Halaman

16 December 2013

Mangsa banjir kongsi pengalaman

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Keceriaan terukir di wajah  beberapa mangsa  yang  sempat ditemui Skuad Prihatin Unit Komunikasi Negeri (Ukom) ketika menerima sumbangan barangan makanan, semalam.
Bagaimanapun, ada di kalangan mereka turut mengalirkan air mata hiba apabila menceritakan pengalaman sambil mengenang peristiwa yang menimpa masing-masing.

 Seorang penduduk, Nor Akma Abdullah, 45 yang tinggal di Kampung Jaya Pindah, berkata dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila semua perabot dan perkakas elektrik tidak dapat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat.

Nor Akma Abdullah
 “Saya dan suami Anua Dollah, 49, tidak menjangka semua ini boleh terjadi kerana tahun lalu, rumah kami pun banjir, air melimpah ke dalam rumah hanya paras lutut, tapi tahun ini melebihi paras kepala,” katanya

Mangsa lain, Raja Normala Raja Mohd Hanafiah, 38 berkata, ketika air banjir melimpah, dia tidak berhenti-henti berdoa supaya diri dan anak selamat daripada sebarang kejadian buruk.

“Bertambah cemas apabila mengetahui suami yang bertugas di luar daerah tidak dapat balik untuk menjenguk kami berdua kerana tersekat banjir di sempadan jalan.
Junainah Mohd

 “Saya reda dengan ujian ini, walaupun hampir semua barangan dan perabot rumah musnah dihanyut dan ditengelami air,”katanya.

Ibu kepada tiga anak, Junainah Mohd, 35, keadaan banjir yang berlaku tahun ini, agak teruk dan di luar kebiasaan.

“Ketika menyelamatkan diri bersama suami dan anak, hanya sempat membawa dokumen penting, barangan lain dibiarkan tanpa sempat diselamatkan," katanya.

Cik Rusli Arif
Cik Rusli Arif, 30, berkata terima kasih kerana sudi mengambil cakna dan hulur bantuan kepada kami yang masih bersedih kerana banyak mengalami kerugian akibat banjir.

 “Ada juga beberapa pihak lain yang tampil menghulurkan sumbangan berupa barangan dapur seperti, beras, mintak, gula, susu pekat.

 “Usaha itu mampu melegakan kesedihan, yang sememangnya kekurangan barang keperluan makanan, apa yang dijadikan stok sebelum ini, semua dihanyutkan air,” katanya.

 

15 December 2013

Ukom anjur Diskusi Bajet 2014

Oleh; Esah Abdullah

https://www.facebook.com/events/637824912925539/?ref_dashboard_filter=calendar

Kerajaan negeri menerusi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menganjurkan Diskusi Bajet 2014 yang bertempat di Dewan Konvensyen, Tingkat 2, Wisma Darul Iman,Kuala Terengganu, pada 19 Disember ini, jam 8.30 pagi.

 Program bertujuan mendapatkan pandangan dan ulasan ahli-ahli panel mengenai Bajet 2014 yang dibentangkan Menteri Besar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 9 Disember lalu.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif mengadakan program itu bagi memastikan pandangan dan perbincangan yang dilontarkan mampu memberi pengetahuan kepada seluruh pemimpin masyarakat serta rakyat bagaimana mereka mendapat faedah dari bajet yang dibentangkan itu.

 “Selain menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan Bajet 2014 kita juga mahu supaya rakyat memahami segala perbelanjaan kerajaan menggunakan pendekatan pembangunan yang berpaksikan konsep `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

 “Oleh itu, semua pihak perlu mengambil peluang menyertai diskusi bajet yang akan mengupas lebih jelas dan terperinci kepentingan bajet yang berteraskan kesejahteraan rakyat ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa orang tokoh akademik dan ahli ekonomi telah diundang untuk mengupas secara terperinci mengenai bajet 2014.

Sehubungan itu, pihak penganjur menjemput ketua jabatan, pemimpin masyarakat, wakil pertubuhan bukan kerajaan, wakil belia dan orang ramai menghadiri program itu.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai Diskusi Bajet 2014 ini sila isikan maklumat di bawah:
foxyform

KLIK

 

RKK pusat bandar mampu lonjak kepesatan ekonomi

Oleh; Esah Abdullah

Pembangunan semula kawasan Ladang - Tanjung, Kediaman Gong Kapas - Bukit Kecil serta pembangunan semula tapak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) dapat melonjakkan kepesatan ekonomi dan hartanah di pusat bandar.

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata, pembangunan semua kawasan stadium dan tapak IPK dan IPD serta sekitarnya akan mewujudkan pusat tumpuan baru yang akan dikenali sebagai Plaza Sentral.

"Pembangunan tersebut melibatkan komponen pusat perniagaan dan bazar, menara ikonik, bangunan baru IPD, dataran pelbagai guna, tambahan 1,000 unit tempat letak kereta dan koridor laluan pejalan kaki secara bersambungan hingga ke kawasan pembangunan muara selatan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Publisiti Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pusat Bandar Kuala Terengganu 2030 di Taman Tamadun Islam , Kuala Terengganu hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Yang Di Petua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Projek Zon Timur, Haji Anaspekri Mahiddin dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Dr. Rosli Muhamad.

Katanya, cadangan pembangunan yang akan melibatkan enam kawasan utama di bandar iaitu kawasan Ladang -Tanjung, Nesan Empat, Ladang Sahak, Paya Bunga, Batas Baru dan Gong Kapas bermakna tiada lagi kawasan yang tertinggal dari arus pembangunan perdana di kawasan pusat bandar.

"Srategi pembangunan pusat bandar akan memfokuskan kepada peningkatan daya huni, pembangunan mampan dan pembangunan ekonomi penduduk bandar manakala aspek warisan, estetika bandar dan kehendak rakyat turut diambil kira," katanya.

Katanya, pembangunan muara utara dan muara selatan turut menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan bandaraya yang bertemakan pesisir air dan berfungsi sebagai pintu gerbang pelancongan antarabangsa di masa hadapan.

Beliau seterusnya berharap rakyat yang berkepentingan boleh bersama-sama memberi pendapat ke arah membangunkan bandar yang sejahtera, berdaya huni dan mampan.

Draf RKK ini telah dipamerkan kepada orang ramai di Dewan MBKT, Pejabat Perancang Bandar dan Desa dan Kompleks Seri Iman selama sebulan bermula 24 November dan berakhir pada 23 Disember depan.
 

Jabatan Alam Sekitar lancar Pasukan Pemantau Pencemaran (3P)




Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melangkah era baru dalam usaha mengubah pendekatan bagi melaksanakan penguatkuasaan dengan melancarkan program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di setiap kawasan parlimen negeri ini.

Anggota 3P yang dilantik di setiap kawasan terbabit akan bertindak sebagai “mata dan telinga” kepada jabatan itu untuk melaporkan maklumat berhubung kes pencemaran atau kerosakan alam sekitar di kawasan masing-masing.

Majlis pelancaran 3P peringkat Parlimen Besut diadakan di Kampus Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Tembila, Besut dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Terengganu, Roshadah Hashim dan pengurusan kananan UNISZA.

Pada majlis itu seramai 110 peserta mewakili pelajar dan kakitangan Universiti berkenaan mendaftar diri sebagai anggota pasukan 3P. Tengku Zaihan ketika merasmikan pelancaran itu memuji usaha yang dilakukan oleh JAS Terengganu kerana menubuhkan sukarelawan sendiri bagi memantau aktiviti pemusnahan alam sekitar dengan membabitkan pelajar dan komuniti.

Katanya, dengan adanya pasukan itu diharap dapat membantu JAS bertindak menyelamatkan khazanah negeri jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memusnahkan alam sekitar.













“Penubuhan pasukan itu juga dapat meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dikalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kesedaran bagi menggalakkan masyarakat yang prihatin terhadap sumber alam,” katanya.

CAKNA RAKYAT: DERITA RAKYAT DERITANYA JUA



Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said seorang yang bukan sekadar cakap, tetapi buat apa yang diucapkannya.
  Beliau yang sering memperkatakan bahawa rakyat bagi kerajaan negeri pimpinannya adalah menjadi keutamaan. Semalam (14 Dis), beliau bersama isteri To' Puan   Hajah Norliza Mahmud bergotong royong bersama rakyat membersih kawasan dan bangunan pasca banjir di beberapa kampung di Kemaman, termasuklah Pasir Gajah, Seberang Tayor dan lain-lain.
  Dato' Seri Haji Ahmad dan isteri juga turut mendengar apa jua aduan dan runggutan mangsa banjir dengan penuh rasa kasih dan sayang.
 Catatan Ruslan AR.













14 December 2013

Majlis Berkhatan dan Bertindik Perdana diadakan penuh tradisi

Teks dan gambar oleh Mastura Jamaluddin

Seramai 190 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan dan Bertindik Perdana yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Dura, Mukim Jenagor, Hulu Terengganu, semalam. Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dato' Seri Haji Ahmad Said meraikan kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan dan bertindik dengan mandi beramai-ramai di dalam kolam khas.
Sebelum majlis berkenaan, kanak-kanak terbabit diarak menaiki tandu diiringi 12 das tembakan mewakili 12 kampung dalam Mukim Jenagor. Dalam masa sama, majlis penyampaian hadiah kecemerlangan UPSR turut diadakan membabitkan 21 pelajar.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, YB Rozi Mamat, berkata adat tradisi akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya generasi baru mengenali budaya unik mereka. Selain daripada itu, program ini diadakan secara bergotong-royong dan mampu mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung.


Dalam masa sama, Dato’ Seri Haji Ahmad said mengumumkan bajet kira-kira RM70 juta untuk membina sebuah jambatan baru menghubungkan Kampung Dusun ke Kuala Pueh melalui Kampung Kukuran, Hulu Terengganu.


UMT perkenal pusat pengajian ganti sistem fakulti

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan penstrukturan semula dalam bidang akademik dengan memperkenalkan lapan pusat pengajian baharu menggantikan sistem fakulti untuk memperkasa lagi pusat pengajian tinggi itu.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato' Dr Ibrahim Komoo berkata, transformasi berkenaan membolehkan program-program pengajian diberi lebih tumpuan yang khusus mengikut bidang-bidang tertentu.

“Kita melihat bahawa ada keperluan untuk bergerak kearah memperkasa pusat pengajian ini bagi mempertingkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran di UMT.

“Melalui trasformasi ini, ia melibatkan pengukuhan program sedia ada disamping memperkenalkan program-program baru, termasuk program pengajian di peringkat antarabangsa dan juga program pengajian kontinuum (program pantas Diploma-Sarjana Muda-Sarjana Kerja Kursus),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pembentukan Pusat Pengajian dan Pusat Pendidikan UMT, di Bangunan Canselori UMT, baru-baru ini.

Katanya, trasformasi yang dilakukan ini juga bertujuan meningkatkan kewibawaan ahli akademik supaya dapat menjalankan peranan utama iaitu mengajar dengan lebih baik lagi.

“Selain itu, ia juga akan memberi keutamaan kepada bagaimana hendak mengukuhkan UMT yang dikenali sebagai institusi pengajian tinggi yang memberi fokus kepada sains kelautan dan sumber akuatik.

“Lembaga Pengarah UMT telah meluluskan cadangan tranformasi ini iaitu melibatkan pembentukan pusat pengajian dan pendidikan pada 3 September lalu dan setelah melalui beberaspa proses penyelarasan, secara rasminya pusat ini dibentuk pada 1 Disember lepas bermula dengan pelantikan kepimpinan di setiap pusat berkenaan,” ujarnya.

Katanya, pusat-pusat pengajian baharu itu antaranya Pusat Pengajian Sains Marin dan Persekitaran, Pusat Pengajian Perikanan dan Akuakultur, Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Pusat Pengajian Sains Asas dan Pusat Pengajian Matematik dan Informatif.

 

Jambatan taktikal hubung Kuala Kejir-Kampung Tanggol

Sebuah jambatan taktikal yang menghubungkan Kampung Kuala Kejir dengan Kampung Tanggol kini sedang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah jambatan asalnya runtuh Khamis lalu akibat arus deras serta mendapan tanah.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pembinaan jambatan sementara sepanjang 150 meter itu dijangka siap pada esok dan pembinaan ini dapat memudahkan pergerakan penduduk di sekitar kampung berkenaan.

"Saya telah menghubungi pihak Kementerian Pertahanan dan nampaknya mereka telah mengambil tindakan segera untuk membina jambatan sementara ini.

"Tanpa jambatan ini, penduduk dari Kampung Kuala Kejir yang mahu ke Kampung Tanggol terpaksa melalui jalan alternatif sejauh 20 kilometer," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi jambatan runtuh itu, kelmarin.

Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu juga dapat memudahkan pergerakan murid-murid di kampung Kuala Kejir yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanggol memandangkan sekolah akan bermula awal Januari depan.


13 December 2013

Pejabat Daerah Besut senarai 20 JKKK terima Anugerah Kecemerlangan 2013



Oleh: Mohammad Ishak

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta peka kepada masalah yang dihadapi penduduk dan menyelesaikan secara professional dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan kecemerlangan pentadbiran.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, JKKK sebagai jentera utama kerajaan di peringkat komuniti berperanan membantu pelbagai perancangan kerajaan untuk kemajuan di kampung masing-masing.

Katanya, kepemimpinan jawatankuasa berkenaan juga perlu selari dengan dasar kerajaan bagi mempastikan rakyat menerima baik setiap projek yang dilaksanakan pihak terbabit.

Menurutnya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan terhadap JKKK bagi memastikan organisasi itu dihormat masyarakat menerusi pelbagai aktiviti dan rancangan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada orang ramai.

 “Antara fokus yang diberikan termasuklah menghargai usaha yang dilakukan JKKK dengan memberikan anugerah kecemerlangan pada setiap tahun kepada JKKK terpilih sebagai galakkan untuk mereka berkhidmat,” katanya pada maliss Anugerah Cemerlang Daerah Besut, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman merasmikan majlis itu dan menyampaikan anugerah kepada JKKK terpilih.

Pada majlis itu 20 JKKK terbaik mewakili lima DUN iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Hulu Besut dan Jabi dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan masing-masing.

Sementara itu, Tengku Zaihan berharap, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK daerah itu terus berusaha memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasia mendampingi komuniti bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

Katanya, setiap aduan yang diterima penduduk henfdaklah disalurkan kepada pihak berwajib termasuk ADUN di kawasan masing-masing supaya tindakan dapat diambil pihak berkenaan.

Beliau memuji sikap dan tanggungjawab pemimpin JKKK daerah itu kerana mamu menjadi contoh sehingga dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan dan satu pengiktirafan kerajaan terhadap JKKK terbabit.

Terengganu International Rainforest Challenge 2013 tonjol kehebatan peserta Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Pasangan Tan Eng Joo dan Tan Choon Hong berjaya menonjolkan kehebatan peserta Malaysia apabila muncul juara dalam cabaran sukan lasak Terengganu International Rainforest Challenge (RFC) 2013 yang dianjurkan kerajaan negeri.

Berbekalkan kekuatan mental dan fizikal mengendalikan pacuan empat roda Suzuki Jimny, pasangan yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama. Diikuti dua pasangan dari Rusia, Kulbak Roman/Kovalenko Evgenii (naib juara) dan Alexander Nikolaev/Dmitry Kalinin (ketiga).

Tan Eng Joo, 50, berkata beliau dan anak saudaranya Tan Choon Hong, 28, tidak menyangka dapat menewaskan peserta lain yang lebih hebat dan kebanyakannya dari luar negara memandangkan RFC kali ini lebih mencabar kerana berlangsung dalam musim tengkujuh.

"Kami meredah hujan dan banjir serta banyak pokok tumbang sepanjang perjalanan. Laluan paling sukar adalah Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun sebab di situ jalan memang sangat licin ditambah hujan lebat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah RFC, di Hotel Permai, baru-baru ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebahagian negara yang mengambil bahagian dalam RFC yang bermula 30 Nov lalu ialah Singapura, Australia, Sepanyol, Britain, Belanda, China, Rusia serta Colombia.

Laluan antaranya membabitkan Hutan Simpan Merchang di Hulu Dungun, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Kemaman dan Kuala Terengganu.

Seramai 300 peserta dari 25 negara menyertai acara lasak yang menyaksikan Terengganu menjadi tuan rumah itu.