Halaman

29 August 2013

Putera Jaya, Setiu jadi tumpuan ramai

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.
PEMBANGUNAN pesat Bandar Permaisuri , Setiu menjadikan Kampung Pak Kancil kini dikenali sebagai Putera Jaya, sebuah kampung terpencil suatu ketika daulu yang hanya dihuni beberapa keluarga kini bertukar wajah menjadi kawasan perumahan yang menjadi tumpuan ramai.

Antara rumah yang dibina di kawasan yang dahulunya kawasan hutan di Putera Jaya.
Selain penduduk setempat yang memiliki tanah di kawasan itu, penduduk luar Setiu juga memilih tempat itu sebagai tempat tinggal kekal mereka dengan membina rumah di atas tanah yang dibeli dari penduduk setempat.

Tinjauan Teganukita mendapati, rumah-rumah baru wujud bagaikan cendawan tumbuh di Putera Jaya samada melalui projek perumahan swasta ataupun persendirian dan beberapa buah rumah lagi sedang dalam pembinaan dan akan dibina oleh pemilik tanah sekaligus akan menjadikan kawasan itu padat dengan penduduk menjelang 2020.


Hartanah juga meningkat berkali ganda, jika 10 tahun dahulu nilai harga satu lot tanah perumahan sekitar RM10 ribu hingga RM20 ribu kini ianya mencecah sehingga RM30 ribu hingga ke RM45 satu lot berganding pada saiz tanah.
Keperihatinan kerajaan Barisan Nasional membina jalan-jalan ke kawasan perumahan baru dalam tempoh yang singkat menjadikan antara faktor orang-ramai mendirikan rumah masing-masing di atas tanah milik mereka malah beberapa jalan dibina terlebih dahulu sebelum wujudnya kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada orang –ramai.

Walaupun rumah belum didirikan tetapi kerajaan membina jalan terlebih dahulu.

Kemudahan sekolah juga antara faktor mengapa orang ramai memilih Putera Jaya sebagai tempat tinggal mereka kerana terdapat dua buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah di kawasan itu, ini memudahkan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Penduduk, Norzawatil Ishqi Ismail, 36, berkata, dia memilih untuk membina rumah dan menetap di Putera jaya kerana yakin kawasan itu akan menjadi kawasan maju suatu hari nanti dengan mempunyai penduduk yang padat.

“Dulu rumah saya dan sebuah rumah lain yang ada di berhampiran rumah saya tetapi dalam tempoh tidak sampai 10 tahun saya tinggal di sini, wujud lebih 10 buah rumah berhampiran rumah saya dan jika dahulu saya agak bimbang juga tinggal di sini tetapi kini perasaan itu berkurang dan saya harap lebih banyak lagi rumah akan di bina di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu di kenali sebagai Asri, 42, berkata dia dalam tempoh sepuluh tahun lagi, hampir kesemua tanah di Putera Jaya akan dipenuhi rumah kerana beberapa kawasan baru sudahpun diteroka oleh pemilik tanah untuk mendirikan rumah masing-masing.

Di Putera Jaya terdapat rumah Pegawai Daerah, rumah kakitangan Pejabat Daerah, perumahan kakitangan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), taman perumahan pertama di daerah Setiu, sebuah taman perumahan yang dibina swasta, perumahan guru, masjid, perkedaian dan lain-lain.

 

Nik Ismail cacat akibat jatuh pokok kelapa

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SEORANG Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Sungai Lerek, Setiu yang menerima bantuan bulanan dari kerajaan berjumlah RM300 tabah menghadapi hidup walaupun dia tidak mampu bergerak dengan sempurna kerana mengalami kecacatan dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

Nik Ismail di rumahnya di Kampung Sungai Lerek terima bantuan RM300 sebulan dari kerajaan.
Nik Ismail Abdullah, 56, yang cacat akibat terjatuh dari pokok kelapa kira-kira 30 tahun lalu itu berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberi bantuan bulanan itu bagi menampung perbelanjaan sejak 20 tahun lalu.

“Baru-baru dulu saya hanya menerima RM40 sebulan selama beberapa tahun tetapi bantuan itu dinaikan kepada RM50, RM100 dan kini saya menerima RM300 sebulan, cukuplah untuk menampung perbelanjaan saya kerana saya tidak mempunyai isteri dan anak,” katanya ketika berkunjung ke rumahnya, semalam.

Nik Ismail berkata, keperihatinan kerajaan terhadap OKU sepertinya membuktikan kerajaan sememangnya sentiasa mengambil berat tentang orang yang mengalami nasib sepertinya dan beliau berterima kasih kepada kerajaan. 

“Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi dengan keadaan saya seperti ini saya tidak boleh melakukan kerja berat, dulu saya berniaga kecil-kecil dengan mengunakan motosikal khas tetapi sekarang saya sudah tidak berniaga lagi kerana sentiasa tidak sihat," katanya yang kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan selepas kemalangan itu.

Selain mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nik Ismail juga mendapat bantuan tahunan dari Yayasan Terengganu dan menerima zakat dari Maidam.

 

28 August 2013

Sambutan Aidilfitri eratkan hubungan pemimpin dan rakyat

YB Tg Zaihan dan YB Mohd Mahdi Musa bersama jawatankjuasa penganjur

Oleh: Mohammad Ishak 

Majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan saban hari di merata tempat negeri ini selain merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat ia juga memberi peluang orang ramai bergaul mesra dan menjalin perpaduan antara satu sama lain.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dengan kerjasama MAYC Besut turut menjalin kerjasama menganjurkan sambutan hari raya bertujuan merapatkan hubungan antara kaum dan komuniti setempat.


Program yang berlangsung di Perkarangan Pusat Aktiviti Rukun Tetanagga (PART) Bandar Jertih, itu mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat setempat yang tidak putus-putus hadir menjamu selera dan beramah mesra antara satu sama lain.

Majlis berkenaan bertambah meriah dengan kehadiran dua pemimpin tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan CK Rahman.

Selain itu kehadiran ketua jabatan kerajaan dan pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada majlis yang berlangsung sehari suntuk itu memberi peluang masyarakat mengenali pemimpin secara langsung.

Mohd Mahdi dan Tengku Zaihan sentiasa diburu orang ramai terutama orang muda yang ingin mengambil gambar bersama sebagai tanda kenangan dengan dua pemimpin muda dari daerah Besut itu.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wang Awang berkata, pihaknya bangga dengan program itu kerana ia mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran ramai komunti setempat.

“Program yang dijayakan bersama dengan KRT Bandar Jertih memberi peluang penduduk pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis berkenaan,” katanya.


Peruntukan RM60 juta pastikan Terengganu bersih

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta setahun untuk membiayai kerja pembersihan di seluruh negeri dalam usaha memastikan persekitaran bersih, indah dan kesihatan penduduk terjamin.

Dato' Seri Haji Ahmad Said memandu lori kompaktor selepas majlis penyerahan lori berkenaan kepada PBT seluruh negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata kos terbabit merangkumi perbelanjaan menyelenggara pembersihan longkang, padang permainan, kawasan kediaman dan pengurusan sampah yang semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi negeri terbersih dalam tempoh beberapa tahun lagi seperti negara maju lain termasuk Singapura.
Menteri Besar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu memotong riben gimik penyerahan lori kompaktor kepada PBT disaksikan Dato' Haji Mazlan Ngah.
"Kerajaan menyalurkan perbelanjaan besar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu kira-kira RM60 juta setahun bagi menguruskan soal kebersihan seperti pembersihan longkang dan memotong rumput di padang permainan atau kediaman.

 "Ia bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan negeri ini kekal bersih seperti negara maju termasuk Singapura," katanya selepas majlis Penyerahan Lori Kompaktor kepada PBT di pekarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji  Mazlan Ngah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Adzlan Mohd Dagang dan wakil PBT setiap daerah.


Sebanyak 10 lori yang bernilai keseluruhan RM2.95 juta diagihkan kepada tujuh PBT  temasuk empat daripadanya kepada MBKT bagi melancarkan kerja pungutan sampah di kawasan masing-masing.

Dato' Seri Haji  Ahmad berkata, dianggarkan 800 tan sampah dibuang setiap hari dan jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun berikutan pertambahan penduduk dan permbangunan ekonomi setempat khususnya perkedaian dan restoran.

Katanya, pembelian lori kompaktor itu adalah bagi mengatasi masalah kutipan sampah yang seringkali  lewat disebabkan kekurangan jentera berkenaan.


"Setiap PBT menerima sebuah lori kecuali MBKT yang menerima empat lori. Dengan adanya lori ini, masalah longgokan sampah disebabkan kelewatan jadual pungutan dapat diatasi kerana kita tak mahu lagi dengar rungutan rakyat mengenai bau busuk dan sebagainya akibat sampah lambat dipungut," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga sudah menempah 20 lori kompaktor baru membabitkan kos RM5.8 juta yang djangka diperoleh tahun depan.

Katanya, kerajaan negeri menempah lori baru ini bagi menggantikan lori lama yang kerap rosak sekali gus untuk memastikan kerja pembersihan lebih lancar dan perkhidmatan PBT kepada seluruh penduduk bertambah cekap.

 

Pelabur China berminat majukan pulau di Tasik Kenyir

Menteri Besar, Dato'  Seri Haji Ahmad Said dan Dato' Haji Mazlan Ngah menyaksikan pertukaran MoU antara Syarikat Huaxi Group dengan kerajaan negeri
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sektor pelancongan negeri dijangka akan terus berkembang apabila Syarikat Huaxi Group yang berpangkalan di Huaxicun, China menunjukkan minat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir.

Kerjasama itu diperkukuhkan dengan menandatangani Memorandum Perrsefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri menerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (ketengah), di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, hari ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyaksikan MoU berkenaan, masing-masing diwakili Pengurus Besar Ketengah, Encik Wan Mat Amin Wan Daud dan Huaxi Group diwakili Pengerusinya, Wu Xie ‘en.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan dan berbesar hati sekiranya syarikat itu dapat melabur bagi memajukan lagi industri pelancongan negeri sama ada membina hotel, resort atau kemudahan lain di Tasik Kenyir.

“Syarikat ini juga berminat dalam bidang carigali, minyak dan gas serta pelabuhan selepas meninjau industri itu di pelabuhan Kemaman, selain mereka melawat ke Tasik Kenyir, “katanya.


Susulan itu, kerajaan negeri akan mengadakan lawatan balas ke perkampungan Huaxicun, China bagi meninjau sendiri kemajuan ekonomi dan pembangunan dalam pelbagai sektor di penempatan itu, pada 8 hingga 10 September ini.

 Beliau berkata, lawatan balas itu nanti akan mengukuhkan perancangan dan kerjasama yang mampu dilaksanakan antara dua pihak.

Rombongan dari China yang disertai lapan peserta itu dalam rangka lawatan lima hari ke negeri ini sejak Sabtu lalu yang berakhir hari ini.


Kerajaan negeri tidak halang bakal doktor berkhidmat di luar negara

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri tidak menghalang pelajar bidang perubatan di bawah tajaan Yayasan Terengganu untuk berkhidmat di luar negara kerana mereka bebas memilih tempat bekerja setelah menamatkan pengajian di luar negara kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri tidak mengikat mereka untuk bekerja samada dengan pihak kerajaan ,swasta atau sebagainya di negara ini.

"Malah kalau mendapat peluang di luar negara, mereka boleh terus berkhidmat di sana,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri Mjalis Makan Malam Raya Bersama mahasiswa Luar Negara 2013 di Riyaz Hetitage Resort, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun menurut beliau, sebagai persediaan menampung keperluan doktor di negeri ini, selain mempunyai hospital-hospital swasta, kerajaan negeri turut mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat iaitu dengan penubuhan tempat mengadakan latihan perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Hospital ini mempunyai kapasiti 400 buah katil dan dapat menampung sejumlah besar bakal-bakal doktor yang bakal berkhidmat di Terengganu.

"Jumlah doktor yang tamat pengajian di luar negara samada di Jordan, Mesir, atau Rusia mencukupi malah boleh berkhidmat di Terengganu dengan kekosongan yang ada,” ujarnya.

Keseluruhan pelajar di bawah tajaan Yayasan Terengganu dalam pelbagai bidang setakat ini di seluruh negara termasuk Timur Tengah, Rusia dan juga negara-negara yang lain lebih kurang 600 orang.

 

Wanita ibu isteri dan sahabat.

Oleh; Esah Abdullah

Hanya orang yang beriman dan berakhlak mulia akan memuliakan wanita, sebaliknya orang yang menghina wanita atau melakukan kekerasan terhadap wanita adalah orang yang hina di sisi Allah swt.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah hamat berkata, dalam mengembalikan ‘respek’ atau hormat kaum lelaki terhadap wanita, perkara utama ialah mendekatkan jurang yang semakin melebar antara sikap dan tingkah laku umat islam hari ini berbanding ajaran Islam sebenar yang suci dan murni.

“Islam memberikan wanita hak untuk menuntut imu seperti lelaki kerana menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap individu dan bukannya berasaskan jantina.

“Peranan wanita sebagai tulang rusuk lelaki iaitu anggota paling rapat dengan hati dan jantung manusia, bermula sejak awal kewujudan manusia di bumi dan Hawa dijadikan oleh Allah swt sebagai peneman kepada kesunyan Adam dalam syurga,” katanya.

Sehubungan itu sejajar dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos lalu beliau menegaskan tema ‘Respek Wanita Masyarakat Sejahtera’ bertepatan dengan peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan negara dan keharmonian masyarakat.

“Wanita adalah ibu, isteri dan sahabat mampu berdiri dalam apa juga situasi, sedia berkhidmat tanpa mengira waktu dan sanggup berkorban jiwa raga untuk kebahagian keluarga,” katanya.

Datuk Hajah Fatimah seterusnya mengharapkan golongan wanita sentiasa bersedia memberi sumbangan apa saja demi pengukuhann agama, kestabilan bangsa dan keamanan negara.
 

PBKP baru beri keselesaan

 Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

 Langkah kerajaan Terengganu untuk membina Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baru bagi menggantikan pasar lama di pusat bandar raya ini mampu memberikan imej terkini dengan penyediaan kemudahan dan suasana lebih selesa bagi peniaga dan pengunjung.

 Sangat wajar lokasi membeli-belah tumpuan pelancong itu dibangunkan semula dan dengan tarikan itu kelak dapat meningkatkan lagi pendapatan para peniaga.

 Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Adzlan Dagang, berkata pembinaan PBKP baru adalah untuk keselesaan serta kebaikan peniaga dan pengunjung pasar terbabit dan bukannya untuk menyusahkan rakyat.

Katanya, mereka perlu faham dengan perubahan akan akan dilaksanakan, yang pastinya untuk kebaikan bersama.

“Saya tidak faham dengan sesetengah pihak yang mahu bangunan lama PBKP dikekalkan sebagai warisan kerana bangunan tersebut sudah uzur dan sudah tiba masanya dilakukan pembaharuan.

 "Pada masa sama kecewa apabila kerajaan hendak buat pembangunan yang lebih baik dan lebih selesa untuk rakyat tetapi timbul pelbagai persepsi negatif dari mereka yang tidak berpuas hati,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Raya Bersama Warga Kota di Taman Awam, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ni.

 Lebih 5,000 penduduk pelbagai lapisan masyarakat hadir menjamu pelbagai hidangan, termasuk nasi dagang, nasi minyak, sate, nasi himpit, ketupat, lemang, tapai dan pelbagai menu yang menyelerakan.

 Datuk Bandar turut memberitahu, pihak kami banyak menerima runggutan daripada pelanggan dan pelancong, yang menyatakan pasar itu terlalu sempit dan panas, seolah-olah tempat `sauna’ terutama apabila menerima kunjungan ratusan pengunjung sewaktu musim cuti sekolah dan am.

 “Mereka terpaksa berhimpit antara satu sama lain untuk membeli pelbagai barangan, keadaan itu nyata merimaskan orang ramai , “ katanya

 Katanya, pembinaan PBKP baru yang dilengkapi eskalator, pendingin hawa serta tempat meletak kenderaan sebanyak 400 unit akan memberi keselesaan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar ini.

 "Perancangan yang teliti telah dilakukan untuk kebaikan semua pihak dan bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan pembangunan ini terutamanya peniaga mereka boleh keluar,” katanya.

 

Rakyat perlu bersyukur atas nikmat kemerdekaan

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Tengku Putera
Hanya beberapa hari lagi, sekali lagi sejarah ulung negara bakal dicipta, ulangtahun kemerdekaan ke-56 bakal disambut pada kali ini, kemerdekaan yang memberikan pelbagai kenangan dan harapan kepada kita semua.

 Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke 56, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, oleh itu, marilah kita bersama-sama bersyukur di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini dengan penuh rasa keinsafan.

 Katanya, sewajarnyalah kita memperkuatkan iltizam kita untuk menjadi warga yang menyumbang kepada kebaikan demi martabat agama, kemajuan bangsa dan kemakmuran negara.


 “Sebagai warga yang mewarisi kemerdekaan negara, kita semua hendaklah sentiasa tersemat di hati masing-masing akan tanggungjawab kita yang perlu diutamakan, iaitu untuk memastikan minda yang merdeka benar-benar tercapai.

“ Minda yang jahil, dangkal dan cetek sejarah bangsanya akan mudah goyah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan pada satu majlis baru-baru ini.

. Katanya, dengan pemikiran yang jumud dan rapuh, pintu penjajahan akan kembali terbuka akibat kealpaan kita tentang sejarah negara bangsa.

“Slogan-slogan kemerdekaan yang dilaungkan saban tahun menjelang kemerdekaan hanyalah retorik, jika kita sendiri yang tidak mahu menghayati sejarah ketamadunan bangsa di bumi berdaulat ini.

 “Apakah kerana kemakmuran yang dikecapi negara hari ini menyebabkan ada yang merindui zaman kezaliman komunis berulang kembali, nikmat kemerdekaan ini perlu dimanfaat untuk menjadikan setiap detik adalah masa yang berkualiti,” katanya.

 Menurutnya, seharusnya perlu merasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut hari kemerdekaan negara ke-56. Semangat kemerdekaan perlu ditanam disetiap jiwa rakyat Malaysia 

“Pihak kami berharap semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini,” katanya.

 

CINTA RAKYAT DI HATINYA

BAHAGIAN KEDUA: SEMPENA 100 HARI DATO' SERI HAJI AHMAD SAID SEBAGAI MENTERI BESAR BAGI PENGGAL KEDUA.

Oleh: Pegarang Teganukita.

 “Negara kita negara demokrasi, setiap lima tahun kita diberi mandat oleh rakyat. Ingatlah jika rakyat benci kita, umur kita dalam politik tidak panjanglah jawabnya”.
  Itulah yang selalu ditegaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Beliau dilantik semula bagi penggal kedua menerajui Terengganu setelah Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
 Sewaktu mula-mula dilantik sebagai Menteri Besar kira-kira lima tahun yang lalu, Dato’ Seri Ahmad pernah menyatakan: “Jawatan ini adalah satu anugerah Tuhan. Saya tidak menjangkakan.
 Saya terima sebagai satu amanah dan satu anugerah Illahi kepada saya. Apa yang perlu saya lakuka adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat”. “Ini berlaku bukan dengan kehendak saya, tetapi ini adalah ketentuan dari Illahi.
 Kita perlu menerima hakikat ini, “Kun Fayakun” kalau hendak jadi, jadilah, inilah sebenarnya”
  Apa yang disebutkan oleh Dato’ Seri Ahmad selaras dengan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya penciptaan Isa di sisi Allah adalah seperti penciptaan Adam, Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya “Jadilah” maka jadilah dia”. (Al Baqarah 117).
  Ini bermakna dalam apa jua perkara, percaya kepada ketentuan Allah amat penting supaya kita dapat mengelak diri dari sebarang bentuk spekulasi, khabar angin , desas-desus dan apatah lagi fitnah.
  Justeru pegagan kukuh Dato’ Seri Ahmad kepada prinsip rakyat berkuasa, maka lahirlah segala bentuk program yang dirancangkan dan diwujudkan adalah untuk rakyat, iaitu pemikirannya ialah biar rakyat mendapat faedah. Sebagai bekas pegawai tadbir negeri sebelum terjun ke dunia politik,
 Dato’ Seri Ahmad amat melihat kerajaan dari sudut perkhidmatan awam yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk politik dan rakyat. Beliau berkata, apa jua yang dilakukan oleh kakitangan awam (kakitangan kerajaan), akhirnya hendaklah dikembalikan kepada rakyat.
 Kita hendak merakyatkan perkhidmatan, kita hendak merakyatkan apa jua pembangunan. Bermakna bagi Dato’ Seri Ahmad, perkhidmatan kakitangan kerajaan bukan suatu yang ekslusif, melainkan atas dasar untuk perkhidmatan dan faedah rakyat. Berkali-kali dipesankan kepada kakitangan kerajaan. Bidang-bidang pendidikan, pelancongan, pertanian dan industry menjadi keutamaan bagi menjana ekonomi dan masa depan rakyat. Selain tidak pernah dilupa soal-soal kebajikan dan keperluan asas untuk rakyat seperti perumahan, pekerjaan, bantuan perubatan, pakaian sekolah dan sebagainya yang berlegar untuk mengatasi masalah kemiskinan. Beliau menyifatkan itu semua adalah tuntutan agama dan sesuatu yang baik dan berfaedah itu adalah dari ajaran Islam. “Saya anak orang miskin, pernah tidur dilantai kayu nibung, beratapkan nipah.
  Bila tiba bulan November atau Disember persekolahan, saya terpaksa makan ibu gadung untuk ke sekolah” demikian pengakuan telus dan suci Dato’ Seri Haji Ahmad seperti yang tercatat dalam buku berjudul “Ahmad Said, dari rakyat untuk rakyat” terbitan Fakulti Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu. Berdasarkan latar hidup pemimpin bernama Ahmad bin Said ini, sudah kita dapat jangkakan betapa kesedaran membela rakyat, menyentuhi denyut nadi rakyat dan darah rakyat mengalir dalam dirinya. Pemilihan beliau untuk penggal kedua bagi kali kedua menerajui negeri Terengganu, malah sebelum ini telah banyak berbakti kepada kerajaan dan rakyat sebelumnya sebagai pegawai tadbir dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah pasti dialu-alukan oleh rakyat Terengganu yang mahukan agenda merakyatkan diteruskan.
 “Kita perlu bersatu dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat dan memastikan rakyat tahu akan sumbangan UMNO dan Barisan Nasional kepada rakyat keseluruhannya,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi Umno dan Barisan Terengganu.