Halaman

12 July 2013

TPM minta pengundi Kuala Besut pilih Zaihan

Laporan Kamarudin Mat Akib, Mohamad Ishak dan Harun Hassan
jurugambar: Harish Fadzillah

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berharap pengundi di Kuala Besut memilih calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, bagi membolehkan BN terus membangunkan kawasan tersebut.



Beliau berharap semua pengundi yang telah mengundi calon BN, Alahyarham Dr A Mokhtar Abd Rahman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) memberi sokongan kepada Tengku Zaihan pada PRK kali ini.

“Kita juga amat berharap mereka yang tidak mengundi calon BN pada pilihan raya yang lepas supaya mengundi calon BN kali ini,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja, pagi ini.

Pada PRK yang ditetapkan 24 julai ini, BN akan menghadapi tentangan satu lawan satu dengan calon Pas, Endut @ Azlan jusoh. Tan Sri Muhyiddin berkata, Tengku Zaihan merupakan orang muda yang tentunya bakal mendapat sokongan daripada pengundi muda di DUN Kuala Besut.

“Calon ini berasal dari keluarga baik-baik, berkelayakan, berpengalaman dalam bidang kejuruteraan dan mempunyai banyak kelebihan,” tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri berharap BN akan mencatatkan keputusan lebih baik pada PRK ini dan semua pemimpin di peringkat negara dan negeri bekerja keras bagi memastikan kemenangan tengku Zaihan.

“Kita akan menyusun strategi yang lebih tersusun dan rapi pada pilihan raya kali ini dengan mengambil kira pandangan dan sensitiviti pemimpin tempatan bagi memastikan BN menang,” katanya.



PRK Kuala Besut, BN lawan Pas

Laporan Kamarudin Mat Akib, Harun Hassan dan Mohamad Ishak
jurugambar Harish Fadzillah

Barisan Nasional (BN) yang menamakan bekas jurutera, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, akan menghadapi tentangan satu lawan satu dengan calon Pas, Endut @ Azlan jusoh.



Tengku Zaihan menyerahkan kertas pencalonannya pada jam 9.10 pagi manakala calon Pas, Endut @ Azlan berbuat demikian pada jam 9.03 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Encik A Rahim Jusoh, mengumumkan hanya dua orang menghantar kertas pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja, setelah tempoh yang ditetapkan tamat jam 10 pagi.

Beliau yang membuat pengumuman itu pada jam 10.25 pagi berkata, setelah diteliti pihaknya menerima permohonan daripada kedua-dua calon tersebut untuk bertanding pada PRK Kuala Besut yang ditetapkan pada 24 Julai depan.

Encik A Rahim turut mengumumkan tarikh mengundi awal ditetapkan pada 20 Julai.


TIMBALAN PERDANA MENTERI MENGETUAI PERARAKAN CALON BN KE PUSAT PENAMAAN

Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengetuai perarakan mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Daerah Besut di sini pagi ini.



 Mengiringi sama, Tengku Zaihan ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin  Tun Hussien, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Haji Ahmad Maslan bersama kira-kira 5 000 penyokong.

 Mereka tiba kira-kira jam 9.10 pagi sebelum memasuki perkarangan kompleks berkenaan.

Manakala kumpulan yang mengiringi calon Pas diketuai Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Mahfuz Omar dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pesuruhjaya Pas Terengganu).

Turut kelihatan Azmin Ali (PKR) Lim Kit Siang (DAP) dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 5 000 penyokong juga.

 Calon BN, Tengku Zaihan bersikap professional menemui  kumpulan Pas itu, bersalam dan beramah-mesra.


MENTERI BESAR MOHON PENGUNDI DUN KUALA BESUT SOKONG CALON BN, TENGKU ZAIHAN



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berucap sebelum majlis perarakan calon bermula.
Beliau yakin bahawa BN akan menang dalam pilihan raya kecil Dun Kuala Besut.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan bagi membangunkan Kuala Besut dan memohon agar pengundi Dun Kuala Besut memberi undi  dan sokongan padu kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. 



TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP PENGARAH PILIHANRAYA BN TIBA



Jam 8.40 pagi:
 Kelihatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengarah Pilihanraya BN tiba untuk menyertai perarakan.

Beliau bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri  Haji Idris Jusoh selaku Timbalan Pengarah bersama calon Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan lain-lain Menteri Kabinet yang hadir sudah siap sedia untuk memulakan perarakan ke pintu masuk pusat penamaan calon.

Keadaan ceria amat jelas kelihatan pada wajah-wajah mereka













LIPUTAN TERUS DARI PUSAT PENAMAAN CALON: CALON BN TENGKU ZAIHAN MOHON RESTU AYAH


Laporan: Ruslan Abdul Rahman 
Jam: 8. 30 pagi- 
Suasana agak tenang di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kcil (PRK) Kuala Besut pagi ini, bertempat di Kompleks Belia, Kota Putera (Kg.Raja) Besut.
Walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai tetapi penyokong bagi kedua belah parti, Barisan Nasional (BN) dan Pas kelihatan sedang berpusu-pusu untuk memulakan perarakan penamaan calon.
 
Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tiba awal kira-kira jam 8.00 pagi lagi ditemani ayahnya menemui para penyokong BN dan kelihatan bersalam-salaman .
Calon juga kelihatan memeluk ayahnya tanda memohon restu.





Pengerusi MAYC Negeri dinobat pemenang Anugerah Belia 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman dinobatkan pemenang bagi Anugerah Belia Kategori Lelaki sempena Sambutan Hari Belia Negeri dan Penyampaian Anugerah Belia Negeri Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Amirullah yang juga Pembantu Unit Komunikasi Negeri Terengganu Parlimen Marang itu membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

"Alhamdulillah, saya rasa bertuah dan bersyukur kerana mendapat pengiktirafan yang cukup bermakna dan tinggi dari kerajaan negeri sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam persatuan belia ini.

"Anugerah ini satu amanah untuk saya memartabatkan lagi pertubuhan belia yang dinaungi dan memastikan nasib belia di bawah persatuan MAYC khususnya akan terus terbela,” katanya kepada Teganukita.

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Manakala Anugerah Belia Kategori Wanita pula menjadi milik Ahli Jawatankuasa Belia Daerah Marang, Puan Laila Md Daud.

 Kejayaan itu membolehkan Laila membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil.

Sementara Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu Syed Muhamad Hafizudin Datuk Syed Omar pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Belia Negeri.

Selain itu, johan bagi Anugerah Persatuan Belia pula diraih Persatuan Belia Permata (MAYC) Seberang Takir, manakala naib johan pula dimenangi Persatuan Belia Setia Pakat (MAYC) Tebakang, Alor Limbat.

Kedua-dua persatuan belia itu menggondol wang tunai masing-masing RM10,000 dan RM5,000, selain trofi serta sijil.

 

11 July 2013

RTM Terengganu sedia program khas PRK Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu akan menerbitkan rancangan khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, bermula hari ini sehingga 24 Julai nanti.

Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff (gambar), sepanjang tempoh dua minggu, pihaknya akan bersiaran langsung dari sebuah resort di Besut bermula jam 10 pagi.

“Kita akan menyediakan rancangan secara langsung membabitkan pengisian dari sebelah pagi, tengahari dan juga malam yang mungkin mengambil masa enam jam sehari sepanjang tiga sesi berkenaan.

“Bukan sahaja Radio Malaysia Terengganufm (TfM), Radio Malaysia Kelantanfm juga turut serta sepanjang program khas itu berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, baru-baru ini.

Puan Azizah berkata, sempena PRK itu juga pihaknya menyajikan program Ceria Ramadan yang menjemput pemimpin setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri untuk majlis berbuka puasa bersama golongan sasar khususnya masyarakat setempat dan anak yatim.

Beliau berkata, lebih 100 petugas terlibat sepanjang program khas itu yang melibatkan RTM Terengganu, Kuala Lumpur dan juga Kelantan.

“RTM Terengganu mahu program ini berupaya meningkatkan kesedaran rakyat terhadap usaha pembangunan, transformasi dan kecaknaan kerajaan kepada rakyat selama ini.

 “Saya berharap program ini mencapai matlamat yang digariskan pihak kami,” katanya.


Tengku Zaihan pilihan tepat

Oleh: Suriati Ali

Pengumuman calon muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, pada 24 Julai ini disifatkan sebagai pilihan yang tepat.

Calon BN, Tengku Zaihan (berbaju belang) dekat di hati rakyat Kuala Besut.
Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin, berate pemilihan itu memperlihatkan komitmen berterusan BN dalam membawa transformasi politik tidak hanya bersandarkan kepada pengalaman dan usia.

“Malah pada masa sama, mengambil kira kelayakan akademik, kemampuan memberi perkhidmatan yang baik, penerimaan masyarakat setempat serta kebolehpercayaan.

“Pemilihan calon-calon muda adalah sebagai bukti sifat keterbukaan yang diamalkan oleh BN di samping menjadikan parti itu lebih kuat dan bertenaga.

“Saya berharap beliau dapat bekerja dengan proaktif untuk membawa Kuala Besut ke satu tahap yang lebih baik dengan menggunakan kekuatan fizikalnya sebagai orang muda dan akal fikirannya sebagai seorang jurutera," katanya kepada Teganukita.

 Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan Tengku Zaihan, bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon kerusi DUN Kuala Besut.

 PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu akibat komplikasi paru-paru berair.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Terengganu , Puan Nordiana Shafei berkata, usia muda bukan kriteria utama, namun perkara tersebut menjadi pelengkap selepas aspek lain seperti memiliki latar belakang yang memenuhi kehendak masyarakat setempat dikenal pasti pada diri seseorang calon tersebut.

Menurut beliau, dengan pakej yang dimiliki Tengku Zaihan, ditambah dengan usaha keras sepanjang tempoh pilihan raya kecil, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu diyakini dapat mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti 2,434 undi.

 “Kami mengalu-alukan pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon orang muda di DUN Kuala Besut. Kami berharap beliau dapat menonjolkan kriteria-kriteria yang harus dimiliki oleh seseorang wakil rakyat pada masa kini,"katanya.

 

CEDAR seru belia manfaatkan Dana Tabung Usahawan Muda

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (CEDAR) di bawah Kementerian Sumber Manusia menyeru lebih ramai belia manfaatkan Dana Tabung Usahawan Muda.

Ketua Pegawai Operasi CEDAR, Dr Sheikh Ghazali Abod berkata, bagi melihat lebih ramai anak muda menceburi bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pihaknya giat mengadakan kempen, seminar dan sebagainya untuk memberi pendedahan mengenai bantuan dan peluang keusahawanan yang disediakan pihak kerajaan kepada golongan muda.

"Program-program yang kita adakan bertujuan untuk menarik lebih ramai belia menjadi usahawan sekali gus dapat manfaatkan dana RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Muda yang telah diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet 2013.

"Bermula April lepas, dana khusus untuk anak muda menceburi bidang PKS itu telah memberi kemudahan modal kepada lebih 100 usahawan di seluruh negara dengan pinjaman sehingga RM100,000 bergantung kepada bentuk perniagaan yang dijalankan,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media di Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk PKS di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Namun demikian, amat mendukacitakan bagi Negeri Terengganu katanya, sehingga kini tidak ada seorang pun anak muda tampil merebut peluang berkenaan untuk meneroka peluang bergelar usahawan PKS.

"Untuk memohon dana berkenaan amat mudah malah tidak mensyaratkan seseorang itu mempunyai segulung ijazah, tetapi cukup mereka yang berminat untuk berusaha keras, ada semangat berniaga dan berumur antara 18 hingga 35 tahun.

"Anak-anak muda yang baru lepas SPM dan tidak mempunyai modal dan pengalaman, tetapi berminat untuk menjadi usahawan dipelawa memohon dana berkenaan melalui SME Bank,” ujarnya.

Katanya, latihan dan bimbingan juga akan diberikan kepada mereka sehingga mampu menjadi seorang usahawan PKS.

Jelas beliau, selain pelbagai bantuan yang disediakan pihak kerajaan, ilmu, sikap dan kemahiran sangat penting dalam membentuk diri seseorang itu sehingga dapat bergelar usahawan yang berjaya.