Halaman

24 September 2013

Akademi Bomba beri kelebihan latih pegawai baru berkhidmat : Sultan Mizan


Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang disaksikan Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah dengan terbinanya Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di lokasi yang strategik akan dapat memberikan kelebihan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melatih pegawai baru berkhidmat kepada masyarakat.


Baginda bertitah, prasarana dan fasiliti yang disediakan telah mencapai tahap yang amat membanggakan serta setaraf dengan yang terdapat di negara-negara yang lebih maju.

 “Perkhidmatan kebombaan merupakan suatu keperluan asas kepada setiap lapisan masyarakat khususnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi atau kawasan perindustrian serta pusat komersial yang pesat membangun.



“Ianya memberi suatu jaminan bahawa perkhidmatan kebombaan yang pantas akan dapat diberikan sekiranya rakyat ditimpa sebarang musibah atau bencana,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, hari ini.

 Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Sultan Mizan bertitah, kewujudan perkhidmatan kebombaan yang baik juga amat penting dalam usaha menarik pelabur luar negara dan negeri ini dan pembangunan sesuatu kawasan.

“Pelabur asing khususnya amat menitikberatkan aspek keselamatan aset dan harta benda mereka dalam membuat keputusan pelaburan mereka kerana kebanyakan mereka yang datangya dari negara-negara maju mengharapkan suatu tahap perlindungan keselamatan yang tinggi di negara-negara yang mereka akan melabur.

 “Pada kesempatan ini juga beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terhadap khidmat bakti yang dicurahkan saban hari bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan dan bantuan khususnya mereka yang di dalam kecemasan atau bencana,” titah baginda.

Sultan Mizan menyeru supaya pihak bomba akan terus meningkatkan kecekapan dan kemahiran agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi di masa hadapan.

Baginda turut bertitah supaya pegawai-pegawai dan kakitangan di akademi itu memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk melatih para pegawai bomba menjadi modal insan yang dapat membanggakan jabatan.

Titah baginda, perkhidmatan yang tulus dengan tulus ikhlas dan diiringi dengan kemesraan, akan diingiti dan lebih dihargai oleh orang ramai.

“Pihak bomba juga diminta menyediakan pelbagai aktiviti untuk mendekati masyarakat seperti gotong-royong, program bomba bersama masyarakat, pameran dan pendidikan, kempen kesedaran keselamatan kebakaran dan sebagainya.

“Beta juga menyeru dan menggesa supaya masyarakat di negara ini memberikan sokongan yang padu kepada anggota jabatan ini,” titah baginda.

Sultan Mizan juga menyeru supaya peranan memastikan kediaman dan penempatan kita bebas daripada bahaya kebakaran, bukanlah menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata dan jika beban ini dapat dipikul bersama ianya akan menjadi mudah dan senang.


Lebih 20 negara dijangka sertai TIIAF 2013

Oleh: Noraini Jusoh
Datuk Haji Zubir Embong
Lebih 20 negara dijangka akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan bermula 15 November ini selama tiga hari, di Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong berkata, sehingga kini 12 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu dari Jordan, Iraq, Algeria, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Pakistan, Yaman, Brunei, Palestin, Thailand dan Arab Saudi bagi acara pertandingan seni khat peringkat antarabangsa.

"Kita masih menunggu pendaftaran peserta dari lain-lain negara antaranya Sepanyol, Turki, serta Singapura sehingga tarikh tutup penyertaan pada 24 Oktober ini dan dijangka lebih 20 negara akan menyertai TIIAF 2013 kerana kali ini terbuka kepada seluruh negara.

“Bagi pertandingan khat kategori antarabangsa, peserta dibekalkan buku panduan pertandingan seni khat dan diberi masa selama tiga bulan untuk menyiapkan karya masing-masing dan perlu dihantar kepada seketariat TIIAF 2013 sebelum tarikh tutup.

“Manakala peringkat kebangsaan pula ada dua kategori iaitu karya siap (kanvas, kayu, logam) dan spontan. Pertandingan seni khat spontan akan diadakan pada 17 November 2013. Bagi peserta yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu mengisi borang pertandingan dan menyerahkannya kepada urusetia program sebelum 30 Oktober ini, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, hadiah yang ditawarkan cukup lumayan di mana nilai hadiah keseluruhan bagi pertandingan peringkat antarabangsa adalah sebanyak USD 20,000.

Tambah beliau, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 20013, program TIIAF 2013 juga merupakan medan untuk mempromosikan keunikan seni dan budaya serta keindahan Terengganu khususnya kepada peserta luar negara.

 

Lapan tokoh tersohor khat bakal kongsi ilmu di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lapan tokoh tersohor khat dari seluruh dunia bakal berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang ilmu kaligrafi di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan berlangsung di Taman Tamandun Islam (TTI) selama tiga hari bermula 15 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong (gambar) berkata, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu, Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan untuk menjadi juri bagi pertandingan seni khat sempena festival berkenaan.
 
“Adnan Sheikh Osman dari Syiria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) serta Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri.

“Selain itu, Dr. Halit Eren selaku ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Cuture (IRCICA) Istanbul, Turki juga akan hadir ke festival itu nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat untuk peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang akan disertai oleh pengiat kaligrafi yang berpengalaman dan pakar kaligrafi dari dalam dan luar negara.

“Pertandingan diperingkat kebangsaan diadakan dalam beberapa kategori seperti kanvas, kayu dan logam. Bersempena dengan festival tersebut juga, seminar dan bengkel akan diadakan dan bakal dikendali serta dipimpin oleh penulis khat terkenal dunia,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula tahun ini, diadakan juga batikhat iaitu corak batik yang bermotifkan khat bagi melengkapkan festival ini untuk menggambarkan kepelbagaian produk berasaskan kaligrafi.

Katanya, bersempena dengan TIIAF 2013 juga, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta acara sukan rakyat untuk penduduk tempatan.

“Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal yang berkonsepkan zikir akan dialunkan dengan peralatan muzik tradisional turut dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir disamping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur iaitu TTI Management Sdn Bhd berharap dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu akan membawa program tersebut lebih jauh lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan kaligrafi peringkat antarabangsa yang dahulunya terhad kepada peserta rantau asia kini dibuka kepada peserta seluruh dunia. Hasil daripada penganjuran ini, diharap Terengganu akan menjadi terkenal sebagai salah satu pusat perkembangan seni Islam di dunia,” ujarnya.



Peserta pidato bakal rebut hadiah RM12,000

 Oleh: Suriati Ali dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Peserta Pertandingan Pidato 1Malaysia 2013 peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bakal merebut hadiah keseluruhan wang tunai RM12,000.

Pertandingan selama dua hari, bermula 28 September dan diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman,Chukai, Kemaman itu,akan disertai 15 peserta bukan Melayu dari seluruh negara.

Penolong Pengarah Jabatan PeneranganNegeri Terengganu (JPNT), Encik Mustafa Abd Kadir berkata, sebelum layak ke peringkat akhir, mereka terlebih dahului perlu melalui peringkat saringan yang akan diadakan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman.

“Urusetia pertandingan akan memilih lima daripada 15 peserta yang benar-benar layak dan melepasi syarat saja akan layak ke peringkat akhir..

 “Penganjuran pertandingan kali ke-3 ini, bertemakan “Malaysia Berdaulat Tanah TumpahnyaDarahku” menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM12,000.

 “Johan pertandingan, layak menerima wang tunai RM3,000; tempat kedua pula, bakal membawa pulang (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan 12 hadiah saguhati akan menerima wang tunai RM500 setiap seorang,” katanyadalam satu kenyataan .

Katanya, penganjur menyediakan lima tajuk iaitu ‘1Malaysia Penentu KejayaanWawasan 2020’; `Budaya Kecemerlangan Tonggak Bangsa’ dan ’Nilai-Nilai Murni Pemangkin Kecemerlangan Bangsa.

Tajuk lain yang boleh dipilih pserta, ’‘Transformasi Ke Arah Rakyat & Negara Maju’ dan Perpaduan Teras Kesejahteraan & Kemakmuran Negara’.

 “Pertandingan ini mampu meningkatkan kesedaran pengetahuan dan kefahaman di kalangan masyarakat pelbagai kaum megenai dasar Negara khususnya Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 “Pada masa sama turut mengharapkan mampu meningkatkan lagi rasa cinta serta semangat patriotisme masyarakat hadap Malaysia.” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka hadir merasmikan pertandingan akhir, sekaligus menyampaikan hadiah kepada pemenang.

 

Lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir pekan budaya PDHT

Oleh: Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih)

 Lebih 30,000 penduduk dijangka hadir mengunjungi Pekan Budaya Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) yang diadakan Pasar Kuala Berang, Hulu Terengganu.

 Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama MDHT itu, diadakan selama tujuh hari, berakhir 27 September ini.

 Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program itu, termasuk kembara folo’an’ pertandingan memancing, masakan, gubahan, persembahan tarian kebudayaan dan permainan tradisional semata-mata mahu menarik minat pengunjung..

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Dato’ Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, berkata program itu turut diselitkan dengan Forum Perdana Islam yang diadakan dengan kerjasama JAKIM dan RTM pada hari Khamis, 26 September 2013, mulai jam 8.45 malam,

 “Ustaz Badlishah Aluddin dan Ustaz Abd Halim Awang bertindak sebagai panel forum perdana Islam tersebut,” katanya.

 Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari pada 21 September lalu, manakala majlis penutup pula akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang pada 27 September ini.

 

Mohd Noor bertekad sampai ke Putrajaya

Oleh: Noraini Jusoh
Peserta Walk4Malaysia ketika tiba di Bandar Marang tadi. (KLIK foto untuk LIKE FB)

Peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia), Mohd Noor Mat bertekad meneruskan cabaran berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya walaupun berkemungkinan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha menamatkan perjalanan sejauh 600 kilometer (km).

Meneruskan misi pada hari ketiga, Mohd Noor sambil diiringi 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki dari Dataran Batu Burok ke Merchang, Marang, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Dengan jarak kira-kira 48.4 km, perjalanan pada hari ini dijangka mengambil masa selama 9 jam.

Majlis perlepasan peserta Walk4Malaysia di hentian Dataran Batu Burok dimulakan dengan bacaan doa dan disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Sebelum itu, peserta Walk4Malaysia berjaya menamatkan perjalanan pada hari kedua dari Masjid Merang, Setiu ke Dataran Batu Burok dengan jarak sejauh 40.7 km kira-kira jam 6.50 petang semalam.

Mohd Noor yang telah berjalan kaki kira-kira sejauh 100 km berkata, beliau akan tetap berusaha menamatkan perjalanan walaupun pelbagai dugaan yang bakal ditempuhinya.

“Setiap hari, selain mengambil makanan berkhasiat yang lain, saya turut mengamalkan makan buah kurma dan minum air zam-zam sebelum mula berjalan kaki untuk menguatkan stamina.

“Sejak memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut sehingga ke Dataran Batu Burok, saya menggunakan tiga pasang kasut untuk menamatkan perjalanan yang penuh mencabar,” ujarnya.

 

YB Bazlan redah bukit makan durian bersama penduduk.

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Adun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman tetap meluangkan masa bersama beberapa penduduk menjamu durian di Bukit Beruang, Kampung Pecah Rotan, di sini.
Bazlan (tengah) bersama dua pemuda membawa turun durian dari bukit.

Bazlan yang tidak kekok masuk kebun durian milik seorang penduduk, walaupun terpaksa melalui jalan berbukit sempat beramah mesra dengan penduduk yang dianggap sebagai rakannya sendiri sebelum sama-sama kopek dan makan durian.

“Acara makan durian ini sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung ini malah ia menjadi agenda wakil rakyat terdahulu. Program ini boleh mendekatkan hubungan penduduk dengan wakil rakyat selain mempromosikan makanan tempatan,” kata Bazlan.

Sementara itu, beberapa penduduk yang mengikuti program itu melahirkan rasa gembira kerana kesudian YB (Yang Berhormat) Bazlan untuk sama-sama turun ke kebun durian bagi menikmati keenakan buah durian Batu Rakit yang sememangnya dikenali penduduk sekitar.

Seorang penduduk, Mohammad Puteh, 58, berkata walaupun untuk ke kebun durian ini agak sukar perjalanannya tetapi YB Bazlan tetap datang untuk bersama-sama penduduk menjayakan program makan durian ini.

“Terima Kasihlah pada YB kerana sudi hadir, walaupun YB sibuk dengan tugas terutamanya merasmikan mesuayarat cawangan baru-baru ini tetapi beliau tetap meluangkan masa bersama penduduk. Sikap cakna YB ini tentunya akan disukai penduduk kampung ini,” katanya.

Bazlan berselera makan durian bersama penduduk.
Seorang lagi penduduk yang hadir, Mat Lazim Hashim, 49, berkata, YB Bazlan seorang yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat, walaupun masih baru sebagai pemimpin kawasan Batu Rakit, tetapi wakil rakyat itu menunjukan komitmen yang tinggi untuk membantu rakyat.

“Walau sibuk macamanapun, dia tetapi akan menghadiri segala program yang dianjurkan penduduk, melainkan dia ada urusan di peringkat negeri. Saya mengharapkan dia akan melaksanakan segala tugasnya dengan baik dan jaya untuk mempastikan penduduk di kawasan ini terbela dan kawasan Batu Rakit ini maju,” katanya.

Ramli pertahan juara melukis sempena hari Kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah 

Seorang pelukis sepenuh masa Encik Ramli Salleh, 46, mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan melukis poster 1Malaysia sekeluarga, anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ke-56 tahun.

Encik Ramli bersama keluarga
Beliau yang mengalahkan 39 lagi keluarga lain itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan juga hamper.

“Kemenangan ini merupakan tahun kedua saya menjadi juara di mana tahun lalu turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan kategori yang sama,” kata bapa kepada lima anak.

Menurutnya, dua minggu sebelum pertandingan bermula, dia telah mula memikirkan idea untuk diterjemahkan dalam lukisan yang bakal dihasilkan meskipun tidak mengetahui tajuk atau tema dalam pertandingan bakal disertai itu.

 “Saya dan isteri mula membuat senarai pendek apa yang ingin diterjemahkan dalam lukisan berdasarkan tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini dan juga berdasarkan pengalaman-pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini,” katanya..

Katanya, menang atau tidak adalah perkara kedua. Apa yang paling penting adalah tema yang ingin disampaikan mencapai maksudnya. Meskipun tanpa kata-kata atau tulisan, mesej yang ingin disampaikan melalui hasil lukisan perlu mencapai maksudnya.

“Itu merupakan satu tanggungjawab kepada para pelukis sebab ia bukan hanya untuk tujuan pertandingan ini sahaja tetapi ia disimpan untuk dilihat atau dipamerkan sebagai pedoman generasi seterusnya pula,” katanya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana kelima-lima anaknya turut mewarisi kemahiran dan juga minat dalam melukis dan situasi ini memberi kelebihan kepadanya kerana dapat berkongsi idea dan juga pengetahuan bersama keluarga.

Tempat kedua pula dimenangi oleh seorang anggota polis, Mohd Yusny Mat Zin, 47 menerima wang tunai RM750, sijil dan juga hamper. Manakala tempat ketiga menjadi milik seorang guru, Encik Zulkifli Abdullah,45 dengan wang tunai RM500, sijil dan hamper.

HARI KETIGA WALK 4 MALAYSIA, BATU BUROK - MERCHANG



Hari ini telah masuk hari ke tiga Walk 4 Malaysia.
  Peserta telah mula berlepas kira-kira jam 8.30 pagi tadi dari Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu menuju ke Merchang.
  Jarak perjalanan pada hari ini adalah sejauh 48.4 KM dan dianggarkan perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 9 Jam.
 Keadaan pejalan kaki utama, Mohd Nor Mat dikatakan sihat dan bersemangat. Mereka dijangka tiba di Merchang kira-kira jam 6.00 petang. Laporan: Ruslan Rahman


Mat Nor berjaya tiba di Dataran Batu Buruk

Oleh: Suriati Ali 

 Walaupun kelihatan penat mengharungi cabaran pada hari kedua, semalam iaitu ke lokasi ketiga di Batu Buruk, Kuala Terengganu sejauh 40.7 Kilometer (Km), peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) , terutama Mohd Nor Mat, 47 tetap bersemangat meneruskan misi berjalan kaki ke Putrajaya. 

Mohd Nor yang juga Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT)cawangan Besut tiba di Dataran Baru Buruk, Kuala Terengganu, kira-kira jm 6.50 petang, semalam, dan disambut Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Hadir sama Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin dan lebih 200 belia dan penduduk sekitar

 Sebelum itu, Mohd Nor diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia, berjaya menamatkan perjalanan hari pertama sejauh 67.5 KM, bermula dari Dataran Kuala, Besut ke lokasi kedua Di Masjid Merang Setiu.

 Peserta Walk4Malaysia menyambung perjalanannya, sejauh 58.4 Km ke Mercang, Setiu, kira-kira 8.30 pada pagi ini dan dijangka mengambil kira-kira 12 jam.

 Hasrat Mat Nor adalah bagi memenuhi nazarnya setelah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut 24 Julai lalu.