Halaman

05 February 2014

Dato'Sabri bersama rakyat di pejabat Dun setiap Selasa.

Mesra...Sabri dan Zulkarnain(kanan) bersama seorang penduduk.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 50 hingga 80 penduduk di kawasan Langkap berkunjung ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Setiu pada setiap Selasa untuk bertemu dengan wakil rakyat kawasan itu, Dato’ Sabri Mohd Nor.

Pegawai khasnya, Zulkarnain Ariffin berkata, pada setiap Selasa iaitu antara jam 2.30 hingga jam enam petang Dato’ Sabri akan meluangkan masa untuk bersama penduduk kawasan itu.

“Sejak memegang jawatan sebagai Wakil Rakyat, Dato’ akan bersama-sama penduduk pada setiap petang selasa sekiranya beliau tidak ada urusan penting yang lain.
Sabri...dekat dengan rakyat.

“Pelbagai masalah rakyat akan cuba diselesaikan oleh Dato’ dan kebanyakan yang datang ialah untuk menyelesaikan masalah tanah, mendapatkan bantuan bagi golongan OKU serta yang penduduk berpendapatan rendah.

“Ada juga hal-hal lain termasuklah untuk mendapatkan surat sokongan YB bagi mendapatkan pekerjaan dan kemudahan infrastruktur di kampung masing-masing,” katanya yang lebih dikenali sebagai 'Pak Busu' itu.

Sementara itu, Dato’ Sabri berkata, beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduknya yang membabitkan kebajikan mereka yang memerlukan bantuan dan kemudahan infrastruktur.

Tinjauan Teganukita petang semalam, mendapati kebanyakan yang datang ialah untuk menyelesaikan masalah tanah bersama keluarga masing-masing dan ada beberapa penduduk datang mendapat mendapatkan sokongan Sabri untuk mendapat bantuan.
Beberapa penduduk sedang berada di luar pejabat Dun langkap.
Sabri bersama seorang staf pejabat Dun.

Sedang mendengar masalah seorang penduduk.

Antara yang datang bertemu Sabri.

Udim Salam..selesai masalah tariqah.

Penyelaras Putri UMNO Langkap sedang meneliti sesuatu.
Dua staf penjabat Dun sedang bertugas.

 

04 February 2014

Pasta terima geran tahunan RM30,000

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menyerahkan geran tahunan pengurusan RM30,000 kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta) bagi memastikannya kekal sebagai platform utama melahirkan pemain sepak takraw berwibawa di peringkat negeri dan juga negara sejak 25 tahun lalu.

YB Rozi Mamat menyerahkan geran tahunan RM30,000 kepada Pasta yang diwakili Dr.  Mohamad Omar disaksikan Ibni Amin Busu.
Sumbangan disampaikan Pengerusi jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan penajaan pakaian kepada Pasta.

Hadir sama, Timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu; Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, Encik Jeffri Ngadirin dan Pengetua SMK Padang Midin, Puan Zah Mohamad.

Terdahulu, YB Rozi berharap dengan geran yang meningkat sebanyak RM5,000 kepada RM30,000 berbanding tahun lalu akan melancarkan lagi pengurusan Pasta serta melahirkan lebih ramai atlet yang berkaliber di arena sepak takraw negeri dan juga kebangsaan.

“Kita berharap Pasta dapat melakukan perubahan dari segi taktikal dan kaedah baharu supaya dapt mengatasi skuad sepak takraw dari negara lain. Jika terus dengan teknik lama, saya lihat kita akan kekal di tahap ini sahaja.

“Bukan sahaja dengan Korea, Indonesia dan Myanmar kita dilihat setaraf dan mereka juga lebih melonjak dalam sukan itu. Kita bukan tidak bagus, tetapi kita berada di tahap yang sama, tetapi mereka yang lebih melonjak dengan cepat dan kita harus pertingkatkan lagi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan atlet pelapis negeri dan negara termasuk menyediakan gelanggang yang lebih baik di masa depan.

Katanya, perkara susulan akan dilaksanakan selepas mendapat laporan penuh dari MSNT mengenai keperluan yang sepatutnya disediakan kepada Pasta, tidak lama lagi.

Pasta ditubuhkan pada Mei 1999 yang hanya disertai 12 pelajar sebelum berkembang kepada 34 pelajar pada masa kini.

Kesemua pelajar Tingkatan Satu hingga Lima berkenaan ditempatkan di SMK Padang Midin sebagai pusat latihan dan penempatan, turut menjadi duta kecil negara mempromosikan sukan itu di sekolah, kolej dan universiti di Darwin, Australia menerusi program Cross Culture pada 12 hingga 18 Februari 2010.

 

Karnival Kenyir perkenal pulau bebas cukai

Oleh; Esah AbdullahGambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan mengadakan Karnival Kenyir selama sebulan untuk perkenalkan pulau bebas cukai itu kepada orang ramai bermula 29 April hingga 29 Mei depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Haji Mohd Jidin Shafee berkata, karnival ini diadakan sebagai promosi percubaan ke arah menjadikan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai pada 2015.

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kebenaran berlesen kepada pengusaha-pengusaha besar datang menjalankan perniagaan di sini," katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini.

Di samping pengusaha kedai bebas cukai pelbagai acara akan diadakan seperti persembahan muzik keislaman, kebudayaan, nyanyian, pertunjukan udara, darat dan air serta lebih 20 outlet menyertainya.

Katannya, sebagai persiapan beberapa penambahbaikan dilakukan terutama pengangkutan awam serta kemudahan lain di tasik dan pulau yang dijangka akan menerima 500,000 pengunjung sepanjang promosi berkenaan.

 "Kita akan mengambil kira rungutan yang diterima terutama dari segi penginapan, sistem pembentungan, elektrik, air serta bahan kubahan yang boleh mencemarkan persekitaran tasik dan pulau," katanya.

Menurutnya, pengindahan di kawasan tumpuan menjadi agenda utama termasuk di pintu masuk ke tasik dan pulau serta mendalamkan muka kuala bagi memberi keselesaan kepada pelancong ke negeri ini.
 

Tubuh SRS tangani jenayah

Oleh: Suriati Ali 

Penduduk setempat perlu berganding bahu dalam memerangi kegiatan jenayah di kawasan masing-masing dengan turut menyertai aktiviti kemasyarakatan sama ada peringkat kampung atau Dewan Undangan Negeru (DUN) .

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abd Rahman berkata, kerjasama dan sumbangan masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memerangi jenayah yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat sekeliling.


Menurutnya, melalui pelbagai penubuhan unit yang diwujudkan secara sukarelawan antaranya Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sewajarnya ia menarik penglibatan semua pihak.

 “Nilai kesedaran tinggi masyarakat terhadap usaha untuk memerangi jenayah bukan sahaja melancarkan lagi usaha pihak berkuasa, sebaliknya turut memastikan keaadan sekeliling lebih selamat dan harmoni.

“Saya berharap agar semua pihak terutamanya penduduk kampung perlu aktif melibatkan diri serta menjadi ahli SRS yang akan membuat rondaan pada waktu malam,” katanya ketika melawat pos kawalan SRS Bukit Chempaka , Batu Rakit, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Katanya, penubuhan SRS dilihat telah banyak memberi kesan terhadap keamanan bagi ketenteraman masyarakat awam khususnya bagi membendung gejala pecah rumah.

 “Pihak kami berharap, pemimpin peringkat kampung yang belum menubuhkan pasukan SRS diharap prihatin mengenainya , dan mengambil contoh kaedah dan bagaimana ia berfungsi, supaya turut bersama-sama menubuhkannya,” katanya.

 

Karnival ICT di PSKT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 5,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan belia dijangka hadir memeriahkan Karnival Teknologi Maklumat (ICT ) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Karnival tahunan anjuran PSKT dengan kerjasama Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) itu berlangsung selama enam hari dan berakhir 18 Februari itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihak kami mengatur pelbagai acara menarik, termasuk seminar, pameran dan jualan produk ICT semata-mata mahu mearik minat pengunjung.

Menurutnya, selain itu, acara sampingan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan dan permainan interaktif turut diadakan bagi memenuhi kehendak pengunjung tetap karnival..

“Penganjuran karnival ini, adalah untuk memperkasakan pendidikan ICT dan multimedia kepada orang ramai.” Katanya.

Karnival itu dijangka dirasmikan Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 

i-BR1M beri manfaat kepada golongan kurang berkemampuan

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 7 juta penerima bakal mendapat manfaat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijangka akan bermula pertengahan April ini.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan buat pertama kalinya BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, disamping pemberian BR1M, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberikan kepada semua penerima BR1M.

Katanya, ia bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Kita sedia maklum penerima BR1M terutama mereka yang kurang berkemampuan tidak banyak pengetahuan dan pendedahan mengenai insurans.

“Malah, ada sesetengah ketua isi rumah berpendapat mengambil insurans itu satu pembaziran. Sedangkan sebenarnya insurans amat penting untuk masa depan keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meyempurnakan Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, semalam.

“Melalui i-BR1M, banyak manfaat yang bakal diperoleh ahli keluarga sekiranya ketua keluarga meninggal atau hilang keupayaan untuk bekerja,” katanya.

 

Suhu sejuk dijangka berakhir akhir bulan ini.

Oleh: Aminudin Ismail. 

KEADAAN suhu rendah yang melanda di kebanyakan kawasan di negeri ini dijangka akan berakhir pada hujung Februari ini.

Penolong Pengarah Pejabat Meteorologi Pahang, Norain Farah Aida Ismail ketika dihubungi Teganukita, berkata fenomena suhu sejuk yang melanda beberapa tempat di negara ini adalah fenomena biasa.

“Suhu udara sejuk daripada biasa yang dirasai di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak pertengahan bulan lalu adalah disebabkan tiupan angin Timur Laut yang agak kencang.

“Sebenarnya keadaan suhu rendah ini pernah berlaku di beberapa tempat sebelum ini tetapi mungkin di kawasan tertentu ia baru berlaku.

“Tiupan angin ini datangnya dari tanah besar China yang pada ketika ini sedang mengalami musim sejuk.

“Disebabkan tiupan angin ini sangat kuat dan mengenai keseluruhan negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia jadi kerana ini negeri-negeri ini berkeadaan lebih sejuk berbanding negeri di Pantai Barat,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan kedinginan ini keadaan cuaca masih berada di tahap yang baik dan ianya dijangka akan kembali normal pada akhir bulan ini.

Sementara itu, tinjauan Teganukita di beberapa tempat sebentar tadi (sekitar jam 11 pagi) di Setiu mendapati walaupun matahari memancar namun bacaan suhu tidak meningkat iaitu sekitar 19 dan 20 darjah celcius.

 

Tunggu YAB MB beri nasihat atau kata dua : Wan Ahmad Nizam

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Datuk Wan Ahmad Nizam
Semua pemain T-Team dan Terengganu diminta meneruskan fokus, bersemangat dan berusaha mencari kemenangan dalam semua baki perlawanan musim ini, sementara penyokong pula dinasihatkan bersabar dan terus setia menyokong kedua-dua pasukan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

 “Dua pasukan ini dinaungi sepenuhnya oleh YAB Menteri Besar, Dato' Sri Haji Ahmad Said. Saya sudah bercakap mengenai perkara itu (insiden di Larkin) dengan beliau petang tadi dan saya akan membuat keputusan atau mungkin Menteri Besar sendiri akan memberi nasihat atau kata dua dalam hal ini.

"Harapan saya peminat serta pemain sendiri bersabar serta meneruskan perjuangan dengan memberi fokus terhadap kesemua baki perlawanan yang masih banyak. Bermain bersungguh-sungguh dan lupakan seketika cerita-cerita lama ini,” katanya ketika bersiaran di radio Manis FM, malam tadi.

Wan Ahmad Nizam berkata demikian sebagai mengulas kemelut membabitkan pasukan kelab, T-Team dengan Johor Darul Takzim ketika aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Menurut beliau, pada era bola sepak profesional kini, sepatutnya insiden sebegitu tidak lagi berlaku apatah lagi kes ini bukan seperti kelaziman, iaitu melibatkan penyokong dan pemain, tetapi kali ini membabitkan pengurusan tertinggi pasukan.

Beliau yang sangat kecewa dengan isu itu, juga berharap kejadian sebegini tidak merencatkan prestasi dan mengganggu emosi pemain apatah lagi T-Team, pasukan kelab yang masih baru dibentuk dari Terengganu untuk menambahkan kerancakan persaingan Liga Malaysia.

“Saya minta pemain bersabar kerana perkara luar jangka boleh berlaku dalam setiap perlawanan bola sepak, tetapi lazimnya pergaduhan berlaku antara pemain dan juga penyokong. Tetapi ini pergaduhan berbeza sedikit. Saya mahu pemain bersabar dan meneruskan persaingan serta menanamkan semangat untuk menang sekali gus pastikan Terengganu mahu pun T-Team dapat menduduki tempat lima terbaik dalam liga,” katanya.

Tambah beliau, sebagai individu yang memegang mandat menjaga pengurusan bola sepak negeri, beliau mengarahkan untuk membuat laporan polis selain menghantar laporan penuh mengenai kejadian itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya badan itu mengambil tindakan  menyeluruh dan adil agar memberi impak yang baik kepada sukan itu di musim ini.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam juga meminta FAM supaya mengambil inisiatif untuk memastikan mutu pengadilan terus dipertingkatkan berikutan masalah itu turut menjadi punca kepada tercetusnya insiden provokasi yang berlanjutan kepada pergaduhan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

 “Pengadil-pengadil kita perlu terus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa supaya pengalaman dan ilmu yang diperolehi itu mampu dipraktikan dalam mengadili perlawanan di peringkat negara, sekali gus mengelak berlaku pelbagai kejadian tidak diingini," katanya.

 

Beg sekolah percuma dari UMNO Besut.

GEMBIRA…Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Zaihan sedang menyampaikan sumbangan beg kepada sebahagian daripada kanak-kanak sekolah dari tiga Dun di Parlimen Besut di Dataran Kuala Besut, kelmarin.

Kira-kira 150 murid dari Dun Jertih, Kota Putra dan Kuala Besut menerima beg sekolah itu melalui program Membara Kembali Ke Sekolah yang dikendalikan Pemuda dan Puteri UMNO Besut.

Melalui program ini, Pemuda dan Puteri akan memasuki kawasan kampung di empat Dun di Parlimen Besut untuk mencari keluarga yang agak susah dan menghulurkan bantuan terutamanya kepada kanak-kanak sekolah.

Pehimi...usaha murni.
Adun Jertih. Muhamad Pehimi Yusof berkata, usaha murni dilakukan Pemuda dan Puteri UMNO itu akan memberi manafaat kepada ibubapa yang terpilih.

“Inya Allah, anak-anak kita nanti apabila mereka berjaya, bukan sahaja mereka boleh membantu kedua ibubapa malah mereka juga dapat membantu masyarakat di sini dan negara kita,” katanya ketika berucap di majlis itu

Turut hadir Ahli Parlimen Besut, Dato' Seri Idris Jusoh dan Adun kota Putra, Mohd Mahdi Musa.- Aminudin Ismail.


Sebahagian yang hadir.

Jemputan khas yang hadir

Tunggu giliran terima beg

Pehimi melancarkan program.

Antara jemputan yang hadir.



 

03 February 2014

Tambah perpustakaan desa pupuk budaya minat membaca

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaaan negeri menyambut baik usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menambah bilangan perpustakaan desa bagi membudayakan tabiat membaca di kalangan anak-anak Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Terknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain mempertingkatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kerajaan negeri juga akan memperluaskan kemudahan dari segi penggunaan bahan bacaan.

“Bagi memupuk minat membaca anak-anak pada masa akan datang, mungkin suatu masa nanti PPAT akan membuat satu transformasi iaitu konsep membaca secara virtual (maya).
"Dengan penggunaan media eletronik, secara tidak langsung kaedah ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan bercetak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesom, Tuan Haji Mohd Jik Abdul Rahman.

Katanya, konsep maya merupakan tarikan baru kepada generasi abad ini untuk mereka mahir dalam bidang ICT serta manfaatkan kemudahan tersebut bagi menambah pengetahuan dalam sesuatu perkara berasaskan kepada pembacaan.

Mengulas mengenai perasmian perpustakaan tersebut, Dato’ Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, usaha PPAT mengadakan kerjasama dengan JKKK Kampung Kesom melakukan pengubahsuaian balai raya di kampung tersebut untuk dijadikan perpustakaan desa harus dicontohi oleh semua pihak.

Difahamkan, Perpustakaan Desa Kampung Kesom mula beroperasi pada 1 Januari lalu dengan seorang petugas yang bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada penduduk sekitar.

Sebagai permulaan, perpustakaan desa yang ke-52 di Terengganu itu menyediakan sebanyak 3788 naskhah buku dalam pelbagai bidang termasuk motivasi, agama, pendidikan, masakan, kraftangan, novel dan sebagainya.

Tujuh unit komputer turut disediakan untuk kegunaan orang ramai. Sehingga kini, bilangan ahli yang mendaftar adalah seramai 66 orang dan 400 naskhah buku telah dipinjam.