Bahagian kedua:
Oleh: Ruslan Rahman
Pemilihan yang bakal menjadi fokus ialah di peringkat bahagian dan majlis tertinggi.
Kali ini perwakilan di peringkat cawangan diberi mandat untuk memilih kepimpinan Bahagian dan Majlis Tertinggi sekaligus.
Perkara ini bukanlah mudah, kerana kalau tidak ‘kena gaya’ boleh membawa keretakan dan melahirkan ‘puak-puak; dalam parti. Umno sebagai parti yang sudan matang tidak wajar melalui peristiwa yang boleh menjejaskan kekuatannya.
Yang sedang diusahakan ialah kekuatan parti dan untuk kelemahan parti.
Justeru itu sekiranya didapati ada unsur-unsur yang boleh membawa kelemahan parti, seharusnya diberi perimbangan kearah perbincangan dan perundingan untuk kebaikan kebaikan parti dan jadikan pertandingan sebagai jalan terakhir.
Yang perlu difikirkan, jika hati kita ikhlas dan jujur ialah tentang masa depan parti, kekuatan parti dan bukannya masa depan dan kekuatan diri.
Ini sebagaimana pesanan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin:
"Pemimpin lama juga perlu bermuhasabah kerana apabila tiba waktunya, mereka perlu memikirkan tentang masa depan parti dan bukan masa depan peribadi mereka"
Ataukah kata-kata ini sekadar retorik dan teori sahaja, tetapi praktikkal sukar direalisasikan.
Bagaimana pun konsep pemimpin dan kepimpinan perlu juga dihayati oleh semua orang, sama ada di peringkat pemimpin atau ahli biasa supaya ia berada di landasan yang sebenar.
Apatah lagi sebagai muslim, kita mempunyai ajaran tertentu dalam kaedah ini supaya tidak sampai terikut-ikut dengan konsep dan kaedah yang lain.
Terdapat perbezaan yang amat ketara antara konsep kepimpinan Islam dengan konsep kepimpinan sekular Barat.
Kepimpinan Islam adalah merupakan amanah ketuhanan (divine trust) yang merangkumi urusan duniawi-ukhrawi dengan dwi peranan utama iaitu إقامة الدين وسياسة الدنيا به memelihara agama dan mengurus dunia.
Ia berbeza dengan konsep kepimpinan sekular Barat yang hanya menjurus kepada urusan duniawi-manusiawi yakni kepimpinan dianggap sebagai proses bagaimana seseorang mempengaruhi orang lain atau kumpulan ke arah pencapaian matlamat dalam situasi tertentu.
Keadaan ini amat berbeza dengan Islam yang menganggap kepimpinan adalah merupakan taklif atau bebanan tanggungjawab dan bukannya satu tasyrif atau pun satu keistimewaan yang perlu diburu.
Pemimpin diibaratkan sebagai "pengembala"
yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya.
Kepimpinan atau pemerintahan dalam Islam adalah alat dan bukan sebagai tujuan.
Pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan menguruskan dunia.
Lantaran itu, Islam menempatkan kepimpinan di tempat yang tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam yang adil, dan yang paling dibenci Allah adalah imam yang zalim" (HR:Ahmad).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah menunjukkan contoh teladan yang sesuai iaitu tidak akan bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno pada Oktober ini.
Katanya, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, beliau turut hadir dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno.
“Oleh itu saya tidak perlu bertanding,” katanya sambil menyokong dua orang calon dari negeri Terengganu mempertahankan jawatan mereka iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Contoh dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar amatlah dihargai dan dihormati.