Halaman

14 June 2013

Sekolah Padang Midin adakan hari Alumni

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Bekas Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin (SMKPM), akan mengadakan Hari Terbuka Alumni pada 15 Jun bertempat di Dewan Setia Budi SMKPM Kuala Terengganu jam10 pagi esok.

Setiausaha Alumni SMKPM, Encik Ngah Bidin berkata, serentak itu turut diadakan pembentangan kertas kerja bagi majlis sambutan Jubli Emas dan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Murid SMKPM.

“Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Encik Ghazali Taib akan merasmikan majlis itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua bekas murid SMKPM untuk hadir menjayakan majlis berkenaan di samping dapat beramah mesra setelah sekian lama terpisah. “Saya juga berharap semua bekas murid SMKPM main peranan untuk menjemput rakan masing-masing untuk memeriahkan majlis berkenaan,” katanya.
 

Semua pengusaha satay Jabi akan disatukan dalam satu jenama




Oleh: Mohammad Ishak

Kesemua pengusaha sate di pekan Jabi, Besut akan disatukan di bawah satu jenama dalam usaha untuk mempopularkan Sate Jabi kepada mereka yang datang ke negeri Terengganu secara besar-besaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kesemua pengusaha sate di pekan itu akan bekerjasama memajukan pengeluaran mereka dalam menjadikan perusahaan sate di Jabi sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Untuk itu YPU akan membantu supaya produk sate yang bakal diusahakan secara kumpulan di Jabi itu nanti digemari peminat sate apabila datang ke Terengganu”, katanya selepas merasmikan Program Polis Bersama masyarakat di Kampung Kuala Kubang dekat sini.

.Menurutnya, sebelum ini pekan Jabi sudah memang terkenal sebagai pengeluar sate ayam dan sate daging yang terkenal terutamanya kepada penduduk negeri ini termasuk mereka yang melalui pekan Jabi daripada Kuala Terengganu ke Kota Baharau atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya, sate dijual secara berasingan oleh pengusaha-pengusaha tertentu yang menyebabkan ianya tidak dapat diperkembangkan secara besar-besaran

"Jenama 'Sate Jabi' akan dicadangkan untuk digunakan oleh pengusaha berkenaan supaya secara tidak langsung dapat mengetengah dan mempromosikan Jabi sebagai lokasi yang menjadi pilihan jika ingin menikmati keenakan sate sebenar selain tarikan alam di sini,.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menyangkal laporan daripada pemimpin pembangkang yang melaporkan kawasan Jabi tidak selamat kepada penduduk kerana sering dilanda masalah jenayah yang tidak terkawal.

 “Ini merupakan satu andaian semata-mata kerana mengikut laporan polis dari awal januari hingga hujung Mei hanya terdapat 9 kes jenayah yang dilaporkan penduduk yang mana 6 daripadanya telah pun berjaya diselesaikan oleh polis”, katanya

Menurutnya, beliau sedih kerana dalam usaha polis menjalankan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan, ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan cuba menakut-nakutkan penduduk dengan mengatakan yang tahap keselamatan di kawasan berkenaan amat rendah.

16.3 peratus penduduk Terengganu tidak sedar hidap hipertensi

Oleh: Noraini Jusoh

Hasil daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 mendapati 16.3 peratus penduduk Terengganu tidak menyedari bahawa mereka menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato’ Dr. Anwa Sulaiman berkata, anggota kesihatan perlu meningkatkan lagi aktiviti saringan kesihatan di kalangan masyarakat dan orang ramai pula perlu berani untuk menjalani saringan kesihatan.

"Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencegah penyakit yang membunuh secara senyap ini.

"Jaringan kesihatan boleh dibuat di klinik kesihatan dan hospital berdekatan selain di 11 Klinik 1Malaysia yang terdapat di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Dr.Anwa berkata, bagi ibu bapa yang takut menjalani saringan kesihatan peranan anak-anak sangat penting dalam memujuk dan membawa mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

"Anak-anak perlu mengambil tahu tahap kesihatan kedua ibu bapa sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka.

"Sementara itu, kepada mereka yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan boleh hadir ke program kesihatan bersama masyarakat yang dianjurkan JKNT hampir setiap bulan kerana kebiasaannya pemeriksaan kesihatan secara percuma sering dilakukan,” ujarnya.

Katanya, kejadian penyakit darah tinggi di Terengganu mengikut kajian NHMS 2011 telah menunjukkan 26.8 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

 

Terengganu akan pertahan kejuaraan Sukma ke-16

Oleh; Esah Abdullah 

Reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma edisi ke-16 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB. Haji Rozi Mamat berkata, Terengganu akan disertai 438 atlet termasuk pegawai dan menyertai 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan.

Katanya, walaupun rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan namun atlet diminta bekerja keras untuk meraih pingat.

Katanya, cabaran itu pasti digalas dengan sebaik mungkin dan kini persediaan rapi sudah dilaksana kerajaan negeri bagi memastikan kesemua atlet serta pegawai sudah bersedia dalam pelbagai apsek.

“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan.

 "Walaupun kecewa kerana beberapa acara pilihan tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu nanti,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pada Sukma di Pahang tahun lalu Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut dengan memperolehi 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.
 

JKNT anjur sambutan hari kesihatan sedunia

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah JKNT, Dato’ Haji Dr. Anwa Sulaiman berkata, bertemakan‘hipertensi’ ataupun tekanan darah tinggi, pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk memberi kesedaran dan maklumat berkaitan hipertensi kepada orang ramai.

“Sepanjang sehari program berlangsung, aktiviti dimulakan dengan acara kayuhan sihat membabitkan 100 kakitangan yang berkayuh sejauh 7.8 kilometer untuk mempromosikan amalan cara hidup sihat disamping memberi kesedaran supaya kekal aktif bagi mengurangkan risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

"Seminar, pameran dan pemeriksaan kesihatan turut diadakan untuk memberi lebih pendedahan mengenai penjagaan kesihatan khususnya berkaitan hipertensi kepada orang ramai,” ujarnya dalam ucapan perasmian sempena program tersebut.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Katanya, bagi menangani dan mencegah penyakit darah tinggi, orang ramai dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menghadkan pengambilan garam kepada kurang daripada lima gram sehari.

"Kita juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dari tiga hingga lima kali seminggu untuk sentiasa aktif disamping kekalkan BMI unggul kerana pengurangan berat badan mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan diabetes.

"Kepada yang merokok boleh ke Klinik Berhenti Merokok di Klinik Kesihatan dan hospital berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai juga perlu pandai menangani stress dengan melakukan perkara seperti bertenang, berehat dan mendengar muzik, beriadah dan sebagainya.

Katanya, sekiranya tindakan tersebut dijadikan amalan orang ramai mampu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi sekali gus terus sihat dan terhindar dari penyakit berbahaya itu.

 

PPAT wujud 107 perpustakaan

Oleh: Suriati Ali 

Sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di Terengganu sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

 Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah.

 Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

“Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

 “Dalam tempoh lima tahun iaitu 2007, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2008 (805,278), 2009 (1,037,934), 2011 (1,155,205) dan 2012 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Katannya, pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

 “Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya .

 



Terengganu bakal pertahan kejuaraan SUKMA

Terengganu sudah siap siaga untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) buat tahun kelima berturut-turut, apabila kejohanan tersebut berlangsung di Kuala Lumpur, akhir bulan ini.

Buat masa ini atlet tempatan telah menjalani latihan dan membuat persiapan rapi agar negeri ini dinobatkan sebagai juara Sukma edisi ke-16.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat, berkata pihaknya tekad untuk menjuarai Sukma kali ini walaupun banyak acara sukan yang memberi kelebihan kepada skuad Terengganu untuk memperolehi pingat emas seperti lumba basikal dan kenu tidak dipertandingkan.

Katanya, di sebalik tidak mempunyai banyak acara pilihan, atlet Terengganu akan berusaha gigih untuk mendapatkan seberapa banyak pingat emas bagi membolehkan negeri ini muncul juara Sukma tahun ini.

“Saya akan mengumumkan sasaran kita untuk mendapatkan pingat emas pada kejohanan ini dalam satu majlis khas bagi meraikan para atlet sebelum mereka berangkat ke Kuala Lumpur, tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri masih belum memutuskan jumlah imbuhan kepada atlet yang meraih pingat pada kejohanan tersebut.

Pada tahun lepas setiap atlet yang memenangi emas diberi imbuhan RM5,000 sebagai insentif kemenangan mereka.

“Seperti tahun sebelum ini, kita memang akan beri ganjaran kepada atlet yang berjaya sebagai penghargaan kepada mereka yang menaikkan nama negeri ini di bidang sukan,” katanya.


13 June 2013

Yang Dipertua Serikandi lawat mangsa dera

Oleh: Suriati Ali 

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Hajah Norliza Mahmud kesal dengan kes penderaan kanak-kanak berusia dua tahun dari Taman Permint Permai, Bukit Chendering, Kuala Terengganu yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, Isnin lalu.



 Mangsa, Atiyea Jazeera Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), akibat kecederaan pada kaki kanan disebabkan terkena objek panas kini dilaporkan stabil.

 Anak ketiga daripada empat beradik itu kelihatan ceria dan petah menjawab beberapa soalan ketika diaju isteri Menteri Besar bersama rombongan itu.

To’ Puan Hajah Norliza yang melawat mangsa petang ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga. “Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

 “Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.

 Katanya, dia berharap mana-mana wanita yang bergelar ibu, terutama mereka yang ditinggalkan suami supaya mengutamakan anak-anak dengan emmberi sepenuh kasih-sayang dan perhatian yang sempurna. “Jangan mudah percaya mana-mana pihak atau lelaki yang ingin mengambil kesempatan terhadap diri dan anak kita, bagi mengelak kes seumpama ini berlaku,” katanya.

 Terdahulu, akhbar hari ini melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki ibunya di Bukit Chendering dekat sini, dua hari lepas

. Bertindak atas aduan orang awam menerusi Talian Nur, budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lalu

. Kanak-kanak itu memberitahu pegawai JKM dan anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa kecederaan itu dilakukan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.

 Dia juga mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan yang lain namun ibunya yang berusia 30-an tidak membawanya ke hospital sebaliknya hanya membalut luka di kaki itu dengan sehelai kain.

 

Berganding bahu pastikan warisan hijau negara dikekalkan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri 2013 diharap menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh masyarakat yang cintakan kehijauan hutan untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan warisan hijau negara ini dapat dikekal dan dinikmati secara berterusan, kata Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Terengganu (JPNT), Haji Azmi Nordin.

"Bertemakan ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ pemilihan kampung yang terkenal dengan keindahan pantai dan dipenuhi pokok Ketapang serta Rhu Pantai itu sememangnya amat bersesuaian dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada setiap tahun.

“Saya berharap kita semua berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepentingan hutan ini seiring dengan kemajuan yang dikecapi kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau & Air, Dato’ Haji Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, hari ini.

Haji Azmi berkata, pemilihan pokok Ketapang atau nama saintifiknya Terminalia Catappa untuk ditanam di pesisir pantai kampung ini amat sesuai kerana tumbuhan ini tahan lasak dan mampu tumbuh di pelbagai kawasan samada tanah berpasir, tanah pantai , tanah gambut atau tanah bermasalah.

“Sementara Rhu Pantai pula hanya dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir,” ujarnya.

Katanya, penanaman pokok-pokok ini amat penting kerana secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya pokok dan hutan kepada manusia.

 

Wanita pengguna paling aktif - Isteri MB


Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Semua masyarakat terutama wanita diminta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana mereka merupakan golongan pengguna paling aktif serta memain peranan utama dalam sektor ekonomi.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, peranan wanita sebagai pengurus di rumah memberi ruang yang besar dalam membuat pilihan untuk membuat penyediakan keperluan asas kepada keluarga dan rumahtangga.

“Wanita perlu membuat pertimbangan yang bijak untuk memilih diantara keperluan, kehendak, kemampuan dan keseimbangan nutrisi untuk keluarga,” katanya ketika berucap di majlis penutup Seminar Kepenggunaan Puspanita bersama PPDNKK Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita)Terengganu, To’ Puan hajah Rohani Abdullah; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Encik Samsul Badrin Mohsin dan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Puan Reihana Abd Razak.

Katanya, sebagai pengguna wanita perlu tahu hak untuk mendapat keperluan asas, mendapat gantirugi, mendapat pendidikan pengguna serta hak mendapat perlindungan keselamatan.

“Wanita dan juga ibu merupakan tulang belakang sesebuah keluarga justeru perlulah berusaha untuk menambah ilmu dengan sentiasa mengikuti seminar seperti hari ini yang boleh menambah pengetahuan serta menjadi pengguna yang bijak,” katanya.

Beliau yang juga Penaung Puspanita Terengganu kemudiannya berharap aktiviti sebegini dapat disertai lebih ramai isteri dan suri rumah kepada anggota lelaki jabatan-jabatan dan juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.