Halaman

17 November 2013

TIIAF medan martabat kembali tulisan jawi sebagai kesenian Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) menjadi medium yang mampu memartabat dan memperkasakan kembali tulisan jawi sebagai satu kesenian Islam itu sendiri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Menerusi TIIAF kegemilangan tulisan khat cuba dimasyhurkan semula di mana penulisannya tidak hanya pada kertas, malah pelbagai medium lain turut diolah dan digunapakai seperti kanvas, kayu, serta logam.

“Pengamal seni warisan Islam merupakan golongan yang amat tinggi kefahaman nilai seni, selain kehalusan dan dapat menzahirkan kefahaman menerusi kaligrafi yang sangat indah,” katanya ketika berucap di majlis Penutup TIIAF 2013, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, hasil kerja tangan mereka ini amat unik dan tidak mudah diciplak kerana merupakan satu `signature’ yang hanya dimiliki oleh pengamal kaligrafi itu.

Selain itu, meneroka potensi perkembangan fesyen terkini menerusi ciptaan batikhat iaitu, corak batik yang bermotifkan khat merupakan satu inovasi dalam rekaan corak batik.

 “Batikhat boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana kerana batik sangat sinonim dengan negeri Terengganu serta pemakaian batik sudah diterima di peringkat dunia.

Dato' Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan seni khat berkenaan.



Seramai 502 peserta tempatan dan juga antarabangsa menyertai pertandingan itu yang terbahagi kepada beberapa ketgori termasuk karya siap (kebangsaan), karya siap (antarabangsa) dan pertandingan spontan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM100,000.







Jalan utama Kemaman-Kuala Terengganu empat lorong menjelang 2018

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memastikan jalan utama melalui pantai yang menghubungkan Kemaman ke Kuala Terengganu dinaiktaraf menjadi empat lorong menjelang 2018.

Kerja menaiktaraf jalan yang sedang giat dilaksanakan mengikut beberapa fasa sejak beberapa tahun lalu bermula dari Dungun hingga Kemaman, kini menelan belanja sekitar RM80 juta dan akan diteruskan lagi dengan peruntukan kira-kira RM40 juta.

 “Kita sedang menaik taraf jalan kepada empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat. Selepas sahaja jambatan Bukit Kuang siap, Insya-Allah tahun depan pada Mac atau April, tender akan dikeluarkan untuk projek naik taraf jalan bermula dari Bukit Kuang, Kijal hingga persimpangan lampu isyarat Bukit Anak Dara.

“Selain itu, kerja naik taraf sekarang sedang berjalan antaranya dari Bandar Baru Kijal hingga simpang Bandar Baru Kijal, dari simpang Bandar Baru Kijal ke Resort World Kijal (RWK) serta dari Mesra Mall hingga ke lampu isyarat Kemasik. Projek itu sepatutnya sudah siap tetapi mengalami kelewatan sedikit akibat masalah pemaju”, katanya kepada pemberita di program Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2013 di Mini Stadium, Kerteh, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebaik sahaja projek menaiktaraf jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu siap,fasa seterusnya akan bersambung pula dari Kuala Terengganu hingga ke Besut.

Katanya, projek menaiktaraf jalan itu juga melibatkan laluan maut di Bukit Bauk, Dungun yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan laluan itu lebih selamat dan lancar. Menurutnya, pada tahun depan juga, jalan dari RWK hingga kawasan persimpangan lampu isyarat Kemasik turut akan dilebarkan menjadi empat lorong.

“Projek naik taraf jalan di Kemaman ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi dan apabila siap dari Kemaman terus ke Paka, Dungun akan menjadi empat lorong.

“Di Dungun, projek melebarkan jalan menjadi empat lorong itu telah siap dari Rantau Abang hingga ke Kampung Kolam dan dalam tempoh sebulan lagi, kerja-kerja menambun tanah akan dilakukan dari Kampung Kolam itu hingga kira-kira 200 meter daripada jambatan Sungai Merchang (Marang) sehingga selesai jalan utama di Marang.,” katanya.


MPK B muncul juara pertandingan asyura

Oleh: Aida Abd Rahman

Walaupun hanya sekadar mencuba dan langsung tidak merujuk kepada pakar masakan bagi menyiapkan bubur asyura, tetap memberi kelebihan kepada pasukan Perbandaran Kemaman (MPK) B untuk muncul juara pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman Tahun 1435H/2013 di Mini Stadium Kerteh, Kemaman, semalam.



Pertandingan anjuran Pejabat Tanah dan Daerah Kemaman melibatkan 191 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 peserta, melayakkan kumpulan yang diketuai Haji Mohd Razali Sulong yang juga Ketua Pembantu Penilaian MPK itu membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM3,000 beserta sijil.

“Gembira dan sangat terkejut dengan kemenangan tempat pertama sebab kami menyediakan satu kawah, kira-kira lima kilogram asyura ini dengan hanya menggabungkan kemahiran masing-masing, tanpa merujuk pakar masakan itu.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama dan adunan ramuan yang menggunakan dua perisa, ayam dan ikan akhirnya dua penyertaan yang sebelum ini gagal membawa sebarang hadiah, akhirnya berpihak kepada kami,” kata Haji Mohd Rozali.

Manakala tempat kedua, Jawatanbkuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung Bukit Kukuran (RM2,000 dan sijil) serta tempat ketiga, Persatuan Penjaja B (RM1,000 dan sijil).

Menteri Besar, Dato’ Seri Hai Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menyaksikan setiap kumpulan menyiapkan hidangan itu yang bermula sejak jam 7 pagi dan berakhir empat jam kemudian, sebelum diadili oleh panel hakim.



Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman; Ketua Wanita Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha. Menteri Besar kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu.











Ikrar Pemuda UMNO Setiu.

IKRAR..Selepas sebulan pemilihan pemuda UMNO Bahagian Setiu, barisan Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Setiu yang baru dilantik melafazkan ikrar taat setia kepada parti dan pemimpin mereka pada mesyuarat pertama jawatankuasa sayap UMNO itu, di Bandar Permaisuri, Setiu, baru-baru ini.

Dengan lafaz ikrar itu, bermulalah tugas AJK UMNO bersama Ketua dan Naib Ketua mereka dalam memperjuangkan UMNO di daerah Setiu terutamanya dalam melaksankan tugas kepartian serta membantu membangunkan daerah Setiu dan kesejahteraan penduduknya.

Jawatankuasa Pemuda UMNO Setiu.
Sebelum itu, ketika berucap selepas disahkan sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian pada Mesyuarat Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, di Putera Jaya, tidak lama dulu, Ketuanya, Mohd Iskandar Jaafar dengan penuh semangat dan iltizam berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan ikhlas.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan amat berterima kasih kepada semua perwakilan pemuda UMNO hari ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin pergerakan ini. 

“Memikul amanah ini adalah satu perkara yang berat tapi saya akan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

“Saya mahu kesemua yang menjadi calon Naib Ketua Pemuda dan AJK pemuda, samada yang kalah atau menang, bersama-sama saya kita terus bangunkan UMNO di Setiu ini.” katanya-oleh: Aminudin Ismail.

 

Pelbagai program pelancongan diatur pada musim tengkujuh

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyusun pelbagai pendekatan sebagai usaha memastikan kedatangan pelancong ke Terengganu tidak terjejas pada musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata pihaknya berusaha melaksanakan aktiviti serta program yang mampu memikat kehadiran pelawat tempatan dan luar negara ketika monsun bermula September hingga Mac melanda negeri-negeri Pantai Timur, termasuk Terengganu.

Antara program yang dilaksanakan termasuk penganjuran pelbagai aktiviti program bertaraf dunia seperti International Islamic Art Festival, di Taman Tamadun Islam (TTI)(15 -17 November); Kejohanan Piala Monsun 2013 (25-30 Disember) dan Terengganu IInternational Rainforest Challenge (RFC)2014 (30 November – 9 Disember).

Selain itu, Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Marin Pelancongan Terengganu, Hotel Primula Beach Resort (18-19 November) dan Kejohanan Hoki Kebangsaan (18 hingga 27 November).

“RFC merupakan acara terbesar antarabangsa menghimpunkan peserta lebih dari 30 buah negara yang bakal berdepan penjelajahan yang mencabar.

“Kejohanan Piala Monsun yang menjadi sukan pelayaran berprestij dunia itu pula bakal menobatkan juara `world match racing tour’ yang akan berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang pastinya akan menggamit kebanjiran pelancong ke Kuala Terengganu,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, pelancong yang berkunjung ke Terengganu bukan sahaja disajikan dengan pellbagai program pelancongan, malah boleh melawat destinasi dan produk pelancongan yang menarik seperti TTI, Muzium Negeri, Pasar Besar Kedai Payang, Tasik Kenyir, Pulau Warisan dan sebagainya.

 “Malah, jika pada musim tengkujuh kesemua pulau ditutup, destinasi pelancongan lain seperti Rantau Abang, Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pusat kraftangan dan pelbagai destinasi menarik di negeri ini  masih boleh dilawati.

“Kita juga turut memperkenal dan membawa media cetak, elektronik serta blogger ke Terengganu untuk melawat produk pelancongan negeri sempena musim hujan ini” katanya.


Peserta khatan gembira namun gementar

Oleh: Aida Abd Rahman


Perasaan teruja dan gementar dirasai kebanyakan 197 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang menyertai majlis khatan beramai-ramai di Dewan Nelayan, Kampung Tengah, Kijal, Kemaman, hari ini.

Seorang peserta, Zaim Zuraimi, 9, dari Kampung Jong Belaboh, Kijal, berkata dia berasa sangat gembira dapat menyertai majlis itu bersama rakan-rakan sebaya yang lain, apatah lagi turut berpeluang menemui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Gembira tapi pada masa yang sama takut pun ada. Risau juga kalau sakit semasa khatan nanti, tetapi saya tetap bersemangat sebab ayah saya setia menemani saya sepanjang acara ini.

“Rasa bertuah juga sebab bukan semua rakan sebaya dapat melalui acara ini dengan percuma dalam suasana meriah, selain itu dapat pula wang saku RM30,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara.

Seorang lagi peserta, Mohamad Hafizuddin Ramli, 10, dari SK Kijal, pula bersemangat dan rasa bertuah selepas memperolehi RM30 dari Menteri Besar dan juga pemimpin yang sudi mengulurkan sumbangan itu.

“Kami bukan sahaja berkhatan dengan percuma, malah dapat pula duit sumbangan untuk perbelanjaan harian nanti.

“Saya tidak takut sebab ramai yang akan berkhatan bersama-sama saya hari ini. Lagipun, ayah dan abang pun memberitahu acara berkhatan ini tidak menyakitkan pun, kalau sakit pun hanya seminit dua,” katanya.



Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menabur beras kunyit dan air mawar serta menyuap pulut kuning kepada peserta sebagai simbolik perasmian sempena Majlis Program Berkhatan Beramai-ramai dan Majlis Kesyukuran, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Kijal.



Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha dan Pengerusi PDM Kijal, Encik Ahmad Tarmizi Johar.












16 November 2013

Pameran TIIAF mampu kembangkan seni khat Islam

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Sekiranya Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) dapat diketengahkan menjadi medan seni khat dan dianjurkan secara konsisten saban tahun, saya yakin Malaysia berpotensi melahirkan pakar-pakar seni khat bertaraf dunia,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Dato' Seri Jamil Khir Baharom memalu geduk gimik perasmian Terengganu International Islamic Arts Festival di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Menurut beliau, dengan adanya ruang pameran yang sebegini secara tidak langsung, anak-anak yang mempelajari seni khat di sekolah dapat menjadikannya sebagai medan dan ruang untuk menonjolkan bakat mereka.

Melihat hasil khat yang dihasilkan peserta jemputan dari luar negara.
“Di peringkat sekolah, para pelajar telah diperkenalkan dengan penulisan khat dan pameran ini mampu menjadi platform terbaik untuk mereka mencurahkan idea masing-masing.

“Begitu juga penggiat seni khat di Malaysia, mereka mempunyai potensi dan kepakaran dalam penulisan khat, cuma tiada ruang untuk mempamerkan kebolehan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.


Katanya, Terengganu mempunyai kemudahan bertaraf dunia dalam penganjuran pameran ini dan beliau mencadangkan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan agar TIAFF menjadi medan seni khat sekali gus mampu melahirkan penggiat seni khat bertaraf dunia dari negara ini.

Mengulas mengenai festival seni khat bertaraf antarabangsa itu beliau berkata, kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengembangkan seni khat Islam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan pihak penganjur. Sebenarnya, seni khat Islam itu begitu luas dan begitu besar peranannya sehingga pakar-pakar khat terkenal termasuk daripada Mesir, Iran serta Turki sudi hadir memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman mereka.

"Malah, penganjur bersama pameran ini iaitu Research Institute of Islamic History Art and Cultur (IRCICA) mempamerkan kesungguhan yang begitu tinggi mengumpulkan penggiat-penggiat seni khat di seluruh dunia untuk bersama pada festival kali ini,” katanya.

Tambah beliau, festival ini bukan sahaja mempamerkan lambang kesenian Islam sekali gus melebarkan lagi ruang ekonomi yang boleh dikembangkan melalui penulisan seni khat.

Katanya, pengunjung TIIAF 2013 yang kali ketiga dianjurkan melangkaui bangsa dan juga agama menunjukkan satu perkembangan yang positif kerana penulisan seni khat tidak terbatas kepada orang Islam sahaja.

“Mungkin banyak dilihat penulisan khat ditulis menggunakan ayat-ayat al-Quran, tetapi terdapat juga tulisan-tulisan jawi bukan ayat al-Quran yang boleh ditulis dalam bentuk khat sekali gus dapat mengembangkan lagi jawi dalam konteks penulisan,” ujarnya.




209 sertai majlis berkhatan dan bertindik beramai-ramai


Idris memandikan peserta menggunakan penyedok tempurung

Oleh: Mohammad Ishak 

Sudah menjadi kelaziman setiap kali musim citi persekolahan pelbaga aktiviti dilakuikan pihak tertentu bagi mengisi masa lapang pelajar yang bercuti panjang.

Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Terengganu menganjurkan majlis berkhatan dan bertindik beramai-ramai.

Seramai 20 peserta termasuk 129 menyertai majlis khatan dan 80 bertindik yang diadakan dengan penuh adat tradisional sebagai simbolik program.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh,yang juga Ahli Parlimen Besut, merasmikan majlis itu serta menyuap pulut semangat dan memandikan peserta dengan menggunakan dayung tempurong yang dicedok dari tempayam.

Sebelum itu, dua pasangan peserta lelaki dan perempuan diarak dengan menggunakan pengusung khas sejauh 100 meter dari Balai Belia Kampung Raja ke Balai Budaya Majlis Kebudayaan Daerah Besut, Kampung Raja.

Yang Dipertua, MKDB Rozali Embong berkata, program tahunan itu bertujuan mengembalikan budaya tradisional Melayu yang sudah lama ditinggalkan generasi sekarang.

Katanya, semua peserta akan berkhatan di Hospital Besut dan acara berkenaan hanya sebagai simbolik program.

Idris ketika merasmikan program itu memuji usaha yang dilakukan pihak penganjur kerana berusaha mengembalikan semula adat tradisi silam yang kini jarang diperlihatkan oleh generasi muda.

Petang Jumaat di Pantai 'Airport'.

Damai...pemandangan indah Pantai Teluk Ketapang.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang (PTK) atau lebih popular di kalangan penduduk tempatan sebagai 'Pantai Airport' anda akan terpikat dengan keindahan suasana di kawasan itu terutamanya pada hari Jumaat kerana pelbagai kegiatan dilakukan oleh pengunjung. 

Selain datang untuk menikmati keindahan pantai, pengunjung juga berpeluang menjengah ke sebuah Pasar Malam yang diadakan di berhampiran pantai itu dengan memilih pelbagai jenis barangan dan makanan untuk dibawa pulang.

Jamu..kedai makanan laut disediakan.
Di Pantai Teluk Ketapang juga, orang ramai boleh memilih beberapa kedai makanan laut untuk menjamu selera terutamannya untuk menikmati makanan seperti ikan goreng, sotong goreng, pisang goreng dan air kelapa muda.

Bagi yang mahu bersantai, pantainya yang landai dan putih bersih sesuai untuk beristirehat sambil melihat pemandangan indah Laut China Selatan yang terdapat beberapa pulau yang jelas kelihatan, antaranya ialah Pulau Kapas dan Pulau Bidong.

Dari jauh juga, pengunjung dapat melihat bandar Kuala Terengganu iaitu beberapa bangunan tinggi yang terletak di tepi muara sungai Terengganu.

Jual..Pasar malam setiap petang jumaat.
Pantai yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud itu juga menyediakan khidmat menaiki kuda padi dan jualan layang-layang khususnya untuk kanak-kanak.

Di Pantai ini juga sering diadakan pelbagai aktiviti dan sambutan hari Keluarga dari agensi kerajaan dan swasta.

Pada petang Jumaat, pantai ini bukan sahaja dikunjungi penduduk berhampiran malah penduduk dari daerah-daerah lain yang berhampiran Kuala Terengganu juga turut hadir untuk menikmati keindahannya selain pelancong asing.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar pada petang Jumaat di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu:-
Saujana..suasana petang di PTK
Berhati-hati..kanak-kanak bermain air di gigi pantai.
Rimbun..pohon ru mengindahkan suasana.
Santai..sekumpulan anak muda bersantai di pantai.
Bersih..bilik solat dan tandas awam disediakan.
Menarik...layang-layang turut dijual.
Penuh...kenderaan penuh di kiri kanan jalan.
Jauh..beberapa bangunan bandar Kuala Terengganu dapat dilihat.

 

Jamuan Kesyukuran dan Solat Hajat Di Rumah Dato' Mohd Jidin.

Erat...Mohd Jidin bersama sebahagian jemputan yang hadir.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Kira-kira 200 hadir pada Jamuan Kesyukuran dan Solat Hajat yang diadakan di rumah Ahli Dewan Undangan (Adun) Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee, di Kampung Banggol, dekat sini, semalam.

Majlis yang bermula selepas solat Jumaat itu dimulai dengan solat hajat dan tahlil oleh beberapa jemaah masjid Kampung Banggol serta beberapa tetamu jemputan.

Hadir...Che Zulkifly (tengah) dan Azmi Nazir turut hadir.
Kemudian tetamu yang kebanyakan terdiri daripada jemaaah solat jumaat Masjid Kampung Banggol itu dihidangkan dengan jamuan makan tengahari.

"Majlis ini biasa dilakukan oleh Dato' di kampung ini dan ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk Kampung Banggol serta solat hajat dan tahlil diadakan untuk kesejahteraan seluruh penduduk di daerah Setiu ini," kata seorang penduduk.

Antara tetamu jemputan yang hadir ialah Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh, Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Azmi Nazir dan beberapa Pengerusi Jawatankuasa Kampung (JKK) sekitar Kampung Banggol.
Bincang...Mohd Jidin (kiri) berbincang sesuatu dengan seorang jemputan.
Jamu...sebahagian tetamu yang hadir.