Halaman

09 August 2013

Rumah terbuka bersama pemimpin

Oleh: Suriati Ali

 Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat Negeri, YB A.Latiff Awang akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka pada 15 Ogos bersamaan 8 Syawal bertempat di Dewan Sivik Binjai Rendah, Marang.

 Tarikh sama, turut dipilih Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Kepenggunaan & Koperasi Negeri, YB Roslee Daud di mana akan mengadakan majlis itu di perkarangan Pejabat Adun Bukit Besi.

Majlis kedua-dua pemimpin yang bermula 10 pagi hingga 3 petang itu, dijangka dihadiri ribuan pengunjung pelbagai lapisan masyarakat. Manakala, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut pula memilih hari raya kedua, sebagai Majlis Rumah Terbuka.

 Majlis bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong, Besut.

 Turut menjemput orang ramai, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia, Encik Badrol Hisham Zaki.

 Beliau akan mengadakan rumah terbuka pada 15 Ogos di kediamannya, Taman Alamanda, Jalan Pusara, Kuala Terengganu, bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

 

Maidam hanya taja pelajar persendirian di kalangan fakir miskin

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hanya akan memperuntukkan bantuan pelajaran kepada pelajar persendirian dari kalangan keluarga fakir miskin sahaja mulai sesi pengajian 2013/2014 nanti.

Organisasi itu tidak akan menaja pelajar dalam mana-mana bidang pengajian mulai sesi pengajian September ini kerana bantuan pelajaran tidak lagi diberikan di bawah asnaf fisabilillah.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata di peringkat negeri, Maidam akan membantu pelajar yang ingin memasuki mana-mana pusat latihan dengan syarat mereka atau keluarga di kalangan fakir miskin.

 “Sebagai contoh, UiTM Cawangan Dungun pelajar yang terdiri dari keluarga sinf fakir miskin yang menyertai program mengubah Degniti Anak Bangsa diberikan bantuan yuran pengajian yang kesemuanya melebihi RM0.5 juta setahun.

 “Program ini sebagai program Pra-Diploma bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran di peringkat Diploma di mana-mana UiTM,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Mohd Rozali berkata, perubahan dasar itu bagi memberi keadilan kepada semua pelajar berikutan sebelum ini pelajar pintar mendapat biasiswa atau pinjaman dan mereka perlu membayar balik pinjaman mereka, manakala pelajar yang agak kurang cemerlang mereka dibiayai dengan wang zakat (secara percuma) walaupun bukan dari asnaf.

Katanya, Maidam juga akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan institusi dan pendidikan pondok dalam negeri dengan memberikan bantuan kepda pelajar menerusi asnaf fakir miskin, manakala guru dan infrastruktur pondok itu sendiri dari asnaf fisabillah.

 Setakat ini, beliau berkata institusi pondok dilihat tidak diberi perhatian dan Maidam bertanggungjawab bagi melaksanakannya selaras dengan fungsinya.


08 August 2013

Pengunjung menikmati pelbagai juadah di Kediaman Seri Iman

Oleh: Suriati Ali 

Lebih 15 juadah disediakan untuk tetamu di majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza, di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, pagi ini.

 Nasi dagang, nasi minyak, sate, laksa Terengganu, ketupat pulut, rojak kateh, asam gumpal tapai, lemang, dan pelbagai kuih muih termasuk ais krim antara menu wajib yang dihidangkan untuk tetamu pelbagai golongan, termasuk yang tinggal di perantauan.

 Para tetamu kelihatan gembira kerana mereka bukan saja berpeluang menikmati pelbagai hidangan lazat malah dapat bersalaman dan bersua muka dengan pemimpin berjiwa rakyat itu sambil dihiburkan dengan alunan lagu-lagu hari raya yang mengasyikkan.

Menteri Besar bersama isteri dan anak-anak berpakaian sedondon tidak menang tangan melayan para tetamu yang berduyun-duyun mengunjungi kediaman beliau sejak dari pagi hingga petang.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pembesar negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut yang diadakan dari jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

 Sebelum itu, Menteri Besar dan isteri engiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

 

Rumah terbuka MB sempena Aidilfitri meriah

Oleh: Noraini Jusoh


Ribuan rakyat mengunjungi rumah terbuka Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Seri Iman kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana meriah itu bermula jam 10.30 pagi dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat biasa.

Terdapat pelbagai juadah disediakan untuk tetamu seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, sate, laksa dan sebagainya yang kebanyakannya makanan popular negeri Terengganu.

Seorang pengunjung yang ditemui Teganukita, Nurul Hafizah Zailani, 23, berkata perasaannya sangat gembira kerana dapat beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana berpeluang balik beraya di Terengganu.

"Saya sangat gembira kerana dapat balik beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana tidak berpeluang meraikan bersama keluarga pada tahun lepas.

"Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, rumah terbuka MB merupakan destinasi pertama kami sekeluarga kunjungi seperti tahun-tahun lepas sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara,” ujar pelajar perubatan di sebuah universiti terkemuka di Dublin itu.

Sementara itu, bagi seorang rakyat Amerika, Britney berkata, kesempatan berkunjung ke rumah Menteri Besar sempena lebaran kali ini memberi pengalaman yang cukup indah kepadanya.

"Saya sangat teruja untuk melihat sambutan Hari Raya Puasa di Malaysia dan kesempatan ini sangat bermakna buat saya kerana dapat merasai keenakan juadah seperti ketupat dan tapai serta mendapat layanan yang begitu istimewa daripada Menteri Besar Terengganu,” ujar pembantu pengajar English Teaching Asistant (ETA) yang mengajar di Johor.

Bagi Azhar Abdullah yang kali kedua mengunjungi rumah terbuka MB berkata, kemeriahan sambutan Aidilfitri sangat dirasai dengan kehadiran pelbagai kaum tidak mengira agama ke majlis berkenaan.

"Saya dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri di sini kerana kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Melayu, China dan India menunjukkan semangat muhibbah rakyat Terengganu,” ujarnya.

 









Sultan Mizan solat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Al-Muktafibillah Shah

Oleh: Noraini Jusoh



Sultan Terengganu, Sutan Mizan Zainal Abidin, berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi ini.



Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, para pembesar negeri, orang kenamaan dan rakyat jelata di kawasan Ladang dan Batu Buruk.



Selesai solat sunat Aidilfitri, rakyat jelata mengambil peluang untuk bersalam-salaman dengan baginda sambil mengucapkan Selamat Hari Raya.



Baginda turut menziarahi Makam Diraja yang terletak di masjid berkenaan.

 







Sambut Aidilfitri penuh kesyukuran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak rakyat negeri ini menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh rasa syukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, termasuk suasana aman dan damai.

Beliau berkata, rakyat negeri ini amat bertuah kerana dapat menyambut hari lebaran bersama-sama anak isteri, saudara mara dan rakan taulan dalam keadaan yang aman tanpa sebarang gangguan dan ancaman keselamatan.

Katanya, suasana di Terengganu dan Malaysia amat jauh berbeza dengan negara-negara luar yang bergolak dan menghadapi peperangan akibat keadaan politik negara mereka yang kurang stabil.

 “Saya mahu rakyat negeri ini mempertahankan keamanan yang kita kecapi ini dan terus mendokong kerajaan supaya negeri Terengganu dan negara Malaysia menjadi lebih stabil di masa depan.

“Jika kuasa politik kita stabil dan ekonomi negara semakin kukuh, sudah tentu negara kita sukar diugat oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat kejatuhan negara kita,” katanya ketika ditemui di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud mendoakan agar seluruh rakyat negeri ini terus berpeluang merayakan Aidilfitri dalam keadaan aman dan dilindungi daripada mereka yang berniat jahat dan mahu menimbulkan huru hara dalam negara.

 “Ambilllah kesempatan menyambut hari raya ini dengan menerusukan amalan kunjung mengunjungi dan ziarah menzirahi sesama kita sepanjang musim perayaan ini.

 “Kukuhkan silaturahim dan ketepikan segala selisih faham sebelum ini. Jadilah rakyat yang terus bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut meminta anak-anak Terengganu yang berada di perantauan supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang serta memandu mengikut peraturan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini.

“Sekali lagi Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin,” katanya.



Keunikan Ramadan dan Syawal di Kampung Bukit Wan

Oleh: Noraini Jusoh

Ramadan dan Syawal sememangnya bulan yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam di negara ini termasuk penduduk di sebuah perkampungan Melayu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Kampung Bukit Wan yang pernah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 memang tidak asing lagi bagi rakyat Terengganu, `dek’ kehijauan landskap yang sentiasa terjaga dan keharmonian penduduknya yang saling hidup bermuafakat.

Sehubungan itu, Kampung berkenaan menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bagi menyempurnakan majlis ADC, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK), Bukit Wan, Chek Harun Ismail berkata, kedatangan Ramadan pada kali ini memberi seribu makna kepada penduduk Kampung Bukit Wan yang mempunyai kira-kira 500 penduduk.

"Rutin harian penduduk di sini sepanjang bulan puasa lebih kurang sama dengan kampung lain. Mereka kebiasaannya keluar bekerja pada siang hari dan malamnya mengambil kesempatan di bulan mulia ini dengan mempertingkatkan amal ibadah seperti sembahyang terawih dan bertadarus secara berjemaah di masjid.

"Selain itu, majlis berbuka puasa secara berjemaah juga sudah menjadi satu kelaziman bagi penduduk Kampung Bukit Wan di mana satu tarikh dipilih pada setiap Ramadan untuk diadakan majlis berkenaan.
Untuk tahun ini, kami bersepakat mengadakannya pada 2 Ogos bersamaan 24 Ramadan 1434H bertempat di Masjid kampung Bukit Wan,” ujarnya kepada Teganukita.

Jelas beliau, jika kampung lain memasak hidangan untuk berbuka puasa di masjid, apa yang uniknya di sini ia di masak sendiri oleh setiap keluarga untuk di bawa ke masjid.

"Pada sebelah pagi diadakan majlis gotong royong memotong daging dimana seekor lembu dan seeekor kerbau disembelih untuk dijadikan lauk. Daging-daging tersebut diagihkan mengikut tempahan yang telah dibuat oleh penduduk kampung untuk dimasak di rumah masing-masing. Menjelang waktu Magrib, lauk-pauk yang dimasak dihantar ke masjid untuk dijadikan hidangan berbuka puasa,” ujarnya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri di kampung berkenaan pula, Chek Harun berkata, Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bukit Wan disambut secara sederhana tetapi cukup meriah.

"Beberapa hari sebelum raya penduduk kampung telah sibuk membuat persiapan termasuklah membersih kawasan halaman rumah, memasang pelita, membersih jalan-jalan utama dan sebagainya.

"Kaum wanita pula sibuk membuat kuih-muih termasuk kuih tradisional seperti ketupat, lemang, tapai dan juga kuih moden. Dalam pada itu, anak-anak kampung yang sekian lama merantau, pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga tercinta,” ujarnya.

Katanya, ada yang mengambil kesempatan untuk membayar zakat fitrah pada malam raya, malah turut disusuli dengan kesyahduan takbir yang berkumandang di masjid sehingga ke tengah malam.

"Pada pagi 1 Syawal, masjid mula dipenuhi orang ramai untuk sembahyang sunat hari raya.
Setelah selesai khutbah raya, semua penduduk kampung akan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.Keadaan ini telah menjadi satu tradisi di Kampung Bukit Wan,” ujarnya.

Tambah beliau, setelah semuanya selesai, penduduk kampung terus ke tanah perkuburan untuk menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal. Disana di adakan majlis tahlil dan bacaan doa. Selepas itu barulah penduduk kampung mula menziarahi sanak saudara dan kunjung mengunjung antara satu sama lain.

 

TEGANUKITA 88




Aidilfitri lebih bermakna di rumah baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini, seorang ibu tunggal terpaksa hidup berpindah-randah bersama empat anak dan seorang cucu akibat desakan hidup dan tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun, sejak setahun lalu, Puan Hasnah Ahmad, 49, tidak lagi gusar dan tertekan dengan beban sewa yang tinggi dan mencari tempat perlindungan yang selesa.

Ibu kepada lapan anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Siti Robiah Othman, 21 tahun itu kini menetap di perumahan berkembar Kampung Kubur Sharif, Padang Nenas, Batu Rakit. Malah, menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, satu Syawal kali ini adalah yang pertama beraya di rumah baru berkenaan bersama 39 keluarga lain di kawasan perumahan itu.

“Alhamdulillah, sungguh selesa, rasa lebih tenang dan tenteram sejak tinggal di rumah yang disediakan kerajaan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu ini.

 “Dengan ruang tamu, dapur dan tiga bilik tidur serta persekitaran yang agak luas untuk bercucuk tanam, saya dan keluarga rasa rumah begini sudah cukup baik untuk kami berlindung,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Puan Hasnah yang mula menetap di rumah itu sejak 20 Ogos lalu, menyifatkan rumah bantuan perumahan itu seperti `bulan jatuh ke riba’ kerana sudah lama dia dan keluarga mengimpikan sebuah kediaman yang selesa serta dapat berteduh dari hujan panas tanpa sebarang risiko berbanding mendiami di rumah serba kekurangan di kawasan pantai sebelum ini.

Dia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 termasuk RM150 untuk Siti Robiah yang memegang kad OKU, merasakan hari raya kali ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Anak-anak semua yang tinggal di luar Terengganu, insya-Allah akan balik berhari raya di rumah ini.

“Walaupun persiapan ala-kadar saya tetap bersyukur dan gembira kerana tinggal di rumah jauh lebih sempurna berbanding sebelum ini, selain dikelilingi jiran tetangga yang baik hati serta tidak lokek menghulurkan bantuan walaupun kebanyakan kami hidup`kais pagi makan pagi’,”katanya.

Untuk rekod, sebanyak 40 Perumahan berkembar berharga RM45,000 seunit dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 juta dibangunkan di kawasan itu menerusi sumbangan Maidam dengan Affin Islamik Bank RM1 juta, manakala selebihnya dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi kerja-kerja menyediakan kemudahan infrastruktur.

Peserta yang menduduki rumah Maidam tidak akan diberi hak milik sebaliknya dikenakan sewa RM50 sebulan kerana konsep agensi berkenaan membantu penduduk miskin berkenaan, sementara mereka memiliki rumah sendiri.


07 August 2013

Ibu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dapat rumah baru


Walaupun dapat rumah baru tetapi Khadijah tetap merinduni ASP Zulkifli.

 Oleh: Mohammad Ishak 

“Walaupun dapat rumah baru tetapi tidak boleh ditebus ganti dengan kehilangan anak tersayang,” kata Khadijah Ismail, 64, ibu kepada arwah Wira Negara Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lalu.

Khadijah, berhari raya pertama kali tanpa kehadiran Allahyrahman tetap merasai kehilangan anak lelaki yang mati terkorban dalam usahanya mempertahankan negara daripada diceroboh musuh.

Bagaimanpun, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang meluluskan peruntukan membaikpulih rumahnya sebelum ini dalam keadaan yang uzur.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Mohd Mahdi Musa melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kubang Ikan berusaha membaikpulih rumah berkenaan yang kini lebih selesa.

“Tahun ini mak cik berhari raya di rumah yang lebih selesa dan tidak lagi dalam keadaan daif seperti yang dihadapi sebelum ini,” katanya.

Namun,katanya, hati dan perasang tetap teringat dan terkenang-kenang kepada Allahyarham Zulkifli, kerena pada kebiasaanya pada setiap kali menjelang raya arwah pulang bersama isteri dan dua anak berhari raya bersama keluarga.

Menurutnya, arwah juga selalu membawa pulang ole-ole untuk mak cik dan adik beradik yang lain setiap kali pulang berhari raya.