Halaman

04 June 2013

Kerajaan Negeri tetap teruskan pembinaan Pasar Payang baru

Lakaran Pasar Besar Kedai Payang baru.
Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri tetap meneruskan projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baru walaupun mendapat tentangan daripada segelintir pihak khususnya pembangkang yang tidak bersetuju dengan pembangunan yang hendak dilaksanakan kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tujuan pembinaan PBKP yang baru adalah untuk keselesaan serta kebaikan peniaga dan pengunjung pasar terbabit dan bukannya untuk menyusahkan rakyat.

"Pembinaan PBKP baru yang dilengkapi eskalator, pendingin hawa serta tempat meletak kenderaan sebanyak 400 unit akan memberi keselesaan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar ini.

"Perancangan yang teliti telah dilakukan untuk kebaikan semua pihak dan bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan pembangunan ini terutamanya peniaga mereka boleh keluar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dataran Syahbandar, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Katanya, kerajaan negeri hanya akan merobohkan Pasar Payang terbabit dan membina PBKP yang baru di tapak sedia ada selepas pasar sementara di Pulau Warisan bernilai RM8 juta siap tidak lama lagi.

"Peniaga boleh menjalankan urusan perniagaan seperti biasa di pasar berkenaan sementara menunggu masa untuk berpindah balik ke PBKP yang baru apabila ia siap dibina nanti,” ujarnya.

Katanya, beliau tidak faham dengan sesetengah pihak yang mahu bangunan lama PBKP dikekalkan sebagai warisan kerana bangunan tersebut sudah uzur dan sudah tiba masanya dilakukan pembaharuan.

"Saya kecewa apabila kerajaan hendak buat pembangunan yang lebih baik dan lebih selesa untuk rakyat tetapi timbul pelbagai persepsi negatif dari mereka yang tidak berpuas hati.

"Kalau bercakap soal nilai estetika dan warisan, Pasar Payang pernah dirobohkan pada tahun 60-an dulu dan telah dibina balik tetapi tiada sebarang rungutan pun,” ujarnya.

 

Kerajaan bantu kolej swasta perkasakan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi bantuan bersesuaian kepada semua 13 kolej swasta di negeri ini agar institusi berkenaan dapat memperkasakan bidang pendidikan termasuk disaran bergabung jika perlu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, bantuan tersebut mungkin berbentuk kewangan, kemudahan penambahbaikan, pelajar dan pelbagai lagi.

“Saya akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat Exco untuk mendapat sokongan serta sebagai galakan kepada kolej-kolej swasta agar dapat bertahan dan terus beroperasi dan jika perlu digabungkan sebab jika bergerak secara individu, mungkin tidak berkemampuan dari segi pengurusan, tenaga pengajar, gaji dan juga fasaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penyampaian Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar Showme International College, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Showme International College, Encik Redzuan Abd Aziz dan juga Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian (SPPK), Encik Mohd Adnan Salleh@Ghani.

Katanya, hari ini peluang pekerjaan bukan hanya bergantung kepada akademik sahaja, sebaliknya lebih terbuka dalam bidang kemahiran.

Pada majlis tersebut, seramai 60 pelajar peringkat Diploma Kemahiran Malaysia dari kolej itu menerima baucar bernilai RM250.

Seorang pelajar Diploma Kemahiran Sistem Komputer, Mohd Fakhri Ali, 21, mengucapkan rasa syukur atas bantuan kerajaan itu kerana harga buku rujukan untuk jurusan pengajiannya semakin mahal.

 “Saya sangat berharap bantuan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana pelajar seperti kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan ini terutama bagi kami yang datang daripada keluarga berpendapatan sederhana,” katanya.

Bagi Nur Nadhirah Mohamad, 21 pula pemberian baucer buku kali kedua itu sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh pelajar sepertinya kerana dapat mengurangkan beban kewangan mereka.

 “Untuk semester ini, saya sepatutnya membelanjakan RM300 untuk membeli buku rujukan, dan dengan adanya bantuan ini, (saya) hanya perlu menambah RM50 sahaja lagi,” kata pelajar jurusan Kemahiran Penjagaan Kanak-Kanak itu.

 

MB nasihat peniaga kenakan harga berpatutan

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu antara destinasi utama pilihan pelancong tetapi apa yang membimbangkan ramai yang merungut barangan di negeri ini khususnya makanan agak mahal berbanding negeri lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali lagi mengingatkan peniaga agar mengenakan harga berpatutan kerana perkara sedemikian boleh menjejaskan industri pelancongan Terengganu jika tidak dibendung.

"Saya dapati ada peniaga khususnya yang menjadi orang tengah mengambil kesempatan mengenakan harga yang agak tinggi terutamanya musim perayaan dan cuti persekolahan contohnya dengan menaikkan harga ikan dan sayuran yang menyebabkan harga jualan makanan di restoran dan kedai menjadi mahal.

"Situasi tersebut akan menyebabkan pelancong terperangkap dengan peniaga yang gemar mengambil kesempatan dan boleh menjadikan mereka serik untuk datang ke negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dataran Syahbandar, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, beliau nasihatkan agar peniaga tidak mengambil untung terlalu tinggi dan mengenakan harga yang berpatutan agar Terengganu terus kekal menjadi destinasi utama pilihan pelancong.

 

03 June 2013

100 usahawan sertai Karnival Usahawan Mega Zon Timur 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 100 usahawan menyertai Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 yang berlangsung di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu selama empat hari bermula semalam.



Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Terengganu, Abdullah Mohamad berkata, karnival yang julung kali diadakan secara gabungan antara tiga buah negeri pantai Timur itu melibatkan 40 usahawan dari Terengganu dan masing-masing 30 dari Kelantan dan Pahang.

"Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk mempromosikan dan memperkenalkan produk usahawan bumiputera wilayah pantai Timur ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, di samping memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan bumiputera terhadap suasana persekitaran perniagaan yang lebih kompetetif ia juga bertindak sebagai platform untuk mewujudkan jaringan perniagaan antara usahawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 anjuran Mara yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dataran Syahbandar, hari ini.

Menurut Abdullah, sebahagian produk milik usahawan yang menyertai karnival ini ada yang telah dieksport ke luar negara dan dibantu oleh Mara.

"Alhamdulillah, setakat ini selama dua hari berlangsung sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan kita sasarkan 50,000 pengunjung akan datang ke karnival ini sepanjang ia berlangsung,” katanya.

 



Sidang DUN Terengganu 16 Jun

Mesyuarat pertama Penggal Pertam a Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ketiga Belas akan diadakan di DUN Terengganu, Wisma Darul Iman, pada 16 Jun ini.

Setiausaha DUN, Haji Azhar Jusoh, dalam pekeliling yang diedarkan kepada semua ketua-ketua jabatan agensi negeri menyebut pada hari pertama akan berlangsung Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi.

Pada hari kedua, akan berlangsung pula Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN ke-13. Beliau berkata, pada hari ketiga dan keempat sidang DUN akan diadakan bermula jam 9.30 pagi.

Bagi DUN penggal ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 ahli DUN manakala pembangkang 15 ahli.


Hati-hati dengan kumpulan gores menang-PPNT

Oleh; Esah Abdullah

Pengguna di negeri ini diminta berhati-hati dengan taktik licik kumpulan yang kebiasaannya meminta wang pendahuluan apabila pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta berjenama dimenangi mangsa dalam peraduan ‘Gores dan Menang’.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Terengganu (PPNT), Encik Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, banyak aduan dan kejadian penipuan seumpama itu telah berlaku di negeri ini malah telah diuar-uarkan di media serta disiarkan di televisyen tetapi seolah-olah pengguna tidak mengambilnya sebagai iktibar.

“Sikap tamak dan ‘gelap mata’, serta ingin mendapat keuntungan dalam masa singkat dengan mudah antara punca pengguna di negeri ini kerap kali menjadi mangsa penipuan sendiket peraduan ‘Gores dan Menang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun sering dilaporkan media namun, seolah-olah ia tidak memberi kesan dan tidak diendahkan oleh orang ramai. Lebih menyedihkan apabila mereka yang terkena itu adalah kalangan profesional dan berpendidikan tinggi.

Katanya, pengguna harus sedar , tiada perniagaan atau pelaburan yang boleh menjamin keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat apatah lagi dengan hanya mengores kertas peraduan dan seumpamanya.

“Jika kita selidik mereka yang telah berjaya juga tidak mendapat kekayaan dengan singkat melainkan mereka berusaha dari bawah dan terpaksa mengharungi pelbagai cabaran serta usaha gigih dalam masa yang agak panjang.

“Malah, pihak bank dan juga badan pelaburan yang diiktiraf kerajaan sendiri tidak memberikan keuntungan dalam masa singkat, paling kurang tempoh keuntungan hanya akan diperoleh dalam tempoh setahun,” katanya.

Sebab itu katanya, pengguna perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan hanya menyertai pelaburan yang telah diakui sah dan selamat melalui syarikat atau mana-mana bank telah diiktiraf oleh pihak kerajaan sekaligus dapat mengelak menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu, selain pengguna, katanya, pihak Pejabat Perdagangan dan Kepenggunaan Dalam Negeri Terengganu (PPDNKK) dan pemilik pasaraya perlu sentiasa memberikan perhatian melalui pemantauan mereka agar senario itu tidak terus berleluasa.
 

MBKT sedia 20 tapak Bazar Ramadan

Oleh; Esah Abdullah 

Orang ramai yang berminat untuk berniaga di tapak Bazar Ramadan sepanjang bulan puasa boleh mendapatkan borang petak jualan mulai sekarang sehingga tarik tutup pada 20 Jun depan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Haji Ghani Idris berkata, terdapat 20 tempat perniagaan dalam kawasan MBKT sudah dikenal pasti.

“Kita kenl pasti tempat perniagaan beserta tempat jualan borang, pengurusan dan kanopi untuk memudahkan peniaga membuat urusan berkaitan,” katanya.

Menurutnya, pasar-pasar berkenaan adalah Pasar Cabang Tiga, Manir, Bukit Besar, Pasar Kedai Payang, Teluk Ketapang, Kedai Buluh, Batu Enam, tapak pasar malam Wakaf Tengah, pasar malam Gong Badak, Batu Buruk, Taman Shahbandar 1 dan 2, Taman Permint Jaya.

Pengadang Baru, tapak pasar malam di Jalan Budiman, Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir, tapak letak kereta MBKT Jalan Batas Baru, tempat letak kereta Masjid Tengku Tengah Zaharah Kuala Ibai dan KP Uptown (Shahbandar).

Katanya, pemohon boleh hadir sendiri ke Pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan dengan membawa bersama kad pengenalan asal.

“Semua pemohon dikenakan bayaran permit antara RM70.00 hingga RM140.00 bergantung pada kawasan yang dipohon dan bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar/pusing dan ikan bakar akan dikenakan bayaran tambahan RM30.00.

Selain itu katanya, MBKT dengan bekerjasama Jabatan Kesihatan akan menyediakan khidmat suntikan Pelalian Typhin VI bagi memudahkan peniaga Bazar Ramadan membuat kad akuan kesihatan.

“Para peniaga bolehlah datang ke Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu pada 17 dan 18 Jun mulai jam 9 pagi hingga 4 petang dan Pejabat MBKT Cawangan Terengganu Utara mulai jam 9 pagi hingga 4 petang untuk membuat suntikan ,” katanya.
 

Kerajaan negeri anjur kejohanan motosikal lasak Asia

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menganjurkan Kejohanan Motosikal Lasak Asia yang akan berlangsung buat kali keduanya di Terengganu bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu bermula 6 hingga 8 Jun ini.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Belia & Sukan dan Sumber Manusia), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara yang akan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

"Peserta dari Filipina, Thailand, Sri Lanka, Jepun, Mongolia serta Iran antara yang telah mengesahkan penyertaan dan pihak kami masih menunggu pengesahan penyertaan dari beberapa negara lain termasuk dari negara kita,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, penganjuran kejohanan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

 

02 June 2013

Peniaga jangan ambil kesempatan - PPDNKK

Oleh; Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu minta kerjasama orang ramai supaya melaporkan segera sekiranya berlaku kenaikan harga barang kawalan di negeri ini.

Pengarahnya, Encik Syamsul Badrin Mohshin berkata, pihaknya mengakui menerima beberapa aduan berlaku kenaikan harga barang kawalan selepas PRU13, tetapi pihaknya tidak dapat membuat pemantauan disebabkan butiran tidak lengkap diterima daripada pengadu.

Menurutnya, kementerian sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan tiada kenaikan harga berlaku semasa dan juga selepas PRU bagi barangan kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan bahan petroleum seperti diperkatakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita akui menerima beberapa aduan berlaku kenaikan harga barang kawalan selepas PRU13, tetapi apabila diminta laporan lebih terperinci daripada pengadu mengenai lokasi dan barang apa bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan, tiada jawapan diberikan.

"Kami anggap itu hanyalah sekadar 'cubaan' untuk menyebarkan khabar angin sahaja supaya timbul suasana panik kepada orang ramai. Justeru itu, mohon kerjasama dari orang ramai dan pelbagai pihak agar tindakan dapat dilakukan," katanya.

 Beliau berkata, sehingga kini harga barang adalah kekal seperti sebelumnya dan berharap orang ramai jangan mudah percaya dengan sebarang khabar angin yang semakin canggih disebarkan terutama di laman sosial.

Menurutnya, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Katanya, pengguna boleh membuat aduan kepada pihaknya menerusi pejabat cawangan atau menelefon 1MOCC melalui talian 03-8000 8000 atau menerusi e-talian di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my jika terdapat peniaga yang menaikkan harga.

 

01 June 2013

Hormati penjalan kaki dan penunggang basikal - JKJR

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Keselamatan Jalan Raya Terengganu (JKJR) minta para pemandu kenderaan agar sentiasa ‘membudayakan’ memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal semasa di jalan raya.

 Pengarah JKJR Terengganu, Encik Ahmad Firdaus Haron berkata, meskipun Kempen Keselamatan Pejalan Kaki sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2013 yang bermula 13 Mei di seluruh negara telah berakhir namun sikap saling menghormati di jalan raya perlu berterusan.

Menurutnya, pejalan kaki dan penunggang basikal lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

“Kita menyarankan kepada para pemandu kenderaan dengan menjadikan satu budaya semasa memandu dengan sentiasa menghormati serta memberikan keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Pejalan kaki itu sendiri juga diingatkan supaya dapat menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat dan juga jejantas yang telah disediakan demi keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.

Menurutnya, pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

Selain itu katanya, terdapat 10 petua keselamatan bagi mengurangkan berlakunya kadar kemalangan antaranya termasuklah memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Sentiasa merancang perjalanan, ikut had laju yang ditentukan, mematuhi garis panduan semasa memotong dan juga berhenti apabila lampu isyarat merah.

“ Elakkan daripada mengekori kenderaan lain, periksa cermin dan beri isyarat sebelum melakukan pertukaran lorong, ikut lorong yang betul, tidak memotong barisan, tidak mencelah diantara kenderaan lain dan juga sentiasa sabar ketika memandu,” katanya.