Halaman

16 September 2013

Golongan belia bertanggungjawab teruskan kesinambungan makmurkan negara

Oleh: Suriati Ali 

Masyarakat terutama golongan belia hari ini, sewajarnya bertanggungjawab memastikan kesinambungan memakmurkan negara dengan idea bernas dan berkesan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jika sejarah sudah tercipta dan sedang dicipta generasi dahulu dan hari ini, maka generasi akan datang perlu bersedia dari sekarang untuk mencipta sejarah agar kegemilangan negara terus berhasil tanpa noktah.

 Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan bagi memastikan kehidupan rakyat dapat ditingkatkan.

“Melalui agenda `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan lebih lima tahun lalu, pelbagai program sama ada dalam bentuk pembangunan fizikal mahu pun modal insan telah diadakan.

 “Bagi memahami dan menghargainya setiap indivudu perlu kembali kepada susur galur sejarah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat Terengganu, di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.



 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agung Kemerdekaan ke 56 Terengganu yang juga Pengerusi Perindustrian dan Perdagangan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

 Katanya, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana segala usaha untuk mengisi kemerdekaan dan menangkis segala cabaran berjaya dicapai dengan kekuatan tolenrasi semua kaum yang menganut berbagai agama. 

“Kita sepatutnya berterima kasih dan menunjukan terima kasih kepada bapa-bapa kemerdekaan yang telah meletakkan batu asa yang kukuh dengan terus memperkukuhkan tolenrasi antara kaum, mempertahankan keharmonian dan terus berganding bahu membina negara Malaysia yang disegani dunia,” katanya.

   

JBC muncul juara pasukan terbaik


Pasukan Jami Bike Center (JBC) dari Kuala Lumpur muncul juara pasukan terbaik keseluruhan pada Kejohanan Terengganu Century Ride 2013 (TCR) bersempena sambutan Hari Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2013 di Dataran Batu Burok semalam.

 Naib juara kumpulan menjadi pemilik pasukan Bike 360 dari Singapura menewaskan juara edisi pertama yang juga wakil tuan rumah, Team1 Permai di tempat ketiga.

 Kejohanan kali kedua itu disertai seramai 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara melibatkan enam kategori yang di pertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki; wanita; veteran lelaki (35 hingga 45 tahun); senior veteran (46 tahun keatas) dan dua kategori baru melibatkan kategori junior bawah 18 tahun serta pasukan terbaik keseluruhan.

 Kategori lelaki terbuka dimenangi oleh Lim Chin Nian dengan catatan masa 4 jam, 19 minit menewaskan pencabar terdekat Ahmad Haidar Anuwar (Jami Bike) yang ketinggalan dua minit di belakang (4:21m) dan tempat ketiga Chin Ching Chai.

Bagi kategori terbuka wanita pula dimenangi oleh pelumba dari pasukan Jami Bike, Siti Hasliza Md Shah yang menamatkan kayuhan sejauh 160 kilometer dengan catatan masa 4 jam, 21 minit meninggalkan Marina Chen Ling Ting untuk tempat kedua dan Shinghui Lim tempat ketiga.

 Manakala juara bagi kategori veteran lelaki menjadi milik Yap Soon Heng (Bike World) dengan masa 4 jam, 21 minit menewaskan Abdul Khalib Zakaria (kedua) dan ketiga, Hafiz Wong Abdullah (Tripaku).

 Pelumba tempatan, Baharin Yusor dari Bukit Besar Cycling Team (BBCT) sekadar berpuas hati selaku naib juara setelah ketinggalan lima saat dibelakang juara kategori senior veteran, Jasper Silkeborg dan tempat ketiga pelumba dari Thailand, Chacrit Ngeonsanga.

 Kategori yang baru diperkenalkan menerusi acara junior bawah 18 tahun diungguli pelumba dari pasukan Kicik-kick Lembu Jaga, Muhammad Hafidz Zainal, manakala tempat kedua, Wan Muhammad Irhan Wan Ahmad Amli (Team1 Permai) dan ketiga, Mohamad Amin Idros ( Heritage Cycle Team).

 Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas, Wan Mohd Lotfi Wan Ismail yang turut diiringi Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali selaku penaja rasmi penginapan peserta kejohanan.

 Sementara itu ketua pasukan JBC, Jaminuddin Ismail berkata, saingan edisi kedua ini lebih santai jika dibandingkan tahun lalu sekaligus memberi peluang kepada pasukannya untuk muncul juara keseluruhan. Katanya, menjelang kejohanan kali ini pasukan tidak banyak membuat persediaan rapi sebaliknya meneruskan aktiviti kayuhan setiap minggu selain menyertai program yang dianjuran di sekitar ibu negara.

“Alhamdulilah pada edisi kali ini kita menghantar wakil seramai 30 peserta dan sebahagian daripada mereka berjaya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

 “Insyallah sekiranya acara ini diteruskan pada tahun depan, kita akan terus memberi sokongan dengan menjadikan program ini sebagai aktiviti wajib kami,” katanya ketika ditemui sejurus tamat kejohanan.

 Manakala wakil Bike 360 dari Singapura, Mohd Fazli Fazbol mengakui pengajuran kali ini lebih tersusun dengan laluan yang mendatar, namun masih mencabar terutamanya apabila melalui kawasan tepi pantai dengan keadaan angin yang kuat.

 “Berdasar prestasi musim lalu, tahun ini pasukan kami mampu merangkul gelaran naib juara malah saya sendiri berjaya meraih tempat keempat dalam kategori terbuka lelaki berbanding tempat kelapan sebelum ini.
“Malah kejohanan ini juga menjadi platform buat pasukan kami untuk mengenali dengan lebih rapat peminat sukan lumba basikal di Malaysia selain berpeluang menikmati keindahan destinasi pelancongan di Terengganu terutamanya di kawasan pantai,” katanya.

 Pada kejohanan itu juga, pasukan Bike 360 juga dinobatkan selaku pasukan paling ramai menghantar peserta dengan 130 penyertaan.

 

Fama sasar buka 1,000 pasar tani

Oleh; Esah Abdullah 

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meletak sasaran untuk membuka 1,000 buah pasar tani di seluruh negara dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majib berkata, sehingga kini sebanyak 511 buah pasar tani sedang bero[perasi di seluruh negara, dan 19 daripadanya beroperasi di negeri ini.

Encik Ab Razak Ab Majib
“Kita jangkakan sasaran 1,000 buah dalam tempoh enam tahun itu dapat dicapai dan 30 buah pasar tani akan dibangunkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Program Sambutan & Seranta Sempena Bulan Kemerdekaan ke- 56 tahun peringkat negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Menurutnya, Fama juga bercadang wujudkan dua lagi pasar tani di negeri Terengganu iaitu di Bandar Baru Cheneh, Kemaman pada Oktober, dan di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit pada November depan.

Menurutnya, pasar tani tidak semestinya beroperasi pada waktu pagi sebaliknya ia juga boleh dibuka pada waktu petang mengikut kesesuaian seperti mana yang beroperasi di Pasar Tani di Putrajaya yang mendapat sambutan baik dari kalangan pengguna.

“Fama berhasrat membuka lebih banyak pasar tani terutama di kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, Fama juga mensasarkan hasil jualan RM1.5 bilion bagi tahun 2013 dan sehingga Julai telah berjaya mencapai RM700 juta.
 

Kawasan tanaman padi terbesar di Lembah Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Sebahagian tanaman padi yang diusahakan penduduk Kampung Permaisuri
SETIU: Dengan keluasan tanah melebihi 4000 ekar dan diusahakan lebih 70 penduduk sekitar menjadikan kawasan sawah padi Kampung Permaisuri, di sini adalah kawasan tanaman padi yang terbesar di Lembah Setiu.

Tinjauan teganukita ke kawasan tanaman padi itu, semalam mendapati kebanyakan padi mula menguning dan ada diantaranya sudahpun dituai yang pastinya akan membuahkan pulangan hasil yang agak lumayan kepada setiap pengusahanya.

Mat Adam
Seorang pengusaha, Mat Adam Talib, 50 berkata, dia yang mengusahakan tanah itu sejak di bangku sekolah lagi kerana membantu ayahnya ketika itu kini menjadikan kerja menanam padi adalah sebagai pekerjaan tetapnya.

“Sudah lebih 30 tahun saya menanam padi di sini, daripada kaedah tradisional hinggalah kaedah moden sekarang ini. Dulu semua kena buat sendiri tapi sekarang semuanya mengunakan mesin, saya hanya menjaga batas sahaja dan melihat penyakit padi.

“Saya mengusahakannya kira-kira 20 ekar dan pendapatanya bolehlah untuk saya menyara anak dan isteri,” katanya.

Razali Che Muda, 50 pula, berkata dia yang mengusahakan tanah seluas enam ekar itu berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan pelbagai bantuan untuk meringankan bebanan penduduk kampung mengusahakan tanah itu.

“Antara bantuan yang kami terima ialah baja, racun dan bantuan insentif pendapatan. Kami juga mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian, Peladang dan Ketara,” katanya.


Pembedahan pertama di Setiu Rabu ini

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

   
Mohd Jidin (bersongkok) ketika merasmikan dewan bedah HS sambil diperhati Mohd Faizal.
SETIU: Pesakit tertentu di daerah Setiu yang memerlukan pembedahan tidak perlu lagi ke Hospital Kuala Terengganu (HKT) atau Hospital Universiti Kubang Kerian (HUKM) kerana ia kini dapat di lakukan Hospital Setiu (HS) yang mempunyai bilik bedah sendiri dan akan memulakan pembedahan pertamanya Rabu ini.

Bilik bedah HS yang dibina dengan kos kira-kira RM1.1 juta itu di rasmikan oleh Exco Pelancongan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee, malam semalam.

Ketika ditemui teganukita selepas majlis perasmian itu, Mohd Jidin berkata, beliau berterima kasih kepada pihak hospital dan Jabatan Kerja Raya(JKR) negeri kerana dapat menyiapkan bilik bedah itu sehingga dapat beroperasi rabu ini.

“Saya mengucapkan terima kasihlah kepada pihak hospital ini yang menyempurnakan bilik bedah ini yang memakan masa agak lama iaitu sejak hospital ini dibuka kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakan mengikut pandangan doktor.

“Pada malam ini Alhamdulillah lah (ia dapat digunakan), jadi cumanya sekarang pembedahannya sudah boleh dilakukan, doktor pakar masih di Kuala Terengganu, jika ada keperluan dia akan datang dan saya difahamkan pembedahan pertama akan dilakukan pada 18hb ini (rabu),” katanya.

Katanya, walaupun hanya pembedahan ringan dilakukan di HS tetapi ia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk daerah Setiu. “Kerajaan akan mempastikan HS ini akan menjadi sebuah hospital yang lengkap dan bangunannya sudah moden, kawasanya strategik dan keperluan itu.

"Kerajaan negeri amat mengalu-galukan pembukaan dewan bedah ini yang akan memberi banyak manfaat kepada seluruh penduduk daerah Setiu,” katanya.

Sementara itu, sebelum majlis perasmian, turut diadakan solat hajat dan bacaan doa oleh beberapa jemaah dari beberapa masjid dan surau berhampiran HS. Hadir sama ialah Pengarah HS, Dr. Mohd Faizal Abdullah.


15 September 2013

SETIAUSAHA POLITIK MB MENANG TANPA BERTANDING PRESIDEN BOLA SEPAK TERENGGANU

Tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kemaman, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid=kerana dipilih sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.
 Dengan pemilihan tersebut, maka tamatlah spekulasi siapa Presiden PBSNT yang baru kerana kini jawatan itu sah menjadi milik Presiden Dato’ Wan Ahmad Nizam. Dato’ Wan Ahmad Nizam adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menang tanpa bertanding.
  Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.
  Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.
  Menurut Dato' Wan Ahmad Nizam menerusi ucapan yang diwakilkan kepada Marzuki, beliau berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi panas tersebut.
  “Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab ini dengan bantuan dan sokongan daripada semua pihak. Pada masa yang sama, saya juga akan cuba menyelesaikan segala masalah yang berbangkit di samping merancang untuk menambah baik prestasi pasukan selepas ini,” katanya.
  Selain itu, kesemua nama yang dicalonkan juga menang tanpa bertanding termasuk termasuk lapan ahli jawatankuasa Eksekutif PBSNT.
  Bagi jawatan Timbalan Presiden 1 PBSNT, ia kekal menjadi milik Dato' Mazlan Ngah yang juga Setiausaha Kerajaan negeri manakala empat muka baharu pula dipilih sebagai Naib Presiden persatuan iaitu Ab. Rashid Jusoh, Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah serta Saidi Salleh@Sulong.
  Jawatan AJK Eksekutif PBSNT turut menyaksikan empat muka baharu iaitu Mohd. Rashdi Hamat, Wan Mohd. Azlizan Abu Bakar, Mohd. Sekanther Abd. Hamid serta bekas Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh.
 Sementara itu, empat muka lama yang mengekalkan jawatan tersebut ialah Ali Embong, Haslan Hashim, Zaki Ismail serta Wan Zaulkfli Wan Gati. Kongres tersebut dihadiri oleh 39 ahli eksekutif termasuk 24 ahli gabungan daripada persatuan bola sepak daerah di seluruh Terengganu.
  Bagaimanapun, Dato' Wan Ahmad Nizam tidak hadir kerana mempunyai tugasan di luar negara.
 Masyarakat, terutama peminat bola sepak Terengganu amat berharap dengan kepimpinan baru PBSNT itu, akan membawa kecemerlangan kepada sukan bola sepak di negeri ini.- Ruslan Abdul Rahman


GEMBIRA TERENGGANU BEBAS JENAYAH BERAT

Oleh: Ruslan Rahman

Orang ramai begitu gembira apabila rekod dan fakta menunjukkan Terengganu bebas daripada kegiatan jenayah berat.
  Seorang facebookers terkenal, Mohd Marzuki Muda menyifatkan ia suatu yang amat positif bagi menggambarkan betapa kehidupan di negeri Terengganu begitu aman dan selesa.
“Ia juga akan mendorong pelancong dan sesiapa sahaja untuk datang ke Terengganu,” katanya.


 Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Terengganu setakat ini disenaraikan bebas daripada kegiatan jenayah berat, pertubuhan haram dan sindiket.
  Beliau berkata daripada laporan Ops Cantas Polis Terengganu, tiada rekod kegiatan perjudian haram, sindiket pelacuran, kegiatan 'Along' mahupun pertubuhan haram yang dicatatkan.
  "Empat aspek itu penting bagi menentukan Terengganu bebas daripada jenayah indeks.
 Ada berlaku (jenayah), tetapi ia kes terasing dan bukan melibatkan sindiket," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan yang diiringi Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu semalam 14 September.
 Mohd.Marzuki berkata, pengikrifan itu kepada negeri Terengganu perlu disyukuri oleh semua pihak dengan terus memastikan keadaan itu berkekalan.
  Pengusaha pelancongan, Cikgu Md. Azmi Aziz berkata, kita sewajarnya berterima kasih kepada pihak polis dan ahli masyarakat yang memainkan peranan mewujudkan suasana itu.
  Pengaruh luar juga katanya perlu dibendung, supaya tidak menular masuk ke Terengganu.
  Beliau yang juga Pengerusi Homestay Telok Ketapang berharap para pelancong akan meningkatkan lagi kedatangannya ke Terengganu berikutan pengumuman itu.
  Bagaimanapun Cikgu Azmi meminta semua orang memainkan peranan untuk menjaga suasana yang baik ini.

Bazlan ulang alik Pulau Redang.

Oleh: Aminudin Ismail.

Bazlan begitu komitmen dengan tugas.
DEMI tugas sebagai seorang wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman terpaksa berulang alik ke Pulau Redang dua kali dalam masa tiga hari walaupun terpaksa menempuh ombak perjalanan menaiki bot hampir satu jam.

Wartawan Teganukita yang berkunjung ke pajabatnya, hari ini yang terletak berhampiran masjid Batu Rakit itu diberitahu oleh seorang petugas pejabat khidmat masyarakat dun itu bahawa beliau baru sahaja ke Jeti Merang untuk berlepas ke Pulau Redang kerana merasmikan satu majlis.

Sedangkan tujuan penulis berkunjung ke pejabat itu adalah untuk mendapatkan berita tentang lawatanya ke pulau itu sehari sebelum itu bersama dua lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh dan Adun Langkap Dato’ Sabri Mohd Nor.

“YB ke baru saja ke Jeti Merang untuk ke Pulau Redang kerana ada majlis, pukul dua nanti dia balik,” kata petugas itu. Penulis agak terkejut kerana baru semalam balik dari Pulau Redang, hari ini ke Pulau Redang pula, Lagipun untuk ke Pulau Redang bukanlah seperti untuk ke Bandar Kuala Terengganu yang boleh pergi dan balik pada bila-bila masa.

Begitulah komitmenya Bazlan kepada tugas sebagai wakil rakyat, beliau  terpaksa bertugas di dua tempat iaitu di daratan dan kepulauan, beliau tidak memberi sebarang alasan untuk tidak pergi walaupun terpaksa berulang-alik menempuh ombak perjalanan untuk ke pulau peranginan itu.

Sementara itu, dalam lawatan semalam, Bazlan sempat melawat beberapa tempat di Pulau Redang dan bertemu mesra dengan penduduk serta menghadiri satu majlis jamuan rakyat manakala hari ini pula beliau merasmikan majlis penutup satu acara sukan.


Guru BI ikuti kursus insentif seiring dengan PPPM

Oleh; Esah Abdullah 

Inisiatif kerajaan untuk menghantar guru Bahasa Inggeris (BI) mengikuti kursus insentif adalah satu langkah bijak dalam usaha meningkatkan kemahiran seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang sedang dirangka.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin berkata, langkah berkenaan merupakan transformasi kerajaan ke arah mengangkat martabat bahasa kedua itu sejajar dengan PPPM.

Beliau mengakui ada kalangan guru yang mengajar subjek BI bukan dalam pengkursusan bahasa tersebut tetapi disebabkan masalah kekurangan guru, mereka perlu mengajar subjek berkenaaan.

Menurutnya, mungkin itu antara faktor yang menyebabkan wujud guru yang tidak berkemampuan mengajar subjek itu dengan baik.

“Kita akui ada kalangan guru-guru bukan pengkhususan dalam BI sebelum ini, tetapi disebabkan wujud masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah terbabit menyebabkan perlu mengisi kekosongan yang ada.

“Namun, langkah kerajaan untuk menghantar mereka ini mengikuti kursus intensif adalah satu pendekatan yang baik kearah meningkatkan kemahiran kalangan guru tersebut dan seterusnya merealisaikan PPPM,” katanya.

Sebelum itu terdapat laporan dalam akhbar menyatakan hanya satu pertiga daripada 61,000 guru Bahasa Inggeris berkemampuan untuk mengajar subjek itu dengan baik.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan akan berusaha untuk meningkatkan kemahiran guru Bahasa Inggeris.

Katanya, seramai 61,000 guru Bahasa Inggeris perlu mengikuti Ujian Cambridge Placement (CPT) untuk mengetahui kemampuan mereka bertutur dan mengajar bahasa Inggeris.

"Namun, kita tidak dapat lari daripada kenyataan hanya satu pertiga daripada mereka yang layak mengajar. dan kita akui kelemahan ini dan akan memperbaikinya. Ia selaras dengan anjakan yang ingin dilaksanakan dalam PPPM iaitu memastikan setiap murid menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua,” katanya.
 

PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN TERENGGANU ERA KINI AMAT CEMERLANG

                   Canggih -mesin pengait tandan sawit

TDM Berhad akan terus memberi tumpuan kepada dua bidang iaitu perladangan (plantation) kelapa sawit dan perkhidmatan kesihatan/perubatan atau khidmat hospital pakar (healthcare), lapor Ruslan Abdul Rahman.
  Industri perladangan dengan kepelbagaian aktiviti hiliran akan diberi keutamaan, di samping memberi tumpuan kepada amalan mampan, penambahan aset dan kilang.
 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata, matlamatnya ialah agar tercapai sasaran 100 000 hektar ladang kelapa sawit menjelang tahun 2022.
 Manakala dalam bidang kesihatan (hospital) mahu menjadi pembekal perkhidmatan kesihatan (healthcare) nombor satu di Pantai Timur.
Beliau berkata demikian dalam taklimatnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn.Bhd,(Terengganu Inc), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda di Sungai Tong baru-baru ini.
TDM adalah di antara 16 syarikat yang berada di bawah Terengganu Inc dan tersenarai di BSKL.
  Katanya, strategi TDM adalah melakukan perkara-perkara yang berbeza atau melakukan perkara yang sama dengan cara yang berbeza dengan pesaing dan memberi fokus kepada apa yang kita mahu dan mengorbankan yang lain yang bukan menjadi fokus kita.
 “Kami mewujudkan perbezaan yang tidak boleh ditiru oleh pesaing kami, kedudukan sumber , kedudukan produk pasaran, kedudukan inovasi kita cukup diberi perhatian,” katanya menjelaskan rahsia bagaimana TDM boleh mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
 Katanya, TDM kini banyak pencapaiannya berbanding sebelumnya.
  “Sebelum ini, TDM adalah sebuah konglomerat mini tetapi setelah melalui kejayaan pengurusan kewangan dan selepas pemulihan,
  TDM hari ini adalah sebuah syarikat yang sangat fokus yang begitu baik rekod prestasi kewangannya’’ katanya.

 Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dividen sebanyak RM138 juta dibayar kepada agensi-agensi kerajaan dan RM204 juta yang dibayar kepada semua pemegang saham.

  Selain itu TDM juga telah membayar beratus-ratus juta kerugian sebelumnya melalui keuntungan yang diperolehi pada masa kini.

  Secara puratanya kebelakangan ini kemajuan hasil TDM ialah sebanyak RM330 juta setahun, berbanding masa-masa lalu hanyalah RM182 juta sahaja.

  Pada masa ini beberapa syarikat perladangan yang aktif di bawah TDM ialah TDM Plantation Sdn.Bhd., Kumpulan Ladang-Ladang Terengganu Sdn.Bhd., TDM Trading Sdn.Bhd., TDM Capital Sdn.Bhd., PT Rafi Kamajaya Abadi (Kalimantan) dan PT Rafi Sawit Lestari (Kalimantan).
  Manakala, hospital atau kesihatan/perubatan (healthcare) ialah Kumpulan Mediiman Sdn.Bhd., Kuala Terengganu Specialist Hospital Sdn.Bhd., Kuantan Medical Centre Sdn.Bhd., Kelana Jaya Mecidal Centere Sdn.Bhd., dan TDMC Hospital Sdn.Bhd.

TURUN PADANG LIHAT OPERASI -JUMPA PEGAWAI DAN PEKERJA
       Lawat Kilang Sawit Sg Tong dan Ladang Jaya 

  Dato' Wan Ahamad selaku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc. merasakan betapa perlu beliau turun ke bawah melihat operasi dan prestasi syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Terengganu Inc., sebagai suatu usaha untuk memastikan kejayaan berterusan.
 "Ini syarikat milik kerajaan dan milik rakyat yang perlu kita pastikan kemajuan dan pencapaiannya kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita untuk menguruskannya," katanya.
  Dalam lawatan itu, beliau melawat Ladang Jaya, termasuk kawasan perumahan pekerja dan ladang.
  Beliau juga turut melawat Kilang Sawit Sungai Tong yang merupakan kilang bersejarah diwujudkan sejak tahun 1973 yang dibuka oleh bekas Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak Hussein.
 Dato' Haji Wan Ahamad mahu pastikan prestasi dan rekod cemerlang syarikat-syarikat kerajaan negeri Terengganu pada era kepimpinan kini terus kekal cemerlang sebagaimana yang dicapai sekarang ini.