Halaman

09 September 2013

UniSZA adakan seminar ilmu mantik

Oleh; Esah Abdullah

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) akan menganjurkan ‘Seminar Ilmu Mantik 2013 “bertempat di Dewan Auditorium Akademik, Kampus Gong Badak, pada 17 dan 18 September depan.

Menurut Prof. Madya Dr. Baharrudin Zainal, seminar bertajuk ‘Literasi Mantik Memantapkan Epistemologi’ itu antara lain adalah untuk menemukan sejumlah pakar-pakar daripada pelbagai bidang terutama matematik, usuluddin, fiqah dan undang-undang dan mengintegrasikan ilmu mantik dalam bidang-bidang berkenaan.

“Ia juga untuk menonjolkan etnomantik sebagai satu leluhur warisan tempatan yang berkait dengan aspeknilai dalam sistem pendidikan di Malaysia,” katanya.

Katanya penyertaan dibuka kepada umum dengan sasaran seramai 150 orang yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, ahli undang-undang, pegawai hal ehwal Islam, penyelidik, pelajar dan individu yang berminat.

“Jabatan dan institusi pengajian tinggi atau agensi berkaitan juga dipelawa untuk menyertai seminar berkenaan dan tarikh tutup penerimaan penyertaan pada 12 September 2013

Pengesahan pendaftaran awal seminar dibuat secara dalam talian melalui emel : falak@unisza.edu.my atau faks borang penyertaan ke talian 09-6687879 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Prof Madya Dr Baharuddin melalui talian 09-6688172.
 

Rumah Warga Tua Nurul Saadah terima bantuan kerajaan.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Beberapa penghuni Rumah Warga Tua Nurul Saadah sedang berehat.
KEPERIHATINAN kerajaan Barisan Nasional terhadap kebajikan warga tua dan aktiviti keagamaan di negeri ini terbukti apabila Rumah Warga Tua Nurul Saadah yang terletak di Kampung Tok Dor, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Setiu menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM120,000 tahun ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah perbelanjaan makan penghuninya.

Yang Dipertuanya, Mohd Harun Husin berkata, dengan adanya bantuan daripada kerajaan negeri itu, ianya dapat mengurangkan kos beberapa operasi bagi menguruskan rumah orang tua itu terutamanya dalam menyediakan makanan kepada penghuninya.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keperihatinannya memperuntukan bantuan kewangan yang agak besar kepada rumah warga tua ini. Bantuan ini akan digunakan sebaik mungkin terutamanya untuk mempastikan warga emas yang menetap di sini dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

“Walaupun kebanyakan penghuni dibiayai oleh keluarga masing-masing tetapi kita tetap menyediakan makan pagi dan tengahari percuma untuk mereka melalui peruntukan itu supaya mereka dapat berkumpul dan makan beramai-ramai selain menjimatkan perbelanjaan penghuni.

"Katanya, ketika ini rumah Warga Tua Nurul Saadah mempunyai seramai 73 penghuni dan kebanyakan mereka adalah dari negeri Terengganu dan Kelantan.

“Kehidupan harian mereka di penuhi dengan pelbagai aktiviti terutamanya aktiviti keagamaan yang diatur oleh pihak kami. Selain itu, kita ada juga melakukan aktiviti bercucuk tanam dan beberapa aktiviti dengan orang awam yang berkunjung ke rumah warga tua ini,” katanya mengenai pusat warga tua yang dikhaskan kepada ibu tunggal itu.
Dewan tempat menjalankan pelbagai aktiviti.


DATO’ HAJI WAN AHAMAD MENJELASKAN KEJAYAAN DAN HALA TUJU TERENGGANU INC

Dato' Haji Wan Ahamad
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu Incorporated Sdn Bhd. (Terengganu Inc) bakal membayar dividen sejumlah RM20.2 juta kepada agensi-agensi yang terlibat, lapor Ruslan Abdul Rahman.

 “Pembayaran dividen ini bukan sekadar tanda komitmen Terengganu Inc  terhadap agenda pembangunan agensi-agensi terlibat, tetapi juga merupakan kesinambungan usaha Terengganu Inc untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Terengganu,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

 Terengganu Inc. diperbadankan pada 1 Mac 2006 dengan menjalankan aktiviti utama pelaburan Kerajaan Negeri dengan bilangan anak syarikat sebanyak 16, termasuk dua syarikat yang tersenarai di BSKL.

 Dato’ Haji Wan Ahamad yang dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc pada 15 Mei 2013 pihaknya sedang berusaha kea rah perlaksanaan Pelan Strategik Lima Tahun menyasarkan Nilai Aset Bersih  RM2.0 billion dengan purata peningkatan 20 peratus setahun.

 Pada masa ini, Nilai Aset Bersih Terengganu Inc. ialah RM987 juta.

 Katanya, tiga strategi utama telah dikenalpasti iaitu:
 1. Memberi tumpuan kepada pelaburan yang berimpak tinggi kepada rakyat yang bersifat membantu dan tidak bersaing antara satu sama lain dan pelaburan sedia ada yang akan diperluaskan seperti pelaburan dalam syarikat perladangan, pelancongan dan hospitaliti.

  2. Pengambialihan asset yang strategik, penstrukturan dan penyusunan semula dengan memfokuskan kepada sektor-sektor yang memberi pulangan yang menguntungkan seperti pelaburan dalam sector hartanah. Pembinaan, minyak dan gas.

  3. Menceburi dan meneroka bidang baru yang berpotensi seperti bidang bioteknologi.
  Menurut Dato’ Haji Wan Ahamad, bagi menjayakan perancangan tersebut, Terengganu Inc. beserta anak syarikatnya akan mengadakan kerjasama strategik dengan mengorak langkah sebagai satu entiti yang melengkapi fungsi dan peranan penting masing-masing.

 Apa yang penting katanya, ia berpaksikan kepada pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
  Ini bermakna, katanya, kepentingan dan faedah rakyat diutamakan oleh Terengganu Inc.


PB Square bakal beroperasi pertengahan tahun depan

Oleh: Suriati Ali

 Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di jangka mula beroperasi pertengahan tahun depan.

Pengurus Besar PMINT, Dato' Osman Muda berkata, PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat kini sudah lebih 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

 Katanya, kerja-kerja pembinaan bangunan itu sudah memasuki fasa akhir dan permohonan untuk sewaan lot perniagaan masih dibuka kepada orang ramai walaupun sudah menerima 450 permohonan daripada peniaga tempatan dan francais.

“Semua permohonan yang disenarai pendek akan dipanggil temuduga bagi memastikan mereka yang benar-benar layak boleh berurusniaga.

“PB Square merupakan projek yang mempunyai reka bentuk warisan tradisional Terengganu mempunyai tiga komponen utama iaitu pejabat akan disewakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN), kompleks membeli belah yang akan diuruskan badan pengurusan, manakala hotel pula dijual kepada peniaga yang berjaya," katanya.

Dato' Osman berkata, PB Square mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, kolam renang, bilik seminar, gymnasium, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

“Langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya. ," katanya kepada Teganukita.



Tesdec perkenal dua kursus baru

 Oleh: Suriati Ali

 Pusat Latihan Kemahiran Terengganu (Tesdec) merancang akan memperkenalkan dua kursus baru iaitu Teknologi Solar dan `Deep Sea Water Diving’ bermula tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata perancangan itu lahir setelah melihat kepentingan dan keperluan dalam industri berkaitan serta berkait dalam kehidupan harian masyarakat.

“Setakat ini kita masih dalam kajian dan perbincangan untuk melaksanakan kursus ini dan jika tidak ada aral kita akan membuat pengambilan pelajar tahun depan.

 “Berdasarkan kursus yang bakal ditawarkan itu, ia mampu menjana atau memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan, sekiranya benar-benar serius dengan tugas yang dipertanggungjawabkan,” katanya yang juga Timbalan .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Seribu Kenangan bersama Haji Che Razali Adis di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

Sebelum itu, Majlis Penyerahan Tugas antara Haji Che Razali Adis (bertukar ke Yayasan Pembangunan Usahawan) dan Haji Rozali Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec baru bermula semalam (8 September) diturut diadakan.

YB Mohd Mahdi turut memberitahu Tesdec menyediakan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pusat latihan itu untuk berkembang dan mampu bersaing mengikut matlamat ditetapkan kerajaan.

 “Srategi berkenaan berasaskan kehendak ekonomi dan pasaran kerja semasa agar setiap pelatih yang tamat latihan, mampu bersaing dan berjaya merebut peluang yang ada.

 “Strategi jangka pendek berasaskan perancangan semasa kerajaan negeri pada setiap tahun di mana pada tahun ini Terengganu dijangka menerima pelaburan asing dalam tiga sektor utama iaitu bioteknologi, minyak dan gas dan perkilangan.

 “Berasaskan daripada perkara itu, Tesdec telah merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan juga program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi memastikan tenaga kerja terlatih dapat dikeluarkan selaras dengan perkembangan ekonomi negeri,” katanya.

 


Gembira dapat rumah baru.

Teks dan Gambar: Aminudin Ismail.

SETIU: Seorang isteri bersama suami dan lima anaknya dari Kampung Bukit Kemudu, di sini begitu gembira kerana dapat berteduh di rumah sendiri yang lebih luas dan selesa selepas beberapa tahun menyewa sebuah rumah yang agak usang dan uzur.

Roslina bersama lima anaknya di hadapan rumah mereka.
Roslina Ismail, 30, berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir Barisan Nasional kerana meluluskan permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah percuma kerana suaminya yang bekerja kampung tidak mampu membina rumah untuk mereka sekeluarga.

“Saya mendapat rumah sumbangan MAIDAM ini pada bulan April lalu, selepas membuat permohanan melalui JKKK. Saya, suami dan anak-anak begitu gembira kerana dapat tinggal di rumah baru yang begitu selesa berbanding rumah sewa kami yang dulu.

“Rumah ini ada tiga bilik, ruang tamu dan dapur yang agak luas. Untuk memiliki rumah sebegini tentunya suami saya yang bekerja sendiri tidak mampu membinanya kerana kosnya yang agak mahal. Saya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana membina rumah ini unt kami sekeluarga,” katanya.

Cantik dan selesa..inilah rumah baru Roslina.
Menurut Roslina, sejak tinggal di rumah barunya, anak-anaknya tidak lagi berebut-rebut untuk tinggal dalam bilik kerana dengan memiliki tiga bilik, mereka semua boleh tidur di dalam bilik dengan lebih selesa.

“Yang penting bagi kami ialah anak-anak. Jika mereka gembira, saya dan suami akan turut gembira. Keperihatinan kerajaan memberi rumah percuma kepada golongan seperti kami ini, amat kami hargai dan sanjungi usaha kerajaan itu,” katanya.

08 September 2013

Mahasiswa UIAM diminta dekat dengan komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Perkukuhkan ikatan silatulrahim ini sekuat mungkin dan kekalkan semangat ukhwah kalangan masyarakat setempat agar terus berpanjangan serta tidak terputus separuh jalan.

Harapan berkenaan disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Rakit, Haji Bazlan Abdul Rahman kepada 64 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak, Selangor yang mengikuti program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ‘13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

MIT ’13 yang membawa maksud kasih sayang di Terengganu itu merupakan kesinambungan program pertama pada tahun sebelumnya sekali gus mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

“Mahasiswa perlu sentiasa dekat dengan ahli komuniti dan tidak rugi jika kita mengekalkan hubungan dengan keluarga angkat yang telah memberikan layanan kelas pertama kepada mahasiswa sepanjang berkampung di sini,” katanya di majlis Penutup MIT ’13 di Dewan Futsal Bukit Wan, semalam.

Hadir sama, Pensyarah UIAM, Encik Yusni Yusof; Pengarah Program Encik Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

Sementara itu pengarah program, Encik Muhammad Hafiz berkata program selama selama enam hari itu berakhir dengan jayanya serta mencatat seribu satu kenangan yang sukar dilupakan.

“Program ini membuktikan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempunyai peranan penting membantu membangunkan komuniti setempat,” katanya.
 

RM250,000 hadiah buat warga Kuala Berang

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi membina gerai buah-buahan baru di Bandar Kuala Berang yang merupakan satu lagi hadiah projek pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menambahbaikan kemudahan untuk orang ramai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan berita baik tersebut ketika merasmikan Pelancaran Orang Kuala Berang (OKB), Sambutan Aidilfitri dan Sambutan Kemerdekaan DUN Kuala Berang baru-baru ini.

Peruntukan tersebut merupakan hadiah kepada OKB kerana membuat pilihan tepat pada PRU13 dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal di kerusi tersebut sebagaimana di DUN Telemong dan juga Ajil.

Ahlli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang , Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dalam ucapan di majlis itu berkata, OKB adalah penjenamaan semula Kuala Berang.

OKB adalah satu ungkapan mesra bagi Orang Kuala Berang bagi mewujudkan perhubungan mesra terutama komuniti DUN Kuala Berang serta merapatkan hubungan di semua peringkat umur.

 “Uniknya Kita...Selamat, Selesa dan Mesra merupakan slogan OKB. Ianya dipilih kerana melalui slogan ini pembangunan Kuala Berang akan dibangunkan dalam pelbagai aspek yang merangkumi semua bidang termasuk pembangunan insan.

 “Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan untuk menjayakan OKB termasuklah pertandingan kebersihan kampung-kampung dalam DUN Kuala Berang,” katanya.

Dedikasi khas untuk wira negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis ke Tawau sebagai meraikan ulang tahun Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-66 pada 1 September lalu apabila Pasukan Polis Marin (PPM) turut menjadi satu kumpulan penting dalam Ops Daulat di Sabah.

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner, Tuan Azmi Ibrahim, berkata program kali keempat itu juga merupakan dedikasi khas bagi menzahirkan rasa tanda terima kasih kepada wira negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia dalam peristiwa Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

“Program juga dapat menyatakan secara simboliknya bahawa antara Semenjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebenarnya dekat.

 “Pada masa yang sama dapat menyemarakkan semangat patriotik untuk membawa, mengibar dan mengedarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan,” katanya ketika berucap sempena Pelepasan Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, di Dataran Shahbandar, semalam.



Turut hadir melancarkan majlis pelepasan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Manoharan A/L Kanaparty dan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia Chendering, Kapten Prof Zainal Saharudin.

Tuan Azmi berkata, selain sebagai mengingati sumbangan wira negara yang terkorban, ia juga dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50, selain menyuntik `Malaysia Boleh’ menerusi penganjuran ekspedisi menyusuri pantai seluruh Malaysia.

Untuk rekod, ekspedisi kali keempat sempena bulan kemerdekaan dan sambutan jubli emas Penubuhan Persekutuan Malaysia bermula 30 Ogos dari Langkawi dan berakhir di Tawau Sabah, pada 15 September ini dengan merentasi beberapa perhentian di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.





Solat hajat untuk Mesir

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Ramai golongan belia yang mahu mendekati al-Quran dan memperbaiki bacaan ayat-ayat suci berkenaan.

Ini dibuktikan melalui mekanisma yang dibawa oleh Presiden Persatuan Memimpin Generasi Al Quran (MEGA), Ustaz Mohd Faizal Hamdawi untuk melahirkan belia cintakan al-Quran dengan cadangan memperluaskan kelas tahsin kepada golongan belia.



Cadangan tersebut perlu diberi penekanan yang serius serta sokongan semua pihak kerana ia adalah salah satu insiatif yang berkesan untuk golongan muda memartabatkan generasi Qurani.

Dan program terbaru yang dilaksanakan bagi melahirkan keprihatinan MEGA terhadap belia cintakan keamanan melalui Perlaksanaan Program Sembahyang Hajat Perdana “Selamatkan Mesir” yang diadakan di Dataran Kuala Berang, baru-baru ini.

Antara pengisian malam tersebut yang dilaksanakan oleh MEGA dengan melancarkan kutipan derma amal dan persembahan qasidah .

Bagi MEGA, program yang diadakan ini adalah tanda keprihatihan belia terhadap pergolakan yang berlaku di Mesir mengikut cara dan acuan mereka tersendiri.

Presdien MEGA berkata, pihaknya menentang keras apa yang berlaku di Mesir dan berharap semua umat Islam bersatu demi maruah agama dan mengirimkan sumbangan doa untuk keselamatan mereka yang berada di sana.