Oleh; Lang Telipot
Baru-baru ini Universiti Malaysia Terengganu, UMT telah menganjurkan Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan di perairan Pulau Bidong dan Redang.
Ia turut disertai oleh pengamal media tempatan dan juga Kuala Lumpur di samping pelajar-pelajar universiti berkenaan.
Ia merupakan suatu program yang cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya menghargai alam sekitar yang indah dan menarik serta berusaha memuliharanya, termasuk hidupan yang terdapat di dalamnya, khususnya penyu.
Penyu adalah merupakan identiti bagi negeri Terengganu, terutamanya Pantai Rantau Abang yang suatu masa dulu amat terkenal dengan kehadiran penyu belimbing iaitu sepsis penyu yang bersaiz besar.
Apa yang unik dalam program Surival Laut ini, bilamana peserta dibawa ke lokasi sarang penyu di pantai Chagar Hutan Pulau Redang.
Di situ terdapat pihak unversiti berkenaan menerusi Unit Penyelidikan Penyu aktif menjalankan penyelidikan dan usaha pemuliharaan mengenai penyu di negara ini.
Ia menjadi agensi ulung dalam projek penyelidikan penyu.
Unit tersebut diasaskan pada 1993 oleh bekas pensyarah Prof. Dr. Chan Eng Heng dan Prof. Madya Liew Hock Chark, tetapi penyelidikan mengenai penyu telah dijalankan sejak 1984 yang mana ketika itu melibatkan penyu belimbing.
Sejak itu, tiga pendekatan diambil bagi menangani isu kepupusan penyu iaitu pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.
Antara program pemuliharaan yang dijalankan termasuk program pengeraman telur penyu secara in-situ, manakala aktiviti penyelidikan yang dijalankan termasuk pelabelan dan perlindungan sarang di Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu.
Dia penyelidikan utama dijalankan ialah bagi pemuliharaan penyu jangka panjang seperti yang disebutkan iaitu penandaan dan penjagaan sarang dan keduanya ialah penyelidikan mengenai biologi, ekologi, ancaman penyu dan program restorasi.
Contoh penyelidikan yang dijalankan menenai aspek-aspek tersebut ialah kajian genetik penyu, kajian suhu pengeraman penyu, penjejakan satelit, kajian persarangan penyu dan kajian logam berat dalam telur penyu.
Menerusi program tersebut, telur penyu dibiarkan tanpa gangguan di sarang secara semula jadinya.
Ia telah dijalankan sejak 1993 yang merupakan program jangka panjang.
Penyu mengambil masa antara 30 dan 50 tahun untuk matang.
Anak-anak penyu yang dilepaskan pada tahun sejak 1993 belum lagi kembali ke Pulau Redang.
Menurut penyelidik yang kini mengambil alih peranan mengetuai penyelidikan itu, Dr . Juanita Joseph, program pemuliharaan di pantai berkenaan bertujuan melindungi anak penyu daripada pemangsa dan meningkatkan penetasan.
Juanita yang juga pensyarah di Jabatan Sains Marin, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin berkata, sebelum Chagar Hutan diwartakan sebagai pusat perlindungan penyu, semua sarang di situ dibeli daripada pengutip telur berlesen pada harga RM120 setiap sarang.
Hampir RM500 ribu diperuntukkan dari 1993 hingga 2004 untuk membeli sarang-sarang berkenaan.
Sejak itu, sebanyak 5,261 sarang penyu agar dan 111 sarang penyu karah dilindungi menerusi program tersebut.
Daripada itu, sebanyak 350,000 penyu agar dan 7,000 sarang penyu karah menetas dan anak penyu dilepaskan ke laut.
Pada 1989 pula, projek pengesanan penyu menggunakan isyarat gelombang radio, ultrasonik dan satelit.
Projek tersebut bertujuan mengesan pergerakan penyu menggunakan gelombang radio dan satelit telemetri dan sejauh mana pergerakannya.
Namun dengan perkembangan semasa, penyelidikan mengenai penyu dipertingkatkan dengan memanfaatkan bioteknologi.
Kajian genetik populasi penyu telah dijalankan oleh beliau semenjak tahun 1998 manakala pada tahun 2003-2006, kajian tersebut telah dijalankan pula dengan menggunakan teknik yang terbaru.
Menurut Juanita, sejak dua tahun lepas beliau bersama seorang lagi penyelidik menjalankan penyelidikan menggunakan DNA untuk menentukan asal usul penyu agar dan karah daripada kawasan pemakanannya di sekitar perairan Malaysia.
Demikian usaha-usaha yang dijalankan bagi menyelamatkan hidupan penyu di laut dan bumi Terengganu.
Marilah kita semua sama-sama membantu usaha-usaha berkenaan.
Kepada mereka yang gemar memakan telur penyu, bolehlah berjanji kepada diri sendiri agar tidak mahu memakannya lagi bagi membantu mengelak kepupusannya.
Biarlah telur itu dibiarkan bebas menetaskan anak-anak penyu untuk tempoh jangka masa yang panjang.
Selamatkan penyu dan pastikan negeri Terengganu terus menjadi negeri destinasi penyu dan jangan sampai Penyu Menangis seperti yang pernah diungkapkan oleh penyair terkenal Terengganu, Allahyarham JM Aziz.