Halaman

09 February 2014

Orang ramai dipelawa sertai Program Pasca Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali

 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) melalui Pusat Bahasa Terengganu akan menganjurkan Program Pasca Bahasa Inggeris sebagai langkah memantapkan penggunaan bahasa itu kepada masyarakat umum, terutama pelajar.

 Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program itu mempunyai dua sesi pembelajaran di mana sesi pertama berlangsung pada 12 Januari lalu dan sesi kedua pula akan bermula pada 13 Mac ini.

 Manakala kelas yang ditawarkan pula mempunyai empat kategori iaitu pendedahan `Malaysian University English Test’ (Muet);aktiviti temuduga; menulis laporan; latihan sebutan dengan betul; aktiviti `public speaking’ dan membuat persembahan di khalayak ramai.

“Apa yang ditawarkan itu bukan saja mempunyai kelebihan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah memberi maklumat berguna kepada masyarakat umum, termasuk suri rumah, golongan bekerja dan penuntut universiti.

 “Apa yang penting, mereka mahu belajar, selain mempunyai minat untuk membaiki kelemahan penulisan dan penggunaan bahasa itu. “Semua kategori kelas ditawarkan dikenakan yuran yang berpatutan iaitu semurah RM140 hingga RM450 bagi tempoh pembelajaran selama 40 jam,” katanya.

 Katanya, apa yang istimewanya, yuran yang dikenakan itu, termasuk makan tengahari, sarapan pagi serta nota. Kelas bermula antara jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

 “Penyertaan masih dibuka, setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 20 orang murid kerana lebih praktikal.

 “Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

 PPAT meminta orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti kelas yang tawarkan itu kerana terbukti memberi kesan positif berdasarkan pengalaman dan maklum balas daripada peserta terdahulu. Jika berminat sila hubungi 09-625 5452

 

Kecewa Dengan FAM, Ahmad Mahu Pemain T-Team Sumpah al-Quran Demi Kebenaran

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, yang nyata kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM kelmarin memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.

Berikut adalah kenyataan tegas beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat Kampung Pelandan, Hulu Terengganu, Jumaat, 7 Februari 2014.



 "Saya amat kecewa dengan keputusan FAM (beri kemenangan kepada JDT).

"FAM kena profesional, jangan double standard.

Kalau beginilah cara, saya percaya bola sepak Malaysia tak akan ke mana.

"Saya akan panggil pasukan T-Team dalam masa terdekat ini.

Kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan saya akan minta para pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan saya, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."

"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.

"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya.

Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak jawatankuasa FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing.

Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira FAM.

 "Dulu juga pernah berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika menyaksikan perlawanan antara JDT dengan Pahang, kemudiannya diadakan perlawanan ulangan, kenapa boleh pula.

"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.



SEKITAR MENTERI BESAR TERENGGANU BERSAMA PENDUDUK PELANDAN, HULU TERENGGANU









Sekeluarga gigih bertani.

SEGAR...seorang surirumah,Zaidon Muhammad, 46, sedang mengasingkan timun mengikut gred ke dalam bekas yang disediakan selepas mengutip tanaman itu yang ditanam di kebun yang diusahakan bersama suaminya di Kampung Langkap, Setiu, kelmarin.

Menurut suaminya, Samsuddin Mohamad, 55, dia mula menanam timun itu sejak akhir Disember lalu di atas tanah seluas kira-kira satu ekar dan mula menuai hasilnya kira-kira sebulan selepas ditanam.

"Saya mula mengutip hasil timun ini sejak seminggu lalu dan Ini adalah kali ke enam saya mengutip timun ini. Setiap kali kutip saya memperolehi sekitar 200 kilogram dan menjualnya kepada peraih yang datang membeli di rumah.

Samsudin (kiri) bersama adik dan seorang rakannya.
"Dalam semusim saya memperolehi pendapatan sekitar RM5,000 dan ia ditanam dalam tiga musim setahun," katanya yang pernah mengusakan tanaman cili merah sebelum itu.

Selain isteri, Shamsuddin juga turut dibantu anak-anaknya, mertua dan seorang adiknya dalam mengusahakan pelbagai jenis tanaman itu.

Beliau yang mendapatkan bantuan membajak dan khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian itu menjadi petani dan mengusahakan pelbagai jenis tanaman sejak usia masih muda lagi.- Aminudin Ismail.


08 February 2014

PRK Kajang: UMNO Setiu akur keputusan Najib.

Mohd Jidin...perkukuh jentera parti.
Oleh: Aminudin Ismail.

UMNO Setiu akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengenai calon pilihanraya kecil (PRK) Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac depan.

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, setakat ini ahli UMNO masih lagi menunggu keputusan presiden UMNO itu dan menghormati sebarang keputusan dibuat.

"Dan jika Barisan Nasional (BN) meletakan calon, kita diperingkat negeri dan bahagian akan turut membantu jentera pilihanraya itu nanti," katanya yang juga Adun Permaisuri dan Exco kerajaan negeri itu.

Mohd Jidin berkata, walaupun pelbagai andaian dikeluarkan mengenai PRK itu tetapi BN perlu memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya itu.

"Ini adalah soal parti dan kepentingan negara, kita akan menghadapinya dengan baik dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN samada mahu letakan calon atau tidak.

"Dan kita diperingkat sokongan, sentiasa berdiri teguh untuk sebarang arahan yang akan diberikan nanti," katanya kepada Teganukita.

Dalam pada itu, Mohd Jidin berkata, secara peribadi, beliau menyokong sepenuhnya sekiranya BN meletakan calon pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Dari segi perlawanan, kita memang menyokong (pencalonan), kita tidak boleh biarkan sesuatu yang kita tetapkan dalam sebuah negara dipermainkan. Dan kalau berhadapan dengan peraturan-peraturan, saya sangat penyokong kita meletakan calon (di PRK itu)," katanya.

Mohd Jidin berkata, Barisan Nasional akan meneruskan agenda bagi membangunkan negara dan membantu rakyat tanpa memikirkan sangat soal-soal yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan beliau mengharapkan pengundi Dun Kajang akan memilih BN sekiranya ada pertandingan dalam PRK itu.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan penyandangnya Lee Chin Chen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Januari lalu.

Lee memenangi kerusi Dun itu dengan majoroti 6,824 undi dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Mei tahun lalu.

Hari ini (8 Feb 2014), SPR melalui Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumunkan bahawa tarikh penamaan calon PRK itu ialah pada 11 Mac manakala tarikh pengundian ialah pada 23 Mac ini.


 

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) jadi pusat integrasi masyarakat


Ahmad ketika melawat gerai Bank Simpanan Nasional (BN)

Oleh: Mohammad Ishak 

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang ditubuhkan di negeri ini akan dijadikan pusat pengumpulan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk terutama di kawasan luar Bandar.

Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti dan Infodesa, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Ahmad Sulaiman berkata, RTK akan dijadikan pusat integrasi yang menyediakan perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian.

Katanya, RTS juga akan memfokoskan kepada skim latihan jangka pendek kepada penduduk setempat dalam pelbagai bidang bagi melahirkan usahawan berkalibar.

Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan di RTS termasuklah latihan kemahiran, pertanian, pemerosesan produk agro makanan, perkhidmatan kesihatan, kemudahan pembiayaan kewangan dan latihan dalam bidang teknologi maklumat.

“Medan Info di RTC dapat membantu penduduk setempat mempromosikan hasil produk selain mendapat latihan dalam bidang kemahiran,” katanya ketika merasmikan Perkhidmatan Bank Negara Malaysia (BNM) Link Bergerak di Kampung Tok Has, dekat Jertih, hari ini.

Ketika ini,katanya Terengganu mempunyai 34 RTC yang dibangunkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi faedah penduduk.

Beliau berkata, penduduk boleh menyertai aktiviti yang berpusat di RTC yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sempena dengan program itu, penduduk mendapat perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan bank yang mengadakan pameran mengenai fungsi dan tanggungjawab masing-masing.

Hasil berbudi kepada pantai.

REZEKI...seorang nelayan, Mat Isa Said sedang mengangkat temerang yang ditahannya bagi menangkap ikan kerapu di Pantai Merang, Setiu, kelmarin.

Mat Isa yang bekerja sebagai nelayan sejak lebih 20 tahun itu memperolehi sebanyak 400 dan 500 ekor anak ikan kerapu setiap kali dia mengangkat temerang yang ditahannya.

Mat Isa berkata, hasil tangkapanya itu dijual kepada penternak ikan kerapu dengan harga sekitar 15 sen seekor dan mampu memperolehi pendapatan antara RM50 dan RM60 sehari.

Banyak...Isa menunjukan anak ikan kerapu yang ditangkapnya.
Menurutnya, anak ikan kerapu ini ditangkap dengan cara merendamkan daun pokok celorang atap ke dalam laut selama sehari.

"Daun itu diikat sebanyak kira-kira 15 berkas dalam satu tali panjang yang disebut temerang yang menjadi tempat anak ikan kerapu berlindung.

"Kemudian daun ini akan digoncang untuk mengeluarkan ikan kerapu yang terlekat pada daun itu ke dalam bekas berjaring sebelum dialihkan ke dalam bekas yang mengandungi oksigen," katanya.- Aminudin Ismail.

 

07 February 2014

Ahli Exco Negeri YB Muhamad Pehimi Yusof dekati penduduk


YB Muhamad Pehimi Yusof beramah mesra dengan penduduk

Oleh: Mohammad Ishak 

Program turun padang mendekati penduduk yang dilakukan Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof dengan sesi sarapan pagi dan mendengar aduan rakyat mendapat sambutan dan pujian dari rakyat.

Selepas bergelar Ahli Exco Negeri Muhamad Pehimi memulakan langkah menyusun jadual dengan menemui orang ramai terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, berkata program sarapan pagi bersama rakyat dapat merapatkan lagi hubungan selain dia sendiri dapat mengetahui pelbagai permasalahan rakyat secara langsung.

Penduduk di Perumahan Awam Seberang Jertih, adalah destinasi pilihan Muhamad Pehimi hari ini apabila beliau mengatur jadual menemui komuniti sambil beramah mesra dan mendengar apa sahaja rintihan orang ramai.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih dan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Jertih sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Rata-rata penduduk yang hadir mengambil kesempatan untuk menyampaikan pelbagai permasalahan mereka untuk diberi perhatian dan pertimbangan oleh Muhamad Pehimi.

Malah, beliau secara terus terang menyatakan tidak mampu untuk menemui semua rakyat kecuali menernusi program secara berkelompok yang dianjurkan oleh pejabat terbabit.


Sempena kehadiran beliau di kawasan perumahan itu, seramai 12 penduduk yang uzur dan sakit diberi sumbangan hamper sebagai tanda ingatan.

500 hadir sambutan tahun baru Cina Setiu.

Kanak-kanak menerima ang pau dari 3 YB.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KIRA-KIRA 500 penduduk Kampung Fikri, Setiu dan sekitarnya, bersama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Masyarakat Cina Tiong Hua dan Siam Daerah Setiu, yang diadakan di kampung itu, semalam.

Majlis yang bermula kira-kira jam 8 malam itu disajikan dengan jamuan makan malam, pertunjukan tarian singa, persembahan gendang panjang dan pemberian ang pau kepada kanak-kanak.

Mohd Jidin dan isteri bersama-sama mengaul yee sang.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Adun Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafie, Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dan Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Pengerusinya Wee Beng Hai, berkata seramai kira-kira 100 masyarakat Cina dan 100 masyarakat siam hadir menjayakan sambutan itu dan beliau berterima kasih kepada semua yang hadir terutamanya kepada tiga wakil rakyat dan penduduk kampung.

"Ini adalah acara tahunan kita dan sambutan orang ramai begitu mengalakan dan pada tahun depan kita akan membuat lebih meriah lagi dan bercadang membuat di dalam dewan yang lebih besar dan akan menjemput Menteri Besar," katanya.
Persembahan tarian singa

Gendang panjang turut dimainkan.

Kanak-kanak beratur menarima ang pau.

Isteri Dato Mohd Jidin (dua dari kanan) bersama Ketua Wanita (dua dari kini)

Wee (baju kuning) melayani tetamu.

Penduduk kampung turut memeriahkan majlis.

Antara jemputan yang hadir.

Terima..seorang kanak-kanak menerima ang pau.

Tetamu turut sama mengaul yee sang.

 

Delegasi Nazir Brunei puji Insentif Bai'ah diperkenal Kementerian Pendidikan

Oleh: Noraini Jusoh

Delegasi Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei memuji pelaksanaan program Tawaran Baru atau Bai'ah oleh Kementerian Pendidikan bagi memberi penghargaan kepada guru dan sekolah yang berjaya menaikkan prestasi kecemerlangan akademik.

Program Bai'ah merupakan program insentif diberikan kepada guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan akademik sekolah dengan guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain RM900 seorang.

Pemangku Pengarah Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei Tan Lian Lian berkata, pihaknya berpendapat program itu merupakan amalan terbaik untuk dicontohi dan diaplikasikan di negaranya.

 "Untuk mendapat gelaran sekolah berprestasi tinggi bukan senang dan untuk mempertahankannya juga bukan mudah. Ini boleh diamalkan untuk menjamin kualiti pendidikan di sesebuah negara dan lawatan ini memberikan kami gambaran untuk berbincang dengan pihak atasan (untuk dilaksanakan di negara kami)," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jalinan Silaturahim bersama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu dan Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Nazir dan Jaminan Kualiti Terengganu Wan Ahmad Hizan Wan Hassan.

Tan berkata, pihaknya juga berminat mencontohi pelaksanaan sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kluster kecemerlangan di negara ini.

"Kami juga tertarik dengan sistem pembelajaran di Terengganu yang menggunakan e-book kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk akses kepada teknologi.

"Di Brunei, cuma ada satu sekolah yang menggunakan sistem pembelajaran seperti e-book ini tetapi kami menggunakan iPad dan baru dilaksanakan tahun lepas, mungkin di Brunei kita juga perlu memikirkan perkara sama," katanya.

Lawatan empat hari itu turut disertai Penolong Pengarah Nazir Brunei Ardinah Orang Kaya Maha Bijaya Othman dan 10 lagi nazir yang bertujuan memperkukuhkan hubungan jemaah nazir kedua-dua negara serta melihat sistem pendidikan di negara ini, khususnya di Terengganu.