Halaman

19 September 2013

Kerajaan negeri berhasrat lahirkan Saintis Islam

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri berhasrat melahirkan Saintis Islam dari kalangan anak Terengganu dan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mengkaji beberapa perkara bagi merealisasikan impian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar) berkata, kerajaan negeri mendapatkan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk merangka program itu.

"Buat masa ini, kita masih dalam proses menyiapkan kertas kerja dengan dibantu seorang profesor dari UMT termasuk dalam mengenal pasti universiti dan kursus apa yang bersesuaian untuk pelajar kita ikuti.

"Sebaik kertas cadangan tersebut siap dan diperhalusi, program itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi PSKT di Pusat Dagangan Terengganu, kelmarin.

"Kita akan mengambil pelajar cemerlang yang hafaz 30 juzuk al-Quran daripada Sekolah Imtiaz untuk merealisasikan program Saintis Islamik bagi melahirkan golongan Saintis Islam bertaraf dunia di kalangan anak Terengganu.

"Buat permulaan, kita sasarkan untuk menghantar tiga pelajar terbaik setiap tahun dan bercadang menjadikan pelajar yang menduduki SPM tahun ini sebagai perintis kepada program ini,” ujarnya.

Katanya, para pelajar yang terpilih akan dihantar menyambung pengajian di salah sebuah universiti daripada sepuluh buah universiti terbaik dunia di bawah tajaan biasiswa Yayasan Terengganu.
 





Zulkifli lancar "Setiu Cycling Gangz"

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifli ketika berucap di Rhu 10, semalam.
SETIU: Peserta program Kayuhan Sihat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) disaran supaya terus melakukan aktiviti berbasikal dan tidak hanya berbasikal ketika menyertai program semata-mata.

Ahli Parlimen Setiu Che Mohd Zulkifli Jusoh, berkata aktiviti berbasikal banyak memberi manfaat kepada kesihatan kerana ia adalah amalan hidup sihat dan perlu dilakukan secara berterusan.

“Program sebegini adalah satu program yang baik tetapi jangan setakat ketika ada program sahaja dan kalau boleh ianya hendaklah dilakukan berterusan kerana berbasikal ini amat baik untuk kesihatan.,” katanya ketika merasmikan program itu di peringkat daerah Setiu di Pantai Ru 10, Penarik, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, menjaga atau memelihara kesihatan itu adalah tanggungjawab bersama seiring dengan visi Kementerian kesihatan iaitu ‘A Nation Working Together For Better Health”. “Sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi menganjurkan program seperti ini.

 Saya yakin hanya melalui rakyat yang sihat dan cergas negara ini mampu menjadi sebuah negara maju 2020 nanti,” katanya.

Menurutnya, akibat perubahan hidup, masyakat kini kurang aktif kerana mereka tidak lagi berjalan kaki atau berbasikal tetapi sebaliknya kini ada pelbagai jenis pelbagai pengangkutan moden.

“Amat membimbangkan kita sekarang ialah “trend” kanak-kanak sekarang yang lebih mengemari permainan elektronik yang hanya mengunakan jari-jemari dan menyebabkan mereka menjadi tidak aktif dan ini akan memburukan lagi generasi pewaris negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan lebih banyak agensi kerajaan dan swasta menganjurkan aktiviti sihat sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan itu yang banyak memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Zulkifli (kiri) dan peserta mengaminkan doa sebelum kayuhan.
Sementara itu, seramai 120 peserta menyertai kayuhan dari Kemaman ke Besut itu yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan semua daerah beberapa agensi luar antaranya ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPM).

Zulkifli juga turut melancarkan kelab berbasikal Daerah Setiu yang digelar “Setiu Cycling Gangz”. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Mohd Jusoh, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Mohammad Omar dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Rohayaty Muda.


18 September 2013

Serah kes FB palsu untuk tindakan lanjut polis : MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap segelintir pengguna media sosial khususnya Facebook (FB) yang hilang pertimbangan apabila menyalahgunakan kecanggihan Teknologi Maklumat (IT) untuk tujuan tidak baik dan memfitnah orang lain.

 “Mereka jangan lupa dengan kecanggihan teknologi dan mereka merasakan mereka pandai, mereka klon FB orang lain, tetapi pihak kerajaan (pihak berkuasa) mempunyai mekanisme untuk mengesan mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemalsuan akaun FB dengan menggunakan nama dan gambar beliau serta mengeluarkan pelbagai paparan yang berniat jahat, sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara itu untuk siasatan lanjut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta sudah mempunyai beberapa petunjuk awal mengenai mereka yang bertanggungjawab.

 “Kita serah kepada polis untuk menentukannya (siasatan) dan setakat ini kita mendapat petunjuk sahaja tetapi kita tidak boleh mendahuli polis dalam hal ini. Nampaknya polis dan SKMM sekarang ini sedang giat mengesan mereka yang terlibat.

 “Sebenarnya dia tidak `hacks’ Facebook saya, tetapi dia klon dan mengetahui itu bukan Facebook saya apabila dapat kesan gambar ada sedikit kelainan. malah semasa saya berada di China keluar (paparan) dalam Facebook saya menyatakan bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden Umno, sedangkan sejak dulu lagi saya memang tiada niat untuk bertanding.

 “Semasa menjadi Ketua Pemuda dulu pun saya tidak pernah bertanding, itu bukan sifat sayalah tidak suka untuk merebut jawatan (Umno) dan sebagainya,” katanya.

 Terdahulu, Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook  yang menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi semalam. Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.




Kem gajah di Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Terengganu terus memperhebatkan produk pelancongan sedia ada dengan mewujudkan kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap akhir tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai,,Thailand dan Kuala Gandah (Pahang).

“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah.

“Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun.

“Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand. “Buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu. 

“Komponen kedua pula akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

“Fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka,” katanya.

 

Projek hidro elektrik Hulu Terengganu beroperasi 2015

Oleh; Esah Abdullah

Projek Hidro elektrik Tenaga Nasional (TNB) Hulu Terengganu dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada Oktober 2015.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Mohd Yusof berkata, projek berkenaan berjalan lancar dan kini siap 50 peratus.

“Setakat ini kerja penyimpanan sungai sudah siap tanpa menghadapi sebarang masalah dan yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan selepas pelaksanaannya dimulakan pada 2010,” katanya.

Katanya, projek pembinaan itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama dengan pembinaan empangan, terowong air dan stesen jana kuasa elektrik bawah tanah.

“Manakala fasa akhir merangkumi kerja mereka bentuk, memasang serta menguji peralatan mekanikal dan elektrik,” katanya.

Menurutnya, empangan hidroelektrik kedua itu dibina di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dan mempunyai kapasiti 250 megawatt.

Tambahnya, ia sebahagian usaha brterusan syarikat untuk menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, menambah baik jaminan sistem tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Lebih 60,000 buku sempena `The Amazing Book Sale'

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 60,000 unit buku akan dipamer dan dijual kepada orang ramai sempena `The Amazing Book Sale’ di Lobi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Padang Hiliran, Kuala Terengganu bermula  25 hingga 29 September ini.

Jualan buku yang bermula 9 pagi hingga 9 malam akan memasarkan pelbagai jenis bahan bacaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu untuk pelbagai peringkat umur dari peringkat pra sekolah hingga profesional dengan harga yang terendah dalam pasaran.

Pengarah PPAT, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata potongan harga yang ditawarkan kepada pelanggan sepanjang program itu bermula daripada 40 hingga 90 peratus dan sukar diperolehi di premis jualan yang lain.

 “Pelbagai bahan bacaan menarik disediakan termasuk buku masakan, buku kanak-kanak dan remaja, pengetahuan am dan novel kepada orang ramai sempena penganjuran julung kali itu.

 “Bukan sahaja buku tempatan, malah buku dari luar negara juga turut ditawarkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding biasa dan orang ramai sewajarnya memanfaatkan peluang itu dengan sebaik-baiknya untuk memupuk budaya membaca di kalangan ahli keluarga,” katanya.

 

KEHEBATAN INDUSTRI BIOTEK DI TERENGGANU: KILANG BIO-METIONINA DAN ISOBUTANOL DUNIA DI KERTIH BAKAL BEROPERASI MEI 2014

Laporan eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman


 Kilang Bioteknologi yang pertama di dunia bagi penghasilan metionina atau mudahnya difahami sebagai asid amino di Kertih Terengganu dijangka akan memulakan operasi pada bulan Mei tahun depan.
 Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kertih, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina yang pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.
  Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema dari sebuah syarikat Kimia dari Perancis yang terkenal dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.
  CJ merupakan peneraju dunia dalam industri bioteknologi dengan inovasi penapaian dan penulenan, di mana ia juga merupakan pengeluar utama produk-produk berasaskan penapaian dengan operasi perniagaan di enam benua.

  Manakala Arkema pula merupakan syarikat kimia global dan pengeluar bahan kimia khusus yang terkemuka dari Perancis, dengan operasi di lebih daripada 40 buah negara.
 Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdh.Bhd., Azhar Anuar kepada Pengarang Teganukita semalam selepas memberi taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc.
  NSE Corporation adalah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan.
 Semalam Terengganu Inc diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah mengadakan lawatan ke tapak kilang berkenaan di Kertih.
  Turut sama ialah para pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).  Menurut Azhar, boiler wap (Biomass Steam Boiler) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam yang terbesar setakat ini berbanding bolier sedemikian di negara Eropah iaitu Copenhagen, New York hanyalah 144 tan sahaja sejam.
  Katanya, loji biotek itu antaranya mengandungi Boiler Wap sebanyak 11 unit, Boiler Wap Biomass 3 unit, drum wap 3 unit, blower 4 unit, pengering, pelembut dan pelbagai peralatan teknologi biotek lagi.
  Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin, jambatan timbang dan sebagainya turut diadakan dan sedang dalam penyiapan pembinaan.
  Sementara itu, Ketua Pengarah Terengganu Inc. , Dato’ Haji Wan Ahamad mengucapkan melahirkan penghargaan bagi pihak kerajaan negeri di atas kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu, malah pertama seumpamanya di dunia.
  Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mahu melihat kejayaan pembangunan kilang bioteknologi dengan pelaburan RM2 billion oleh gabungan syarikat terkenal dari Prancis dan Korea itu.
  Beliau berharap, bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang ,acacia dan cip kayu yang lain mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baru penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.
Ladang Petai Belalang di Marang

Inilah sumber inovasi dan penemuan baru ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat untuk rakyat negeri Terengganu, katanya.
 Sebelum itu, di sebelah pagi beliau turut melawat ladang Petai Belalang di Pulau Kerengga Marang.

PSKT sedia program menarik sempena bulan astronomi

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menganjurkan Bulan Astronomi PSKT bermula bulan ini sehingga Disember.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan sepanjang empat bulan program berlangsung.

“Sebagai sebuah pusat pembelajaran dan kreativiti terunggul di pantai Timur, PSKT bertanggungjawab dalam memberikan informasi yang terbaik kepada masyarakat terutamanya tentang perkembangan sains dan teknologi.

“Antara aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung seperti bengkel sains astronomi, sembang santai bersama ahli falak, tayangan perdana dan pelbagai lagi acara menarik yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi PSKT yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di TTC, semalam.

Katanya, semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pelajar dialu-alukan berkunjung ke PSKT bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan astronomi pada kali ini.

 

Dana Pendidikan Mara bantu belia

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata penubuhan Dana Pendidikan Mara berjumlah RM1 bilion diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini memberi manfaat besar kepada golongan belia di negara ini.

Antara lain katanya, dana berkenaan bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

YB Ghazali Taib
“Melalui dana tersebut dapat menyediakan program-program kemahiran khusus bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada mereka untuk memperolehi pekerjaan,” katanya.

 Menurutnya, 90 peratus mereka yang mendalami bidang kemahiran, mendapat peluang pekerjaan lebih cerah berbanding mereka yang mempunyai bidang akademik semata-mata.

“Golongan ini juga mampu mendapat pendapatan lumayan dalam bidang pembinaan, teknikal, telekomunikasi dan pelbagai lagi,” katanya

Katanya, peruntukan tambahan yang diberikan kepada GiatMara bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan serta pertambahan program latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mampu membuka ruang lebih luas kepada golongan belia.

Tambahnya, melalui dana tersebut juga dapat mempergiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, bersesuaian dengan keperluan industri terutama untuk golongan graduan Bumiputera menganggur.
 

MUSTAFFA ALI LAWAN HARUN TAIB- SALAHUDDIN AYOB SOKONG HARUN.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 



Perang mulut di antara Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustaffa Ali dengan Ketua Dewan Ulamak Pas, Dato’ Harun Taib terus menjadi tegang.
 Dato' Mustaffa amat kesal dengan sikap Ketua Dewan Ulamak Pas yang dianggap cuba merenggangkan hubungan Pas dengan pakatan PKR dan DAP.
  “Harun Taib sepatutnya tidak perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat”.
  Setiausaha Agung Pas, itu berkata, tahaaluf siyaasi adalah strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya dihebohkan kepada umum.
  "Tidak bijaksana dihebohkan. (jika dihebohkan) maksud kajian boleh disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas dan Pakatan,” kata Mustaffa dengan nada yang amat kecewa dengan sikap Ketua Dewan Ulamak Pas itu.
Dato" Mustafa Ali membidas Harun Taib dengan menyatakan tindakan Harun Taib adalah sebagai tidak bijak. 

Mustafa Ali gusar sebenarnya memandangkan apabila pendirian Haron ini telah menyerlahkan lagi bahawa memang kumpulan ulama PAS masih tidak selesa dengan hubungan berdasarkan konsep tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.
 Tetapi bagi Dato' Harun, beliau bimbang dengan sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin menurun.
 Dato' Harun selaku Ketua Dewan Ulamak Pas, dalam ucaptama Multaqa Ulama SeMalaysia baru-baru ini, menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.
 Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula kenyataan Harun dianggap positif kerana ia bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.  Katanya, bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.
  “Saya yakin, Dato’ Harun berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang,” kata Salahuddin.
  Baginya perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif oleh Dato’ Mustaffa, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan Dato’ Harun,” kata Salahuddin.
  “Kenyataan Dato’ Harun itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam pakatan.
 Dalam hal ini nampaknya pengaruh dan sokongan kepada Dato’ Mustaffa Ali selaku Setiausaha Agung Pas makin berkurangan.
 Apakah kerana insiden isu ‘video sex’ yang melibatkannya yang tidak terjawab sehingga kini menyebabkan sokongan dan imejnya semakin menurun?
 Ataukah selepas ini jawatan itu bakal diganti oleh tokoh lain?