Halaman

18 January 2014

Petronas Sumbang RM5 juta Untuk Mangsa Banjir

KEMAMAN 17 Jan – Sumbangan berjumlah RM5 juta disalurkan Petronas kepada seramai 21,000 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir di seluruh Pantai Timur dengan sesi pengagihannya dijangka selesai sebelum akhir bulan depan.
Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Petronas, Norliza Kamaruddin berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada mangsa banjir di tempat mereka beroperasi iaitu di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“Untuk di Kemaman, bantuan ini akan disalurkan kepada kira-kira 15,000 keluarga mangsa banjir. “Sementara selebihnya iaitu bantuan kepada 6,000 lagi keluarga di Kuantan dan Pasir Mas dijangka selesai pada akhir Februari depan,” katanya selepas menyerahkan replika cek bantuan berjumlah RM3.4 juta kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam program di Masjid Pasir Gajah, Air Putih, hari ini.
Katanya, simbolik penyerahan replika cek itu menjadi fasa pertama pengagihan bantuan itu kepada mangsa banjir di Terengganu.
 “Diharap sedikit sumbangan ini mampu meringankan beban penderitaan keluarga mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.
 Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu set alas tidur dan baucer dari Petronas bernilai RM150 untuk membeli barangan dan keperluan di Kedai Mesra Petronas serta membeli minyak di stesen itu.




17 January 2014

Sekitar ziarah YB Zul, Dato' Sabri ke Zon 4, Langkap.

Mesra...Sabri(baju hitam) bersama Zulkifly di rumah seorang wargatua.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

LANGKAP: Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Adun Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor mengambil masa sehari suntuk menziarahi seramai kira-kira 25 penduduk yang uzur dan sakit di lapan kampung di Zon E, di dun, hari ini. (17.1.2014)

Zulkifly dan Sabri yang berkonvoi bersama kira-kira 50 peserta lain yang terdiri daripada JKKK, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO kawasan Langkap dengan menaiki kira-kira 15 buah kenderaan menghulurkan bantuan sejumlah wang dan hamper kepada penduduk terbabit.

Teganukita turut bersama kedua-dua YB itu yang memulakan konvoi kira-kira jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 6 petang itu dengan mengunjungi lima buah rumah di Kampung Pak Ba selepas berhenti seketika di Kampung Bukit Nenas untuk makan pagi.

Bersama Ahmad Nawi yang lumpuh.
Antara rumah yang dikunjungi di kampung itu ialah rumah Mat Yaakob Mahmud , 75, yang mengalami penyakit kanser pipi sejak lapan bulan lalu dan rumah Ahmad Nawi Mohd, 61 yang lumpuh kerana terjatuh ketika memasang atap pada 2006 lalu.

Selepas itu, rombongan berkunjung pula ke Kampung Tayor Tengah, Kampung Bukit, Kampung Sungai Las, Kampung Bukit Munduk, Kampung Alor Lik dan Kampung Bukit Aman dan Bukit Lawang.

Sabri berkata, lawatan Program Ziarah Cakna Rakyat itu adalah untuk menghulurkan sumbangan kepada pesakit yang uzur dan sakit bagi meringankan bebanan mereka.

“Ini adalah kunjungi pertama melalui program ini pada 2014, selepas ini kita akan mengunjungi kampung lain pula di kawasan Langkap ini untuk bertemu penduduk dan meringankan bebanan mereka yang memerlukan ,” katanya.
Di rumah Tengah Hitam di Tayor Tengah.

Isteri YB Zul (kiri) dan isteri Sabri bersama seorang wargatua.

Rombongan memasuki Kampung Bukit.


Berjalan kaki ke rumah pesakit.

Mohd Yaakob pesakit kanser pipi.

Pengarah Jasa turut hadir.


Sabri bersama pesakit kanser pipi.

YB Zul bersama seorang wartawan.

Ketua Wanita, Wan Nasiah (kanan) memimpin warga emas.


Jamuan turut diadakan.

Istri YB Sabri (tengah) bergambar kenangan.

PA Dato Sabri (baju belang) bersama rakan.

Selera..peserta menjamu selera.

 

40 pelajar UUM berkampung di Beris Lampu,Kuala Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program Khidmat Bakti Siswa Perdana di Kampung Beris Lampu,Kuala Besut, membuka minda peserta apabila mereka diberi pelbagai pendedahan ketika mengikuti program berkenaan.

Program empat hari bermula 14 Januari dan berakhir petang ini juga mendedahkan peserta dengan selok belok tinggal bersama keluyarga angkat selain mengenali budaya penduduk sebahagian besarnya nelayan.

Paling menarik peserta juga mendapat ilmu dalam bidang media apabila satu slot khas mengenai penulisan berita, blog dan facebook diadakan untuk pelajar terbabit.

Program dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) dikendalikan oleh Timbalan Pengarahnya, Ruslan Abdul Rahman yang memberi bimbingan dalam bidang kewartawanan akhbar dan media baru.

Pelajar sememangnya berminat mendengar ceramah mengenai kewartawan yang disampaikan Ruslan kerana banyak info dalam bidang berkenaan disampaikan pada sesi ceramah pendek tetapi berkesan.

Program itu turut mendedahkan pelajar dengan pelbagai aktiviti sosial, pendidikan,keagamaan, riadah dan gotong royong. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, YBM Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman melakukan upacara penutup program berkenaan.

Pusat Pemindahan Kekal, Kenderaan Amfibia Langkah Terengganu Hadapi Banjir

Oleh FAUZI MOHD
KEMAMAN 17 Jan.- Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemindahan kekal dan perkhidmatan kenderaan amfibia sebagai persiapan menghadapi bencana banjir setiap hujung tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, komponen pusat pemindahan pelbagai guna itu terdiri daripada dewan penginapan, surau, tandas, bilik mandi serta sistem bekalan air yang teratur.
Katanya, beberapa tempat yang sesuai dan selamat sedang dikenalpasti bagi tujuan itu.
"Selepas musim banjir atau tengkujuh pusat itu akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti aktiviti kemasyarakatan, belia dan sukan.
"Kita anggarkan kos pembinaan setiap satu RM500,000 dan kita akan bina beberapa buah di negeri ini seperti di Air Putih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan banjir sumbangan Petronas di Pasir Gajah, Air Putih, Kemaman hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerjaraya, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Petronas menyumbangkan RM3.4 juta kepada mangsa banjir di Kemaman dan Resort World Kijal turut memberi bantuan berbentuk barangan.
Mengenai perkhidmatan kenderaan amfibia kata Ahmad, kerajaan negeri bercadang menyediakan kemudahan itu hujung tahun ini.

Menurutnya, kenderaan itu bersaiz seperti lori atau bas yang mempu membawa kapasiti penumpang yang lebih besar dan muatan barangan sehingga 10 tan.
"Selepas tenkujuh, kenderaan berkenaan akan digunakan di Tasik Kenyir bagi tujuan pengangkutan pelancongan", ujarnya.


Terengganu peruntuk RM26 juta untuk pembangunan sukan negeri tahun ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM26 juta untuk pembangunan sukan di Terengganu pada tahun ini bagi memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat berkata peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain tersebut membuktikan Terengganu terus komited dalam memastikan kejayaan Terengganu dalam melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

"Jumlah peruntukan tahun ini akan diagihkan untuk keseluruhan pembangunan sukan di negeri ini termasuklah untuk akademi, atlet, prasarana, kejurulatihan dan pertandingan.

"Peruntukan ini juga merupakan jumlah terbesar berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kita mahu melahirkan atlet-atlet yang hebat, tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun peringkat dunia," katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Bas dan Penyampaian Biasiswa Sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, Mohd Mahdi Musa; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin serta pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Shariff Ab Latiff.

YB Rozi berkata, Terengganu juga telah membuat persiapan yang rapi menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang bakal berlangsung di Perlis pada 24 Mei ini.

"Kita telah mengadakan pelbagai persiapan rapi sejak tahun lalu, termasuklah latihan, pelbagai kem dan juga Mini Kem Sukma telah kita adakan bagi memastikan emas dan juara milik kita," katanya.

"Peruntukan besar pada tahun ini juga akan digunakan bagi memantapkan lagi setiap pasukan yang bakal bertanding dan kita mahu merebut kembali gelaran juara yang mana sebelum ini kita telah empat kali berturut-turut merupakan juara sukma, tetapi pada tahun lepas kita hanya menyandang gelaran naib juara," katanya.

 Sementara itu pengetua SMK Bukit Nenas Mohd Shariff berkata sumbangan sebuah bas yang diberikan kerajaan negeri itu dapat memudahkan pergerakan atlet di sekolah berkenaan untuk menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

 "Kita sebelum ini hanya ada sebuah bas, dan kita terpaksa menyewa bas dari luar untuk membawa atlet menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri sebab kita hanya ada satu gelanggang dan bas yang ada tidak mampu menampung jumlah atlet yang mahu menjalani latihan.

 "Alhamdulillah, dengan adanya bas ini kita tidak lagi perlu menyewa bas untuk membawa atlet menjalani latihan." katanya.

Mohd Shariff berkata pemberian biasiswa sukan sebanyak RM600 setahun untuk setiap seorang 100 pelajarnya yang tidak memperoleh biasiswa-biasiswa lain itu juga menunjukkan kerajaan negeri sentiasa komited dan menjaga kebajikan sekolah sukan pertama kerajaan negeri itu.




Satu bakal jalan operasi potong bekalan

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air secara besar-besaran jika didapati pengguna gagal menjelaskan bayaran bil, bermula Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Haji Husain Embong, berkata menjadi tanggungjawab kepada semua pengguna untuk menjejaskan bayaran bil dalam tempoh yang ditetapkan.

 “Pengguna sebagaimana yang diperuntukkan di dalam akta hendaklah membuat bayaran bil dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyerahan bil air sebagaimana yang dinyatakan di dalam Syeksen 89 (2) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

 “Penguna yang gagal menjelaskan bayaran bil dalam tempoh berkenaan akan dikeluarkan notis pemotongan bekalan air selama 14 hari sebagaimana Syeksen 89 (3),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sekiranya pengguna masih gagal menjelaskan bayaran bil selepas tempoh ini, pemotongan bekalan air akan dilaksanakan mengikut Syeksen 89 (4) Akta yang sama.

“Bagi akuan pengguna yang telah dibuat pemotongan bekalan, bekalan air akan disambung semula dalam tempoh 24 jam setelah mereka menjelaskan bayaran bil semasa, tunggakan dan denda caj pemotongan.

 “Dalam keadaan yang di luar jangkaan atau atas sebab-sebab yang diluar jangka maka bekalan air akan disambung tidak lewat daripada 2 (dua) hari dari tarikh pembayaran penuh jumlah wang yang kena dibayar sebagaimana Syeksen 89 (7) Akta yang sama,” katanya.

 Menurutnya, oleh hal yang demikian, Satu ingin memaklumkan dan menasihatkan pengguna supaya menjelaskan bil penggunaan air masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan.

 “Kerjasama serta sikap prihatin dari semua pengguna akan memberi manfaat menjurus kepada kehidupan lebih selesa dan harmoni tanpa risiko berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang boleh dielakkan,” katanya.

 

Ar Rahnu Bank Rakyat akan dibuka di Kuala Berang.

Azman..Pengurus Wilayah Timur.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Penduduk sekitar Kuala Berang yang mahu membuat gadaian secara Islam tidak perlu lagi ke Kuala Terengganu kerana Ar Rahnu Bank Rakyat akan membuka cawanganya di bandar itu tidak lama lagi.

Pengurus Bank Rakyat Wilayah Timur, Azman Mustaffa berkata, pembukaan cawangan Ar Rahnu Bank rakyat Kuala Berang itu menjadikan jumlah cawangan Ar Rahnu di Terengganu ialah sebanyak lapan cawangan termasuklah cawangan terbaru di Marang.

“Paling baru ialah cawangan Marang yang dibuka baru-baru ini dan kita sudah luluskan pembukaan cawangan di Kuala Berang itu yang dijangka akan beroperasi tidak lama lagi.,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Kunci Rumah Sumbangan Zakat Bank Rakyat kepada seorang penduduk di Dun Jabi, kelmarin.

Azman berkata, dalam tempoh sebulan dua lagi, pihaknya akan membuka sebuah cawangan baru di Cabang Tiga, Kuala Terengganu yang dipanggil ‘Rakyat Ekses’.

“Rakyat ekses ini macam cawangan biasa juga, kita boleh buka akaun simpanan dan ada Ar Rahnu. Semua urusan deposit ada, cuma ia kecil berbandingan cawangan Bank Rakyat lain,” katanya.

Menurut Azman, sebuah lagi cawangan iaitu di Daerah Setiu kini dalam kajian untuk dibuka dan pihak Bank Rakyat Wilayah Timur sudahpun membuat cadangan pembukaan itu.

Katanya, sambutan orang ramai terhadap Ar Rahnu Bank Rakyat amat mengalakan dan jumlah pelanggan pusat gadaian Islam semakin bertambah dari semasa ke semasa.

 

16 January 2014

Isu Kangkung: Selidik dahulu sebelum siar- Pengerusi Biro Sosial dan Etika Pemuda UMNO Malaysia.


Mohd Iskandar Jaafar.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Sikap segelintir pihak yang memutar belitkan kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai penurunan harga kangkung di beberapa laman sosial adalah golongan yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Biro Sosial Dan Etika Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Iskandar Jaafar.

Iskandar yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu dan Adun Jabi itu, berkata beliau amat kesal kerana perkara itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya mereka memahami kenyataan sebenar Perdana Menteri itu.

"Niat sebenar Y.A.B Perdana Menteri ialah  membuat perbandingan atau menyatakan perkara sebenar mengenai naik turun harga barang yang banyak bergantung kepada suasana persekitaran iaitu faktor cuaca, faktor permintaan dan lain-lain.

“Secara peribadinya saya menganggap kenyataan-kenyataan yang tersebar di beberapa laman sosial itu adalah sesuatu yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak lain.

“Saya sebagai pengerusi Biro Sosial dan Etika Exco Pemuda UMNO Malaysia, sepatutnya golongan terbabit tahu perkara sebenar dan menyiasat dengan lebih teliti dan memahami sebelum mereka menyiarkan dan menghantar semula (forward) sesuatu berita di dalam media sosial itu.

“Kita bimbang ia akan menjadi satu ‘trend’ segelintir orang muda dan ini mungkin boleh menimbulkan satu budaya fitnah dan ini tidak sesuai sangat dan tidak bagus kepada mereka khususnya golongan belia untuk terlibat dengan satu penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan ini tidak betul.

“Dia kena ada etika yang sebenarnya dalam kita menyebarkan berita, kerana itu kita kena siasat, kena tengok kena selidik dahulu kedudukan dan fakta sesuatu perkara sebelum menyiarkannya,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu selepas hadir dalam satu majlis penyerahan rumah sumbangan Zakat Bank Rakyat, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan yang menyebar maklumat yang tidak betul mengenai kenyataan Perdana Menteri itu menghentikan segera kerana ia adalah tidak berasas.

 

Manifesto BN di Kuala Besut akan menjadi kenyataan.

Oleh: Suriati Ali

Apa yang dijanjikan pada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut lalu, bakal dilaksanakan secara berpringkat-peringkat bagi memenuhi keselesaan penduduk setempat.

Terbaru, persisiran pantai Kuala Besut dan Pulau Pehentian, Besut bakal berubah wajah apabila projek Gerbang Pelancongan Antarabangsa dibangunkan dalam usaha kerajaan meningkatkan aktiviti pembangunan dan pelancongan bertaraf global disitu.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata projek berharga RM250 juta yang diumumkan pada PRK Kuala Besut Julai tahun lalu akan menjadi kenyataan selepas semua plan pembangunan selesai tidak lama lagi.

Katanya, projek berkenaan kini di peringkat menyiapkan pelan susun atur dan penyusunan semula Pekan Kuala Besut dan pusat peranginan Pulau Perhentian sebelum kerajaan mengeluarkan tender.

“Jawatankuasa khas pemandu juga sedang mengumpul pandangan orang ramai dan cerdik pandai bagi memastikan projek mega di utara Terengganu itu berjalan lancar dan menepati kehendak rakyat.

“Projek Gerbang Pelancongan apabila siap bakal menjadi pintu masuk utama pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu,” katanya Dato’ Idris yang juga Ahli Parlimen Besut .
 

Festival Candat Sotong Antarabangsa disertai 50 stesen tv seluruh dunia

Oleh: Aida Abd Rahman


Festival mencandat sotong peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di perairan Terengganu bermula April ini dijangka lebih meriah apabila 50 stesen televisyen seluruh dunia akan menjadi rakan penyiar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata berikutan kehadiran stesen televisyen seluruh dunia itu, pihaknya akan mengadakan pertandingan rakaman visual terbaik.

"Dalam pertandingan itu nanti, pemenang akan menerima hadiah berupa pakej melawat Terengganu yang ditaja kerajaan negeri seperti penginapan, tambang kapal terbang, makan minum, melawat ke tempat menarik seperti Tasik Kenyir, Air Terjun Cemerong dan sebagainya.

 "Saya dimaklumkan sehingga kini sebanyak 50 stesen televisyen bersedia untuk datang dan kami akan adakan mesyuarat bulan depan untuk muktamadkan masa, persiapan, tempat tinggal dan peralatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota Majlis PBT Terengganu 2014/2015,di Wisma darul iman, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan program candat sotong menerusi tayangan slot stesen televisyen seluruh dunia itu bagi menarik penyertaan pelancong asing.

 Katanya kerajaan negeri mahu mengeksplotasi sepenuhnya keunikan candat sotong supaya pelancong luar datang untuk merasai sendiri bagaimana keseronokan dan istimewanya aktiviti itu.