Halaman

10 April 2013

Tiga program perkukuh institusi keluarga

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan keluarga Terengganu (YPK) bakal memperkenalkan tiga program baru berkonsepkan kekeluargaan yang melibatkan peruntukan RM2 juta dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dalam setiap aspek kehidupan menerusi pengukuhan institusi keluarga, bermula Mei ini.

Pengarahnya, Encik Shafaruddin Mustafa berkata, program pertama, Program Keluarga Baru Cemerlang dilaksanakan dalam bentuk kursus sepanjang dua hari satu malam secara berperingkat-peringkat di Setiap Dewan Undangan negeri (DUN) dengan penglibatan 2,000 pasangan suami-isteri.

“Program itu bertujuan memastikan pasangan suami-isteri berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman masing-masing mengenai peranan hidup berkeluarga dan mampu membina institusi keluarga yang lebih kukuh.

“Peserta yang terpilih nanti mengutamakan golongan yang usia perkahwinan bawah tiga tahun supaya kursus di tahun-tahun awal perkahwinan mampu mengukuhkan lagi ikatan dan hubungan, selain pasangan baru berkahwin mudah dibentuk berbanding yang sudah lama,” katanya.

Katanya, program kedua, Dialog Keluarga pula melibatkan lima keluarga di setiap Parlimen dengan perbelanjaan kira-kira RM30,000 yang memfokuskan kepada usaha mengatasi masalah pelajar yang terbabit dengan gejala sosial di sekolah masing-masing.

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu memnumpukan kira-kira 400 pelajar bersama ibu bapa masing-masing.

 “Mereka akan menjalani sesi motivasi dan kaunseling untuk menyelesaikan punca penglibatan dengan masalah sosial.

 “Kita menjalinkan kerjasama dengan komuniti dan pihak berkaitan untuk mengenalpasti punca masalah itu dan disusuli dengan guru kaunselor akan bersemuka dengan ibu bapa di rumah pelajar terbabit bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Sementara program ketiga, Seminar Kekeluargaan pula bakal dilaksanakan secara besar-besaran melibatkan beberapa siri di seluruh negeri yang akan menampilkan pakar motivasi tersohor dan berpengalaman dalam aspek kekeluargaan.

SPR tetap tarikh mengundi 5 Mei, penamaan calon 20 April

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 20 April ini manakala pengundian pada 5 Mei.

Tempoh berkempen ialah selama 15 hari berbanding 13 hari pada pilihan raya umum 2008. Pengundian awal ditetapkan pada 30 April.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di ibu pejabat SPR, jam 12.30 tengah hari tadi yang disiarkan di TV3, RTM1, NTV7, 8TV and TV9.

Abdul Aziz berkata, seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan esok.

Katanya, pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sokong kerajaan untuk memperkasa bidang pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan untuk pendidikan melebihi perbelanjaan mengurus sebuah negeri di utara tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, komitmen besar itu adalah untuk melihat kebangkitan anak tempatan dalam bidang pelajaran.

“Kerajaan membelanjakan RM300 juta setahun khusus untuk memperkasakan bidang pendidikan anak-anak negeri ini bagi menjamin masa depan yang lebih gemilang,” katanya dalam majlis Kecemerlangan Pendidikan di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Katanya, jumlah berkenaan melebih perbelanjaan mengurus negeri Perlis (RM150 juta) dan ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi tambah nilai kepada generasi pewaris mencipta kegemilangan dalam bidang akademik.

Menurutnya, hasil pelaburan besar kerajaan itu, senario pendidikan hari ini mula berubah dan Terengganu berada dalam senarai teratas pendidikan negara.

“Saya harap kerjasama yang terbina antara guru, ibu bapa dan kerajaan memerintah terus disemarakkan agar kesinambungan usaha itu dapat mencipta kejayaan lebih manis pada masa hadapan “ katanya,

Dalam pada itu, semua ibu bapa, pelajar dan guru terus berharap agar usaha memertabatkan bidang pendidikan ini tidak terhenti separuh jalan.

“Perkara sebegini tidak mustahil berlaku jika kita silap membuat pilihan dan terpengaruh dengan janji pembangkang yang belum tentu baik untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Katanya, sokongan dan dokongan kepada kerajaan memerintah diperlukan bagi meneruskan agenda pendidikan negeri dapat diteruskan hingga mencapai negara maju pada 2020.

 

Pas baru sedar niat jahat DAP

Oleh: Cicit Laksamana

Di saat-saat pilihan raya umum hampir tiba, pemimpin Pas mula sedar kesilapan demi kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum ini yang terpaksa dibayar dengan harga yang terlalu mahal.

Akibat kesilapan itu, Pas hilang ramai tokoh dan bilangan mereka yang akan keluar parti itu dijangka semakin bertambah dalam tempoh terdekat ini.

Pas juga akhir-akhir ini tidak sanggup lagi dilihat sebagai anjing kurap atau kuda tunggangan kepada rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP.

Kini dengan susah payah, Pas mula bangun dan mengutip sisa-sisa harga diri yang tinggal bagi memastikan parti itu tidak terkubur seperti mana yang berlaku kepada banyak parti sebelum ini, termasuk Parti Negara dan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Umat Melayu mula memandang serong terhadap Pas apabila parti itu tunduk kepada DAP sehingga meninggalkan perjuangan ke arah Negara Islam. Tahap ‘keIslaman’ PAS teruji lagi apabila berdapan dengan isu murtad yang mana DAP telah dikenalpasti turut menjadi dalang.

Ternyata Pas kalah dalam ujian tersebut sehingga sanggup memecat Dato’ Hasan Ali yang bersungguh-sungguh memperjuangkan akidah umat Islam dari dipesongkan oleh gerakan Evangelist Kristian.

Tindakan PAS benar-benar mengejutkan umat Islam dan ia dilihat sebagai bukti kukuh betapa tipisnya perjuangan Islam Pas sehingga sanggup untuk memilih menjaga hati DAP, daripada menyelamatkan akidah ummah.

Pas juga sanggup membelakangkan bangsa sendiri dan menghina mereka yang mempertahankan Melayu walaupun menyedari bahawa DAP bermati-matian memperjuangkan bangsa Cina.

Atas dasar itu maka, sokongan Melayu terhadap Pas pun semakin berkurangan.

Pada tahun 2010, Pas sekali lagi memilih untuk menyebelahi DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dan injil berbahasa Melayu.

Isu tersebut menjadi gah apabila pihak kerajaan dituduh dengan sengaja menghalang kemasukan injil berbahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah ke Malaysia.

Pada masa itu Pas mengambil pendirian untuk mendesak kerajaan membenarkan kemasukan Injil tersebut bagi menunjukkan kepada DAP betapa parti Islam itu serius membawa imej yang lebih terbuka.

 Tidak cukup dengan itu, Pas juga diuji dengan berbagai skandal Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak jemu-jemu membuat salahlaku moral.

Dan dalam setiap keadaan, Pas tetap teguh berada di belakang Anwar sehingga sanggup menggunakan hujah jahiliah dengan menolak bukti berbentuk rakaman video.

Berdasarkan semua faktor tersebut, maka sokongan terhadap Pas semakin lama semakin nipis. Pas dicemuh oleh lawan serta tidak dihormati oleh kawan.

 Justeru, apabila isu kalimah Allah sekali lagi menjadi hangat akhir-akhir ini, maka Pas yang baru tersedar dari mimpi telah mengambil keputusan U-Turn. Malah,

Pas turut kembali berdolak-dalih mengenai Negara Islam yang mana telah pun dipersetujui sebelum ini untuk digugurkan dari dasar parti itu.

Tindakan U-Turn, berdolak-dalih dan putar belit ini nampaknya tidak membantu, malah menyebabkan semakin ramai yang memalingkan muka dari Pas.

Ditambah dengan pendedahan mengenai kelemahan pentadbiran parti itu di Kedah dan selamanya, di Kelantan, maka Pas semakin terdesak untuk menghadapi pilihan raya.

Dalam pada itu, Pas juga turut dikutuk kerana tidak pernah bertanding kerusi yang cukup, yang mana tidak mungkin membolehkan mereka menjadi kuasa dominan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mengambil kira semua faktor ini, maka di saat-saat pilihan raya hampir tiba, Pas tiba-tiba mengambil keputusan untuk berusaha habis-habisan memperbetulkan segala apa yang telah terlanjur dan tersilap.

Malangnya, Pas tidak melakukan ‘pembetulan’ itu dengan cara yang betul, iaitu mengakui secara terbuka kesilapan bekerjasama dengan DAP mahupun Anwar, tetapi memilih untuk melakukan secara taktik ‘gerila’, iaitu secara sembunyi-sembunyi.

Tanpa keluar dari PR, iaitu pakatan dengan parti kafir harbi dan parti penyokong LGBT, Pas berusaha untuk bertanding lebih banyak kerusi iaitu lebih 2/3 daripada 222 kerusi mengatasi kedua parti itu.

Pada tahun 2008, PKR telah bertanding di 97 kerusi Parlimen dan cuma menang 31 kerusi. Pas pula bertanding 66 kerusi dan menang 23, manakala DAP 47 dan menang lebih separuh iaitu 28 kerusi.

Kali ini, Pas ingin bertanding di 76 kerusi Parlimen bagi memastikan parti itu menjadi dominan di dalam PR, sekiranya mereka berjaya menjadi kerajaan nanti. Masalahnya,

Pas tidak berkuasa mutlak walaupun di negeri yang diterajui mereka seperti Kelantan. Isu salon, arak, judi di Kelantan menjadi bukti bahawa Pas akur kepada DAP juga.

Namun, melihat dari sikap Pas kebelakangan ini, terutama ‘golongan Ulama’, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka nampaknya begitu serius untuk mengembalikan maruah parti itu di dalam PR.

 Dari apa yang didengari, mereka sanggup mengangkat senjata memerangi DAP sekiranya PR menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan DAP enggan mengikut rentak mereka.

 Pada ketika itu mengikut sumber tersebut, PAS akan mengisytiharkan jihad menentang DAP, di mana tidak mustahil terdapat orang-orang Umno sendiri akan turut menyertainya.

Sebenarnya, tidak sukar kita membayangkan Pas mengangkat senjata menyerang DAP atau sesiapa saja kerana parti itu sememangnya dipenuhi dengan manusia-manusia yang mudah dipengaruhi emosi.

 Jika tidak, kenapakah setiap kali demonstrasi, tenaga dari PASlah yang paling mudah didapati dan boleh dikerah sesuka hati untuk melakukan kerosakan sehingga membahayakan diri mereka sendiri?

 Hakikatnya, Pas berakarkan ektremisme dan akar itu tidak pernah putus, atau Pas sudah tentu tidak lagi wujud hari ini.

Biarpun ia telah dijangkiti virus dan parasit, tetapi ia tidak bermakna yang ektremisme di dalam Pas yang mengidolakan pemerintahan ala Taliban itu, telah terhapus terus.

Malah, golongan syiah juga berkembang biak di dalam Pas sendiri yang diasaskan bekas pemimpin Umno yang gagal menbdapat jawatan dalam Umno.

Justeru, jika DAP dan PKR menyangka Pas boleh dipijak selama-lamanya, mereka silap, kerana Pas bukan kuda tunggangan atau anjing suruhan, tetapi syaitan.

 Bukankah hanya syaitan yang layak berkawan dengan syaitan? Dan bukankah pemimpin Pas juga yang mengakui sanggup bersahabat dengan syaitan?

Insentif untuk pasangan muda bukti BN peka

Oleh: Aida Abd Rahman

Wang bantuan RM1,000 kepada pasangan muda yang pertama kali berkahwin dan RM500 kepada pasangan menimang cahaya mata pertama yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri ini mencerminkan keprihatinan pemimpin untuk meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan. 

Seorang remaja, Norhamizah Jusoh, 22, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, berkata insentif yang tidak disangka itu, mampu memberi galakan kepada pasangan muda supaya menamatkan zaman solo di jalan yang diredhai Allah.

“Sudahlah pelbagai bantuan lain disediakan kerajaan negeri dan Pusat sebelum ini, sperti dana raya dan juga Bantuan Rakyat 1Malaysia, insentif tambahan khas kepada pasangan baru berkahwin itu membuktikan kerajaan membela nasib rakyat dari segenap aspek.

 “Inilah kerajaan yang benar-benar menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan bukan sekadar menguar-uarkan dalam manifesto tetapi gagal melaksanakannnya sebaik mendapat mandat mentadbir seperti yang sudah dilakukan pembangkang,” katanya.

Seorang peniaga, Nor Fazlina Zakaria, 30, pula melihat tawaran kerajaan itu amat rasional pada masanya memandangkan taraf sosio ekonomi yang semakin meningkat dan memerlukan perbelanjaan lebih tinggi khususnya untuk pembiayaan perubatan dan pelajaran.

“Bantuan sedemikian dapat menampung perbelanjaan dan meringankan bebanan golongan yang berpendapatan rendah dan keluarga yang susah.

“Malah, saya juga berharap ia mampu menjadi insentif tahunan untuk rakyat supaya manfaatnya  dapat dirasai secara berterusan di bawah kerajaan yang peka dan bertanggungjawab ini,” katanya.

Insentif itu antara kandungan manifesto tambahan BN Terengganu yang akan diumumkan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Satu undi jadi penentu

Oleh; Esah Abdullah

“Hanya tuan dan puan yang dapat menentukan Barisan Nasional (BN) terus menerajui negara pada masa akan datang,” kata Haji Khazan Che Mat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda dan Puteri DUN di Dataran Bestari Batu Rakit.

Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan negeri mengingatkan semua jentera parti perlu bekerja keras bagi memastikan kesinambungan agenda kerajaan membela rakyat mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Katanya, buatlah pilihan yang tepat demi memastikan masa depan generasi muda terus gemilang bersama sebuah kerajaan yang stabil dan telus.

 “Kita mengharapkan sebuah kerajaan yang kukuh dari segi ekonomi dan keamanan sentiasa terjamin dan hanya BN yang mampu menyediakan semua itu,” katanya.

Katanya, letakkan kepentingan parti melebihi kepentingan calon, kerana calon boleh datang dan pergi tetapi kehilangan kuasa BN mengakibatkan kehilangan kuasa orang Melayu.

 “Satu undi menjadi penentu jatuh bangun sebuah negara, jadi jangan kerana guruh dilangit air ditempayan dicurahkan, jangan kerana janji manis pembangkang kita nafikan nikmat yang sedang melingkari kehidupan hari ini,” katanya.

 

Manifesto BN diterima dan disambut baik

 Oleh: Suriati Ali 

 Umum mengetahui, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah pun melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU13), bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’,.

 Jelas segala kandungan yang diumumkan itu diterima dan disambut baik segenap lapisan masyarakat kerana yakin apa yang dijanjikan itu akan dikota dan semestinya terlaksana.

 Pada tahun 1995, manifesto BN berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien, 1999 pula berbunyi Malaysia Bebas, Sepadu dan Maju, 2004 (Cemerlang, Gemilang dan Terbilang) dan 2008 iaitu pada PRU12 bertemakan Selamat, Aman dan Makmur. Kesemuanya dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Bagaimanapun, manifesto PRU13 ini diangkat sebagai terbaik dalam sejarah oleh sesetengah pemerhati politik kerana sifatnya yang lengkap, padat dan paling penting, berasaskan senario kehidupan sebenar rakyat serta perkembangan dunia.

 Ketua Pemuda Perhubungan Umno Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata manifesto BN kali ini dikatakan berpijak di bumi nyata atau realistik. Katanya, pada masa sama memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat untuk bersama-sama berdiri di belakang BN dalam usaha kita membina sebuah negara yang lebih baik.

“Tema ini juga dilihat sebagai gambaran keikhlasan kepimpinan, bersifat yakin tetapi merendah diri, tekad berusaha namun tetap berserah kepadaNya. “Ini kerana, realitinya dunia telah berubah bukan sahaja daripada segi landskap tetapi juga dari segi politik.

 “Segalanya bukan lagi rahsia dan semuanya boleh didapati di hujung jari. Malah, jatuh bangun sesebuah negara kini tidak lagi bergantung kepada rakyat dan kerajaannya semata-mata tetapi kedaulatan negara boleh dicerobohi tanpa perlu pun mengangkat senjata,” katanya. 

Tanpa meminggirkan sesiapa dan mana-mana aspek kehidupan, manifesto BN dijangka mampu mengukuhkan lagi negara ini dari segi ekonomi, sosial dan politik.

 Apa yang BN perlukan kini hanyalah sokongan padu rakyat untuk menjadikan ‘sebuah negara yang lebih baik’, satu realiti. Melihat dari sambutan terhadap manifesto ini, kita yakin bahawa sokongan padu, bukanlah satu masalah besar bagi BN.

 

Pengumuman calon BN dijangka hari ini


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam satu taklimat tertutup yang dinamakan 'Perjumpaan Bersama YAB Pengerusi BN' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurut sumber, pengumuman senarai calon itu bakal memecahkan tradisi BN yang selama ini menyaksikan senarai calon diumumkan dua hari sebelum, atau dua hari selepas tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, taklimat itu akan dihadiri oleh kira-kira 2,000 pemimpin terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua dan tiga ketua sayap bahagian komponen BN di seluruh negara serta para penyandang kerusi Parlimen parti itu.

"Dalam perjumpaan Najib dengan kumpulan G6 ini, beliau dijangka turut mengumumkan senarai calon BN kerana melalui pengumuman awal ini, barisan pimpinan boleh melihat reaksi calon terpilih, calon diketepikan serta reaksi ketua-ketua bahagian semua komponen.

"Ini bagi memperkemaskan jentera parti serta memuaskan hati pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi yang tertunggu-tunggu senarai calon yang diluluskan Najib selaku Pengerusi BN," katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib baru-baru ini menjelaskan pengumuman calon BN pada kali ini akan dibuat awal daripada biasa bagi mendapatkan maklum balas pemimpin terlibat mengenai pencalonan mereka.

Selain itu, kata beliau, pengumuman awal berkenaan juga membolehkan pimpinan BN melihat reaksi para penyokong di kawasan Parlimen masing-masing, seterusnya memberi ruang pimpinan BN membuat perubahan jika calon terpilih tidak diterima di sesuatu kawasan.


Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin reda..



Oleh: Mohammad Ishak

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan beliau reda dan sedia menerima apa sahaja dan akan patuth kepada parti. Abdullah bekas Ahli Parlimen Besut selama dua penggal pernah menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kawasan Parlimen Besut mempunyai 71,969 pengundi adalah antara yang paling selamat kepada BN Terengganu berbanding kawasan lain.

Katanya, selepas dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen beliau gembira kerana daerah Besut terus maju dan membangun seiring dengan tempat lain di negeri ini.

Abdullah yang juga bendahari UMNO Bahagian Besut berkata, kepemimpinan parti di bahagian itu tidak menghadapi masalah untuk menentukan bakal calon kerana semua mereka sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terpilih.

Difahamkan , desas desus mengenai beliau yang tidak dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Besut tersebar luas apabila Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO bahagian itu, bakal dicalonkan untuk kerusi Parlimen Besut pada PRU13.

Kuala Nerus membangun di bawah BN

Oleh: Noraini Jusoh

Salah satu kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat diharap ada kaitan dengan daerah baru Kuala Nerus dan membawa khabar gembira kepada penduduk daerah ini, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menurut beliau, setakat ini usaha untuk merealisasikan kewujudan daerah baru itu sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja infrastruktur dijangka siap pada tahun ini.

"Kerja-kerja perparitan telah dibuat dan dijangka siap bulan Jun nanti manakala kerja-kerja tapak dalam perbincangan dengan pihak yang berkaitan.

"Pada tahun 2014, bangunan-bangunan pejabat akan mula dibina dan jabatan-jabatan kerajaan akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen Kuala Nerus, semalam.

Tambah beliau, apabila daerah baru Kuala Nerus dibuka secara rasmi, pada peringkat awal mana-mana anak tempatan yang bekerja di luar dan ingin pulang berkhidmat di Kuala Nerus akan dipertimbangkan.

"Daerah baru ini juga akan membuka banyak peluang kepada mereka yang belum bekerja dan sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Katanya, Kuala Nerus mempunyai banyak tarikan antaranya Pulau Duyong, Bukit Jong, Jeram Tokong serta Keropok Lekor Bukit Tok Beng.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) katanya, beliau yakin Kerajaan BN bakal menawan kembali satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal yang kini di bawah pembangkang.

"Saya yakin, dengan segala program dan pembangunan yang kerajaan buat di kawasan tersebut, BN boleh menang di Bukit Tunggal dan kembali menjadi milik Kerajaan BN dan Umno selepas PRU13 nanti,” katanya.