Halaman

19 August 2013

Bertanding secara sihat – Ketua Pemuda Umno KT

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki (gambar) , meminta pemimpin dan ahli
Umno yang bakal bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan tahun ini supaya berkempen secara sihat dan tidak melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan parti.

Beliau berkata, tidak ada gunanya mereka memegang jawatan tinggi hasil perebutan kuasa hingga menimbulkan perpecahan kepada parti kerana ia akan menguntungkan pihak lawan.

 “Umno tidak mampu lagi menanggung pelbagai masalah selepas pemilihan kali ini kerana ia akan melemahkan parti dan menguntungkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya yang juga Pegawai Khas Kepada Menteri Besar bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Badrol Hisham yang melepasi umur kelayakan Pemuda, ketika dihubungi Teganukita hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut bagi membantu memperkukuhkan parti, terutama dalam menghadapi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

 “Jika diberi kepercayaan oleh para perwakilan, saya akan sama-sama membantu pimpinan di peringkat bahagian bagi menebus kekalahan Barisan Nasional (BN) di semua kerusi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.

Katanya, beliau sedia bekerja sama dengan semua pemimpin yang bakal bertanding pada pemilihan peringkat bahagian nanti asalkan mereka tidak melampaui batas dan menjadikan perpaduan parti sebagai agenda utama.

 

140 peserta bakal sertai PGM Terengganu Master 2013

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu terus menganjurkan Kejohanan Golf `PGM Terengganu Master 2013 bertempat di lapangan Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort, Kemaman.

Presiden Persatuan Golf Terengganu (PGT) Ahmad Zubir Azhari berkata kejohanan yang berlangsung selama empat hari dan bermula 21 Ogos itu bakal disertai 140 peserta dari 19 negara.

 Antara negara yang bakal menyertainya, termasuk Afrika, Australia, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan, Brunei, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea, India dan Burma.

Katanya, semua peserta yang sudah mendaftarkan diri itu adalah di kalangan pemain-pemain terbaik dan professional.

 “Kejohanan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Terengganu untuk menarik minat pengunjung tempatan dan luar negara.

 “Pihak kami percaya melalui pendekatan seumpama ini, konsep sukan melalui pelancongan mampu dijayakan, seterusnya mencapai hasrat Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

 Menurutnya, kerajaan negeri yang menyumbangkan RM400,000 berusaha menjadikan PGM Terengganu Master sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

 “Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini.

 “Setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing,” katanya.

   

Maidam sedia bantu kerajaan bawa pulang pelajar

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membawa pulang pelajar ke tanah air jika keadaan memerlukan berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutinya, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh (gambar kecil) berkata, Maidam akan membantu dari segi kewangan untuk melancarkan operasi di Kuala Lumpur , Mesir dan Jedah.

“Situasi yang sama pernah berlaku pada 2011 di Mesir dan Maidam telah mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM1.2 juta bagi mengurus kepulangan pelajar kita dari Mesir ke Terengganu,” katanya kepada pemberita di Pejabatnya semalam.

Dalam situasi hari ini katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama dan menunggu berita selanjutnya sama ada perlu memindahkan pelajar kita di sana atau sebaliknya.

Katanya, setakat ini tidak ada pelajar tajaan Maidam menuntut di Mesir tetapi terdapat pelajar-pelajar di bawah bantuan Maidam sahaja.

“Seperti tahun 2011, Maidam akan bersama-sama kerajaan negeri membantu menguruskan kepulangan pelajar kita jika mendapat arahan,” katanya.

Menurutnya Maidam juga sedang memantau keadaan yang berlaku di Mesir dan berharap pelajar tempatan tidak terlibat dalam demostrasi serta mencampuri urusan rakyat di negara itu.

 “Pelajar juga perlu bergerak ke tempat-tempat yang diyakini selamat seperti ke rumah pelajar negeri sahaja dan tidak cuba berkomunikasi melalui media sosial dengan orang luar mengenai pergolakan yang berlaku kerana akan mengundang bahaya,” katanya.

Katanya, jagalah keselamatan diri masing-masing dan kerajaan akan membawa mereka pulang ke tanah air sebaik sahaja menerima arahan dari pihak berkuasa.
 

18 August 2013

YAB Menteri Besar Terengganu dan isteri ke Majlis Hari Raya Aidilfitri EPIC di Perkarangan EPIC, Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB), Kemaman

GAMBAR-GAMBAR oleh NURUL AZIELA SHABERI

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said diraikan ketika bertandang di majlis Aidilfitri EPIC, Kemaman.

Bergambar bersama kakitangan EPIC





Majlis raya PBPPPM di MRSM Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu (PBPPPM) bakal mengadakan Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Jalan Tembila, Besut pada 24 Ogos ini (Sabtu).

Program yang dilaksanakan di daerah berlainan setiap tahun itu akan dirasmikan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pengerusi PBPPPM Daerah Kuala Terengganu, Puan Ainun Jamilah Mohd Ali, berkata acara majlis bakal bermula pada jam 9.30 pagi disertai dengan perasmian oleh Dato’ Seri Idris dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

“Kita berbesar hati untuk menguar-uarkan majlis ini supaya semua ahli persatuan dapat menyertai sekali gus memeriahkan sambutan itu nanti.

 “Bagi ahli daerah Kuala Terengganu, dua bas disediakan untuk ke tempat program dan berkumpul di Kompleks Seri Iman pada jam 7.30 pagi hari berkenaan,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Ainun Jamilah berkata, semua ahli jawatankuasa merangkap penganjur program itu berharap supaya majlis berkenaan nanti bukan sahaja menjadi wadah untuk bertemu dan bermaaf-maafan, malah dapat menyuburkan ukhwah dan saling berkongsi pengalaman bagi memajukan lagi PBPPPM.

Puan Ainun Jamilah berkata, persatuan yang mempunyai 1,700 ahli di seluruh Terengganu termasuk 800 daripada Kuala Terengganu itu sentiasa menjalankan aktiviti yang bermanfaat kepada ahli termasuk meraikan mereka di majlis sambutan hari raya yang dilaksanakan di setiap daerah.

 

Kerajaan tunggu arahan MKN untuk pindah pelajar di Mesir

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Kerajaan negeri akan mengikut pelan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bersedia untuk membawa pulang pelajar apabila perintah evakuasai di keluarkan oleh kerajaan Malaysia.

YB Ghazali Taib (kanan) bersama Dato' Haji Mohd Rozali ketika membuat sidang akhbar  mengenai keselamatan dan misi membawa pulang pelajar Terengganu di Mesir mengikut pelan penyelarasan MKN di Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pelajar dinasihat mematuhi pekeliling yang dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt.

“Kita tidak akan bertindak bersendirian sebaliknya menunggu arahan dari MKN dan sedang memantau situasi di Mesir dari semasa kesemasa.

 “Setakat ini keadaan masih terkawal dan lokasi kediaman pelajar kita juga jauh dari kawasan berlaku rusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kompleks Seri Iman hari ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haj Mohd Rozali Salleh dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Haji Razali Mahmud.

Katanya, pelajar dinasihatkan mematuhi arahan perintah berkurung daripada 7 petang hingga 6 pagi serta menjauhkan diri daripada kawasan demostrasi di samping menyediakan duit, makanan dan barang keperluan secukupnya.

 “Pelajar dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat anti kerajaan Mesir atau berkaitan pergolakan di negara berkenaan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter atas dasar keselamatan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pelajar negeri ini yang sedang menuntut di Mesir ialah 620 orang termasuk yang dibantu oleh Maidam dan juga pelajar persendirian.

“Namun sebahagian mereka telah pulang ke tanah air sebaik selesai peperiksaan baru-baru ini cuma yang tinggal ialah 218 pelajar dalam bidang perubatan dan 32 orang yang sedang mengikuti pengajian Islam manakala 28 orang pelajar baru sampai akan ditempatkan di asrama Terengganu ,” katanya.

YB Ghazali juga berharap ibu bapa dan pejaga pelajar tidak bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana kerajaan telah menghantar pegawai bagi memantau serta menjaga pelajar kita di sana.

“Keselamatan pelajar kita di sana menjadi keutamaan kerajaan dan jika keadaan bertambah rumit kita akan lakukan sesuatu termasuk memindahkan mereka ke negara berdekatan,” katanya.
 

Masyarakat wajar kibar bendera

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Masyarakat di negeri ini terutama pemilik kenderaan dan premis perniagaan disaran mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-56 tanpa mengharapkan bendera percuma daripada mana-mana pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke 56, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang (gambar kiri) berkata, walaupun kini masih dalam suasana hari raya, tidak salah untuk berbuat demikian.

Katanya, pendekatan itu mampu mewujudkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotisma kepada negara tanpa mengira bangsa dan usia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu cinta kepada negara, tanda sayang dan cinta, boleh pamerkan melalui pelbagai kaedah termasuk mengibar bendera di kenderaan, rumah atau premis perniagaan.

“Pada masa sama, jangan harap sumbangan Jalur Gemilang percuma daripada mana-mana pihak, kerana ia boleh di beli dengan kadar harga yang sangat berpatutan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Katanya, seharusnya perlu merasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut hari kemerdekaan negara ke-56. Semangat kemerdekaan perlu ditanam disetiap jiwa rakyat Malaysia

“Pihak kami berharap semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini,” katanya.

 Sementara itu, kerajaan negeri akan melancarkan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, petang esok.

 Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, pemimpin kanan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan agensi negeri dan Persekutuan akan hadir bagi memeriahkan majlis yang dijangka bermula jam 2.30 petang. 

Majlis tersebut akan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan 1Malaysia, diikuti persembahan Sajak Malaysiaku Bedaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Selepas itu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang, akan menyampaikan kata-kata aluan.

 Menteri Besar kemudiannya akan menyampaikan ucap utama dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran sambutan berkenaan.

Selepas itu, upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh RAMD/TLDM dan diikuti upacara menaikkan bendera Malaysia.

 Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bendera Malaysia kepada pegawai-pegawai daerah. Majlis itu berakhir dengan gimik pelancaran melekatkan Bendera Malaysia dan sticker Hari Kemerdekaan Ke-56 di kenderaan jabatan negeri, persektuan dan lain-lain agensi.

 

500 Jalur Gemilang diedar sempena Kembara Merdeka Di Hulu Terengganu

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Sebanyak 500 Jalur Gemilang diedarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di beberapa lokasi sekitar Parlimen Hulu Terengganu, sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan negara ke-56 tahun.

Konvoi sehari yang disertai 45 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda, anggota Kelab Perodua Viva dan 300 motosikal itu dilancarkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari di sini, semalam.

Dato’ Jailani yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghayati semangat kemerdekaan dengan memasang jalur gemilang di setiap rumah dan premis sepanjang bulan kemerdekaan ini sebagai simbol sokongan padu dan cinta kepada tanahair.

 "Tema pada tahun ini bersifat perpaduan dan beroreantasikan kepada patriotik dan kesatuan bangsa dalam menghadapi cabaran.

“Ianya dipilih bagi memberi peringatan kepada rakyat bahawa kemerdekaan yang dikecapi adalah hasil titik peluh,perjuangan dan pengorbanan jiwa raga oleh wira-wira kita yang sanggup menyabung nyawa supaya negara Malaysia terus merdeka selamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvoi Jalur Gemilang yang diadakan serentak dengan majlis rumah terbuka di Dataran Kuala Berang.

Kira-kira 10,000 rakyat hadir ke majlis rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu yang turut disertai Pos Malaysia, Celcom, Digi, Maxis dan Telekom Malaysia, sebagai penyedia juadah.

Majlis yang diraikan secara besar-besaran ini diadakan bagi merapatkan lagi sillaturrahim di samping sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Hulu Terengganu yang mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya lalu.


MB lancar Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 esok

Kerajaan negeri akan melancarkan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, petang esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, pemimpin kanan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan agensi negeri dan Persekutuan akan hadir bagi memeriahkan majlis yang dijangka bermula jam 2.30 petang.

Majlis tersebut akan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan 1Malaysia, diikuti persembahan Sajak Malaysiaku Bedaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.


Selepas itu, Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang, akan menyampaikan kata-kata aluan.

Menteri Besar kemudiannya akan menyampaikan ucap utama dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran sambutan berkenaan. Selepas itu, upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh RAMD/TLDM dan diikuti upacara menaikkan bendera Malaysia.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bendera Malaysia kepada pegawai-pegawai daerah.

Majlis itu berakhir dengan gimik pelancaran melekatkan Bendera Malaysia dan sticker Hari Kemerdekaan Ke-56 di kenderaan jabatan negeri, persektuan dan lain-lain agensi.

 

JPJ kesan plat motosikal tertera ucapan hari raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Segelintir pemilik kenderaan khususnya motosikal di negeri ini dipercayai kreatif tidak bertempat apabila sanggup melanggar undang-undang jalan raya dengan memasang nombor plat yang tertera ucapan hari raya pada kenderaan masing-masing.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pihaknya mula mengesan trend itu pada hari raya ketiga, iaitu 10 Ogos lalu melibatkan empat kes termasuk sebuah kereta.

 “JPJ negeri ini mula mengesan kes itu di sekitar bandar raya serta daerah Setiu dan kita percaya mereka menempah khas nombor plat pendaftaran tersebut di kedai tertentu serta bertindak sedemikian bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri.

"Kita telah mengesan trend yang rata-ratanya dilakukan golongan remaja melalui rondaan harian dan beberapa sekatan jalan raya sepanjang musim perayaan dan kesemua pesalah telah disaman serta diberikan notis arah periksa,” katanya.

Tuan Abdul Rahman Emang Anyie berkata, menggunakan nombor plat pendaftaran yang dihias dengan ucapan hari raya adalah menyalahi undang-undang kerana nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan terlalu kecil dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ.

Beliau berkata, kes seumpama itu yang dilakukan warga tempatan negeri ini merupakan kes pertama kali dikesan berlaku ketika sambutan hari raya kali ini.

 “Kita nasihatkan mana-mana pemilik kenderaan yang masih berbuat demikian diingatkan agar tidak melakukan kesalahan berkenaan walaupun sekadar untuk memeriahkan suasana perayaan kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya .