Halaman

17 January 2014

Pusat Pemindahan Kekal, Kenderaan Amfibia Langkah Terengganu Hadapi Banjir

Oleh FAUZI MOHD
KEMAMAN 17 Jan.- Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemindahan kekal dan perkhidmatan kenderaan amfibia sebagai persiapan menghadapi bencana banjir setiap hujung tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, komponen pusat pemindahan pelbagai guna itu terdiri daripada dewan penginapan, surau, tandas, bilik mandi serta sistem bekalan air yang teratur.
Katanya, beberapa tempat yang sesuai dan selamat sedang dikenalpasti bagi tujuan itu.
"Selepas musim banjir atau tengkujuh pusat itu akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti aktiviti kemasyarakatan, belia dan sukan.
"Kita anggarkan kos pembinaan setiap satu RM500,000 dan kita akan bina beberapa buah di negeri ini seperti di Air Putih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan banjir sumbangan Petronas di Pasir Gajah, Air Putih, Kemaman hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerjaraya, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Petronas menyumbangkan RM3.4 juta kepada mangsa banjir di Kemaman dan Resort World Kijal turut memberi bantuan berbentuk barangan.
Mengenai perkhidmatan kenderaan amfibia kata Ahmad, kerajaan negeri bercadang menyediakan kemudahan itu hujung tahun ini.

Menurutnya, kenderaan itu bersaiz seperti lori atau bas yang mempu membawa kapasiti penumpang yang lebih besar dan muatan barangan sehingga 10 tan.
"Selepas tenkujuh, kenderaan berkenaan akan digunakan di Tasik Kenyir bagi tujuan pengangkutan pelancongan", ujarnya.


Terengganu peruntuk RM26 juta untuk pembangunan sukan negeri tahun ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM26 juta untuk pembangunan sukan di Terengganu pada tahun ini bagi memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat berkata peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain tersebut membuktikan Terengganu terus komited dalam memastikan kejayaan Terengganu dalam melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

"Jumlah peruntukan tahun ini akan diagihkan untuk keseluruhan pembangunan sukan di negeri ini termasuklah untuk akademi, atlet, prasarana, kejurulatihan dan pertandingan.

"Peruntukan ini juga merupakan jumlah terbesar berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kita mahu melahirkan atlet-atlet yang hebat, tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun peringkat dunia," katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Bas dan Penyampaian Biasiswa Sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, Mohd Mahdi Musa; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin serta pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Shariff Ab Latiff.

YB Rozi berkata, Terengganu juga telah membuat persiapan yang rapi menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang bakal berlangsung di Perlis pada 24 Mei ini.

"Kita telah mengadakan pelbagai persiapan rapi sejak tahun lalu, termasuklah latihan, pelbagai kem dan juga Mini Kem Sukma telah kita adakan bagi memastikan emas dan juara milik kita," katanya.

"Peruntukan besar pada tahun ini juga akan digunakan bagi memantapkan lagi setiap pasukan yang bakal bertanding dan kita mahu merebut kembali gelaran juara yang mana sebelum ini kita telah empat kali berturut-turut merupakan juara sukma, tetapi pada tahun lepas kita hanya menyandang gelaran naib juara," katanya.

 Sementara itu pengetua SMK Bukit Nenas Mohd Shariff berkata sumbangan sebuah bas yang diberikan kerajaan negeri itu dapat memudahkan pergerakan atlet di sekolah berkenaan untuk menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

 "Kita sebelum ini hanya ada sebuah bas, dan kita terpaksa menyewa bas dari luar untuk membawa atlet menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri sebab kita hanya ada satu gelanggang dan bas yang ada tidak mampu menampung jumlah atlet yang mahu menjalani latihan.

 "Alhamdulillah, dengan adanya bas ini kita tidak lagi perlu menyewa bas untuk membawa atlet menjalani latihan." katanya.

Mohd Shariff berkata pemberian biasiswa sukan sebanyak RM600 setahun untuk setiap seorang 100 pelajarnya yang tidak memperoleh biasiswa-biasiswa lain itu juga menunjukkan kerajaan negeri sentiasa komited dan menjaga kebajikan sekolah sukan pertama kerajaan negeri itu.




Satu bakal jalan operasi potong bekalan

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air secara besar-besaran jika didapati pengguna gagal menjelaskan bayaran bil, bermula Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Haji Husain Embong, berkata menjadi tanggungjawab kepada semua pengguna untuk menjejaskan bayaran bil dalam tempoh yang ditetapkan.

 “Pengguna sebagaimana yang diperuntukkan di dalam akta hendaklah membuat bayaran bil dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyerahan bil air sebagaimana yang dinyatakan di dalam Syeksen 89 (2) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

 “Penguna yang gagal menjelaskan bayaran bil dalam tempoh berkenaan akan dikeluarkan notis pemotongan bekalan air selama 14 hari sebagaimana Syeksen 89 (3),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sekiranya pengguna masih gagal menjelaskan bayaran bil selepas tempoh ini, pemotongan bekalan air akan dilaksanakan mengikut Syeksen 89 (4) Akta yang sama.

“Bagi akuan pengguna yang telah dibuat pemotongan bekalan, bekalan air akan disambung semula dalam tempoh 24 jam setelah mereka menjelaskan bayaran bil semasa, tunggakan dan denda caj pemotongan.

 “Dalam keadaan yang di luar jangkaan atau atas sebab-sebab yang diluar jangka maka bekalan air akan disambung tidak lewat daripada 2 (dua) hari dari tarikh pembayaran penuh jumlah wang yang kena dibayar sebagaimana Syeksen 89 (7) Akta yang sama,” katanya.

 Menurutnya, oleh hal yang demikian, Satu ingin memaklumkan dan menasihatkan pengguna supaya menjelaskan bil penggunaan air masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan.

 “Kerjasama serta sikap prihatin dari semua pengguna akan memberi manfaat menjurus kepada kehidupan lebih selesa dan harmoni tanpa risiko berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang boleh dielakkan,” katanya.

 

Ar Rahnu Bank Rakyat akan dibuka di Kuala Berang.

Azman..Pengurus Wilayah Timur.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Penduduk sekitar Kuala Berang yang mahu membuat gadaian secara Islam tidak perlu lagi ke Kuala Terengganu kerana Ar Rahnu Bank Rakyat akan membuka cawanganya di bandar itu tidak lama lagi.

Pengurus Bank Rakyat Wilayah Timur, Azman Mustaffa berkata, pembukaan cawangan Ar Rahnu Bank rakyat Kuala Berang itu menjadikan jumlah cawangan Ar Rahnu di Terengganu ialah sebanyak lapan cawangan termasuklah cawangan terbaru di Marang.

“Paling baru ialah cawangan Marang yang dibuka baru-baru ini dan kita sudah luluskan pembukaan cawangan di Kuala Berang itu yang dijangka akan beroperasi tidak lama lagi.,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Kunci Rumah Sumbangan Zakat Bank Rakyat kepada seorang penduduk di Dun Jabi, kelmarin.

Azman berkata, dalam tempoh sebulan dua lagi, pihaknya akan membuka sebuah cawangan baru di Cabang Tiga, Kuala Terengganu yang dipanggil ‘Rakyat Ekses’.

“Rakyat ekses ini macam cawangan biasa juga, kita boleh buka akaun simpanan dan ada Ar Rahnu. Semua urusan deposit ada, cuma ia kecil berbandingan cawangan Bank Rakyat lain,” katanya.

Menurut Azman, sebuah lagi cawangan iaitu di Daerah Setiu kini dalam kajian untuk dibuka dan pihak Bank Rakyat Wilayah Timur sudahpun membuat cadangan pembukaan itu.

Katanya, sambutan orang ramai terhadap Ar Rahnu Bank Rakyat amat mengalakan dan jumlah pelanggan pusat gadaian Islam semakin bertambah dari semasa ke semasa.

 

16 January 2014

Isu Kangkung: Selidik dahulu sebelum siar- Pengerusi Biro Sosial dan Etika Pemuda UMNO Malaysia.


Mohd Iskandar Jaafar.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Sikap segelintir pihak yang memutar belitkan kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai penurunan harga kangkung di beberapa laman sosial adalah golongan yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Biro Sosial Dan Etika Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Iskandar Jaafar.

Iskandar yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu dan Adun Jabi itu, berkata beliau amat kesal kerana perkara itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya mereka memahami kenyataan sebenar Perdana Menteri itu.

"Niat sebenar Y.A.B Perdana Menteri ialah  membuat perbandingan atau menyatakan perkara sebenar mengenai naik turun harga barang yang banyak bergantung kepada suasana persekitaran iaitu faktor cuaca, faktor permintaan dan lain-lain.

“Secara peribadinya saya menganggap kenyataan-kenyataan yang tersebar di beberapa laman sosial itu adalah sesuatu yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak lain.

“Saya sebagai pengerusi Biro Sosial dan Etika Exco Pemuda UMNO Malaysia, sepatutnya golongan terbabit tahu perkara sebenar dan menyiasat dengan lebih teliti dan memahami sebelum mereka menyiarkan dan menghantar semula (forward) sesuatu berita di dalam media sosial itu.

“Kita bimbang ia akan menjadi satu ‘trend’ segelintir orang muda dan ini mungkin boleh menimbulkan satu budaya fitnah dan ini tidak sesuai sangat dan tidak bagus kepada mereka khususnya golongan belia untuk terlibat dengan satu penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan ini tidak betul.

“Dia kena ada etika yang sebenarnya dalam kita menyebarkan berita, kerana itu kita kena siasat, kena tengok kena selidik dahulu kedudukan dan fakta sesuatu perkara sebelum menyiarkannya,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu selepas hadir dalam satu majlis penyerahan rumah sumbangan Zakat Bank Rakyat, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan yang menyebar maklumat yang tidak betul mengenai kenyataan Perdana Menteri itu menghentikan segera kerana ia adalah tidak berasas.

 

Manifesto BN di Kuala Besut akan menjadi kenyataan.

Oleh: Suriati Ali

Apa yang dijanjikan pada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut lalu, bakal dilaksanakan secara berpringkat-peringkat bagi memenuhi keselesaan penduduk setempat.

Terbaru, persisiran pantai Kuala Besut dan Pulau Pehentian, Besut bakal berubah wajah apabila projek Gerbang Pelancongan Antarabangsa dibangunkan dalam usaha kerajaan meningkatkan aktiviti pembangunan dan pelancongan bertaraf global disitu.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata projek berharga RM250 juta yang diumumkan pada PRK Kuala Besut Julai tahun lalu akan menjadi kenyataan selepas semua plan pembangunan selesai tidak lama lagi.

Katanya, projek berkenaan kini di peringkat menyiapkan pelan susun atur dan penyusunan semula Pekan Kuala Besut dan pusat peranginan Pulau Perhentian sebelum kerajaan mengeluarkan tender.

“Jawatankuasa khas pemandu juga sedang mengumpul pandangan orang ramai dan cerdik pandai bagi memastikan projek mega di utara Terengganu itu berjalan lancar dan menepati kehendak rakyat.

“Projek Gerbang Pelancongan apabila siap bakal menjadi pintu masuk utama pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu,” katanya Dato’ Idris yang juga Ahli Parlimen Besut .
 

Festival Candat Sotong Antarabangsa disertai 50 stesen tv seluruh dunia

Oleh: Aida Abd Rahman


Festival mencandat sotong peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di perairan Terengganu bermula April ini dijangka lebih meriah apabila 50 stesen televisyen seluruh dunia akan menjadi rakan penyiar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata berikutan kehadiran stesen televisyen seluruh dunia itu, pihaknya akan mengadakan pertandingan rakaman visual terbaik.

"Dalam pertandingan itu nanti, pemenang akan menerima hadiah berupa pakej melawat Terengganu yang ditaja kerajaan negeri seperti penginapan, tambang kapal terbang, makan minum, melawat ke tempat menarik seperti Tasik Kenyir, Air Terjun Cemerong dan sebagainya.

 "Saya dimaklumkan sehingga kini sebanyak 50 stesen televisyen bersedia untuk datang dan kami akan adakan mesyuarat bulan depan untuk muktamadkan masa, persiapan, tempat tinggal dan peralatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota Majlis PBT Terengganu 2014/2015,di Wisma darul iman, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan program candat sotong menerusi tayangan slot stesen televisyen seluruh dunia itu bagi menarik penyertaan pelancong asing.

 Katanya kerajaan negeri mahu mengeksplotasi sepenuhnya keunikan candat sotong supaya pelancong luar datang untuk merasai sendiri bagaimana keseronokan dan istimewanya aktiviti itu.


Kayuhan Transformai IPGKDRI mantapkan fizikal, mental pelajar

Oleh: Noraini Jusoh



Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) melancarkan aktiviti di luar kampus, Program Kayuhan Transformasi Pendidikan IPG Zon Timur 2014 untuk menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar bagi menghadapi cabaran sebenar di alam pekerjaan nanti.

Pengarahnya, Haji Ghulam Sarver Mobarak Ali menyempurnakan majlis pelepasan program yang disertai 25 pelajar pusat pengajian itu, di perkarangan IPGKDRI, Batu Rakit, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Tuan Haji Ghulam Sarver berkata, kesemua peserta terdiri daripada guru pelatih di bawah Kelab Kebudayaan dan enam pensyarah memulakan kayuhan dari IPGKDRI menuju IPG Kampus Kota Bharu, sejauh 170 kilometer.



“Kebiasaannya, guru-guru yang memulakan perkhidmatan akan ditempatkan di kawasan pendalaman. Dengan adanya program ini, sedikit sebanyak dapat mendedahkan mereka dengan situasi sebenar dan sebagai persediaan awal dalam menghadapi cabaran mendatang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelepasan program berkenaan.

Haji Ghulam berkata, di samping ketahanan mental yang tinggi, kecergasan fizikal juga amat penting dalam melahirkan guru berkualiti.

Katanya, penganjuran program kayuhan edisi ketiga yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPGKDRI itu menunjukkan keupayaan bakal guru dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Menurutnya, kini seramai 787 pelajar sepenuh masa dan 1000 pelajar separuh masa sedang melengkapkan pengajian masing-masing di institusi berkenaan.

 







Terengganu, T-Team diingat jaga reputasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu dan T-Team yang bakal memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, diingatkan supaya menjaga reputasi dan tidak terbabit rasuah . Jika didapati melakukan aktiviti tidak bermoral itu, mana-mana pemain terbabit boleh digugurkan dari pasukan.



Amaran awal itu dilontarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku peminat nombor satu negeri supaya pemain tidak terlibat dengan kegiatan jenayah yang boleh menghancurkan karier masing-masing.

“Saya rasa tiada sebab mereka terlibat rasuah sebab gaji yang diberikan pengurusan sudah cukup dan memadai buat mereka. Saya beri amaran awal ini sebab tidak mahu mereka terjebak dan apabila sudah terlibat pasti membunuh masa depan mereka sendiri.

 “Kalau kami dapat bukti mana-mana pemain, sama ada Terengganu, T-Team terbabit rasuah, pintu untuk mereka dalam pasukan tertutup dan undang-undang bakal tentukan nasib mereka nanti,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani kontrak, memperkenalkan jersi dan pemain Terengganu serta T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Pada musim ini, Terengganu yang dikendalikan Abdul Rahman Ibrahim menerima penajaan RM2.3 juta, sementara pasukan T-Team yang menjadi anak didik kepada Azraai Khor Abdullah pula mendapat RM2.7 juta.

Dalam pada itu, Menteri Besar berharap setiap pasukan sekurang-kurangnya mampu meraih satu piala dalam saingan musim ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyaksikan perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan berkenaan yang berkesudahan 1-1.



Kira-kira 10,000 peminat dan penyokong setia kedua-dua pasukan Terengganu turut memenuhi stadium bagi menyaksikan perlawanan itu.

Sementara Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid pula mengakui tugas getir bakal ditempuhinya sebagai pengendali utama persatuan.

Beliau yakin matlamat setiap pasukan mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi dapat direalisasikan selaras dengan sasaran kerajaan negeri.

"PBSNT yakin dengan gandingan pemian tempatan dan import yang makin serasi akan membentuk pasukan yang mantap untuk bersaing dengan pasukan lain dan membawa pulang piala," katanya.











TERENGGANU DI ANTARTIKA- SUATU USAHA BERMAKNA DALAM MEMBUAT KAJIAN TERHADAP ALAM CIPTAAN TUHAN





Berikut adalah wawancara khas Pengarang Teganukita dengan penyelidik sains dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Professor Madya Dr Hii Yii Siang.

Pengarang Teganukita: Mengapa Dr amat bersetuju dengan pemergian Menteri Besar Terengganu ke Antartik?
 Dr. Hii: Yii: Sebabnya ialah terutamanya dari segi menyokong polisi atau dasar hak milik semua ke atas kawasan itu. Suatu ketika dulu Tun Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia telah membawa isu ini ke PBB, iaitu Antartika kepunyaan manusia sejagat untuk bebas membuat kajian dan penyelidikan. Kita tidak mahu hanya negara-negara kuasa besar menguasai Antartika dan jika sekiranya kita tidak hadir ke sana, maknanya kita sekadar bercakap sahaja meminta kawasan itu hak milik bersama, tetapi apa erti milik bersama kalau kita tidak hadir dan melakukan apa-apa di sana.
  Pengarang Teganukita: Maknanya pemergian Menteri Besar Terengganu mengetuai deligasi Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan itu amatlah penting.
 Dr.Hii Yii: Selain dari segi sokongan kepada dasar tadi, ia juga sebagai sokongan kepada kajian ahli-ahli sains negara kita. Maksudnya pentingnya dari konteks Saintifik. Ini selaras dengan gesaan Tuanku Sultan Mizan sendiri semua ihak menyokong dan bekerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan dalam usaha meningkatkan penyertaan negara dalam penyelidikan saintifik di Antartika. Jadinya, Menteri Besar Terengganu adalah antara pemimpin kedua selepas Tun Mahatir ke sana bagi memperkukuhkan langkah Tun Mahathir sebelumnya. Ia juga sebagai rentetan kepada usaha DYMM Sultan Mizan yang juga difahamkan pernah sampai ke sana.
 Pengarang Teganukita: Semasa Dr ke sana dulu apa yang dapat diperhatikan dan apa yang diperolehi sebenarnya?
Dr. Hii Yii: Ya, kami membuat kajian santifik di sana, khusus mengenai cuaca dan kaitan dengan angkasa lepas. Kawasan di sana teramat sejuk, sehingga udara menjadi kering dan tiada awan. Kajian saintifik mengenai sepsis yang sangat rendah, perubahan cuaca dan segalanya perlu dibuat kajian; kesemua itu perlu dilihat dalam konteks Longterm Research Antartika (LRA).
Pengarang Teganukita: Apa lagi yang Dr lihat perlu dan positifnya dengan pemergian pemimpin kita ke sana?
Dr.Hii Yii: Ia adalah misi penting untuk merealisasikan hasrat ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan yang pernah menitahkan Antartika menyediakan peluang yang baik untuk menjalankan penyelidikan sainstifik yang bermanfaat bagi manusia. Antartika merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik mengesan serta memantau fenomena alam sekitar di peringkat Antartika yang belum didedahkan.
Pengarang Teganukita: Apa harapan Dr dan rakan-rakan saintis yang lain dari Malaysia?
Dr.Yii Hii: Sebelum ini kehehadiran kita telah membuat jalinan dan perkenalan dengan pengkaji-pengkaji dari seluruh negara di dunia. Ini penting untuk saling bertukar ilmu dan pengalaman. Hubungan baik dengan penyelidik-penyelidik luar negara itu adalah suatu perkara yang amat penting sebelum kita meneroka lebih jauh.
Kita banyak bergantung kepada ekpidisi yang dianjurkan oleh pihak lain, misalnya tidak lama lagi penyelidik dari UMT, Dr.Wan Mohd Rauhan Wan Hussien akan bersama penyelidik dari Korea ke Antartik.
  Adalah diharapkan suatu masa nanti kita juga dapat mengadakan ‘Base Station’ negara kita sendiri di Antartika supaya tidak selamanya bergantung kepada pihak asing. Jadi bagi saya usaha awal yang dibuat oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan mengadakan Memorandum Persefahaman untuk membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di Antartika yang akan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu nanti adalah sesuatu yang amat penting dan bersejarah.