Halaman

17 September 2013

MB hadir majlis kenduri kahwin anak bekas ADUN Jabi


Dato'Ahmad Said bersama Nawi Mohamad di majlis kenduri kahwin anak Ramlan Ali (Bekas ADUN Jabi)

Oleh: Mohammad Ishak 

Biarpun berstatus bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun kemeriahan dan sambutan daripada orang ramai tetap meriah bagi majlis perkahwinan anak sulung Ramlan Ali dan pasangan isterinya, Zaipah Hussin semalam.

Majlis itu bertambah seri dan meriah apabila Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri turut mengunjungi rumah Ramlan yang juga bekas ADUN Jabi di Kampung Tanah Merah, dekat Jertih.

Selain Ahmad turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad, ADUN Jabi, Mohd Iskandar
Jaafar dan pegawai kanan kerajaan daerah Besut dan Setiu.

Ramlan yang lebih mesra dengan panggilan “Chegu Lan” bersama iteri tetap berpengaruh dan mempunyai ramai penyokong biarpun sudah tidak menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Kehadiran ramai pemimpin termasuk bekas ADUN dan pemimpin sekarang membuktikan semangat setiakawan di kalangan pemimpin Terengganu tetap teguh dan utuh walapun ada di antara mereka sudah tiada tempat dalam kepemimpinan sekarang.

Ramlan amat gembira dengan kehadiran orang ramai terutama rakan seperjuangan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada majlis perkawinan anak sulung beliau.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang dapat hadir memeriahkan majlis berkenaan sambil menghargai kesudian tetamu jemputan khususnya penduduk di DUN Jabi.

MB alu-alukan pelantikan Presiden PBSNT baru

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengalu-alukan perlantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebagi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.

 Beliau berharap dengan perlantikan itu, PBSNT mampu memikirkan idea baru, menjalinkan kerjasama antara persatuan daerah dan sebagainya sekaligus membuat perubahan yang membanggakan.

 Katanya, pendekatan itu cukup penting bagi membentuk pasukan yang lebih mantap pada masa depan, serta mengembalikan kegemilangan skuad Pebelum yang pernah dicipta sebelum ini.

 “Saya juga memberi peringatan awal kepada presiden baru supaya memastikan pemain import yang dipilih untuk mewakili Terengganu musim depan setimpal dengan pelaburan yang dibuat.

“Jangan memilih dan mengharapkan pemain import yang dicadang ejen melalui rakaman video saja .,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari 1Malaysia peringkat Terengganu, di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dia mengambil serius perkara itu, jika silap pilih permain import buruk padahnya dan Datuk Wan Ahmad Nizam perlu menanggung risiko.

 “Jadi sebab itulah beliau telah berbincang dengan exco sukan (Pengerusi Jawatakuasa Belia dan Sukan, YB Rozi Mamat) serta pihak pengurusan mengenai perkara itu.

 “Pihak pengurusan PBSNT turut meninjau pemain import di Croatia dan Bosnia (Hergovina) bagi menambah kekuatan kesebelasan skuad Terengganu,” katanya.

Datuk Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, menang tanpa bertanding selepas hanya namanya diumumkan layak bertanding daripada dua pencalonan yang diterima.

Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Dato’ Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.

 Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.

 

Sekitar lawatan tiga YB ke Pulau Redang.

Oleh: Aminudin Ismail.

Ganding bahu..3 wakil rakyat melawat Pulau Redang.
KUNJUNGAN tiga wakil rakyat ke Pulau Redang selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu lalu tentunya mengembirakan penduduk pulau peranginan itu kerana selain dapat bersua muka dengan wakil rakyat baru mereka, sesungguhnya tentu ada berita gembira untuk penduduk pulau itu terutamanya untuk menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan selesa.

Tiga wakil rakyat itu iaitu Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh, Adun Permaisuri, Dato'Sabri Mohd Nor dan Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Antara program yang dilakukan ialah Jamuan Kesyukuran kemenangan Barisan Nasional peti UNDI Pulau Redang,Gotong-royong bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu,ziarah warga emas,pesakit kronik dan hadir pada persidangan UMNO Cawangan Pulau Redang.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar lawatan tiga YB itu ke Pulau Redang.

Bazlan membantu penduduk mengambil lauk.
Sabri tidak kekok mengoreng sejenis roti.
Bazlan (tunduk) sedang menanam tiang papan tanda kebersihan.
Zulkifli (tengah) bertanya khabar seorang penduduk.
Seorang penduduk gembira dapat bertemu tiga wakil rakyat sekaligus



16 September 2013

Golongan belia bertanggungjawab teruskan kesinambungan makmurkan negara

Oleh: Suriati Ali 

Masyarakat terutama golongan belia hari ini, sewajarnya bertanggungjawab memastikan kesinambungan memakmurkan negara dengan idea bernas dan berkesan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jika sejarah sudah tercipta dan sedang dicipta generasi dahulu dan hari ini, maka generasi akan datang perlu bersedia dari sekarang untuk mencipta sejarah agar kegemilangan negara terus berhasil tanpa noktah.

 Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan bagi memastikan kehidupan rakyat dapat ditingkatkan.

“Melalui agenda `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan lebih lima tahun lalu, pelbagai program sama ada dalam bentuk pembangunan fizikal mahu pun modal insan telah diadakan.

 “Bagi memahami dan menghargainya setiap indivudu perlu kembali kepada susur galur sejarah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat Terengganu, di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.



 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agung Kemerdekaan ke 56 Terengganu yang juga Pengerusi Perindustrian dan Perdagangan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

 Katanya, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana segala usaha untuk mengisi kemerdekaan dan menangkis segala cabaran berjaya dicapai dengan kekuatan tolenrasi semua kaum yang menganut berbagai agama. 

“Kita sepatutnya berterima kasih dan menunjukan terima kasih kepada bapa-bapa kemerdekaan yang telah meletakkan batu asa yang kukuh dengan terus memperkukuhkan tolenrasi antara kaum, mempertahankan keharmonian dan terus berganding bahu membina negara Malaysia yang disegani dunia,” katanya.

   

JBC muncul juara pasukan terbaik


Pasukan Jami Bike Center (JBC) dari Kuala Lumpur muncul juara pasukan terbaik keseluruhan pada Kejohanan Terengganu Century Ride 2013 (TCR) bersempena sambutan Hari Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2013 di Dataran Batu Burok semalam.

 Naib juara kumpulan menjadi pemilik pasukan Bike 360 dari Singapura menewaskan juara edisi pertama yang juga wakil tuan rumah, Team1 Permai di tempat ketiga.

 Kejohanan kali kedua itu disertai seramai 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara melibatkan enam kategori yang di pertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki; wanita; veteran lelaki (35 hingga 45 tahun); senior veteran (46 tahun keatas) dan dua kategori baru melibatkan kategori junior bawah 18 tahun serta pasukan terbaik keseluruhan.

 Kategori lelaki terbuka dimenangi oleh Lim Chin Nian dengan catatan masa 4 jam, 19 minit menewaskan pencabar terdekat Ahmad Haidar Anuwar (Jami Bike) yang ketinggalan dua minit di belakang (4:21m) dan tempat ketiga Chin Ching Chai.

Bagi kategori terbuka wanita pula dimenangi oleh pelumba dari pasukan Jami Bike, Siti Hasliza Md Shah yang menamatkan kayuhan sejauh 160 kilometer dengan catatan masa 4 jam, 21 minit meninggalkan Marina Chen Ling Ting untuk tempat kedua dan Shinghui Lim tempat ketiga.

 Manakala juara bagi kategori veteran lelaki menjadi milik Yap Soon Heng (Bike World) dengan masa 4 jam, 21 minit menewaskan Abdul Khalib Zakaria (kedua) dan ketiga, Hafiz Wong Abdullah (Tripaku).

 Pelumba tempatan, Baharin Yusor dari Bukit Besar Cycling Team (BBCT) sekadar berpuas hati selaku naib juara setelah ketinggalan lima saat dibelakang juara kategori senior veteran, Jasper Silkeborg dan tempat ketiga pelumba dari Thailand, Chacrit Ngeonsanga.

 Kategori yang baru diperkenalkan menerusi acara junior bawah 18 tahun diungguli pelumba dari pasukan Kicik-kick Lembu Jaga, Muhammad Hafidz Zainal, manakala tempat kedua, Wan Muhammad Irhan Wan Ahmad Amli (Team1 Permai) dan ketiga, Mohamad Amin Idros ( Heritage Cycle Team).

 Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas, Wan Mohd Lotfi Wan Ismail yang turut diiringi Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali selaku penaja rasmi penginapan peserta kejohanan.

 Sementara itu ketua pasukan JBC, Jaminuddin Ismail berkata, saingan edisi kedua ini lebih santai jika dibandingkan tahun lalu sekaligus memberi peluang kepada pasukannya untuk muncul juara keseluruhan. Katanya, menjelang kejohanan kali ini pasukan tidak banyak membuat persediaan rapi sebaliknya meneruskan aktiviti kayuhan setiap minggu selain menyertai program yang dianjuran di sekitar ibu negara.

“Alhamdulilah pada edisi kali ini kita menghantar wakil seramai 30 peserta dan sebahagian daripada mereka berjaya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

 “Insyallah sekiranya acara ini diteruskan pada tahun depan, kita akan terus memberi sokongan dengan menjadikan program ini sebagai aktiviti wajib kami,” katanya ketika ditemui sejurus tamat kejohanan.

 Manakala wakil Bike 360 dari Singapura, Mohd Fazli Fazbol mengakui pengajuran kali ini lebih tersusun dengan laluan yang mendatar, namun masih mencabar terutamanya apabila melalui kawasan tepi pantai dengan keadaan angin yang kuat.

 “Berdasar prestasi musim lalu, tahun ini pasukan kami mampu merangkul gelaran naib juara malah saya sendiri berjaya meraih tempat keempat dalam kategori terbuka lelaki berbanding tempat kelapan sebelum ini.
“Malah kejohanan ini juga menjadi platform buat pasukan kami untuk mengenali dengan lebih rapat peminat sukan lumba basikal di Malaysia selain berpeluang menikmati keindahan destinasi pelancongan di Terengganu terutamanya di kawasan pantai,” katanya.

 Pada kejohanan itu juga, pasukan Bike 360 juga dinobatkan selaku pasukan paling ramai menghantar peserta dengan 130 penyertaan.

 

Fama sasar buka 1,000 pasar tani

Oleh; Esah Abdullah 

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meletak sasaran untuk membuka 1,000 buah pasar tani di seluruh negara dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majib berkata, sehingga kini sebanyak 511 buah pasar tani sedang bero[perasi di seluruh negara, dan 19 daripadanya beroperasi di negeri ini.

Encik Ab Razak Ab Majib
“Kita jangkakan sasaran 1,000 buah dalam tempoh enam tahun itu dapat dicapai dan 30 buah pasar tani akan dibangunkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Program Sambutan & Seranta Sempena Bulan Kemerdekaan ke- 56 tahun peringkat negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Menurutnya, Fama juga bercadang wujudkan dua lagi pasar tani di negeri Terengganu iaitu di Bandar Baru Cheneh, Kemaman pada Oktober, dan di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit pada November depan.

Menurutnya, pasar tani tidak semestinya beroperasi pada waktu pagi sebaliknya ia juga boleh dibuka pada waktu petang mengikut kesesuaian seperti mana yang beroperasi di Pasar Tani di Putrajaya yang mendapat sambutan baik dari kalangan pengguna.

“Fama berhasrat membuka lebih banyak pasar tani terutama di kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, Fama juga mensasarkan hasil jualan RM1.5 bilion bagi tahun 2013 dan sehingga Julai telah berjaya mencapai RM700 juta.
 

Kawasan tanaman padi terbesar di Lembah Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Sebahagian tanaman padi yang diusahakan penduduk Kampung Permaisuri
SETIU: Dengan keluasan tanah melebihi 4000 ekar dan diusahakan lebih 70 penduduk sekitar menjadikan kawasan sawah padi Kampung Permaisuri, di sini adalah kawasan tanaman padi yang terbesar di Lembah Setiu.

Tinjauan teganukita ke kawasan tanaman padi itu, semalam mendapati kebanyakan padi mula menguning dan ada diantaranya sudahpun dituai yang pastinya akan membuahkan pulangan hasil yang agak lumayan kepada setiap pengusahanya.

Mat Adam
Seorang pengusaha, Mat Adam Talib, 50 berkata, dia yang mengusahakan tanah itu sejak di bangku sekolah lagi kerana membantu ayahnya ketika itu kini menjadikan kerja menanam padi adalah sebagai pekerjaan tetapnya.

“Sudah lebih 30 tahun saya menanam padi di sini, daripada kaedah tradisional hinggalah kaedah moden sekarang ini. Dulu semua kena buat sendiri tapi sekarang semuanya mengunakan mesin, saya hanya menjaga batas sahaja dan melihat penyakit padi.

“Saya mengusahakannya kira-kira 20 ekar dan pendapatanya bolehlah untuk saya menyara anak dan isteri,” katanya.

Razali Che Muda, 50 pula, berkata dia yang mengusahakan tanah seluas enam ekar itu berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan pelbagai bantuan untuk meringankan bebanan penduduk kampung mengusahakan tanah itu.

“Antara bantuan yang kami terima ialah baja, racun dan bantuan insentif pendapatan. Kami juga mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian, Peladang dan Ketara,” katanya.


Pembedahan pertama di Setiu Rabu ini

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

   
Mohd Jidin (bersongkok) ketika merasmikan dewan bedah HS sambil diperhati Mohd Faizal.
SETIU: Pesakit tertentu di daerah Setiu yang memerlukan pembedahan tidak perlu lagi ke Hospital Kuala Terengganu (HKT) atau Hospital Universiti Kubang Kerian (HUKM) kerana ia kini dapat di lakukan Hospital Setiu (HS) yang mempunyai bilik bedah sendiri dan akan memulakan pembedahan pertamanya Rabu ini.

Bilik bedah HS yang dibina dengan kos kira-kira RM1.1 juta itu di rasmikan oleh Exco Pelancongan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee, malam semalam.

Ketika ditemui teganukita selepas majlis perasmian itu, Mohd Jidin berkata, beliau berterima kasih kepada pihak hospital dan Jabatan Kerja Raya(JKR) negeri kerana dapat menyiapkan bilik bedah itu sehingga dapat beroperasi rabu ini.

“Saya mengucapkan terima kasihlah kepada pihak hospital ini yang menyempurnakan bilik bedah ini yang memakan masa agak lama iaitu sejak hospital ini dibuka kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakan mengikut pandangan doktor.

“Pada malam ini Alhamdulillah lah (ia dapat digunakan), jadi cumanya sekarang pembedahannya sudah boleh dilakukan, doktor pakar masih di Kuala Terengganu, jika ada keperluan dia akan datang dan saya difahamkan pembedahan pertama akan dilakukan pada 18hb ini (rabu),” katanya.

Katanya, walaupun hanya pembedahan ringan dilakukan di HS tetapi ia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk daerah Setiu. “Kerajaan akan mempastikan HS ini akan menjadi sebuah hospital yang lengkap dan bangunannya sudah moden, kawasanya strategik dan keperluan itu.

"Kerajaan negeri amat mengalu-galukan pembukaan dewan bedah ini yang akan memberi banyak manfaat kepada seluruh penduduk daerah Setiu,” katanya.

Sementara itu, sebelum majlis perasmian, turut diadakan solat hajat dan bacaan doa oleh beberapa jemaah dari beberapa masjid dan surau berhampiran HS. Hadir sama ialah Pengarah HS, Dr. Mohd Faizal Abdullah.


15 September 2013

SETIAUSAHA POLITIK MB MENANG TANPA BERTANDING PRESIDEN BOLA SEPAK TERENGGANU

Tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kemaman, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid=kerana dipilih sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.
 Dengan pemilihan tersebut, maka tamatlah spekulasi siapa Presiden PBSNT yang baru kerana kini jawatan itu sah menjadi milik Presiden Dato’ Wan Ahmad Nizam. Dato’ Wan Ahmad Nizam adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menang tanpa bertanding.
  Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.
  Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.
  Menurut Dato' Wan Ahmad Nizam menerusi ucapan yang diwakilkan kepada Marzuki, beliau berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi panas tersebut.
  “Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab ini dengan bantuan dan sokongan daripada semua pihak. Pada masa yang sama, saya juga akan cuba menyelesaikan segala masalah yang berbangkit di samping merancang untuk menambah baik prestasi pasukan selepas ini,” katanya.
  Selain itu, kesemua nama yang dicalonkan juga menang tanpa bertanding termasuk termasuk lapan ahli jawatankuasa Eksekutif PBSNT.
  Bagi jawatan Timbalan Presiden 1 PBSNT, ia kekal menjadi milik Dato' Mazlan Ngah yang juga Setiausaha Kerajaan negeri manakala empat muka baharu pula dipilih sebagai Naib Presiden persatuan iaitu Ab. Rashid Jusoh, Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah serta Saidi Salleh@Sulong.
  Jawatan AJK Eksekutif PBSNT turut menyaksikan empat muka baharu iaitu Mohd. Rashdi Hamat, Wan Mohd. Azlizan Abu Bakar, Mohd. Sekanther Abd. Hamid serta bekas Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh.
 Sementara itu, empat muka lama yang mengekalkan jawatan tersebut ialah Ali Embong, Haslan Hashim, Zaki Ismail serta Wan Zaulkfli Wan Gati. Kongres tersebut dihadiri oleh 39 ahli eksekutif termasuk 24 ahli gabungan daripada persatuan bola sepak daerah di seluruh Terengganu.
  Bagaimanapun, Dato' Wan Ahmad Nizam tidak hadir kerana mempunyai tugasan di luar negara.
 Masyarakat, terutama peminat bola sepak Terengganu amat berharap dengan kepimpinan baru PBSNT itu, akan membawa kecemerlangan kepada sukan bola sepak di negeri ini.- Ruslan Abdul Rahman


GEMBIRA TERENGGANU BEBAS JENAYAH BERAT

Oleh: Ruslan Rahman

Orang ramai begitu gembira apabila rekod dan fakta menunjukkan Terengganu bebas daripada kegiatan jenayah berat.
  Seorang facebookers terkenal, Mohd Marzuki Muda menyifatkan ia suatu yang amat positif bagi menggambarkan betapa kehidupan di negeri Terengganu begitu aman dan selesa.
“Ia juga akan mendorong pelancong dan sesiapa sahaja untuk datang ke Terengganu,” katanya.


 Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Terengganu setakat ini disenaraikan bebas daripada kegiatan jenayah berat, pertubuhan haram dan sindiket.
  Beliau berkata daripada laporan Ops Cantas Polis Terengganu, tiada rekod kegiatan perjudian haram, sindiket pelacuran, kegiatan 'Along' mahupun pertubuhan haram yang dicatatkan.
  "Empat aspek itu penting bagi menentukan Terengganu bebas daripada jenayah indeks.
 Ada berlaku (jenayah), tetapi ia kes terasing dan bukan melibatkan sindiket," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan yang diiringi Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu semalam 14 September.
 Mohd.Marzuki berkata, pengikrifan itu kepada negeri Terengganu perlu disyukuri oleh semua pihak dengan terus memastikan keadaan itu berkekalan.
  Pengusaha pelancongan, Cikgu Md. Azmi Aziz berkata, kita sewajarnya berterima kasih kepada pihak polis dan ahli masyarakat yang memainkan peranan mewujudkan suasana itu.
  Pengaruh luar juga katanya perlu dibendung, supaya tidak menular masuk ke Terengganu.
  Beliau yang juga Pengerusi Homestay Telok Ketapang berharap para pelancong akan meningkatkan lagi kedatangannya ke Terengganu berikutan pengumuman itu.
  Bagaimanapun Cikgu Azmi meminta semua orang memainkan peranan untuk menjaga suasana yang baik ini.