Halaman

11 September 2013

Anggota Polis perlu berintegriti..KPD Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

DSP Abdul Rahman Raja Mohamed.
SETIU: Setiap anggota Polis perlu meningkakan intergriti masing-masing untuk mempastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dalam usaha membenteras sebarang kegiatan jenayah di daerah ini, kata Ketua Polis Daerah (KPD) Setiu, Deputi Superintenden Polis (DSP), Ab. Rahman Raja Muhammed ketika ditemui Teganukita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, hari ini.

Ab. Rahman berkata, menjadi anggota Polis bukanlah sekadar hanya bekerja tetapi ia perlu memikulkan satu tugas yang berat yang perlu dilakukan semua anggota supaya tugas sebagai anggota Polis dapat dilakukan dengan berkesan, amanah dan jujur.

“Sikap tidak mementingkan tugas perlu dihindarkan sama sekali kerana sebagai anggota Polis mereka sentiasa bersiap sedia dan bersemangat dalam menjalankan tugas masing-masing bagi mempastikan daerah Setiu ini bebas dari sebarang jenayah,” katanya.

Abdul Rahman yang memulakan tugasnya sebagai KPD Setiu pada tahun lalu itu juga mengharapkan kerjasama dari semua golongan masyarakat di daerah Setiu bersama-sama menangani masalah jenayah dengan membuat laporan segera kepada pihak Polis sekiranya berlaku sebarang kes.

“Selain usaha anggota membenteras jenayah, orang ramai juga perlu membantu. Saya sendiri sentiasa mendekati rakyat dengan bertemu dan bertanya khabar kepada mereka diluar waktu bertugas bagi mengeratkan hubungan polis dengan orang awam ,” katanya.

Sementara itu, Ab.Rahman berkata, kadar kes jenayah di Daerah Setiu berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

“Tiada kes-kes besar seperti senjatapi dan rompakan, yang ada hanyalah kes-kes pengaduhan dan kecurian kecil-kecil dan kes-kes ini sentiasa dalam kawalan pihak Polis. Saya mengharapkan ianya dapat terus dikurangkan kea rah jenayah Sifar di daerah Setiu ini,” katanya

.

UniSZA terima 1,143 pelajar baru

Oleh; Esah Abdullah 

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima sejumlah 1,143 pelajar baru yang akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai kursus  lapan buah fakultinya bagi sesi 2013/2014.

Naib Canselor UniSZA Prof. Dr. Yahya bin Ibrahim berkata, terdapat 19 program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda ditawarkan untuk pengambilan sesi 2013/2014 dan daripada 1,143 pelajar baru itu 845 adalah siswi dan 298 siswa.

“Antara fakulti yang terlibat ialah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Fakulti Pengajian Pengurusan Perniagaan & Perakaunan, Fakulti Pertanian, Bioteknologi & Sains Makanan.

“Fakulti Reka Bentuk & Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Informatik & Komputeran, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

 Menurutnya, program Minggu Mesra Siswa Sesi 2013/2014 diadakan minggu lalu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berguna dan terkini kepada mahasiswa baru untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan budaya pembelajaran serta suasana kehidupan baru di Universiti.

Minggu Mesra Siswa 2013/2014 yang diadakan di Dataran Al- Muktafi Billah Shah  dihadiri oleh seramai 2,600 siswa yang baru mendaftar diri di samping siswa yang sedang mengikuti program pengajian peringkat Diploma yang telah mendaftar pada sesi pengambilan Jun lalu.
 

Mohd Ali Rustam akui empat rakan calon Naib Presiden pemimpin banyak berjasa


Sebahagian ahli UMNO Besut yang hadir majlis bersama Mohd Ali

Oleh: Mohammad Ishak

Bekas Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan empat rakan lain yang akan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada parti dan negara.

Katanya, semua empat rakan seperjuangan itu juga mempynyai kelayakkan dan sahabat baik yang mampu mengukuhkan lagi kedudukan Umno dalam era sekarang.

Empat rakan yang dimaksudkan ialah penyandang jawatan,Dato' Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi, Dato' Seri Hishamumuddin Hussein, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal dan calon baru Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohd Ali yang turut menawrkan bertanding Naib Presiden berkata, kaedah baru pemilihan yang diperkenalkan oleh Umno menyuburkan lagi proses demokrasi dalam pemilihan pepimpin parti kerana ia memberi ruang kepada peringkat akar umbi.

 “Ia berlainan dengan cara yang dilakukan parti pembangkang terutama DAP yang membelakangkan kehendak ahli parti,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli Umno Bahagian Besut di sini semalam.

Beliau berkata, kaedah baru yang akan dilaksanakanm Umno memberi peluang lebih ramai ahli menawarkan diri bertanding tanpa sebarang halangan dan ia akan mengukuhkan kedudukan parti.

“Saya tidak nampak walaupun ramai ahli yang akan menawar diri merebut pelbagai jawatan ia akan melemahkan Umno,” katanya.

Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB berkata, beliau sedia menawarkan diri bertanding kerana mahu Umno lebih kukuh dan mantap bagi menghadapi era masa kini yang memerlukan pemimpin yang tegas dan berwawasan.

Katanya, pola yang berlaku dalam keputusan PRU13 yang menyaksikan orang Cina tidak menyokong Barisan Nasional (BN) meningkatkan lagi semangat untuk terus berjuang membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam menerusi UMNO.

Beliau berkata, ahli parti juga perlu mencontohi Umno Bahagian Besut yang sentiasa kukuh dan bersatu padu menyebabkan semua empat DUN di Parlimen Besut dimenangi calon BN pada PRU13 walaupun ada di bahagian lain negeri ini gagal merebut banyak kerusi.

Iskandar "wakaf" keretanya untuk penduduk.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Iskandar (kiri) ketika menerima kunjungan dua pegawai tinggi Bomba di pejabatnya.
  AHLI Dewan Undangan (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar menjadikan sebuah kenderaan miliknya sebagai “Wakaf”, apabila beliau meletakan kenderaanya di pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk kemudahan penduduk di sekitar kawasanya.

Iskandar berkata, sebagai seorang wakil rakyat dia mahukan setiap rakyat di kawasanya mendapat kemudahan kerana itulah dia mengambil keputusan menjadikan sebuah kenderaannya sebagai “wakaf” untuk digunakan waktu kecemasan atau keperluan lain oleh masyarakat setempat.

“Tidak semua penduduk di Dun ini memiliki kereta kerana itulah saya memikirkan adalah perlu kenderaan saya itu digunakan untuk membantu penduduk untuk beberapa urusan termasuklah kecemasan. Sesiapa sahaja boleh guna kereta itu asalkan untuk kebaikan. Kenderaan ini juga digunakan untuk urusan pejabat Dun,” katanya.

Iskandar yang dikenali penduduk sebagai wakil rakyat baru yang mesra rakyat, mengakui masanya terlalu suntuk sejak menjawat jawatan wakil rakyat malah dia mengakui adakalanya dia tidak cukup tidur kerana sibuk dengan tugas.

“Saya tidak berpeluang untuk berehat, masa saya sentiasa penuh tetapi saya gembira dengan tugas ini. Jika berpeluang untuk berehat ialah ketika saya ada urusan di luar kawasan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Iskandar, Hazali Mat berkata, antara agenda utama Iskandar ialah mempastikan taraf pendidikan di kawasanya dapat terus dipertingkatkan serta membantu semua golongan masyarakat dapat menikmati hidup yang lebih sempurna.

Bukit Bintang ada kisah misteri.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Bukit Bintang terletak di daerah Setiu.
BUKIT BINTANG yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Bandar Permaisuri, Setiu, dahulunya menjadi penempatan sekumpulan askar yang menjaga pemancar radio dan televisyen.

Berkunjung ke kemuncak Bukit Bintang, anda dapat menyaksikan satu pemandangan yang cukup menarik dan anda boleh melihat hampir ke seluruhan daerah Setiu termasuklah kawasan pantai.

Bukit Bintang yang di kelilingi hutan semulajadi itu mempunyai misterinya yang tersendiri, ada di kalangan penuntut ilmu kebatinan bertapa di bukit itu selama beberapa hari untuk mencari ilmu kebatinan selain ada yang melakukan ibadat kepada Allah dengan melakukan wirid dan bersolat. 

Di sebalik itu, ada juga cerita-cerita yang menjadi misteri tentang bukit bintang, antaranya ia dikatakan tempat tinggal orang bunian yang berketurunan arab.

Seorang pegamal perubatan tradisional, yang mahu dikenali sebagai Pak Su Rasyid, dari Kampung Alor Serdang, Bintang, berkata dia juga pernah mengalami sendiri ketika memanjat Bukit Bintang yang terletak berhampiran rumahnya itu ialah dia terdengar bunyi riuh-rendah orang yang sedang mandi sedangkan apabila dia melihat kawasan sungai itu tiada sesiapapun yang mandi.

“Ketika itu saya menghantar seorang lelaki yang mahu membuat ibadat dan bersunyi-sunyian di atas bukit itu, ketika dalam perjalanan turun, saya mendengar bunyi beberapa orang sedang mandi sebuah sungai di atas bukit itu, saya mendengar mereka sedang bercakap-cakap dengan mengunakan bahasa yang sama dengan kita bercakap,” katanya.

Pak Su Rasyid berkata, Bukit Bintang sememangnya mempunyai penghuninya tetapi hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh melihatnya malah kehidupan mereka sama seperti kehidupan manusia.

“Mereka dikatakan adalah dari keturunan darah arab, malah mereka juga pergi menunaikan haji di Mekah dan menjalani kehidupan sebagaimana manusia. Saya juga pernah mendengar bacaan ayat suci Al-Quran ketika berada di atas gunung itu,” katanya.

Walaupun apa-apa cerita tentang Bukit Bintang itu, orang ramai yang meminati keindahan alam semulajadi dan aktiviti lasak bolehlah mendaki bukit itu untuk melihat sendiri panorama keindahanya dari atas puncak bukit.


10 September 2013

UMT sasar tarik pelajar antarabangsa berkualiti

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan untuk menarik pelajar antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah proaktif dalam memenuhi kouta lima peratus pelajar luar negara yang dibenarkan belajar di universiti awam negara ini.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo (gambar) berkata, UMT menyasarkan peratusan kemasukan pelajar antarabangsa untuk program peringkat pra siswazah pada sesi pengambilan tahun depan akan meningkat.

“UMT sebenarnya telah mempunyai beberapa pelajar antarabangsa seperti dari Thailand, Morocco, Tunisia serta Indonesia tetapi dalam jumlah yang masih kecil.

"Justeru, kita akan menawarkan beberapa program bersifat antarabangsa untuk menarik pelajar antarabangsa dengan mengutamakan pelajar yang berkualiti. Empat atau lima program telah dikenalpasti untuk dijadikan program antarabangsa di mana mungkin dalam tahun ini atau awal tahun depan kita akan membuat publisiti berkenaannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra Pelajar Baru Sesi Akademik 2013/2014, di Dewan Sultan Mizan UMT, baru-baru ini.

Katanya, pada masa kini UMT mempunyai sekitar satu peratus pelajar luar negara secara keseluruhan.

Menurut beliau, UMT memang mempunyai pelajar antarabangsa untuk program pasca siswazah iaitu bagi program Master dan Doktor Falsafah (PhD), namun tidak ramai untuk program pra siswazah.

"Kita sememangnya menawarkan program antarabangsa untuk program-program pasca siswazah, malah daripada 700 orang pelajar pasca siswazah ini, 200 daripadanya terdiri daripada pelajar antarabangsa," katanya.

Katanya, pada masa ini tumpuan lebih diberikan kepada pengajian pasca siswazah untuk pelajar-pelajar luar negara tetapi mungkin pada sesi pengambilan akan datang UMT akan menambah bilangan pelajar luar negara bagi program pra siswazah setelah program-program antarabangsa diperkenalkan.

 

Pembangunan Hulu Terengganu untuk rakyat disegerakan

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan sedang merancang beberapa program pembangunan bagi daerah Hulu Terengganu sebaik siapnya Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Kuantan ke Kuala Terengganu, tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, jika lebuh raya itu siap mengikut jadual, projek-projek tertangguh seperti pusat penjaja buah-buahan di Kampung Gaung akan dibangunkan dengan segera.

 "Kita yakin dengan siapnya lebuh raya itu, orang ramai terutamanya pelancong ke Tasik Kenyir akan tertumpu kepada Hulu Terengganu kerana ia berada di laluan lebuh raya berkenaan,” katanya kepada Teganukita, semalam .

Beliau berkata, projek LPT2 akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan selain menambah pendapatan sampingan melalui peluang perniagaan yang akan wujud.

 "Kita juga akan lihat balik pusat pendidikan yang tertangguh seperti politeknik di sini yang terbengkalai.Tidak lupa pada kepada Pekan Ajil,kita akan menyusun kembali rangkaian perniagaan dengan lebih teratur dan sempurna." katanya.

 

2252 pelajar baru sesi akademik 2013/2014 UMT lafaz ikrar

 Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 2252 pelajar baru bagi sesi akademik 2013/2014 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melafazkan ikrar sempena Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, baru-baru ini.

Lafaz ikrar tersebut diadakan di hadapan Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Anuar Hassan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd Effendy Abd Wahid serta Pendaftar UMT, Mohd Nor Shokri Abdul Rahman.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo berkata, ikrar yang dilafazkan merupakan akuan penerimaan penuntut sebagai sebahagian daripada warga UMT.

“Semasa Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu, mereka didedahkan mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti.

"Justeru, majlis ikrar tersebut sebagai aku janji para pelajar untuk mengikuti peraturan yang ada sebaik mungkin dan mengambil peluang belajar secara maksimum yang boleh semasa berada di UMT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra Pelajar Baru UMT.

Katanya, pada sesi kemasukan kali ini, UMT menawarkan sebanyak 2,600 tempat dan 2,252 pelajar menerimanya termasuk 3 pelajar dari luar negara iaitu seorang dari Morocco dan Thailand (2).

"Sehingga majlis ikrar berlangsung, terdapat lebih kurang 348 pelajar yang masih belum mendaftar dan kemungkinan mereka akan datang mengisi tempat tersebut dalam masa terdekat,” ujarnya.







Gangguan bekalan air di Marang

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 20,000 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu), di Marang akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pam di Loji Air Rawatan Kepong 2, esok (11 September).

 Ketua Pegawai Eksekutif Satu , Haji Husain Embong, berkata erja-kerja bagi meningkatkan kecekapan bekalan air itu akan akan menyebabkan sumber air ke tangki perkhidmatan Satu di Bukit Kor, Marang akan diberhentikan penyalurannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kerja-kerja penyelanggaraan ini.

"Ini menyebabkan 22 lokasi di Marang akan menerima tekanan air yang rendah dan sebahagian lagi akan terputus bekalan.

Antara kawasan yang terlibat dalam tempoh gangguan bermula jam 4 petang hinggan 12 tengah malam, pada tarikh itu adalah, Taman Medan Jaya; Kampung (Kg) Rusila; Kg Kijing, Kg Bukit Mawi; Bandar Marang; Kg Seberang Marang dan Kg Gong Chempedak.

 Lokasi lain, Kg Bantangan; Kg Bukit Gasing; Kg Rhu Muda; Penjara Marang; Kg Bukit Kecil; Merchang; Kg Serating; Kg Gong Beris; Kg Alor Ketitir; Kg Alur Tuman; Felda Rantau Abang; Kg Undang dan Jalan Bukit Kor

 “Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku,” katanya dalam satu kenyataan




P1MPIN lindungi 37,048 peniaga berdaftar seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 37,048 penjaja dan peniaga kecil seluruh Terengganu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapat perlindungan insurans sejak 1 Januari lalu.

Perlindungan insurans berkelompok dinamakan Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) ditawarkan secara percuma kepada yang layak sebaik sahaja mendaftarkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud, berkata di Kuala Terengganu sahaja umpamanya, seramai 12,000 penjaja yang mewakili 32 peratus peniaga seluruh Terengganu mendapat perlindungan sepanjang 24 jam 365 hari di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, di Terengganu dan Kuala Terengganu amnya, saya percaya masih ada lagi penjaja yang belum mendaftarkan perniagaan mereka.

 “Oleh itu, peniaga yang belum mendaftar diseru segara berbuat demikian di samping berpeluang merebut setiap insiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan khas kepada golongan penjaja dan peniaga kecil,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

YB Roslee berkata, bukan hanya perlindungan insurans, kementerian juga menawarkan skim pembiayaan mikro tanpa faedah kepada penjaja dan peniaga kecil memajukan perniagan mereka.

Sehingga 23 Ogos lalu, sebanyak 1,445 permohonan dari Terengganu daripada keseluruhan 27,228 permohonan seluruh negara.

 “Daripada jumlah itu, seramai 998 permohonan (69 peratus) telah menerima skim pembiayaan mikro dengan jumlah keseluruhan RM4.5 juta,” katanya.