'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos tahun ini.
Tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara berbilang bangsa.
Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara, di mana sahaja mereka berada, termasuklah di bumi Terengganu tercinta ini.
Konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.
Insiden pencerobohan ke atas Lahad Datu dan Semporna di Sabah menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan dengan sokongan dari rakyat keseluruhannya.
Kedaulatan bermakna, pemerintahan dan pentadbiran negara dan negeri tidak boleh digugat oleh mana-mana kuasa lain, termasuk ancaman dari pihak luar dan dalam negara.
Dengan pemerintahan sendiri dan bebas dari campurtangan asing dalam pentadbiran negara akan membolehkan segalanya berjalan mengikut acuan dan kehendak pemerintah di negara dan negeri kita sendiri.
Kerajaan di negara kita, termasuk di Terengganu ini adalah dipilih oleh rakyat secara sah.
Pemerintahan negara kita adalah berteraskan sistem pemerintahan negara kita berteraskan, Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan.
Dalam tempoh 56 tahun mardeka kita melihat banyak kejayaan demi kejayaan dan perubahan demi perubahan telah kita capai, baik di peringkat negara mahupun negeri.
Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang yang memperkenalkan pelbagai “Transformasi Untuk Semua” telah banyak merubah rupa bentuk negara ke arah yang lebih sesuai dengan peredaran masa dan perubahan zaman.
Kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus dan keutamaan kepimpinan negara bagi memastikan masyarakat berbilang kaum di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras utama kepada kejayaan agenda transformasi negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran.
Begitulah juga di peringkat negeri Terengganu, konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan (MPPNT) yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah meletakkan kepentingan dan faedah rakyat di tempat utama dalam setiap pembangunan dan pengurusan yang dijalankan.
Kita begitu yakin bahawa kerajaan telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan menggerakkan dan menjayakan Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang nyatanya telah membuahkan hasil yang berganda kepada rakyat jelata.
Malah tonggak lain seperti Model Ekonomi Baru (MBE), Bidang Eknomi Utama Negara (NKEA), Prakarsa Pembaharuan Strategik dan Wawasan 2020 juga merupakan komitmen yang cukup tinggi untuk kemajuan rakyat selaras dengan tuntutan zaman.
Kita menyokong penuh gagasan Perdana Menteri bahawa pelbagai inisiatif mesra rakyat ini juga bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana yang telah diasaskan oleh Rasulullah dalam menjaga kebajikan rakyat.
Sememangnya pemimpin awal negara juga telah merintis jalan dengan penuh kebijaksanaan menerusi konsep wasatiyah dalam mengurus tadbir negara ini.
Melalui Perlembagaan Pesekutuan amat jelas kesederhanaan ini juga telah digariskan.
Malah melalui Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga menjadi pengukuh kepada konsep kesederhanaan dan keseimbangan iltizam kerajaan dalam membina 1 Malaysia yang maju dan harmoni.
Malah kerajaan juga telah mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia(KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Batuan Persekolahan 1Malaysia, Bantuan Tayar 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan juga insiatif kenaikan gaji kakitangan awam dan sektor swasta.
Di Terengganu juga kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan, pelbagai bantuan diwujudkan untuk rakyat. Perumahan sebagai keperluan asas kehidupan adalah menjadi agenda penting di bawah kepimpinan negeri kini.
Sebagai satu masyarakat berbilang kaum, kepelbagaian fahaman politik kepartian amat penting untuk mempertahankan dan mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara sesama kita.
Sesungguhnya harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya.
Asas ukuran utama untuk menilai pembangunan negara juga adalah melalui peningkatan kualiti hidup rakyat. Kita lihat hari ini kualiti hidup rakyat kian meningkat dan meingkat.
Yang ketinggalan dan susah sentiasa dibantu dan dibantu.
Kita di Malaysia mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapat faedah yang setimpal daripada pembangunan.
Semua dasar transformasi oleh pihak kerajaan ditumpukan kepada pembangunan rakyat bertujuan untuk memastikan pencapaian kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.
Malah kerajaan transformatif baik di peringkat negara dan negeri juga telah menumpukan usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi, membuat pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan lain, memastikan suasana tempat kerja yang lebih baik dan melindungi alam sekitar.
Sesungguhnya amatlah wajar kita sama-sama membantu kerajaan dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara, mewujudkan keamanan berterusan, perpaduan yang kukuh dan membangunkan negara ini untuk faedah bersama, termasuk rakyat di semua peringkat dan lapisan.
Sempena Hari Ulangtahun Kemardekaan ini, sekurang-kurangnya marilah kita mengibarkan jalur gemilang dan melafazkan rasa syukur di atas nikmat yang kita perolehi dan mendoakan agar ia terus berkekalan sampai ke generasi demi generasi di masa akan datang.