Halaman

08 September 2013

Mahasiswa UIAM diminta dekat dengan komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Perkukuhkan ikatan silatulrahim ini sekuat mungkin dan kekalkan semangat ukhwah kalangan masyarakat setempat agar terus berpanjangan serta tidak terputus separuh jalan.

Harapan berkenaan disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Rakit, Haji Bazlan Abdul Rahman kepada 64 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak, Selangor yang mengikuti program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ‘13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

MIT ’13 yang membawa maksud kasih sayang di Terengganu itu merupakan kesinambungan program pertama pada tahun sebelumnya sekali gus mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

“Mahasiswa perlu sentiasa dekat dengan ahli komuniti dan tidak rugi jika kita mengekalkan hubungan dengan keluarga angkat yang telah memberikan layanan kelas pertama kepada mahasiswa sepanjang berkampung di sini,” katanya di majlis Penutup MIT ’13 di Dewan Futsal Bukit Wan, semalam.

Hadir sama, Pensyarah UIAM, Encik Yusni Yusof; Pengarah Program Encik Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

Sementara itu pengarah program, Encik Muhammad Hafiz berkata program selama selama enam hari itu berakhir dengan jayanya serta mencatat seribu satu kenangan yang sukar dilupakan.

“Program ini membuktikan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempunyai peranan penting membantu membangunkan komuniti setempat,” katanya.
 

RM250,000 hadiah buat warga Kuala Berang

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi membina gerai buah-buahan baru di Bandar Kuala Berang yang merupakan satu lagi hadiah projek pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menambahbaikan kemudahan untuk orang ramai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan berita baik tersebut ketika merasmikan Pelancaran Orang Kuala Berang (OKB), Sambutan Aidilfitri dan Sambutan Kemerdekaan DUN Kuala Berang baru-baru ini.

Peruntukan tersebut merupakan hadiah kepada OKB kerana membuat pilihan tepat pada PRU13 dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal di kerusi tersebut sebagaimana di DUN Telemong dan juga Ajil.

Ahlli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang , Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dalam ucapan di majlis itu berkata, OKB adalah penjenamaan semula Kuala Berang.

OKB adalah satu ungkapan mesra bagi Orang Kuala Berang bagi mewujudkan perhubungan mesra terutama komuniti DUN Kuala Berang serta merapatkan hubungan di semua peringkat umur.

 “Uniknya Kita...Selamat, Selesa dan Mesra merupakan slogan OKB. Ianya dipilih kerana melalui slogan ini pembangunan Kuala Berang akan dibangunkan dalam pelbagai aspek yang merangkumi semua bidang termasuk pembangunan insan.

 “Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan untuk menjayakan OKB termasuklah pertandingan kebersihan kampung-kampung dalam DUN Kuala Berang,” katanya.

Dedikasi khas untuk wira negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis ke Tawau sebagai meraikan ulang tahun Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-66 pada 1 September lalu apabila Pasukan Polis Marin (PPM) turut menjadi satu kumpulan penting dalam Ops Daulat di Sabah.

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner, Tuan Azmi Ibrahim, berkata program kali keempat itu juga merupakan dedikasi khas bagi menzahirkan rasa tanda terima kasih kepada wira negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia dalam peristiwa Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

“Program juga dapat menyatakan secara simboliknya bahawa antara Semenjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebenarnya dekat.

 “Pada masa yang sama dapat menyemarakkan semangat patriotik untuk membawa, mengibar dan mengedarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan,” katanya ketika berucap sempena Pelepasan Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, di Dataran Shahbandar, semalam.



Turut hadir melancarkan majlis pelepasan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Manoharan A/L Kanaparty dan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia Chendering, Kapten Prof Zainal Saharudin.

Tuan Azmi berkata, selain sebagai mengingati sumbangan wira negara yang terkorban, ia juga dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50, selain menyuntik `Malaysia Boleh’ menerusi penganjuran ekspedisi menyusuri pantai seluruh Malaysia.

Untuk rekod, ekspedisi kali keempat sempena bulan kemerdekaan dan sambutan jubli emas Penubuhan Persekutuan Malaysia bermula 30 Ogos dari Langkawi dan berakhir di Tawau Sabah, pada 15 September ini dengan merentasi beberapa perhentian di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.





Solat hajat untuk Mesir

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Ramai golongan belia yang mahu mendekati al-Quran dan memperbaiki bacaan ayat-ayat suci berkenaan.

Ini dibuktikan melalui mekanisma yang dibawa oleh Presiden Persatuan Memimpin Generasi Al Quran (MEGA), Ustaz Mohd Faizal Hamdawi untuk melahirkan belia cintakan al-Quran dengan cadangan memperluaskan kelas tahsin kepada golongan belia.



Cadangan tersebut perlu diberi penekanan yang serius serta sokongan semua pihak kerana ia adalah salah satu insiatif yang berkesan untuk golongan muda memartabatkan generasi Qurani.

Dan program terbaru yang dilaksanakan bagi melahirkan keprihatinan MEGA terhadap belia cintakan keamanan melalui Perlaksanaan Program Sembahyang Hajat Perdana “Selamatkan Mesir” yang diadakan di Dataran Kuala Berang, baru-baru ini.

Antara pengisian malam tersebut yang dilaksanakan oleh MEGA dengan melancarkan kutipan derma amal dan persembahan qasidah .

Bagi MEGA, program yang diadakan ini adalah tanda keprihatihan belia terhadap pergolakan yang berlaku di Mesir mengikut cara dan acuan mereka tersendiri.

Presdien MEGA berkata, pihaknya menentang keras apa yang berlaku di Mesir dan berharap semua umat Islam bersatu demi maruah agama dan mengirimkan sumbangan doa untuk keselamatan mereka yang berada di sana.

Majlis Belia tubuh TPBT

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT)  menubuhkan Team Pembangunan Belia Terengganu (TPBT) untuk memperkasakan golongan belia di negeri ini.

Pengerusi MBNT, Encik Zaidi Muda berkata, team ini akan dibarisi 10 orang jawatankuasa terdiri daripada golongan professional, usahawan, akademik yang mewakili badan-badan gabungan MBNT di negeri ini.

“Jawatankuasa akan duduk semeja berbincang serta membuat kajiselidik mengenai apa sebenarnya yang dikehendaki generai Y untuk pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Raya MBNT di Perkarangan Wisma Seri Amar, Kuala Terengganu.

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai kecenderungan golongan muda kebelakangan ini yang memprotes dalam senyap atau secara terangan menidakkan program kerajaan membangunkan golongan belia.

Menurutnya, contoh terdekat yang boleh dilihat dalam keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu apabila ramai golongan muda tidak memihak kepada kerajaan memerintah.

“Kita yakin team yang kita bentuk ini akan dapat mencari formula bagaimana meyakinkan golongan muda mengenai kesungguhan kerajaan memberi yang terbaik kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.

Tambahnya, kita tidak mahu anak muda kehilangan fokus serta menidakkan sejarah kemerdekaan negara dan melupakan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu ketika mempertahankan keamanan negara.

“Hasil kajian ini nanti akan di bawa kepada Menteri Besar pada November depan untuk langkah seterusnya bagi mengatur stretagi memperkasakan golongan muda,” katanya.

Dalam pada itu MBNT juga mengharapkan sokongan kerajaan terutama dari segi kewangan untuk mengatur pelbagai kursus dalam usaha meningkatkan pengetahuan belia dalam aspek kepimpinan.
 

TATiUC tawar kursus penuhi kehendak pasaran semasa

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) komited dalam membantu anak Terengganu memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka dengan menawarkan kursus yang memenuhi kehendak pasaran semasa.

Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim (gambar) berkata, dalam usaha menjadi sebuah universiti teknikal penuh menjelang 2015, kursus yang ditawatkan TATiUC samada kursus jangka pendek atau panjang lebih kepada membekalkan kemahiran dan membuka peluang pekerjaan kepada pelajarnya terutama golongan belia negeri ini.

"Banyak kursus dan program yang ditawarkan untuk kebaikan rakyat Terengganu sendiri contohnya yang berkaitan minyak dan gas yang bertepatan dengan kehendak industri setempat contohnya di sekitar Kemaman ini.

"TATiUC juga dikelilingi banyak kilang yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan dan kita berharap pelajar berpeluang bekerja ditempat berkenaan setelah menamatkan pengajian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman.

Menurut Dr Zunaidi, peluang untuk menambah jaringan kerjasama antara TATiUC dengan syarikat sekitar seperti mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, ramai pelajar TATiUC yang telah menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat sekitar institusi berkenaan seperti di Petronas, EPIC dan sebagainya.

 

Merdeka Raya rapatkan hubungan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 1500 tetamu menghadiri sambutan Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman (gambar) berkata, buat julung kalinya sambutan hari raya dibuat secara bersama dan diraikan secara serentak oleh empat anak syarikat setelah siapnya Dewan Canselor TATiUC yang dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 3 Oktober depan.

"Majlis ini berjaya menghimpunkan pihak atasan dan kakitangan TATI Production, Ruane-TATI Sdn Bhd, TATI Skill Training Centre (TATISTC) termasuk TATiUC sendiri di bawah satu bumbung bagi mengeratkan hubungan dan merapatkan lagi silaturahim sesama mereka.

“Seramai 3000 pelajar TATiUC turut terlibat secara langsung dengan mengambil bahagian dalam menghias kiosk dan menyediakan menu serta hidangan Aidilfitri yang mewakili fakulti masing-masing bagi merebut gelaran Rumah Aidilfitri Terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kiosk yang mewakili lima fakulti yang bertanding sempena sambutan Majlis Merdeka Raya tersebut.

Katanya, pertandingan Suara Emas Aidilfitri turut diadakan untuk memeriahkan suasana dan mencungkil bakat terpendam khususnya di kalangan pelajar TATiUC.

Tambah beliau, Majlis Merdeka Raya berkenaan yang menyediakan pelbagai juadah popular Terengganu turut dihadiri ketua-ketua jabatan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Kemaman.



Teganukita 89



Polis nafi ada pihak rekrut pelajar

Oleh: Suriati Ali 

Polis Terengganu tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan pelajar sebagai anggota kongsi gelap, malah tindakan lebih tegas akan dikenakan mengikut undang-undang.jika benar jenayah itu berlaku.

 Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, pihaknya berharap agar semua pihak termasuk sekolah dapat menyalurkan maklumat sekiranya ada pihak yang cua merekrut pelajar untuk menjadi ahli kumpulan kongsi gelap.

“Berdasarkan laporan yang diterima, tiada lagi seumpama itu dan gengsterisme berlaku di negeri ini.

“Bagaimanapun bagi mencegah, pemantauan pihak berkuasa giat dijalankan di semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM di Satadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Datuk Hamzah berkata, langkah proatif telah diambil dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis, selain mengukuhkan kesedaran melalui Kelab Pencegahan Jenayah dan Kor Sukarelawan OPolis (Ko-Suksis) bagi membentung pembabitan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral tersebut

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap pelajar malah penuntut IPT supaya tiada usaha pihak tertentu yang cuba menjadikan golongan ini sebagai ahli dalanm aktiviti jenayah mereka,” katanya.

.


Pameran PKPP di Pesta Terengganu 27 September - 3 Oktober

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Rantau Abang, Dungun akan mengadakan pameran penyu sempena Pesta Terengganu di Menara Kuala Lumpur dari 27 September  hingga 3 Oktober ini. 

Pengurus PKPP, Encik Abdul Halim Mat Nor berkata pameran itu bertujuan memberi kesempatan kepada orang ramai melihat dan memahami hidupan mamalia marin itu yang kini diancam kepupusan.

"Kita akan bawa 10 hingga 15 ekor penyu hidup untuk dipamerkan kepada orang ramai pada pesta tersebut," katanya.

Untuk tahun ini, pendaratan penyu terutamanya di pantai Geliga Kemaman terus mencatatkan peningkatan berbanding pantai-pantai yang lain di negeri ini.

Beliau berkata dalam tempoh lima bulan lepas, Jabatan Perikanan merekodkan 1,650 sarang penyu membabitkan lebih 160,000 biji telur di Pantai Geliga.

Katanya lebih 8,000 pelancong dalam dan luar negara telah mengunjungi PKPP dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu dengan kira-kira 700 daripada mereka mengikuti program kesedaran penyu.