Halaman

02 October 2013

JPJ akan menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak kepada penduduk daerah Besut


Hishammuddin bersama Ismail dan Muhamad Pehimi melihat van bergerak JPJ

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah kesulitan penduduk daerah Besut untuk berurusan dengan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) akan dapat diatasi apabila sebuah van bergerak akan disediakan bagi memberi perkhidmatan kepada orang ramai di daerah itu.

Van yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan talian online itu dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini apabila Kementerian Pengakutan meluluskan peruntukkan pembelian van berkenaan.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pemangku Menteri Pengangkutan,Dato’ Seri Hishammuddin Hussein selepas merasmikan Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih, hari ini.

Hadir sama ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besutr, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Ismail Mohamad.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pengangkutan meluluskan peruntukkan RM10 juta untuk membeli 30 van yang akan dijadikan sebagai kaunter bergerak bagi kemudahan rakyat di negara ini.

Katanya, dengan adanya kemudahan seperti itu orang ramai khususnya penduduk luar Bandar tidak perlu datang ke pejabat JPJ berhampiran sebaliknya menunggu kedatangan kaunter bergerak yang akan masuk kampung secara bergilir-gilir.

Beliau berkata, kemudahan kaunter bergerak itu diberikan kepada penduduk Besut sebagai penghargaan dan sokongan kerana memberi sambutan terhadap program yang dijalankan oleh JPJ Terengganu.

“Perkhidmatan yang disediakan ini juga satu usaha kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian di Utamakan,” katanya.

Wanita wujud lebuh raya politik

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu mewujudkan lebuh politik bagi memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini.

“Sebagai pemimpin akar umbi dan Ketua Wanita, saya mengenali hampir semua wanita di cawangan dan juga bahagian dari Perlis hingga Sabah dan bukan pada hari ini sahaja, malah sudah kerap kali saya turun ke negeri-negeri. Jadi pemimpin wanita dan Exco sudah mewujudkan lebuh raya politik, di mana memihak kepada pembabitan wanita.

“Pada hari ini, empat tahun kebelakangan ini, wanita diberi tempat yang dihormati, jentera wanita dapat pengiktirafan, calon-caloin kita pada Pilihan Raya Umum ke-13 (RU13) lalu, tidak kurang hebat, di semua negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN), ada Exco Wanita, jadi saya sebagai ketua saya wujudkan lebuh raya bersama pasukan exco, jadi terpulang kepada pemimpin dan ahli-ahli wanita di peringkat akar umbi untuk membawa kenderaan yang bersesuaian bergantung kepada kemahiran, kepakaran dan cara masing-masing,” katanya.

Dato’ Seri Shahrizat berkata dengan adanya lebuh raya politik memudahkan beliau untuk berhubung dan memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta ahli wanita seluruh Malaysia memandangkan sukar untuk bertemu seorang demi seorang ahli wanita secara langsung.

Katanya, Wanita Umno juga tidak akan meminggirkan golongan yang berumur dan berpengalaman kerana setiap mereka mempunyai keistimewaan dan tempat yang sewajarnya.

“Jangan ketepikan pemimpin-peminpin wanita yang berumur, saya tidak rela mana-mana pemimpin wanita berumur dipersendakan, jangan buat begitu.

 “Struktur Umno Wanita memang cantik, Puteri jaga yang muda, Wanita jaga yang pertengahan dan berumur. Jadi jangan sesiapa nak mempersendakan ahli wanita yang berumur kerana jasa mereka terlalu banyak kepada negara dan mereka masih mampu berganding dengan pemimpin yang muda,” katanya.

Menurutnya, Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin muda yang perlu saling berganding bahu dengan wanita yang berumur dan berpengalaman supaya gabungan itu mampu membentuk satu pasukan yang mantap serta dapat merealisasikan pelbagai hasrat demi memperkasakan peranan wanita di Malaysia.


1452 calon PMR di Setiu.

.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

FOKUS…sebahagian pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya (SMKPJ), Setiu sedang tekun menjawab kertas peperiksaan Bahasa Malaysia Kertas 1, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sekolah itu, pagi tadi.

Hari ini seramai 47 calon sekolah itu menduduki peperiksaan yang berakhir pada 8hb ini iaitu seramai 16 calon pelajar perempuan dan 31 pelajar lelaki.

Razali Yaacob.
Pengetuanya, Razali Yaacob, berkata pihaknya menjangkakan seramai tiga pelajar SMKPJ akan mendapat keputusan cemerlang 8A tahun ini berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan percubaan.

“Sejak awal tahun lagi, pihak sekolah bekerja keras dengan mengadakan kelas tambahan dan kem peperiksaan untuk mempastikan pelajar berjaya dalam peperiksaan ini. Insya Allah kita target tiga orang akan dapat 8A tahun ini.

“Bagaimanapun terpulanglah kepada keputusan nanti. Berbanding tahun lalu pencapaian terbaik sekolah ini ialah 7A 1B dan 8A1B (2011), kita harap pada tahun pencapaiannya akan meningkat, “ katanya ketika ditemui Teganukita di pejabat SMKPJ, hari ini.

Mohd Azmi Nazir
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Mohd Azmi Nazir, berkata seramai 1,452 calon dari 14 buah sekolah menduduki peperiksaan PMR di seluruh daerah Setiu pada tahun ini dan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu mensasarkan seramai lima peratus akan mencapai keputusan 8A.

“Pada hari ini, semua calon hadir untuk menduduki PMR dan peperiksaan berjalan lancar melalui tinjauan yang kita lakukan di beberapa buah sekolah dan saya mengharapkan semua pelajar dapat menjawab soalan dengan baik dan mencapai keputusan yang memuaskan,” katanya.


Kecurian kabel di tahap membimbangkan

Oleh; Esah Abdullah 

Telekom Malaysia (TM) merayu orang ramai dan penduduk setempat membantu pihaknya membasmi gejala kecurian kabel demi kepentingan bersama.

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail berkata, masalah kecurian kabel milik TM di negeri ini di tahap membimbangkan sehingga syarikat terpaksa menanggung kerugian besar.

“Antara kawasan dikenal pasti kerap berlaku kecurian adalah daerah Dungun dan Besut terutama di kawasan pendalaman,” katanya.

Katanya, kegiatan ini turut memberi kesan kepada pengguna yang terputus perkhidmatan telekomunikasi.

Menurutnya, usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi menangani rungutan di dua kawasan terbabit namun perkara yang sama berulang selepas kerja baik pulih dilakukan.

“Antaranya termasuklah menawarkan hadiah sebagai penghargaan kepada pihak yang berjaya menahan atau menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel ini, namun kejadian berulang selepas TM mengantikan kabel baru,” katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini memberi kesan kepada TM kerana terpaksa menanggung kos yang agak mahal dan kecurian ini kerap berlaku di kawasan pedalaman yang jauh daripada pandangan orang ramai.

Sebanyak 113,922 e-Book diagihkan sejak 2009

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 113,922 buah e-Book kepada murid tahun empat dan lima di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan kira-kira RM107.3 juta.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pemberian buku elektronik tersebut dalam tempoh lima tahun sejak diperkenalkan 2009 lalu sehingga sekarang.

 Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 23,702 murid tahun lima menerima e-Book yang membabitkan perbelanjaan melebihi RM22 juta diikuti 23,313 murid tahun lima menerima kemudahan itu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM22 juta pada 2010.

Katanya, untuk tahun 2011, sebanyak 23,194 murid tahun lima turut menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan RM21.9 juta, seramai 22,117 murid tahun empat mendapat E-Book dengan peruntukan RM20.9 juta pada tahun lalu.

"Bagi tahun ini, sebanyak 21,596 murid tahun empat menerima E-Book yang melibatkan jumlah peruntukan kira-kira RM20.5 juta," katanya.

YB Ghazali turut menangkis dakwaan pihak pembangkang kononnya pemberian e-Book yang membabitkan kos besar tidak memberi impak positif kepada para pelajar.

 Sebaliknya, jelas beliau, sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 2009 lalu selain penambahbaikan yang dilakukan kerajaan, ia mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu.

Pada masa sama, katanya, usaha kerajaan mewujudkan program kelas maya dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga sebagai sekolah perintis juga berupaya melonjakkan kedudukan sekolah berkenaan dalam senarai sekolah terbaik.

 "Sejak dijadikan sekolah perintis dalam projek kelas maya, SK Paya Bunga memperoleh Gred Purata Sekolah yang terbaik di mana sebelum ini berada pada kedudukan 4,000 dalam senarai kebangsaan, kini melonjak ke tangga 620," katanya.

 

01 October 2013

Konvoi Bulan Bahasa Kebangsaan WDI - Kangar, Perlis

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Seramai 40 peserta bakal menyertai Konvoi Kembara Bahasa 2013 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat negeri, pada 9 Oktober ini.

 Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Manakala majlis pelepasan konvoi bermula di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu juga pada 9 Oktober, kira-kira jam 9.30 pagi.

Konvoi yang akan berakhir di Kangar, Perlis akan bermula dari Wisma Darul Iman dan akan singgah ke setiap daerah yang menjadi laluan program itu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat rakyat khususnya belia di negeri ini untuk mencintai bahasa kebangsaan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah penyerahan buku-buku perpustakaan, kenduri bahasa dan deklamasi puisi.


Penduduk sambut baik Projek Agropolitan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail

Perkedaian turut dibina di kawasan Agropolitan Besut-Setiu.
SETIU: Beberapa penduduk di daerah ini menyambut baik pemilihan daerah Setiu sebagai tempat Projek Agropolitan Besut-Setiu yang di rasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin kerana menganggap projek itu bukan sahaja dapat membantu penduduk tempatan mendapat pekerjaan malah ia boleh menaikan nama Setiu.

Tinjauan Teganukita mendapati rata-rata penduduk gembira kerana kerajaan negeri memilih Setiu sebagai tapak projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)  itu yang memberi peluang kepada 100 penduduk di Setiu dan Besut mendapatkan pekerjaan.

Seorang pemuda, Ahmad Amsar, 25, dari Bandar Permaisuri, berkata, jika sebelum ini nama Panchor Bederu tidak dikenali ramai malah ramai juga yang tidak tahu di mana lokasinya tetapi dengan wujudnya ‘perkampungan’ Agropolitan itu, mereka mula mengetahui lokasinya.

“Projek ini memberi ‘tuah’ kepada penduduk daerah Setiu terutamanya kepada peserta yang terpilih, selain mereka dapat menduduki rumah baru yang serba lengkap, peserta juga mendapat gaji yang agak lumayan berbanding sebelum itu.

“Projek ini juga menaikan nama Panchor Bederu yang sebelum ini tidak ramai yang mengetahuinya, kini seluruh Malaysia mengenalinya sebagai satu tempat projek ECER( Wilayah Ekonomi Pantai Timur), sekaligus menaikan nama daerah Setiu,” katanya.

Sulaiman Mamat.
Sulaiman Mamat dari Kampung Banggol pula menyifatkan pemilihan Setiu sebagai tapak agropolitan itu adalah bertepatan dan berterima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana melaksanakan projek penternakan kambing biri-biri itu di daerah ini.

“Seluruh penduduk menyambut baik langkah kerajaan memilih Panchor Bederu sebagai lokasi projek ini. Bagi pemuda yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, ini adalah peluang terbaik bagi mereka.

“Dengan wujudnya projek ini, ia boleh membantu 100 pemuda di daerah ini dan Besut yang sudah mendirikan rumahtangga untuk menjalani kehidupan yang lebih terjamin dengan terus dapat menduduki rumah baru yang selesa dan memperolehi pendapatan yang menjamin masa depan,” katanya mengenai projek agropolitan ketiga dari ECERDC itu.


Jawatankuasa Perwakilan Penduduk akan diwujudkan tahun depan

Oleh; Esah Abdulalh

Sebuah oganisasi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) akan diwujudkan dalam kawasan bandar di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT), Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan organisasi ini merupakan satu anjakan baru di bawah kementeriannya khusus untuk masyarakat yang tinggal di bandar.

“JPP akan berfungsi serupa dengan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya di majlis perjumpaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Ketua Setiausaha KKBPKT, Dato’ Noriah Hashim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, kebelakangan ini penduduk di kawasan bandar dilihat tidak mempunyai hubungan emosi dengan kerajaan serta agak sukar bagi kerajaan untuk menyelami hati dan naluri mereka yang akhirnya telah menterjemahkan hubungan dalam bentuk undi menentang kerajaan.

“Sebab itu kita lihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kebanyakan undi masyarakat di bandar tidak memihak kepada Barisan Nasional dan di sinilah kita perlu lakukan sesuatu agar hubungan emosi antara kerajaan dengan masyarakat dapat diwujudkan,” katanya.

Katanya, tujuan kerajaan adalah setiap inci bandar akan diwakili seorang JPP dan akan bekerjasama dengan PBT serta menjalin hubungan rapat dengan kerajaan pusat.

“Perlantikan mereka akan dibuat melalui Kerajaan Pusat di mana bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha akan diberi elaun bulanan manakala jawatankuasa turut menerima elaun kehadiran mesyuarat,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, apa yang dilaksanakan nanti selaras dengan objektif di bawah kementeriannya untuk mensejahterakan bandar yang selama ini hanya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tugasnya tidak begitu khusus seperti fungsi JPP yang akan ditubuh nanti.

“Kita harap adanya jawatankuasa itu, masyarakat dikawasan bandar dapat menyalurkan segala pemasalahan yang timbul terus kepada wakil JPP untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.
 

Reka bentuk flora, fauna memihak Ketengah bergelar juara

Oleh: Aida Abd Rahman

Reka bentuk bot bertemakan spesies flora dan fauna yang menghuni di Tasik Kenyir berjaya melonjakkan nama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk dinobatkan sebagai pemenang utama Pertandingan Bot Berhias 2013, sekaligus mengetepikan 11 bot berhias yang lain.

Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, berkata pihaknya cuba belajar dari pengalaman dan kelemahan pada penyertaan di pertandingan yang sama tahun lalu, apabila hanya sekadar di tempat kelima, sehingga berjaya merangkul kejuaraan pada kali ini.

“Kita berusaha menghasilkan suatu yang menarik dan memberi impak yang besar kepada pelancongan di Tasik Kenyir dan bagi penyediaan bot ini kita membelanjakan hampir RM100,000 keseluruhannnya.

“Konsep kita pada tahun ini menggabungkan keseluruhan keindahan Tasik kenyir dalam satu hab eko-pelancongan di mana kesemua unsur dan keunikan dari segi flora, faunanya serta keindahan alam semula jadi digabungkan dalam satu reka bentuk,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan Pertandingan Bot Berhias 2013, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Haji Wan Mat Amin berkata, pihaknya juga menggabungkan projek Kenyir Island Hoping, Santuari Gajah dan Pulau Bebas Cukai dalam reka bentuk bot berkenaan sebagai satu tarikan utama pelancong ke pulau buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

 “Idea menghasilkan reka bentuk dan hiasan itu datang dari kakitangan Ketengah sendiri dan seramai 20 pekerja menyiapkannya sejak penyertaan mula dibuka kepada semua peserta pertandingan itu,” katanya.


Stage 9 MARAN - TEMERLOH