Halaman

28 October 2013

Terengganu jadi lokasi pertemuan pakar gamelan

 Oleh: Suriati Ali




 Kerajaan negeri berharap Festival Gamelan Sedunia terus bertapak di Terengganu kerana mampu memberi pendedahan seni dan maklumat bercorak pembelajaran kepada masyarakat setempat, terutama pecinta budaya.

 Pada masa sama, menjadi medan pertemuan ramai pakar dan peminat gamelan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand yang menyertai festival itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafie, berkata pihaknya sebolehnya mahu menjadikan Terengganu sebagai plaftform mengenengahkan pelbagai seni gamelan, termasuk budaya Melayu kepada aktivis luar negara.



“Sudah sampai masa dan ketikanya untuk menjadikan gamelan Melayu ini menjadi hebat dan bertaraf lima bintang, setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali,.

“Langkah itu dianggap penting kerana mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancong terus mengunjungi negeri ini sekaligus mampu memperkenalkan budaya dan keindahan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Festival Gamelan Sedunia 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaaan Negeri (Pengurusan), Mat Yasin Awang dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Encik Mohd Yusof Abdullah Festival selama tiga hari itu bermula 25 Oktober disertai 15 kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara, membabitkan kumpulan gamelan profesional, kumpulan Institusi Pengajian Tinggi dan kumpulan pelajar sekolah.



Antara kumpulan yang menyertai, termasuk Sanggar Singamurthi, Seni Benawa, Garasi dari Indonesia; Lambangsari, Japan Gamelan, Jepun dan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi Sumatera.



Manakala kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Senibudaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Encik Mohd Yusof berkata, festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan muzik itu agar terus subur dan tersohor di serata negara.

“Festival itu akan diteruskan kerana sememangnya mampu memberi ruang kepada masyarakat terutama pelajar bidang berkaiatan supaya dapat mengenali dan mencintai seni gamelan,” katanya.

 

27 October 2013

Kemiskinan tidak halang gapai kejayaan

Oleh : Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)
‘Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih’. Itulah semangat yang dipegang Mohamad Nizam Suhaimie, 26, penerima Anugerah Tertinggi Canselor sempena Majlis Pemasyhuran Canselor & Konvokesyen Kali Pertama University College Bestari (UCB) Terengganu, semalam. 
Anak muda dari Perak yang mengikuti kursus Diploma Pengajian Perniagaan itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 sekali gus berjaya menobatkan beliau antara penerima anugerah tertinggi pada majlis konvokesyen berkenaan.

Mohamad Nizam (gambar) berkata, kemiskinan tidak menjadi batu penghalang untuknya menggapai kejayaan dalam pelajaran.

“ Sejak dari bangku sekolah saya menanam cita-cita untuk menjejakkan kaki ke menara gading, tetapi disebabkan lahir dalam keluarga miskin hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan kerana saya nekad untuk bekerja terlebih dahulu bagi meringankan beban ibu bapa sebelum menyambung pengajian,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen tersebut.

Antara rahsia dinobatkan sebagai seorang pelajar terbaik pada hari bersejarah itu, Mohamad Nizam berkata, sikapnya yang suka bertanya pensyarah mengenai apa yang tidak difahaminya ketika di dalam kelas banyak membantu.

 “Pengurusan masa amat penting dalam kehidupan sebagai pelajar dan saya memanfaatkannya masa sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran walaupun kadang-kadang terpaksa tidur kurang lima jam sehari, ” kata anak pegawal keselamatan itu.

Anak kedua dari lima beradik yang bercita-cita menjadi ahli perniagaan itu, turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang perniagaan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Mohamad Nizam yang bekerja dan menetap di Yayasan Amanah Normaisara Perak mendapat dorongan mentornya di yayasan berkenaan, Dr. Fazilah Nordin supaya menyambung pengajian yang tertanggung di UCB.

Mohamad Nizam berkata, minat dan dorongan ibu bapa menyebabkannya memilih mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan.

''Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua terutama ibu bapa , pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberi dorongan dan sokongan,'' katanya.

Seramai 580 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing di Majlis Pemasyhuran Canselor & Konvokesyen Kali Pertama University College Bestari (UCB) yang berlangsung di TH Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Canselor baru UCB, Tan Sri Samsudin Osman menyempurnakan majlis penyampaian sijil dan diploma kepada graduan pada majlis berkenaan.

 

Jemaah Haji penerbangan terus pulang 6 November

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Seramai 1,389 jemaah haji dari Pantai Timur yang mengunakan penerbangan terus dari Madinah atau Jeddah dijangka tiba secara berperingkat-peringkat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), bermula 6 November ini.

Penerbangan kumpulan pertama membabitkan 278 jemaah dari tiga negeri, termasuk Kelantan dan Pahang dijangka tiba kira-kira jam 7.20 pagi pada hari tersebut dan penerbangan kumpulan terakhir pula pada 10 November.

Tahun ini merupakan tahun ke-6 jemaah haji menggunakan LTSM bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana hampir 13,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Urusan jemaah haji kali ini lebih istimewa kerana, sebelum berlepas 17 September lalu dapat dijalankan di TH Hotel & Convention Centre (THHCC), Gong Badak, Kuala Terengganu.

THHCC yang mula beroperasi empat bulan lalu nyata memudahkan urusan jemaah termasuk pemeriksaan kesihatan dan imigresen sebelum mereka berangkat.


MAIDAM buka empat lagi kelas SPAIT mulai Januari 2014

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan membuka empat lagi kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di seluruh negeri ini bermula Januari 2014.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Omar Pilus berkata, kelas SPAIT yang bermula sejak tahun 2011, merupakan satu daripada inisiatif MAIDAM dalam mendekatkan masyarakat dengan ilmu agama secara formal dan berstruktur.

"Kelas SPAIT ini ditawarkan untuk golongan masyarakat yang berusia 25 tahun ke atas dan diadakan dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

"Kurikulum pengajian adalah berasaskan tiga subjek utama iaitu Tauhid, Feqah dan Tasawuf, yang akan diajar mengikut tahap kelas pengajian," katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran kelas SPAIT Tahap Mutawwassit di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang baru-baru ini.

Menurutnya, kelas ini menawarkan tiga tahap persijilan iaitu persijilan ibtida''i iaitu peringkat permulaan, diikuti persijilan Mutawassit (pertengahan) dan persijilan Mutaqaddim (lanjutan).

Tempoh pembelajaran persijilan ibtida''i adalah selama 17 bulan, Mutawassit 22 bulan dan persijilan Mutaqaddim, 28 bulan.

Katanya, sehingga kini, pengajian agama tahap Ibtida''i telah dilaksanakan di tiga masjid iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu; Masjid Hadhari, Jertih Besut dan Masjid Geliga, Chukai, Kemaman.

Omar berkata MAIDAM turut memperuntukkan kira-kira RM700 juta setahun untuk program ini dan berharap ia dapat melahirkan individu muslim yang berilmu untuk generasi akan datang.



Comango cetus porak-peranda dalam negara


Oleh: Aida Abd Rahman

Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) yang dibarisi kelompok antikerajaan dan pro pembangkang merupakan kumpulan `minoriti dalam minoriti’ yang bertindak mewujudkan kekacauan dan menjejaskan keharmonian yang dikecapi negara sejak merdeka.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata hampir 70 peratus Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menganggotai Comango tidak berdaftar, sebahagiannya berdaftar di bawah Pendaftar Syarikat (ROC) dan sebahagian kecil lagi berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

 “Tetapi disebabkan mereka gambarkan kepada masyarakat dunia bahawa mereka mewakili suara Malaysia dengan gabungan yang sebegitu besar.

“Ini yang saya risau kerana mereka memberikan tanggapan yang negatif kepada masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, seolah-olah Malaysia ini menafikan hak majoriti, walhal kelompok yang dikatakan `minoriti dalam minoriti’ yang bersuara ini yang cuba mencetuskan sesuatu yang cuba memprorak-perandakan keharmonian yang selama ini kita capai dalam tempoh merdeka,” katanya di sidang media sempena Wacana Pemantapan Akidah 2013 (kristianisasi, liberalisme & syiah) peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut hadir , Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Sehubungan itu, Dr Asyraf berkata, Malaysia menghantar 20 wakil rasmi ke Mesyuarat Semakan Berkala Universal Mengenai Prestasi Hak Asasi Manusia (UNHRC), Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Switzerland bertujuan memberi pendedahan dan perspektif sebenar serta berbeza dengan apa yang cuba dituntut oleh Comango.

Katanya, anggota GabunganPertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) itu terpilih menerusi satu bengkel yang dilaksanakan sebulan lalu, ke Geneva bagi memberi penjelasan sebenar kepada isu yang dibawa oleh Comanggo yang cuba mewujudkan persepsi Kerajaan Malaysia tidak menghormati prinsip hak asasi manusia, selain meletakkan Islam dan agama lain di tahap yang tidak sama rata.

 “Selain itu isu syiah dan murtad yang diperbesar-besarkan (oleh Comango). Muslim UPRo ke sana menerusi pembiayai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yadim bagi menjelaskan amalan hak asasi negara kita di mana hak asasi negara kita tidak boleh lari dengan amalan dan tradisi negara yang berteraskan agama dan juga adat timur yang kita pertahankan selama ini.

“Malaysia antara negara yang paling banyak menerima persoalan kerana dalam sesi di Geneva itu setiap negara akan menyerahkan laporan. Sementara Comanggo akan menyerahkan tuntutan mereka dan menggambaran Malaysia ini melakukan pelbagai pencabulan hak asasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau belum mendapat gambaran jelas dari Muslim UPRo apakah negara luar bersedia menerima jawapan yang diberikan oleh wakil dari Malaysia itu.

Dalam pada itu, beliau berkata negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) amat menyokong prinsip yang didukung oleh Kerajaan Malaysia, tetapi negara barat yang banyak disogokkan dengan aspek liberalisme dan pluralisme, lebih cenderung mengatakan Malaysia sudah melakukan pencabulan hak asasi.

Menurutnya, sekiranya Comango terus diberi kebebasan bersuara dan memberi persepsi negatif terhadap Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa boleh menyebabkan negara ini akan ditekan secara berterusan di PBB, selain mampu mempertahankan kedudukan Islam mengikut perkara asas yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pada Khamis lalu, 54 NGO yang menganggotai Comango menghantar laporannya kepada PBB yang mengandungi tuntutan yang boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan menghakis kedaulatan dan kedudukan Islam dalam negara.

Antara tuntutan Comango adalah menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragamadengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keislaman seseorang itu.


Bajet 2014, bajet rakyat

Ahmad Said
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyifatkan Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri kelmarin, sebagai bajet rakyat.

“Langkah berani kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) itu tepat pada masanya.

 “Pembaharuan itu dilihat mampu memperkemaskan sistem percukaian yang sedia ada bagi mengelakkan cukai berganda kepada pengguna.

Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2014, kelmarin.
“GST sebenarnya tidak membebankan rakyat seperti yang didakwa pembangkang kerana tidak semua barangan yang dikenakan cukai. Cukai GST hanya enam peratus sahaja dikenakan kepada barangan terpilih,” katanya.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, rakyat sepatutnya bersyukur dengan bajet yang diumumkan itu walaupun subsidi gula dikurangkan sebanyak 0.34 sen.

“Bajet kali ini sememangnya menuju terus kepada golongan sasaran atau lebih tepat lagi sebagai bajet rakyat kerana hanya yang layak sahaja akan menerima,” katanya.

 

Terengganu sasar 35,000 pelajar khatam al-Quran menjelang 2015

Kerajaan Terengganu mensasarkan 35,000 pelajar KAFA akan khatam Quran menjelang 2015.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu mensasarkan kira-kira 35,000 pelajar Kelas Fardu Ain (KAFA) atau 50 peratus daripada keseluruhan pelajar di negeri ini akan khatam al-Quran menjelang 2015.

Dato' Seri Haji Ahmad Said
 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya yakin bilangan itu mampu dicapai kerana bilangan pelajar yang berjaya khatam meningkat hampir setIap tahun.

 Katanya, perkara itu dapat dibuktikan apabila seramai 20,133 pelajar dibawah seliaan Yayasan Terengganu (YT) itu berjaya khatam pada 2011, diikuti 21,610 pelajar (2012) dan 24,330 pelajar pada tahun ini.

“Peningkatan itu menunjukkan semangat dan kerjasama antara pelbagai pihak untuk bersama-sama melihat pelajar Terengganu cinta dan celik al-Quran.

 “Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sanggup mengeluarkan belanja besar iaitu hampir RM36 juta setahun untuk menjayakan perkara mulia ini.

“Apa yang dibelanjakan itu, termasuk bayaran kepada guru KAFA, imam, bilal dan pelbagai program mengimarahkan masjid,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, lebih 70,000 pelajar KAFA sedang mendalami ilmu al-Quran d membabitkan kira-kira 3,000 guru di seluruh negeri pada masa sekarang..

 “Program ini dijalankan di 410 premis membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), masjid, surau dan balai raya.

“Program KAFA berkonsepkan pendidikan agama peringkat rendah bagi menyokong dan memperkukuhkan pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

 “Pelajar diberi penekanan dan tumpuan kepada amali serta kemahiran membaca al-Quran mengikut tajwid dan fadru ain di samping kemahiran dalam penulisan dan pembacaan jawi,” katanya.

,

Bekas Ketua Setiausaha Negara dilantik Canselor pertama UCB

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih) 

Bekas Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman dilantik sebagai Canselor Kolej Teknologi Bestari (UCB) yang pertama, berkuatkuasa semalam, (26 Oktober).

Perlantikan itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Dato’ Dr Haji Tengku Mahmud Mansor pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen yang berlangsung di hadapan kira-kira 1,000 pelajar dan tetamu majlis itu.

Selain itu, UCB juga melantik bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Alimudin Mohd Don dan Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Wan Ismail Wan Yusoh sebagai Pro-Canselor.

UCB yang telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebelum ini dikenali sebagai Kolej Teknologi Bestari (KTB) seterusnya dinaik taraf menjadi kolej universiti pada Ogos 2012.

Sepanjang 15 tahun beroperasi, UCB telah melahirkan lebih 5,000 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat sijil dan diploma.

Dalam majlis ini, Tan Sri Samsudin sempat menyampaikan sijil dan diploma kepada 580 graduan yang tamat pengajian mereka.

 

Kolej Universiti Bestari ke arah universiti wakaf pertama

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Kolej Universiti Bestari (UCB) bakal menjadi universiti wakaf pertama di negara ini apabila sumber kewangannya dikutip daripada sumber wakaf bukan sahaja dalam negara, malah melibatkan umat Islam seluruh dunia.

Menurut Pengurusi Lembaga Pengelola UCB, Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansur, langkah pertama telah dimulakan dengan derma wakaf tanah di kampus tetap UCB seluas 320 ekar pada Disember 2010.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UCB Kali Pertama yang berlangsung di TH Hotel, semalam.

Turut hadir Canselor UCB, Tan Sri Samsudin Osman, Pro-Canselor UCB, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom dan Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh serta Naib Canselor UCB, Prof. Dr. Mustapha Ismail.

Seramai 580 graduan UCB telah menerima sijil dan diploma mereka pada majlis konvokosyen yang berlangsung meriah.

“Umat Islam boleh membeli satu lot tanah dengan harga RM30 satu kaki persegi di kaunter Pos Malaysia dan cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Malaysia.

“Hasil daripada pembelian ini akan diwakafkan kepada UCB dan diharapkan dapat membantu golongan miskin dan anak yatim yang tidak berpeluang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi”, katanya.

UCB yang terletak di Putera Jaya, Bandar Permaisuri sebelum ini dikenali sebagi Kolej Teknologi Bestari (KTB).

 

Lebih 1500 warga kerja TM sertai KASTEL 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 1500 warga kerja Telekom Malaysia (TM) dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berkampung di Terengganu bagi menyertai ‘Karnival Sukan TM 2013’ (KASTEL 2013) bermula 24 hingga 27 Oktober.
Pengerusi TM, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie berkata, penganjuran KASTEL masuk tahun ke-7 bertujuan menghimpun dan mengeratkan hubungan sesama anggota TM dari seluruh negara.

“KASTEL 2013 memberi peluang kepada warga kerja TM berjumpa sahabat dan rakan sekerja sekali gus menyemarakkan semangat 1TM.

“Karnival sukan ini juga merupakan medan mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua anggota TM ke arah melahirkan tenaga kerja yang sihat dan aktif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian KASTEL 2013 di Dataran Batu Burok, malam kelmarin.

Majlis perasmian KASTEL 2013 telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman; Pengurus Besar Negeri TM Terengganu, Tuan Haji Hamidun Ismail serta Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) , Encik Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Tambah beliau, setiap tahun Kelab TM negeri akan menjadi tuan rumah bagi KASTEL secara bergilir-gilir dan pada tahun lepas telah diadakan di Melaka.

Katanya, selari dengan TMT 2013, penganjuran KASTEL di Terengganu sungguh istimewa kerana membuka peluang kepada warga kerja TM menikmati keindahan negeri yang penuh dengan kepelbagaian budaya ini.

Bertemakan ‘Terengganu... Negeri Cantik, Budaya Menarik', KASTEL 2013 menyaksikan penyertaan 15 kontijen yang mewakili anggota TM dari semua negeri bersaing dalam sembilan acara sukan.

Antaranya, bola sepak, hoki, ping pong, bola tampar, badminton, dart, sepak takraw, bola jaring dan ‘Larian Pantai Batu Burok’.