Halaman

27 August 2013

TMT Merdekaraya Dive 2013 di Pulau Bidong

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 akan menganjurkan
program `TMT Merdekaraya Dive 2013’ di Pulau Bidong, pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

 Program julung kali dengan kerjasama Yayasan Coral Malaysia dilaksanakan sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-56 pada 31 Ogos ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata peserta program bakal menaik dan mengibarkan Jalur Gemilang serta merakam sambutan hari raya di daratan dan dasar laut Pulau Bidong.

“Program bertujuan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56 dengan menghargai dan memulihara khazanah laut dan darat negara.

“Pada masa yang sama acara itu akan mempromosikan TMT menerusi program konservasi, sekali gus dapat membersih kawasan pantai dan jeti Pulau Bidong yang tidak berpenghuni sejak sekian lama,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, program ini juga dapat memerkukuh dan mempromosi nilai serta semangat konservasi di kalangan rakyat terutama golongan muda. Menurutnya, kesinambungan dari acara itu pihaknya juga mahu menyediakan forum untuk membincang dan mencambah minda bagi tujuan pembangunan pelancongan di pulau bersejarah itu.

Katanya, peserta dan media dari luar Terengganu dijangka akan bertolak dari Kuala Lumpur sejak 30 Ogos dan sebaik tiba keesokannya, mereka akan berkumpul di Jeti Merang, Setiu sebelum berlepas ke Pulau Bidong, kira-kira jam 11 pagi.

“Kesemua media dan peserta akan mengikuti aktiviti yang disediakan urusetia sebaik sampai di pulau itu seperti dialog, kerja membersih darat dan dasar laut, program mengibar Jalur Gemilang dan bendera TMT serta jamuan merdekaraya.

“Sementera majlis perasmian penutup dijangka akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Haji Bazlan Abd Rahman yang mewaikili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, sebelum program tamat kira-kira lima jam kemudian dan semua peserta kembali ke jeti Merang,” katanya


YPK 1Komuniti bermula tahun depan

Oleh; Esah Abdullah 

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu akan memperkenakan program baru ‘YPK 1Komuniti ‘ dengan peruntukan RM100,000 setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, program baru ini akan memilih lapan kawasan DUN setahun yang memberi fokus terhadap masalah yang berlegar dalam komuniti terpilih.

“Isu mat rempit dan kemiskinan yang banyak membelenggu masyarakat hari sekarang dijangka menjadi agenda utama bagi mencari penyelesaian bersama,” katanya kepada pemberita di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, usaha ini dilaksanakan bersama 11 agensi lain termasuk Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan, Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Jabatan Pelajaran dan sebagainya yang berkaitan.

 Katanya, setiap dijangkakan akan menelan belanja RM100,000 bagi melaksana pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan masyarakt berkualiti dari pelbagai sudut termasuk pelajaran serta perpaduan.

“Kita akan mendpatkan sumber daripada pihak sekolah, Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) dan jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mengenal pasti isu yang timbul dalam komuniti berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sasaran program dalam tempoh empat tahun akan dapat melaksanakan aktiviti pemulihan komuniti ini di 32 DUN seluruh negeri.

Tambahnya, sembilan orang pegawai daripada YPK diberi tanggung jawab melaksanakan program ini dalam usaha kerajaan mengurangkan masalah kemiskinan, gejala sosial serta mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat.
 

GEMBIRA DAPAT RUMAH PPRT

Teks dan gambar oleh Aminudin Ismail.

SEORANG surirumah dari Kampung Wakaf Catur, Batu Rakit, Kuala Terengganu gembira memperolehi sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana dengan pendapatan suaminya yang tidak seberapa sebagai tukang rumah tentunya dia tidak mampu untuk membina sendiri rumah seperti itu.

Norhayati bersama tiga dari empat anaknya di luar  rumah PPRT mereka di Kampung Wakaf Catur.
Norhayati Abdullah,36 menganggap pemberian rumah itu oleh kerajaan negeri kira-kira empat tahun merupakan satu rahmat kerana dia dan suaminya  sememangnya mengimpikan tinggal di rumah sendiri sejak mendirikan rumahtangga kira-kira lapan tahun lalu.

Norhayati berkata, dia berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) kampungnya kerana mencalonkan nama suaminya untuk memperolehi rumah PPRT selepas mendapati suaminya itu layak untuk memohon.

"Saya tidak menunggu lama untuk memperolehi rumah itu kerana ayah saya bersetuju membenarkan saya mendirikan rumah itu di atas tanah miliknya berhampiran rumah. Ketika itu suami saya memang tidak berkemampuan membina rumah sendiri kerana pendapatanya sebagai tukang rumah sekitar RM800 sebulan hanya cukup untuk makan kami sekeluarga.

"Sikap perihatin kerajaan terhadap masalah saya itu, menunjukan mereka sentiasa mengambil berat tentang masalah rakyat dan kini saya berbangga kerana memiliki rumah sendiri untuk membesarkan anak-anak saya yang berusia antara dua dan lapan tahun." katanya yang turut berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional.

26 August 2013

Pegawai kerajaan, ahli politik memeriahkan sambutan hari raya Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bukan sahaja dimeriahkan dengan kehadiran ramai pegawai dan kakitangan kerajaan, malah pemimpin masyarakat dan ahli politik tempatan turut meluangkan masa ke majlis tahunan itu.

Majlis yang bermula jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam empat jam kemudian dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Adun Seberang Takir) serta YB A Latif Awang (Adun Pengkalan Berangan).

Turut hadir, Adun Jabi, YB Iskandar Jaafar, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong amat bersykukur dengan kelancaran majlis dan sambutan baik di kalangan tetamu yang hadir dari semua peringkat.

Katanya, selain tetamu kenamaan, Ukom turut meraikan pengamal media seperti wartawan, jurugambar dan penyampai radio di majlis yang turut  dihadiri lebih 800 tetamu lain itu.

Pelbagai juadah disediakan seperti nasi dagang, nasi minyak, laksa, lemang, ketupat, tapai, asam gumpal, cendol, kuih-muih dan buah-buahan termasuk durian, manggis dan rambutan menjadi pelengkap di majlis itu.

 

Pertandingan sihat peringkat Umno bahagian

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar kecil) berharap semua pihak yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian di negeri ini bermuafakat bagi mengurangkan pertandingan, sekaligus mengelakkan ketegangan dalam parti.

Bagaimanapun, beliau mengganggap pertandingan yang berlaku sebagai suatu yang sihat dan turut membuktikan Umno tidak ketandusan pemimpin berwibawa serta berketrampilan bagi menganggotai jawatankuasa tertinggi pertubuhan itu.

“Saya mendengar ramai yang menawarkan diri (untuk bertanding pelbagai jawatan tertinggi dalam bahagian) dan mereka daripada pelbagai peringkat sama ada orang lama, orang muda, malah tidak kurang juga mempunyai jawatan dalam kepimpinan negeri dan negara.

 “Ia merupakan perkembangan yang sihat sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Umno ketandusan pemimpin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yakin tidak akan berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno kerana melihat reaksi serta harapan semua perwakilan Umno yang masih mahu mengekalkan kepimpinan tertinggi Umno yang sedia ada.

 “Untuk jawatan lain termasuk Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan peringkat bahagian (selain presiden dan timbalan presiden) tiada masalah kerana kita (Umno) mengamalkan konsep demokrasi.

“Bagaimanapun, kita akan memikirkan kaedah terbaik untuk kita mengurangkan berlakunya pertandingan,” katanya.

Menurutnya, jika berlaku pertandingan sekalipun, beliau berharap ia berlangsung dengan aman seumpama `adik-beradik’ dalam ikatan persaudaraan yang utuh.

Beliau berharap semua pihak menerima baik sebarang keputusan pemilihan di peringkat bahagian di seluruh negeri ini.


ROMBONGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA MEMBUAT KUNJUNG HORMAT KE ATAS MENTERI BESAR TERENGGANU DI WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Rombongan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato'  Seri Haji Ahmad Said di pejabatnya di Wisma Darul Iman.





KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA DUTA BESAR REPUBLIK POLAND KE MALAYSIA KE ATAS Y.A.B MENTERI BESAR TERENGGANU DI WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyambut ketibaan Duta Besar  Poland, Prof. Adam Waclaw Jelonek di pejabatnya di Wisma Darul Iman.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah turut menyambut Duta Besar Poland.





PBPPPM serah memorandum tuntut tujuh perkara

Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPPM) Cawangan Terengganu menyerahkan satu memorandum menuntut tujuh perkara kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Dato' Abdul Rashid Ngah berkata memorandum itu diserah kepada Menteri Pendidikan Kedua Dato' Seri Idris Jusoh pada satu majlis hari raya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut.

Dato' Abdul Rashid Ngah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Haji Idris Jusoh untuk menuntut tujuh perkara daripada kementerian itu.
"Antara tuntutan itu ialah PBPPPM Cawangan Terengganu mendesak kerajaan agar tidak berkompromi dan meneruskan Pelan Pembangunan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 tanpa ragu-ragu bagi memastikan 11 anjaran strategik dan operasi untuk membina sistem pendidikan dunia bertaraf dunia dapat dilaksana," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata PBPPPM juga mendesak kerajaan menolak segala desakan, asakan dan usaha pihak tertentu bagi mencabar kedaulatan serta keunggulan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar tunggal negara.

 "PBPPPM Terengganu juga tidak lupa untuk meminta kerajaan supaya meneruskan usaha menyemai perpaduan nasional melalui sistem persekolahan kebangsaan bagi semua kaum," katanya.


MBKT perhebat kempen basmi tikus

Tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pasar dan kedai makan diasingkan untuk dihapuskan.
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memperhebat kempen membasmi tikus terutama di kawasan berisiko seperti kedai makan dan pasar, dengan menawarkan bayaran RM2 bagi seekor tikus sama ada hidup atau mati.

 Datuk Bandar Kuala Terengganu Dato' Adzlan Mohd Dagang berkata pihaknya membuka kembali kaunter tikus bagi membolehkan orang ramai menyerahkan haiwan itu kepada MBKT.


"Orang ramai di bandaraya ini boleh menyerahkan haiwan berkenaan di kaunter kami yang dibuka di Padang Negara Chabang Tiga dan Dewan Tunku Abdul Rahman bermula minggu depan.

 "Ini sebagai galakan kepada orang ramai untuk sama-sama menjaga kebersihan bandaraya ini sekali gus dapat mengelak terkena penyakit leptospirosis," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata fasa pertama kempen bermula dari Oktober 2013 hingga awal Januari lepas, dan sepanjang tempoh itu, sejumlah 1,162 ekor tikus dijual kepada MBKT.

Dato' Adzlan berkata MBKT turut membeli beberapa peralatan bagi menjalankan kempen itu seperti perangkap tikus, sarung tangan, gam, racun dan alat pengabutan.

 "Kita akan mengenal pasti laluan tikus dan selepas itu akan menutup lubang berkenaan dengan simen supaya tiada lagi pembiakan tikus di kawasan bandaraya ini, terutama di pasar," katanya.

 

PPNIN anjur program Secangkir Kasih Sekalung Budi

OLeh; Esah Abdullah 

Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PPNIN) daerah Kuala Terengganu akan menganjurkan program ‘Malam Secangkir Kasih Sekalung Budi’ pada 28 Ogos bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Pegawai PPNIN Daerah Kuala Terengganu, Encik Kamarudin Ali berkata, program diadakn bagi mengeratkan silatulrahim antara wagra Rukun Tetangga di kampung-kampung dengan kepimpinan jabatan PPNIN daerah dan negeri.

“Pengarah PPNIN Terengganu Encik Burhanuddin Daud dijangka hadir dan berucap pada program berkenaan serta beramah mesra dengan semua warga rukun tetangga yang menjadi mata dan telinga masyarakat di kampung-kampung,” katanya.

Oleh itu katanya, Semua pengerusi dan jawatankuasa rukun tetangga dalam daerah Kuala Terengganu dijemput menyertai program yang bermula jam 8.30 malam itu.