepas mengalahkan Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada PRU 2008 berkata, isu penggunaan kalimah Allah sama seperti isu amanat Abdul Hadi yang dikeluarkan pada 1981 dulu yang akan memakan dirinya sendiri.

 Katanya, lain-lain isu yang akan melemahkan pembangkang termasuk pemberian Bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana pembangkang menyifatkannya sebagai pemberian makanan kepada lembu atau ayam selain pakatannya dengan DAP dan PKR.

 Sementara itu Dato’ Abdul Rahman berkata, di Terengganu, dia yakin BN mampu memenangi kesemua lapan kerusi parlimen di negeri ini dengan BN mampu memenangi 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

 

12 March 2013

Daerah Besut dipilih tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2013


Rozali (tengah) sedang mempengerusikan mesyuarat di Pejabat Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Penganjur memilih Daerah Besut selaku tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,Dato’Haji Rozali Saleh berkata,majlis berekenaan ditetapkan berlangsung pada 2 hingga 4 April depan di Stadium Mini Kampung Raja, Besut.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa pelaksana yang diadakan di Pejabat Daerah Besut (PDB) hari ini membuat keputusan majlis berkenaan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Manakala upacara penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya akan disempurnakan oleh DYMM Sultan Terengganu.

 “Segala persiapan sudah diatur bagi menjayakan majlis berkenaan yang diharap menjadi salah satu program keagamaan berprestij tahun ini,” katanya pada sesi mesyuarat jawatankuasa terbabit hari ini.

Menurutnya, pada majlis itu 16 peserta mewakili qari dan qariah dari seluruh daerah negeri ini akan mengambil bahagian dalam majlis tilawah yang bertemakan "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" berkenaan.

Rozali berkata, bagi menarik minat orang ramai menghadiri majlis itu pihak penganjur juga sedia menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

Manakala pihak penganjur juga akan menyediakan bas khas bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk sekitar daerah Besut dan Setiu menghadiri majlis itu.

Kenyir Lake International Triathlon 2013

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kenyir lake International Triathlon 2013 ( KLIT ) merupakan acara tahunan siri ke-9 yang diadakan sejak 2005 dan dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( KETENGAH ) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.

Kejohanan bertaraf antarabangsa ini merupakan acara ‘sport tourism’ yang disenaraikan sebagai Acara Teras Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu 2013 dan juga bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013. KLIT 2013 dipertandingkan menggunakan jarak olimpik ‘ olympic distance ‘ di mana peserta akan memulakan acara berenang 1.6km,berbasikal sejauh 45km dan berlari sejauh 11km yang dikatakan amat mencabar para peserta.

Seramai 575 peserta daripada 28 buah negara telah menyertai KLIT 2013 seperti Australia, Belgium, Canada, Sepanyol, Perancis, Czech Republick dan lain-lain.

Tahun 2013 juga telah mencatat penyertaan teramai berbanding tahun-tahun sebelumnya seperti pada tahun 2012, hanya melibatkan 380 peserta daripada 13 buah negara.

Pemenang keseluruhan bagi lelaki bagi KLIT 2013 di menangi oleh Jason Hsieh dari negara Hong Kong manakala bagi kategori wanita dimenangi oleh Ethel Lin dari Singapura.

Menurut Pengurus Besar KETENGAH, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, ini membuktikan bahawa acara ini telah mendapat tempat dan menjadi perhatian di kalangan peserta Triathlon khususnya peserta luar negara.

Katanya, penggunaan website untuk membuat hebahan cukup berkesan di samping pengalaman mengendalikan KLIT selama 8 tahun cukup untuk menarik peserta menyertainya.

Jalan empat lorong Kemaman-Kuala Terengganu siap 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang menaiktaraf semua jalan utama khususnya laluan pantai dari Kemaman ke Kuala Terengganu menjadi empat lorong dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Pembinaan infrastruktur dimulakan secara berperingkat-peringkat sejak tahun lalu itu dilaksanakan berdasarkan kelulusan kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya mensasarkan pada 2020, Terengganu akan muncul sebagai negeri maju dengan siapnya kemudahan infrastruktur terutama jaringan jalan raya empat lorong yang serba lengkap dan selesa.

 “Pada tahun ini kita berbelanja RM30 juta, berbanding tahun lalu RM10 juta untuk menaik taraf jalan dari kawasan Rantau Abang, Dungun yang kini sudah hampir siap sepanjang 3.5 kilometer, di mana lampu sudah dipasang serta dijangka selesai dua hingga tiga bulan lagi.

“Kerja-kerja baru menaiktaraf jalan akan dimulakan pada minggu ini sepanjang 11 kilometer yang melibatkan peruntukan RM30 juta di sekitar Beris Meraga, Kemaman, Bukit Bauk (Dungun) dan Rantau Abang hingga simpang berdekatan pusat penternakan lebah di Mercang, Dungun," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, pihaknya tidak dapat menetapkan tempoh khusus setiap projek itu dapat disiapkan sepenuhnya, bagaimanapun kerajaan negeri lebih mengutamakan jalan yang lurus terlebih dahulu berikutan menjimatkan kos, masa dan jarak lebih jauh.

Katanya, projek menaik taraf jalan itu juga mampu membangunkan lagi Terengganu sebagai negeri pelancongan dan meningkatkan kemasukan pelabur dari luar berikutan kemudahan jalan raya yang baik dan selesa.

Beliau berkata, jalan empat lorong yang sedang giat dibina di laluan pantai itu juga menjadi pilihan pengguna jalan raya khususnya pelancong yang mengakui lebih gemar menikmati keindahan panorama di laluan itu  berbanding jalan alternatif Jerangau-Jabor untuk ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, apabila siap kelak, jarak perjalanan Kuala Terengganu-Kemaman juga lebih singkat dan hanya mengambil masa sejam berbanding dua jam setengah ketika ini.


Veteran Umno perlu mainkan peranan

Oleh: Noraini Jusoh

Veteran Umno perlu memainkan peranan dan berusaha bersama jentera parti Barisan Nasional (BN) dan Umno yang lain untuk mendapat sokongan rakyat supaya memilih parti BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pengerusi Veteran Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya Hashim berkata, ahli veteran Umno perlu bekerja kuat membantu perjuangan parti demi memastikan kerajaan BN dan Umno terus kekal memerintah negara.

"Saya mengharapkan ahli veteran Umno yang berumur 60 tahun ke atas dapat memujuk dan mengajak ahli keluarga terdekat khususnya untuk bersama-sama menyokong BN pada PRU13 nanti.

"Walaupun kudrat kita tidak sehebat orang muda tetapi semangat kita tetap tinggi untuk memberi sumbangan kepada parti dan kempen terhadap keluarga sendiri merupakan salah satu inisiatif yang dapat kita lakukan dalam memastikan kemenangan PRU13 berpihak kepada BN dan Umno,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kempen Keluargaku Pengundi BN di Hotel Prinzpark, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

Menurut Yahya, sebagai orang lama yang berpengalaman, anggota veteran Umno perlu menggunakan pendekatan yang sewajarnya dalam memastikan kempen terhadap ahli keluarga berhasil.

'Sebagai contoh, kita boleh menggunakan pengaruh dan pengalaman yang kita ada bagi menasihati dan menyedarkan ahli keluarga yang kurang faham mengenai politik siapa yang banyak menolong mereka kalau bukan Kerajaan BN dan Umno,” katanya.

 

Umno kukuh dan kekal teguh

Oleh: Suriati Ali 

 Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Umno kukuh dan kekal teguh dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat di negara ini..

 Katanya, pihaknya ada membentuk semula Umno, namun masih parti dan prinsip yang sama iaitu memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Itu objektif utama Umno walaupun cara sekarang sedikit berbeza.

 “Manjadi kelaziman bagi pembangkang menuduh kerajaan yang ada dengan pelbagai dakwaan dan fitnah, semata-mata mahukan kuasa, nama dan kedudukan.

“Mengenang sejarah dahulu, tertubuhnya Pas disebabkan kuasa kerana mereka ingin menjadi pemimpin, jadi sebilangan kecil keluar Umno dan mewujudkan Pas.

 “Tidak cukup dengan itu, dia mendakwa orang Umno kafir, menyebabkan segelintir pihak percaya dan menyokong Pas,” katanya ketika berucapa pada majlis di Marang, baru-baru ini.

 Tun Dr Mahathir turut memberitahu, kerajaan BN tidak pernah meminggirkan belia bukan Melayu di negara ini, sebaliknya melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan mereka menyertai antaranya perkhidmatan awam, polis dan tentera.

 “Kerajaan juga tidak pernah jemu memenuhi keperluan golongan muda di negara ini dengan menyediakan peluang dalam pendidikan dan pekerjaan, jauh lebih banyak berbanding negara lain.

 “Kita sebagai rakyat sewajarnya bersyukur kerana adanya kerajaan yang perihatin dan tidak memilih kasih dalam memberi sumbangan terutama berkaitan pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya.