Halaman

19 October 2013

7,938 perwakilan pilih pemimpin bahagian hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Seramai 7,938 perwakilan daripada lapan bahagian di negeri ini menghadiri persidangan Umno bahagian masing-masing hari ini bagi memilih pemimpin bahagian.

Mereka juga bakal memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno (G7) di Kuala Lumpur dan Naib Presiden Umno Pusat serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Tujuh daripada lapan bahagian Umno di negeri ini menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua bahagian.

Hanya jawatan Ketua Umno Bahagian Besut tidak berlaku pertandingan apabila seorang saja calon, YB Nawi Mohmad mengemukakan borang pencalonan bagi jawatan tersebut manakala penyandang, Dato’ Seri Idris Jusoh mengemukakan borang pencalonan bagi jawatan Naib Ketu Umno Bahagian Besut.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian akan diadakan di bahagian masing-masing dan bermula serentak jam 8.30 pagi dikuti proses pengundian selepas pendaftaran.

Setiap bahagian membuka empat saluran mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi keselesaan perwakilan membuang undi untuk memilih pemimpin bahagian dan Pusat.

Proses membilang undi akan diadakan di bahagian masing-masing sebaik selesai perwakilan membuang undi dan keputusan dijangka dapat diketahui pada sebelah malam.

Pada persidangan tahun ini, 21,694 orang perwakilan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di Terengganu membuat penentuan pemimpin masing-masing di mana perwakilan bagi sayap parti telah pun bersidang pada 12 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu seramai 7,938 orang merupakan perwakilan bahagian, Wanita (5,098) Pemuda (4,927) dan Puteri 3,731 orang.

Pada tahun ini, kesemua perwakilan berkenaan membuat pemilihan mengikut sistem yang baru diperkenalkan bagi memilih pemimpin peringkat bahagian dan pemimpin tertinggi Umno.

Gembira bantu penduduk dapat geran tanah.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Mohammad Puteh.

TUGAS seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) bukanlah satu tugas yang mudah kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai masalah penduduk kampung yang perlu diselesaikan.

Sebagai orang yang diamanahkan oleh wakil rakyat untuk menjaga sesebuah kampung itu, Pengerusi JKKK perlu mengambil alih tugas wakil rakyat di kawasan kampung masing-masing.

Bagi Mohammad Puteh, 59 Pengerusi JKKK Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, Parlimen Setiu, yang berpengalaman hampir 30 tahun memegang jawatan itu, bersyukur kerana sepanjang tugasnya itu dia tidak pernah mengalami pengalaman yang tidak baik.

“Alhamdulillah, segala permasalahan penduduk saya membantu menyelesaikanya, ada yang dah selesai dan ada juga yang masih belum kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakan.

"Saya juga bekerja, saya meminta bantuan wakil rakyat dan wakil rakyat pula membantu membawanya ke peringkat negeri, tetapi kebanyakannya saya berjaya membantu menyelesaikan,” katanya yang menjadi ahli UMNO ketika berusia 25 tahun itu.

Mohd bersama seorang rakannya.
Mohammad berkata, antara pengalaman paling manis sepanjang memegang jawatan Pengerusi JKKK kampungnya ialah berjaya membantu penduduk mendapatkan geran tanah kebun buah-buahan seluas kira-kira 120 ekar.

“Ketika itu, YB Dr. Wahab menjadi wakil rakyat, saya bersama YB bersama-sama berusaha untuk mendapat geran tanah setiap yang mengusahakan kebun itu selama setahun lebih. Akhirnya usaha saya itu membuahkan hasil kerana masing-masing mendapat geran hakmilik iaitu seramai 70 orang mendapat tanah seluas satu ekar manakala 100 penduduk lagi mendapat setengah ekar,” katanya.

Antara usaha lain Mohammad ialah, membantu mendapatkan sebanyak 20 buah rumah PPRT kepada penduduk yang layak dan membaikpulih lebih 30 buah rumah orang kampung.

“Saya akan terus memegang jawatan ini selagi diberi kepercayaan YB dan penduduk. Banyak lagi yang saya mahu usahakan bagi memajukan kampung dan meningkatkan taraf hidup penduduk Pecah Rotan ini,”katanya.

 

18 October 2013

Hari terakhir korban...Dun Jabi korban 11 ekor lembu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Iskandar turut membantu melapah daging lembu.
JABI: Kira-kira 200 penduduk sekitar Dun Jabi hadir bergotong royong menjayakan Program Korban Perdana Parlimen Setiu, Dun Jabi yang diadakan pada hari terakhir ibadah korban pada tahun ini bertempat di Padang Bola Kampung Apal, di sini hari ini.

Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan sempena program itu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Dun Jabi manakala seekor disembelih sebagai kenduri kesyukuran.

“Lembu-lembu ini adalah sumbangan Parlimen Setiu untuk Dun Jabi dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Jabi. Sebanyak 37 JKKK terbabit dengan program ini. Seekor daripada 11 ekor disembelih terlebih dahulu untuk jamuan kepada semua petugas dan yang hadir di sini hari ini.

“Setiap sembelihan ini akan diagih kepada semua JKKK dan mereka akan mengagihkan pula kepada penduduk kampung masing-masing,” katanya mengenai program yang bertujuan untuk mendekatkan hubungan pemimpin dengan rakyat itu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Dun Jabi serta beberapa penduduk kampung berhampiran.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar Korban Perdana itu:-
Tumbang..seekor lembu berjaya direbahkan penduduk.

Jamu..jamuan pagi turut disediakan.

Masak..seorang penduduk sedang memasak gulai lembu.

Angkat...daging lembu diangkat untuk di potong.

Erat...Iskandar bersama tiga penduduk.

 

146,500 perwakilan UMNO pilih pemimpin esok



Oleh: Mohammad Ishak 

Debaran pemimpin sayap UMNO, Wanita,Pemuda dan Puteri sudah berakhir dan terjawab apabila kelompok berkenaan sudah menentukan siapa pemimpin mereka untuk menerajui parti selepas perwakilan membuat keputusan menerusi undian pada minggu lalu.

Perhatian kini terarah pula kepada siapa yang akan menduduki barisan kepemimpinan di peringkat Ahli Majlis tertinggi (AMT) dan Jawatankuasa Peringkat Bahagian, bagi melengkapkan saf kepemimpinan parti terbesar bangsa Melayu dan Umat Islam negara ini.

Keputusannya akan ditentukan oleh 146,500 perwakilan dari seluruh negara yang akan mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Umno  Bahagian esok Sabtu 19 Oktober 2013, apabila ahli akar umbi terbabit akan membuat pilihan sendiri siapa pemimpin yang mereka suka.

Pemilihan tahun ini yang dilaksanakan menerusi kaedah baru apabila pemimpin peringkat cawangan turut diberi hak memilih pemimpin sudah tentu ia akan memberi kesan besar kepada corak pemilihan pemimpin dalam UMNO.

Perwakilan sudah tentu mempunyai bayangan tersendiri untuk memilih bakal pemimpin yang menjadi pilihan mereka sama ada berasaskan kepada ketokohan, professional, personaliti dan keupayaan pemimpin terbabit memikul tugas dan tanggungjawab besar dalam membina parti.

Kini ramai yang bercakap menggunakan slogan “Meremajakan Umno” dalam usaha membina dan memantapkan parti yang disesuaikan dengan keadaan semasa dan peluang ini digunakan oleh calon yang bertanding untuk memikat penyokong atau lebih tepat perwakilan.

Bagaimanapun, dalam usaha meremajakan parti adalah tidak adil jika pemimpin yang terlalu lama berada dalam saf kepemimpinan masih degil untuk melepaskan jawatan yang disandang kerana terlalu syok dengan jawatan.

Bukan tidak penting kepada pemimpin lama tetapi berilah peluang kepada bakat baru yang berpotensi untuk menyambung perjuangan dalam mana-mana organisasi termasuk UMNO.

Di Terengganu sendiri seluruh ketua bahagian kecuali Besut akan berhadapan dengan pertandingan apabila ada ramai calon menawarkan diri untuk merebut jawatan nombor satu peringkat bahagian.

Sebenarnya, pertandingan merebut jawatan tahun ini dianggap meriah dan menarik apabila calon yang bertanding kelihatan dalam satu keluarga apabila mereka datang secara berkumpulan ketika sesi pengenalan calon dianjurkan pihak tertentu.

Semoga semangat setia kawan dan dan sifat kekeluargaan ini akan terus kekal biarpun selepas pengumum calon yang menang dan kalah dalam pertandingan diketahui selewat-lewatnya jam 8 malam esok.

TIIAF 2013 di TTI

PEMINAT seni khat kaligrafi berpeluang menimba ilmu daripada lapan tokoh terkenal dunia dalam bidang itu sepanjang berlangsung Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) di Taman Tamadun Islam (TTI) yang akan bermula 15 November ini.

 Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Zubir Embong, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu dan Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan menjadi juri pertandingan seni khat sempena festival itu.

 "Selain itu, Adnan Sheikh Osman dari Syria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) dan Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri. Lebih istimewa Ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) di Istanbul, Dr. Halit Eren juga akan hadir," katanya baru-baru ini.

TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat antarabangsa dan kebangsaan yang dijangka disertai 100 penggiat kaligrafi berpengalaman dari 20 buah negara.

 Bermula tahun ini, satu produk baharu diperkenalkan iaitu seni corak batik bermotifkan khat untuk mempelbagaikan produk berasaskan kaligrafi.

 Kata Zubir, sempena festival tersebut, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta sukan rakyat.

"Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal berkonsepkan zikir dan peralatan muzik tradisional di samping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih," katanya.

Festival tiga hari itu dianjurkan TTI Management Sdn. Bhd. dengan sokongan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dan masuk adalah percuma.

 



Masjid Al-Amin, Kuala Berang Indah dan Selesa.



Masjid Al Amin.
Pandangan depan Masjid Al-Amin.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

KEPERIHATINAN kerajaan Barisan Nasional terhadap pembinaan masjid di negeri ini sememang sudah menjadi lumrah sejak selepas merdeka lagi, satu demi satu masjid dibina bermula dari bangunan kayu sehinggalah kepada bangunan batu yang tersergam indah bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada umat Islam menunaikan ibadah sembahyang dan membuat pelbagai aktiviti keagamaan.

Antara kampung yang tidak tertinggal dalam senarai pembinaan masjid baru lagi indah ialah Kampung Buluh, Kuala Berang, di mana sebuah masjid baru dibina dan siap sepenuhnya pada 2007, selepas masjid lama (terletak berhampiran masjid baru) tidak dapat lagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat.

Abdul Rasyid..iman II.
Iman II masjid yang diberi nama Masjid Al Amin itu, Abdul Rasyid Muhammad, berkata pembinaan masjid baru itu banyak memberi manfaat kepada seluruh jemaah dari dua kampung yang bersembahyang di situ iaitu Kampung Buluh dan Kampung Padang Tara.

“Jika dahulu jemaah belakang terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan sembahyang jumaat atau sembahyang dua hari raya kerana masjid lama tidak menampung jemaah yang semakin ramai tetapi dengan siapnya masjid baru itu, semua boleh melakukan ibadah itu dengan selesa.

“Masjid lama hanya boleh memuatkan kira-kira 300 hingga 400 jemaah sahaja sedang jumlah jemaah sejak kebelakangan ini kira-kira 500 orang. Dengan adanya masjid baru ini jemaah dapat bersolat dengan selesa malah kawasan dewan solat kedua masih kosong dan ia dapat menampung jumlah jemaah pada masa depan,” katanya.

Rasyid berkata, selain jemaah tempatan, ada juga jemaah luar yang datang untuk bersolat dan berehat di masjid yang diusahakan pembinaannya oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Allahyarham Ibrahim Yusof itu.

“Selain itu, ada juga pelajar dari beberapa buah sekolah menunaikan solat jemaah di masjid ini, manakala kira-kira 50 jemaah menunaikan solat fardu pada waktu malam”, katanya.

Ismail..iman kerajaan.
Dalam pada itu, Iman I Masjid Al-Amin itu , Ismail Muhammad, berkata antara aktiviti keagamaan yang dibuat di masjid itu ialah ceramah agama dari pegawai Pejabat Agama Daerah Kuala Berang pada malam rabu yang mengajar tasauf.

“Malam Jumaat dan Sabtu ialah mengajar Fekah dari iman masjid, Rabu dan Khamis pula ialah Quran Tajwid,” katanya. Pengerusi masjid ialah Yusof Muhammad manakala dua bilal bertugas bergilir-gilir mengalunkan azan.




Dalaman yang cantik dan bersih.

Jemaah sedang berwirid selepas solat zohor.

Ruang kedua masjid yang luas.
Masjid lama Kampung Buluh.


17 October 2013

152 penduduk terima sumbangan Aidiladha.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Seorang penerima bantuan menerima sumbangan daripada Zulkifly.
BATU RAKIT: Seramai kira-kira 152 golongan kurang berkemampuan dari Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan ini, menerima sumbangan kewangan sebanyak RM300 tiap seorang dalam satu majlis di dewan orang ramai Batu Rakit, di sini, hari ini.

Sumbangan dari peruntukan Parlimen Setiu itu disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Josoh. Turut hadir pada majlis itu ialah Adun Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Sebahagian penerima bantuan.
Beberapa penduduk kawasan Batu Rakit yang menerima bantuan itu rata-rata mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional atas bantuan itu dan akan mengunakan sebaik mungkin wang RM300 itu untuk perbelanjaan keluarga.

Zulkifly dalam ucapanya menyatakan beliau akan berusaha supaya semua penduduk yang layak menerima bantuan akan menerimanya tetapi mengikut peruntukan yang ada, sekiranya dapat lebih, katanya, rakyat akan menerima lebih.

“Inilah antara sumbangan-sumbangan kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat, selain daripada beberapa sumbangan lain seperti BR1M dan wang ehsan. Ini adalah sumbangan bersempena dengan sambutan hari raya Aidil Adha bagi meringan bebanan penduduk yang menerimanya,” katanya.

Bazlan sedang berucap.
Sementera itu, Bazlan dalam ucapannya, berkata beliau mengharapkan dengan adanya beberapa peruntukan dari kerajaan negeri dan pusat, Dun Batu Rakit akan menjadi semakin maju dan cemerlang dan pihaknya akan menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa supaya semua rakyat yang layak menerimanya.

TATiUC jelajah sekolah menengah.

Bazlan (kanan) bersama Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Beberapa pegawai dan kakitangan TATiUC (Kolej Universiti TATI) akan berkunjung ke semua sekolah menengah di Terengganu untuk mempromosikan pusat pengajian tinggi itu kepada pelajar di negeri ini supaya mereka menyambung pelajaran ke kolej universiti itu apabila menamatkan pelajaran tingkatan lima kelak.

Pengerusinya, Bazlan Abdul Rahman, berkata program yang diberi nama "Jelajah Bermula Di Sini" itu akan mengunjungi 128 buah sekolah menengah di Terengganu yang bermula di Kemaman dan akan berakhir di Besut.

"Program ini bertujuan untuk memperkenal kursus-kursus yang ada di TATiUC kepada pelajar seluruh sekolah menengah di Terengganu khususnya tingkatan lima. Pelancaran jelajah ini sudahpun bermula ketika konvokesyen yang lalu.

"Masih ada pelajar di negeri ini belum mengetahui TATiUC ini. Seramai lima pegawai promosi akan memberi penerangan dan maklumat terperinchi mengenai kursus yang ditawarkan di TATiuC serta kelayakannya," katanya kepada Teganukita, ketika Program Korban Perdana Dun Batu Rakit, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau mengharapkan pelajar di negeri Terengganu akan memilih TATiUC sebagai tempat mereka menyambung pelajaran kerana terdapat beberapa kursus yang memberi jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Beberapa kursus jangka pendek kita wujudkan di TATiUC yang ada hubungan dengan beberapa syarikat industri di Kemaman. Penuntut yang mengambil kursus ini akan menjalani latihan praktikal di syarikat terbabit dan akan terus mendapat pekerjaan sekiranya mereka lulus," katanya.

Bazlan berkata, masa depan TATiUC cerah dan mampu pergi lebih jauh setanding dengan kolej universti lain di negara ini manakala yuranya  lebih rendah berbanding IPT lain.


Kelas al-Quran Braille untuk golongan cacat penglihatan

Oleh; Esah Abdullah

Inisiatif yang dilakukan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu membuka kelas al-Quran Braille untuk golongan cacat penglihatan di negeri ini banyak membantu golongan itu mendekati al-Quran.

Pengerusinya, Encik Mohd Fauzi Mansor berkata, usaha ini penting bagi memastikan golongan orang accat penglihatan boleh menguasai bacaan al-Quran seperti orang biasa.

“Kelas ini diadakan tiga kali seminggu bermula Ahad hingga Selasa dan setakat ini telah disertai 50 orang peserta ,” katanya.

Menurutnya, kelas al-Quran Braille ini telah memasuki tahun kelima dan proses pembelajarannya terbahagi kepada beberapa tahap.

Katanya, memandangkan tahap keupayaan peserta berbeza, kelas insentif turut diwujudkan bagi membantu mereka yang berfungsi sebagai latih tubi untuk menguasai al-Quran Braille seperti rakan yang lain.

“Usaha ini diharap mampu membantu mencapai hasrat Pertis untuk melahirkan individu cacat penglihatan yang celik al-Quran,” katanya.
 

Normadiana tekad bawa suara golongan muda

Oleh: Aida Abd Rahman

Kemenangan membarisi dalam 20 senarai pemimpin exco Puteri Umno di peringkat Pusat 2013-2016 menjadi platform kepada Normadiana Kamarudin untuk membawa suara belia di Terengganu kepada pucuk kepimpinan.

Ibu kepada dua puteri itu menganggap kemenangannya itu sebagai rahmat dan juga peluang yang tidak harus dipersia-siakan bagi memastikan pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) turut sama dikecapi golongan muda di negeri ini.

Biarpun tewas kepada Nia Notieya Zaharuddin dalam pertandingan dua penjuru bagi merebut Ketua Pergerakan Puteri Umno Kuala Terengganu minggu lalu, kakitangan di Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu itu tetap optimis dan tidak melatah kerana ruang yang tersedia di peringkat Pusat untuknya terus berjuang dalam parti masih terbuka.

"Kemenangan yang memberangsangkan di Peringkat Pusat pada minggu lalu sudah ketentuanNya dan saya amat bersyukur dengan rezeki ini.

“Insya-Allah sebagai wakil Terengganu dalam barisan exco Pusat selain Puan Asfalinda Anuar (Puteri Umno Kemaman), kami sedaya-upaya akan menjadi agen pelaksana yang akan mematuhi segala hala tuju dan misi sayap bongsu Umno ini yang diketuai, Puan Mas Ermieyati Samsudin demi memperkasakan bangsa Melayu dalam pelbagai aspek dan sosio kehidupan,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Menurutnya, sudah menjadi adat pertandingan pasti ada kekalahan dan juga kemenangan, walaupun tewas di pemilihan bahagian, beliau akan tetap menghulurkan bantuan dan memberi komitmen tenaga dan juga idea untuk cawangan di Kuala Terengganu supaya kehadiran Puteri tetap relevan, khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.