Halaman

21 August 2013

PEMUDA GIGIH MENCARI REZEKI

Oleh: Aminudin Ismail 

Mohd Khairi sedang mengemas botol minuman di gerainya.

SEORANG pemuda Mohd Khairi Jauhari, 26, dari Kampung Sungai Lerek, Setiu tetap berusaha mencari rezeki halal dengan menjual air minuman berhampiran sebuah sekolah di Sungai Lerek biarpun dia tidak mampu berjalan dengan sempurna kerana mengalami masalah pada bahagian lutut akibat kemalangan jalanraya.

 Mohd Khairi berkata, selepas terbabit dengan kemalangan itu, dia hampir setahun tidak dapat bergerak dan hanya terlantar di katil tetapi bersyukur kerana selepas itu dia mampu bergerak dan berjalan mengunakan tongkat.

“Saya koma selama tiga hari dan selepas sedar saya dapati saya tidak dapat berjalan kerana mengalami patah kaki kiri dan sakit bahu. Selepas mendapat rawatan beberapa kali di Hospital, akhirnya saya mampu berjalan mengunakan tongkat selepas kaki saya dimasukan sebatang besi dan setahun selepas kemalangan saya semakin sihat walaupun tidak boleh berjalan sebagaimana orang lain,” katanya.

 Menurutnya, hasil daripada menjual air minuman itu, dia memperolehi pendapatan kasar sekitar RM30 hingga RM50 sehari dan boleh membantunya menampung perbelanjaan harian kerana dia tidak mampu melakukan kerja yang memerlukan tenaga yang banyak.



Sambutan Hari Raya UKOM Pada 26 Ogos 2013 (ISNIN)




 

Adik menang, abang kalah

Nasib berbeza dialami dua pasukan Terengganu pada perlawanan pertama Piala Malaysia yang membuka tirai malam tadi.

Pasukan T-Team yang beraksi di gelanggang lawan puas membawa pulang 3 mata setelah menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh manakala pasukan Terengganu kalah kepada Negeri Sembilan 0-2 di halaman sendiri malam.

Bermain sebagai pasukan pelawat tidak menjadi masalah kepada T-Team apabila berjaya mengalahkan Felda United dengan Ahmad Syamin menjaringkan gol tunggal Titans pada minit 48. Perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan tetapi tuah lebih menyebelahi T-Team.

Terengganu pula harus menyalahkan diri sendiri selepas tunduk mudah kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Walaupun banyak melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan, ketumpulan jentera serangan merencatkan strategi tuan rumah.

Skuad Peteh mendapat peluang untuk merapatkan jurang gol selepas mendapat sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Manaf Mamat.

Perlawanan kedua diadakan pada 24 Ogos ini yang akan menyaksikan Terengganu bertemu musuh tradisi Kelantan di Kota Bharu dan T-Team lawan Pahang di Kuala Terengganu.


SATU akan bina dua loji

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (SATU) akan membina dua loji simpanan air membabitkan Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan Kampung Bukit Sah, di Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Husain Embong, berkata hasil kajian yang dibuat mendapati kapasiti keupayaan 12 loji yang sedia ada di negeri ini hampir mencapai tahap maksimum.

 Katanya, kemudahan yang ada sekarang tidak dapat menampung dan kajian yang dibuat mendapati perlu kedua-dua loji baru amat diperlukan bagi menampung bekalan air bersih kepada pengguna terutama Kuala Terengganu dan di Kemaman yang kini pesat dengan pembangunan perindustrian.

"Kita sudah bersiap sedia dan mengenalpasti lokasi pembinaan dua loji baru ini, cuma hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk meluluskan peruntukan kira-kira RM1.2 bilion..

"Pihak kami akan menjangkakan jika loji baru ini tidak menjadi kenyataan, pengguna akan menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun 2017 atau 2018,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Katanya, hasil kajian mendapati sekiranya dalam tempoh lima tahun dari sekarang, dua loji baru ini tidak dibina, pengguna terutama di daerah Kuala Terengganu dan sebelah Utara akan menghadapi masalah bekalan air yang teruk.

 "Bayangkan jika pembinaan baru bermula 2015 dan ia dijangkakan siap tahun 2018 dan pada tahun itu, kita menjangkakan pengguna akan menghadapi masalah luar biasa jika berlakunya kemarau atau kerosakan besar disebabkan loji sedia ada di tahap maksimum," katanya.

Haji Husain turut memberitahu mahu mempercepatkan pembangunan infrastruktur bekalan air dari segi penukaran paip baru dan pembinaan loji baru bagi menjamin bekalan air yang selesa kepada seluruh rakyat Terengganu menjelang tahun 2030.

 

20 August 2013

Tesdec rancang perkenal kursus Teknologi Solar

Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pusat Latihan Kemahiran Terengganu (Tesdec) merancang memperkenalkan kursus baru iaitu Teknologi Solar mulai tahun depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis berkata, perancangan ini lahir setelah melihat kepentingan dan keperluan yang meningkat dalam kehidupan harian masyarakat.

“Setakat ini kita masih dalam kajian dan perbincangan untuk melaksanakan kursus ini dan jika tidak ada aral kita akan membuat pengambilan pelajar tahun depan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 di Grand Puteri Hotel Kuala Terengganu hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Mahdi Musa telah merasmikan kursus berkenaan.

Katanya, setakat ini Tesdec menawarkan enam program kemahiran serta dua program diploma di Kolej Tesdec iaitu program Diploma of Engineering Teknologi in Automotif Maintenance dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur dan Sijil Sains (program Pra Diploma).

“Dua sijil kecekapan kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) iaitu Pendawaian Fasa Tunggal,” katanya.

Katanya dalam usaha mengurangkan pengangguran kalangan graduan, Tesdec turut menawarkan sembilan program lepasan diploma dan siswazah serta program Terengganu Graduate Attachment Scheme (T-Gas).

“Program ini khas untuk memberi pendedahan dan pengalaman bekerja kepada anak tempatan selama enam bulan di agensi terpilih dengan diberi elaun bulanan RM600,” katanya.

Menurutnya program lain turut dilaksanakan termasuklah Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) Kementerian Kesihatan Malaysia, Skim Perantisan Bioteknologi (CJ Bio Malaysia)dan Skim Perantisan Tesdec-Eastern Steel.
 

Utamakan kebersihan di kedai makan

Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta membuat pemantau lebih kerap terhadap kedai-kedai makan di negeri ini dalam usaha menjaga imej negeri di mata pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT ) tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri YB Mahdi Musa (gambar) berkata pemantau secara lebih kerap penting kerana terdapat kealpaan kalangan pengusaha kedai makan menjaga kebersihan terutama di bahagian belakang premis.

“Kita tidak mahu kebersihan hanya kelhatan dibahagian hadapan sebaliknya penekanan perlu dibuat secara keseluruhan termasuk dibahagian dapur serta tandas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 (KLPM) di Grand Puteri Hotel Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec) Haji Che Razali Adis dan Pegawai Kesihatan Kuala Terengganu, Encik Mohamad Muda.

Katanya, semua pengusaha makanan di negeri ini juga mesti memberi keutamaan terhadap kebersihan makanan dan juga persekitaran tempat beroperasi dalam usaha pencegahan penyakit bawaan makanan yang kerap berlaku sekarang.

Beliau juga mengingatkan pengusaha kantin sekolah dan asrama agar mengambil berat mengenai pemilihan sayuran untuk kegunaan harian dan dibersihkan dengan teliti sebelum dimasak.

Sehubungan itu katanya, Tesdec telah dilantik sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2007 dan satu-satunya SLPM milik kerajaan negeri.

Sehingga ini katanya, kira-kira 1,200 orang peserta telah berjaya menjalani kursus berkenaan yang diberikan secara percuma di Tesdec dan diadakan 14 siri kursus setahun.

Pada majlis berkenaan seramai 32 orang pengusaha makanan, pemilik kedai makan dan pengusaha kantin telah menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh YB Mahdi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec.

 “Pemiliki sijil KLPM diiktiraf di seluruh negara dan tanpanya mereka tidak dibenarkan untuk membuka kedai makan atau berkaitan dengannya,” katanya.
 

Maidam pelawa anak asnaf sertai Akademi Kulinari kemasukan Januari

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mempelawa anak golongan asnaf dan
miskin di seluruh Terengganu yang berminat di bidang kulinari supaya mendaftar bagi kemasukan sesi ketiga bermula Januari/Februari ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh (gambar), berkata projek Akademi Kulinari di hadapan Penjara Terbuka Marang yang dibangunkan menerusi Yayasan Waqaf Malaysia menggunakan peruntukan RM2.1 juta di atas tanah wakaf am dengan konsep `Built-Operate-Transfer’.

“Bangunan itu akan diserahkan kepada Maidam selepas 10 tahun atau suatu tempoh yang lebih awal.

“Akademi kulinari ini dikendalikan bersama oleh Maidam, Yayasan Waqaf Malaysia dan Giat Mara,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali berkata akademi itu sedang melatih seramai 40 orang pelajar sesi kedua di kalangan anak fakir dan miskin Terengganu dalam bidang pembuatan kek dan roti.

Menurutnya, seramai 37 pelajar sudah mengikuti kursus itu pada sesi pertama dan setiap pelajar mendapat bantuan mengikuti kursus berjumlah RM1,400 sebulan selama enam bulan (satu sesi), selain masing-masing wang saku RM200 disediakan oleh Giat Mara.

“Apabila tamat latihan, Maidam bersedia memberikan bantuan modal niaga untuk mengeluarkan keluarga mereka dari kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, selain akademi berkenaan, projek pembangunan Maidam menerusi peruntukan Yayasan Waqaf Malaysia termasuk pembinaan Hotel Wakaf, berhampiran Masjid Abidin melibatkan RM41 juta di atas tanah yang dimiliki Maidam sejak 1970-an.

Katanya, tanah itu dipajakkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia selama 25 tahun dan tiada langsung menggunakan duit zakat dalam projek pembinaan hotel berkenaan.


Epic sasar untung bersih lebih RM100 juta

Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik dan perkhidmatan pelabuhan mensasarkan keuntungan bersih lebih RM100 juta menjelang akhir tahun ini

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Encik Ramli Shahul Hameed (gambar), berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu kerana telah memperolehi untung bersih sebanyak RM60 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Untuk mencapai sasaran itu, Epic juga membuat penilaian semula dan mengoptimumkan semua aset yang kita ada termasuk kenderaan berat dan kenderaan lain di Pelabuhan Kemaman.

 "Malah Epic kini sedang membangunkan kawasan seluas 640 ekar untuk pembinaan 12 gudang tambahan berikutan permintaan tinggi dari pihak industri yang berurusan dengan Epic," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Epic di kawasan industri Teluk Kalong di Kemaman, kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Epic yang ditubuhkan pada 17 Januari 1981 dan bertukar menjadi sebuah syarikat awam sembilan tahun kemudiannya itu adalah antara penyedia perkhidmatan pelabuhan yang terbesar di Asia dengan kira-kira 12,000 pekerja ketika ini.

Ramli berkata dengan tambahan 12 gudang baharu di kawasan yang dikenali sebagai West Wharf itu, Epic menjangkakan pertambahan 3,000 pekerja pada tahun depan.

"Apabila siap kelak, ia akan memenuhi keperluan logistik bagi kilang besi di kawasan ini termasuk Eastern Steel dan beberapa kilang lagi yang sedang dibina," katanya.

Epic yang tersenarai dalam pasaran Bursa Saham Securities itu turut memiliki jaringan komunikasi jalur lebar sebagai nilai tambah kepada pelanggannya.


Satu belanja RM20 juta tukar paip lama

Oleh: Suriati Ali

 Syarikat Air Terengganu (SATU) sudah membelanjakan RM20 juta bagi menukar paip lama di kawasan kritikal di Terengganu selepas dikenalpasti sentiasa berlaku kebocoran dan tekanan air rendah.

 Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata, bagi tujuan sama, kerajaan negeri meluluskan RM10 juta untuk menukar paip lama di seluruh negeri , sepanjang tahun ini .

 

 Katanya, pihaknya mengenalpasti antara kawasan yang kerap mengalami gangguan terutama di daerah Kuala Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Wakaf Mempelam, Losong, Taman Semarak dan Gong Badak.

"Masalah utama yang dihadapi ialah tekanan air rendah dan sering berlaku gangguan air berpunca daripada rangkaian paip sedia ada sudah usang berusia lebih 20 tahun.

 "Kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa dan ketahannya tidak lagi terjamin,”katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya, di perkarangan pejabat Satu, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama meraikan majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Wakil Rakyat.

 Kira-kira 1,000 jemputan hadir pada majlis yang diserikan dengan dendangan lagu raya dan pelbagai jenis menu, termasuk nasi dagang, nasi minya, ais cendol, lemang, ketupat, tapai dan pelbagai aneka kuih muih.

 "Melalui kajian dibuat, sudah tentu paip perlu diganti dengan rangkaian paip baru dengan menggunakan teknologi baru bagi memastikan bekalan air bersih di daerah ini sentiasa stabil,” katanya.

 "Perkara ini kita sudah dipanjangkan kepada kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan tahun demi tahun mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya.

 

Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu anjur Kempen Kibar Jalur Gemilang


Pengarah JPNIN,Terengganu, Burhanuddin Daud

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu, meneruskan tradisi penganjuran Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan pembabitan komuniti setempat menyambut Hari Kemerdekaan Negara Ke 56 pada setiap tahun.

Program membabitkan penyertaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih di seluruh negara itu juga sebahagian usaha jabatan menggalakkan pembabitan semua pihak khususnya KRT dalam meningkatkan semangat patriotik dan perpaduan dalam masyarakat.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata,pihaknya memilih 21 KRT dari seluruh negeri ini untuk menyertai pertandingan yang bermula dari 17 Ogos dan berakhir 17 September depan.

Katanya, satu majlis pelancaran kempen berkenaan akan diadakan di di Dataran Che Kundur,Lorong Haji Da,Kuala Terengganu, pada 24 Ogos ini.

Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu itu akan dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Menurutnya, jabatan memilih tiga KRT dari setiap daerah untuk menyertai pertandingan itu yang menawarkan wang tunai RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan kepada tempat pertama.

Manakala nab johan akan menerima RM2,000,piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga RM1,000 bersama piala iringan dan sijil penyertaan.

Selain itu,katanya, lima hadiah saguhati bernilai RM500 turut disediakan untuk lima KRT yang terpilih.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama dan sokongan orang ramai yang tinggal di kawasan pentadbiran KRT terbabit supaya membabitkan diri dengan memasang jalur gemilang di rumah kediaman, premis perniagaan, bangunan pejabat dan jalan raya.