Halaman

05 December 2013

Banjir: Ladang Sentosa terputus hubungan.

Kandas..sebuah kenderaan tidak dapat memasuki Ladang Sentosa.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

FELDA BELARA: Kira-kira 38 keluarga termasuk tiga keluarga kakitangan Ladang Sentosa, dekat sini terputus hubungan apabila kedua-dua jalan yang menghubungkan kampung mereka dari luar dinaiki air sedalam kira-kira satu meter sejak petang semalam.

Tinjauan Teganukita pagi ini mendapati, di kilometer 0.5 jalan dari luar ke perkampungan ladang di bawah kelolaan Ladang Fikri dan milik TDM Berhad itu mendapati paras air masih bertahan.

Pengurus Ladang Fikri, Mohd Fauzi Mahamud, berkata kesemua yang tinggal di ladang itu ialah pekerja ladang dan kakitangan ladang Fikri Sentosa termasuklah seorang pegawai.

Mohd Fauzi..Pengurus Ladang Fikri.
"Semua yang tinggal di situ sudah tidak dapat keluar masuk sejak enam petang semalam lagi. Terdapat dua jalan yang menghubungkan ladang itu dengan luar iaitu Jalan keluar ke Jalan Kuala Terengganu ke Kota Baharu berhampiran kilang bata manakala satu lagi ialah yang keluar melalui Kampung Las ke Manir.

"Kedua-dua jalan itu tidak dapat dilalui dan segala bentuk bantuan dihantar dengan menaiki bot. Biasanya keadaan air di atas jalan itu memakan masa beberapa hari walaupun hujan sudah berhenti," katanya.

Mohd Fauzi menasihati kakitangannya dan buruh ladang yang tinggal di kawasan itu supaya bersabar dan sehingga kini bantuan makanan dan keperluan lain sudahpun dihantar JKM, katanya.

 

Banjir: MB Terengganu Utamakan Keselamatan Dan Kebajikan Rakyat

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said bertolak balik ke Kemaman pagi ini untuk bersama rakyat dan melawat kawasan banjir di sekitar daerah Kemaman, lapor Ruslan Abdul Rahman.


Beliau berada di Kuala Lumpur menyertai Perhimpunan Agung UMNO. Beliau dijangka ke Seberang Tayor terlebih dahulu pagi ini.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu dijadualkan akan berangkat jam 11.00 pagi ke Daerah Kemaman bagi melawat kawasan banjir dan bertemu rakyat Baginda yang terbabit dengan banjir.

Daerah Kemaman adalah di antara daerah yang paling teruk dilanda banjir sejak tiga hari yang lalu.

Suasana banjir yang dirakam di Kemaman, bandar Chukai dan sekitarnya:









Terkini Banjir Di Setiu: Mangsa pindah berpuashati.

Sebahagian mangsa pindah bergambar di Tadika Desa Jaya.
Teks dan Gambar Aminudin Ismail.

SUNGAI TONG: Kira-kira 80 penduduk dari Kampung Desa Jaya dan Kampung Paloh Licong, di sini yang berpindah ke Tadika Desa Jaya akibat banjir melanda kampung mereka, berpuashati dengan segala peruntukan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dearah Setiu. 

Rata-rata mangsa pindah yang ditemui di pusat perpindahan itu pagi ini, tidak mempunyai masalah mengenai keperluan barangan dan makanan yang disedikan JKM.

Seorang mangsa pindah, Dzaidiah Abdullah, 56, dari Kampung Paloh Licong, berkata dia yang pindah bersama lima ahli keluarganya kira-kira jam 8 malam semalam berterima kasih kepada JKM dan kerajaan kerana memberi peruntukan keperluan mangsa banjir yang mencukupi.

"Sampai di sini kira-kira pukul 8 malam semalam. Sampai tu semua sudah tersedia, Mak Cik hanya bawa bekalan pakaian keluarga sahaja. Tikar Bantal, berus gigi, sabun mandi dan barangan makanan semua sudah ada malah pada malam itu juga kami semua diberi nasi bungkus. Terima kasihlah pada JKM," katanya.

Seorang lagi mangsa pindah, Zah Awang Cik dari Kampung Paloh Licong berkata, dia dan semua yang berpindah dapat tidur lena pada malam itu walaupun tidak sebagaimana tidur di rumah. "

"Semua ok belaka, makan dan keperluan lain mencukupi. Tidurpun lena belaka. Terima kasihlah kepada Pejabat Kebajikan (JKM) dan kerajaan Malaysia atas segala bantuan ini," katanya yang berpindah bersama seorang lagi anaknya kira-kira jam enam petang kelmarin.

Berikutan keadaan cuaca sekarang di mana hujan sudahpun berhenti ketika ini, berkemungkinan mangsa-mangsa pindah ini boleh pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Bertahan..keadaan air di sebatang jalan di Bukit Nenas.
Sementara itu, tinjauan Teganukita di beberapa kampung sekitar Langkap, mendapati ada beberapa kampung yang airnya bertahan selepas naik malam semalam.

Terdapat beberapa kawasan yang menunjukan penurunan paras air termasuklah Kampung Sungai Bari yang sudahpun surut sepenuhnya.

Bagaimanpun, Jalan utama ke Kampung Bukit, Pak Ba dan ke Pelong di Kampung Pengkalan Merbau masih belum boleh dilalui kenderaan.

 

04 December 2013

Terkini banjir di Setiu (4/12/13): 26 keluarga berpindah.

ASYIK..sekumpulan remaja sedang asyik bermain air yang melintasi sebatang jalan di Kampung Sungai Bari, Langkap, Setiu petang tadi.

Air mulai naik di kampung itu kira-kira pukul 1 tengahari tadi dan sehingga lewat petang ini ia semakin surut sedikit. Bagaimanapun, hujan lebat mulai turun di kawasan Langkap lewat petang ini yang boleh membawa kenaikan semula paras air pada malam nanti.

Sementara itu, Tinjauan Teganukita di beberapa kampung di daerah Setiu petang tadi mendapati keadaan banjir tidak banyak berubah bagaimanapun pada petang tadi ada beberapa kawasan rendah mula dinaiki air antaranya di Kampung Buluh, Kampung Tasek dan Gong Terap tetapi tidak membimbangkan kerana ia naik secara perlahan-perlahan.

Beberapa jalan kampung yang ditutup akibat banjir pagi tadi, masih belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan antaranya ialah Jalan Kampung Buluh-Kampung Besut dan Jalan Sungai Tong Pelong melalui Pengkalan Merbau manakala jalan utama ke Kampung Bukit dan Pak Ba juga belum boleh dilalui sehingga lewat petang tadi.

Manakala jalan-jalan utama di daerah ini termasuklah jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu yang melalui Bandar Permaisuri masih boleh dilalui semua kenderaan.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu ketika dihubungi memberitahu sehingga jam 6 petang tadi, sebuah pusat pemindahan di buka di Setiu iaitu di Tadika Taman Desa Jaya, Sungai Tong iaitu seramai 26 keluarga berpindah ke situ.

Antara yang terbabit dengan perpindahan banjir itu ialah penduduk dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya.- oleh: Aminudin Ismail.

 

Daerah Besut belum dilanda banjir


Penempatan rumah PPRT di Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Daerah Besut belum dilanda banjir seteruk Kemaman dan Kuala Berang dan penduduk masih menjalankan urusan seperti biasa walaupun hujan tidak berhenti-henti sejak empat hari lalu.

Sehingga jam 6.00 petang ini semua jalan utama menghubungi Bandar Jertih dengan kawasan lain masih boleh dilalui seperti biasa.

Tinjuan mendapati paras air Sungai Besut belum melimpah dan penduduk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.

Bagaimanapun, penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampunh Pengkalan Atap, Kuala Besut, dalam keadaan berja-jaga berikutan kemungkinan berlakunya ombak besar melanda penempatan berkenaan.

Penduduk, Abdul Rahman Mohamad,74, berkata penduduk berjaga malam sejak Ahad lalu kerana khuatir air pasang dan ombak memukul tebing pantai di situ pada waktu malam.

Katanya, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama penduduk memantau pada setiap malam bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Besut (PDB) juga sudah mengambil tindakan menimbus pasir untuk dijadikan banteng bagi mengelak air masuk ke rumah penduduk.

FRIM anjur bengkel teknologi rekabentuk inovatif

Oleh: Noraini Jusoh

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan Bengkel Teknologi Penghasilan Rekabentuk Inovatif Secara Bersepadu di negeri ini selama dua hari bermula 3 Disember.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknikal FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah berkata, bengkel itu bertujuan mengumpul pakar-pakar dari FRIM dan agensi lain bagi bekerjasama dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman terutama dalam bidang berasaskan inovasi dan kreativiti.

“Ia juga salah satu usaha FRIM untuk mempromosi rekabentuk kreatif dan inovasi khususnya dalam penghasilan kerja-kerja penyelidikan, pengurusan, pendidikan, senibina, hiasan dalaman, lanskap, periklanan, penerbitan, percetakan, teknologi maklumat dan lain-lain secara bersepadu.

“Sebanyak 19 kertas kerja telah dibentangkan oleh 19 penceramah termasuk pakar, penyelidik, ahli akademik serta wakil-wakil universiti, agensi dan badan berkanun mengenai pelbagai topik yang menarik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup bengkel berkenaan, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Dr Khali, seramai 80 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan, universiti dan badan korporat menyertai bengkel yang julung kali diadakan itu.

Tambah beliau, kepelbagaian sejarah serta budaya termasuk kaya dengan seni ukuran, senibina, seni kraftangan tradisional Melayu menjadi sebab utama Terengganu dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran bengkel yang bakal dijadikan program tahunan oleh FRIM selepas ini.

Katanya, penganjuran bengkel terbabit telah mendapat kerjasama yang cukup baik dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta termasuk jabatan dan agensi kerajan yang lain, syarikat swasta dan korporat di negeri ini.

 

Ibu tunggal, JKKK Kubang Parit gotong-royong memasak asyura

Datuk Mohd Sabri Alwi meletakkan
bubur asyura ke dalam bekas sebelum
diagihkan kepada penduduk.
Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kubang Parit menganjurkan Majlis Gotong-Royong Memasak Asyura, di perkarangan Balai Raya Kubang Parit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 40 ibu tunggal dari DUN itu dengan dibantu 100 penduduk kampung berkerjasama memasak enam kawah bubur asyura bermula jam 8 pagi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi yang turut menyertai beberapa penduduk kampung menyiapkan masakan itu, sebelum diagihkan kepada lebih 500 penduduk sekitar.

Hadir sama, Pengerusi JKKK, Encik Ruslee Bidi dan pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Terengganu, Puan Saidah Salleh.

Datuk Mohd Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada dua pelajar cemerlang dari kampung berkenaan yang memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang lalu.

Menurut Encik Ruslee berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang sentiasa memberi sokongan dalam setiap program kemasyarakatan yang dilaksanakan di kampung itu walaupun mempunyai jadual aktiviti yang padat.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Malah kita jug amat berterima kasih dengan kesudian Persatuan Ibu Tunggal DUN sebagai penaja utama majlis berkenaan yang memilih kampung kami sebagai lokasi majlis.

“Program memasak asyura yang menelan belanja RM2,500 ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan, malah juga memberi peluang kepada semua untuk saling berkongsi kenikmatan bulan Muharam yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan kebaikan kepada umat Islam,” katanya.


7,500 pengguna Satu mengalami gangguan bekalan Air

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 7,500 pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu), di beberapa daerah negeri ini, mula mengalami gangguan bekalan air, mulai awal pagi tadi, disebabkan rumah pam di kawasan yang dilanda banjir tidak mampu beroperasi.

Kawasan Cheneh, Ceruk, Felda Neram, Kampung (Kg) Air Putih, Kg Bandi Kemaman dilaporkan paling ramai terlibat iaitu 5,100 pengguna. Gangguan itu berpunca rumah pam di Loji Rawatan Air Cerul, Kemaman di tenggelami air dan bekalan elektrik terpaksa di potong.

Manakala Kg Tapu dan Kg Pantai Ali, Hulu Terengganu pula mencatat bilangan 1,400 pengguna. Bekalan air terputus berikutan paip retikulasi rosak teruk akibat berlakunya kejadian tanah runtuh di Kg Kuala Kejil di daerah sama

 Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata pihaknya turut dimaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong elektrik di kawasan Sungai Pinang, Setiu.


 “Langkah itu terpaksa dilakukan kerana `sub station’ TNB kini di tenggelami air. Oleh itu, pihak kami terpaksa memberhentikan operasi `intake’ air sungai buat sementara waktu.

 “Rumah pam air mentah di Loji Rawatan Air Jerangau turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan kerja-kerja pembaikian sedang dijalankan oleh pihak berkaitan.

“Paras air Sungai Tepus, Bukit Besi, Dungun juga sudah melebihi paras berjaga-jaga dan didapati sudah memasuki kawasan loji rawatan di kawasan itu, operasi loji ini terpaksa diberhentikan jika paras air terus naik,” katanya.

Menurutnya, Satu juga sedang memantau paras air di semua loji rawatan air, rumah pam dan semua pepasangan paip Satu .

 “Kita akan menghantar bekalan air tangki bagi kawasan-kawasan yang mengalamai gangguan bekalan air terutama di pusat-pusat permindahan banjir.

“Dalam situasi seperti ini, pihak Satu berharap pengguna dapat bersabar dan kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi meminima dan mengatasi masalah gangguan bekalan air.

“Pengguna juga dinasihatkan memnggunakan air secara berhemah. Jika masalah ini berterusan boleh menghubungi Pusat Aduan Satu di talian 1300 882 111,” katanya.

 

Terkini Banjir Di Setiu (4/12/13) / empat jalan ditutup.

Dalam..Jalan Kampung Buluh-Hulu Seladang di Kampung Besut, 10 pagi tadi.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sebanyak empat batang jalan kampung di daerah ini dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 hingga 1 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan sehingga tengahari tadi.

Tinjauan Teganukita pagi tadi mendapati, jalan-jalan itu ialah Jalan Kampung Buluh- Hulu Seladang iaitu di Kampung Besut, Jalan Sungai Tong-Pelong di Kampung Pengkalan Merbau, Jalan Bukit Nenas ke Kampung Pak Ba di Kampung Fikri dan Jalan Bukit Nenas ke Kampung Bukit di kilometer 0.5.

Tutup..Jalan Bukit Nenas-Pak Ba, pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, semua jalan-jalan itu boleh dilalui dengan mengunakan jalan alternatif melainkan jalan Kampung Buluh ke Kampung Besut yang menyebabkan kira-kira 400 penduduk di Kampung Besut dan Hulu Seladang terputus hubungan.

Jalan-jalan utama lain masih boleh dilalui semua kenderaan, termasuklah Jalan Bandar Permaisuri ke Penarik dan Jalan Chalok Kedai ke Telaga Papan.

Bagaimanapun, air di Kampung Buruk dan Kampung Tasek sehingga tengahari tadi sedang naik.

Sehingga kini (jam 12 tengahari), menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Setiu, pusat pemindahan banjir belum dibuka dan tiada penduduk yang diarah berpindah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh mengingatkan penduduk supaya memerhati pergerakan anak-anak kecil mereka sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Tidak nampak..Jalan Bukit Nenas-Kampung Bukit, jam 9 pagi.
Limpah..Sungai Setiu melimpah di Tasek, jam11 pagi.
Main air..kanak-kanak bermain air di atas jalan di Kg.Besut.
Bersih..Mohd Amar membersih kawasan rumah di landa banjir di Kg.Besut.
Kandas..kenderaan terkandas untuk ke Kampung Besut.
Naik..kawasan sebuah rumah di Bukit Nenas sedang dinaiki air,
Penuh..sebuah ladang di Sungai Tong dipenuhi air.
Limpah..keadaan banjir di Pengkalan Merbau(3 petang)
Pacak..seorang pemuda sedang memacak penanda aras banjir di Ladang Fikri.
Rezki banjir...seorang penduduk sedang menahan pukat di Ladang Fikri.

 

4,437 mangsa di 57 pusat pemindahan di tiga daerah

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Nurul Aziela

Jumlah mangsa yang dipindahkan di seluruh Terengganu selepas hujan berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lalu meningkat mendadak kepada 4,437 mangsa sehingga pagi ini.

Mangsa banjir ditempatkan di pusat permindahan banjir terdekat di daerah Kemaman.

Skuad Sayang turun padang membantu mangsa banjir di Kemaman.

Kesemua mangsa dari 1,117 keluarga ditempatkan di 57 pusat pemindahan di Kemaman (34), Dungun (7) dan Hulu Terengganu (16).

Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu yang disediakan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan terus meningkat berikutan hujan yang berterusan dan kadangkala lebat di beberapa kawasan khususnya di Kemaman dan Dungun (peringkat jingga).
Mangsa banjir bergotong-royong memasak hidangan harian.

Hakisan akibat air pasang dan ombak besar.
“Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di dua daerah itu sejak beberapa hari lalu berterusan hingga hari ini, sekali gus menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

“Bagaimanapun, daerah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang (peringkat kuning) sehingga hari ini. Pun begitu, seramai 861 mangsa sudah dipindahkan di Hulu Terengganu membabitkan 252 keluarga,” katanya.

Sehingga 9 pagi ini mangsa yang dipindahkan di Hulu Terengganu melibatkan Balai Raya Kampung Cheting (41); Balai Raya Kampung Pelandan (15); Surau PPSK Kg menerong (197); Balai Raya Paya Besar (75); Masjid Kampung Pengkalan Ajal (183) dan Bangunan NGO Pengkalan Ajal (44).

Lain-lain Balai Raya Kemat (39); Balai Raya Kuala Menjing (10); Balai Raya Kg Tapah (8); Surau Kg Durian Kassim (9); PJBT Felcra Pasir Pelata (14); Masjid Kg Bukit Gemuruh (7) dan Masjid Kg Kua (59); Dewan SMK Batu 24 Bukit Tok Bat (18); Masjid Kg Peneh (129) dan Surau Tok Lawit (13).