Halaman

12 February 2014

Misi ke Antartika bukan pembaziran

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tetap dengan pendirian, misi penerokaan ilmu ke Antartika bukan satu pembaziran sebaliknya membawa ilmu cukup bermakna kepada generasi akan datang.

Menteri Besar bersama SUK Terengganu ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Menyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman.

Katanya,bangsa dan agama lain sudah lama ke sana dengan menjalankan pelbagai kajian, mempunyai ‘base station’ dan kita baru hendak memulakan, walaupun mengetahui sudah lama patut diusahakan.

“Pembangkang hanya pandai melihat semua usaha kerajaan itu satu pemaziran, termasuk misi ke Antartika, sedangkan dalam agama kita sendiri, kita diajar, perlu meneroka ilmu hingga ke serata dunia.


“Pihak itu sebenarnya dengki, ketika dia dapat memerintah dulu pun, tetap ada misi ke luar negara untuk pelbagai tujuan, apabila kerajaan Barisan Nasional mentadbir Terengganu, semuanya tidak kena dan apa yang dilaksanaka dianggap membazir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, program itu membuktikan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

“Kalau kita ketinggalan dalam kajian di sana, maka kita akan terus ketinggalan dalam mengetahui perubahan yang sedang berlaku di kutub yang juga memberi suatu kesan kepada perubahan alam seluruhnya,” katanya

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan menganjurkan satu seminar berkaitan kajian Antartika dalam tempoh terdekat sebagai langkah menyebar dan memperluaskan ilmu kepada masyarakat setempat terutama golongan pelajar dan penuntut universiti.

“Dalam seminar berkaitan, sainstis yang pernah menjalankan kajian di negara itu akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja dan berkongsi pengalaman,’” katanya.

 

JKKN Terengganu sambut baik bengkel keselamatan untuk penggiat seni

Oleh: Noraini Jusoh

Encik Zaifri Husin
Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Terengganu menjadi tuan rumah kepada Bengkel Pengenalan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Di Pentas Seni Persembahan yang dianjurkan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Peserta terpilih terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan kerja-kerja belakang pentas dan termasuk penggiat seni berkumpul di kompleks itu bagi mengikuti bengkel yang dikendalikan Pegawai Kebudayaan Kanan, Pusat Pengajian Seni USM, Encik Mohd Yusof Bakar.

Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zaifri Husin berkata, kerjasama dalam mengadakan program sedemikian diharap akan berterusan kerana banyak memberi pengetahuan dan pendedahan kepada mereka yang selalu terlibat dengan pentas seni persembahan.

“Bengkel ini banyak memberi pendedahan mengenai bahaya dan risiko sekiranya mereka yang terlibat dengan sesuatu persembahan pentas termasuk pekerja belakang tabir, pelakon, juru mekap dan sebagainya jika tidak peka terhadap keselamatan diri masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup bengkel berkenaan di Kompleks JKKN Terengganu.

Menurut En Zaifri, bengkel yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja itu diharap memberi manfaat kepada peserta seterusnya dikongsi dengan mereka di luar sana.

“Melalui bengkel ini, peserta turut ditunjukkan demostrasi bagaimana cara-cara mengunakan peralatan keselamatan yang betul bagi melakukan kerja-kerja pembinaan pentas dan juga dibawa melawat auditorium dan diberi penerangan apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di panggung;” ujarnya.

Katanya, beliau menyambut baik usaha mana-mana pihak menganjurkan program seumpama itu dan bersedia menjalin kerjasama dalam membantu pihak yang berkenaan
memberi maklumat dan info-info mengenai aspek keselamatan dan kesihatan khususnya kepada penggiat seni.

 

ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan sumbang kerusi roda elektrik kepada pesakit


Kegembiraan jelas terukir kepada Noraini selepas menerima kerusi roda dari ADUN Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Hasrat seorang surirumah untuk mendapatkan kemudahan kerusi roda bagi memudahkan beliau bergerak di dalam rumah akhir menjadi kenyataan.

Noraini Mohd.35, dari Kampung Seri Kemunting,Kuala Besut, yang lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan tiga tahun lalu semalam menerima sebuah kerusi roda elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, yang dimaklumkan mengenai nasib malang menimpa wanita itu  bertindak ,menyumbangkan kerusi berkenaan di rumahnya semalam.

Noraini yang terkejut dengan kehadiran ADUN berkenaan tidak menyangka pemimpin itu datang sendiri ke rumahnya untuk menyerahkan kerusi roda.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat kerana prihatin dengan masalah rakyat termasuk diri saya,” katanya.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seri Kemunting, yang mengesan masalah penduduk setempat kemudian mengemukakan masalah dihadapi Noraini kepada pejabat ADUN Kuala Besut.

Tengku Zaihan berkata, beliau menghargai tanggungjawab yang dilakukan oleh JKKK kampung terbabit kerana memaklumkan kepadanya mengenai masalah penduduk untuk diambil tindakan.

2,600 remaja Dun Langkap terima duit kelmarin dan hari ini

Sabri menyampaikan dana kepada remaja.
Oleh: Aminudin Ismail.

SELEPAS tiga Dun di Parlimen Setiu selesai membahagikan wang dana remaja, kelmarin dan hari ini giliran Dun Langkap pula menerimanya bagi mengakhiri pembahagian wang sumbangan kerajaan negeri itu kepada golongan remaja yang belum berumahtangga dan layak mengundi bagi tahun 2013.

Seramai kira-kira 2,600 pemuda menerima wang daripada kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM200 seorang yang diadakan selama dua hari di dua tempat berasingan membabitkan sebanyak 31 buah kampung.

Dua tempat itu ialah di Dewan Orang Ramai Kampung Rahmat (kelmarin) dan hari ini diadakan di Dewan Sungai Tong.

Rata-rata penerima yang ditemui Teganukita berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas pemberian dana itu kerana ia boleh digunakan untuk membeli beberapa keperluan harian.

Sementara itu, Adun Langkap, Dato'Sabri Mohd Nor yang turut sama hadir, mengharapkan remaja di Dun Langkap itu terus memberi sokongan kepada kerajaan BN kerana ia banyak memberi manafaat kepada golongan itu.

“Kita ada banyak agenda untuk golongan belia ini termasuklah yang sudah dilaksanakan. Kita mahu belia-belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap supaya menjadi usahawan dengan membabitkan diri dalam pelbagai bidang samada pertanian, penternakan, industri kecil dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir kelmarin ialah Adun Jabi, Iskandar Jaafar yang mahu golongan remaja dan belia di negeri Terengganu ini tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan sesetengah berita dan tohmahan palsu yang dilemparkan pihak tertentu kepada kerajaan melalui internet.
Iskandar turut hadir menyampaikan dana di Kg.Rahmat, kelmarin.

Sabri bertanyakan sesuatu kepada seorang pemuda.
Penerima dana di Sungai Tong hari ini.

Penerima cop jari sebelum terima wang.

Antara tetamu yang hadir

Usahawan ternakan lembu memberi motivasi.

Ahli Parlimen Setiu ketika berucap merasmikan majlis di Sg.Tong, hari ini.

Seorang pemuda cop jari sebelum terima wang.

Antara menerima dana yang hadir

Angota Polis yang bertugas berbincang sesuatu.
Antara petugas bagi melancarkan pemberian dana.

 

11 February 2014

Utamakan kebersihan premis makanan-YB Pehimi

Oleh: Noraini Jusoh

Pemilik premis makanan di Terengganu terutamanya restoran dan kedai makan disaran mengutamakan aspek kebersihan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof berkata, makanan yang disediakan pengusaha makanan bukan sahaja perlu lazat dan murah tetapi juga tidak menjejaskan kesihatan pelanggan.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 khususnya, saya mengharapkan pengusaha makanan agar mengutamakan kebersihan makanan di premis-premis perniagaan mereka supaya lebih ramai pelancong datang ke Terengganu,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut YB Pehimi, pemantauan telah dibuat secara berterusan oleh Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu melalui pejabat kesihatan daerah bagi memastikan premis perniagaan mematuhi setiap arahan yang telah ditetapkan.

“Pemantauan yang dilakukan tidak hanya fokus di lokasi tertentu tetapi melibatkan semua lokasi kecuali ada kes-kes yang memerlukan untuk diberi perhatian khusus,” ujarnya.

Katanya, usaha untuk memastikan pengusaha permis makanan mengutamakan kebersihan turut dilaksanakan oleh kerajaan dengan kerjasama hospital dan majlis perbandaran.

 “Kita memberi kerjasama dalam membantu pihak berkenaan mengkategorikan restoran ataupun kedai-kedai makan yang mana pengiktirafannya dikeluarkan oleh jabatan kesihatan,” katanya.

 



Maidam wujud PPD bantu golongan asnaf

Oleh: Suriati Ali

 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membina Pusat Pertumbuhan Desa (PPD), di Bukit Diman, Hulu Terengganu sebagai langkah membantu golongan asnaf di negeri ini  hidup berdikari.

 Pusat yang bakal dibina dalam tempoh terdekat di kawasan seluas 28.6 hektar itu membabitkan peruntukan kira-kira RM60 juta dan boleh menampung antara 200 hingga 300 peserta, selepas siap sepenuhnya akhir 2015 nanti.

 Projek yang diasingkan kepada tiga kumpulan itu bakal dihuni tiga golongan iaitu warga emas terbiar ditempatkan dibawah program al-Birru, gadis bermasalah dan berdepan dengan hukuman penjara (al-Islah) dan bagi penghidap HIV pula melalui program al-Tai’bin.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Haji Rozali Saleh, pihaknya berasa terpanggil melaksanakan projek besar itu selepas melihat golongan tertentu, terutama warga emas, gadis bermasalah dan penghidap HIV sering dipinggir masyarakat.

 “Mereka ini sangat memerlukan bantuan sama ada berkaitan kewangan, tempat berlindung dan sokongan moral masyarakat setempat.

 “Kita perlu membantu golongan itu agar tidak terus dibelenggu masalah sedia ada, dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Jawatankuasan Masjid, di Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

 Dato’ Haji Rozali berkata, sebagai permulaan, pogram al-Birru akan dilaksanakan pada Mei ini di kawasan Masjid Tebing Tembah, Paka, Dungun membabitkan peruntukan RM8 juta.

 Katanya, kira-kira 50 hingga 60 peserta warga emas ini bukan saja akan diajar ilmu agama Islam, mengaji al-quran malah dibenarkan bekerja dengan membungkus makanan atau pakaian untuk dibekalkan ke sekolah mahupun asrama.

 “Tugas mudah yang dijalankan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kerana mereka diberi imbuhan untuk simpanan masing-masing,” katanya.

 

Demi maruah dan harga diri : MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mempertahankan tindakan melafaz sumpah dengan al-Quran sebagai menegakkan kebenaran, membersihkan nama, menjaga maruah dan harga diri rakyat Terengganu serta individu yang terlibat.

“Tindakan kita bukan untuk mempermainkan kitab suci al-Quran yang menjadi sumber rujukan umat Islam, apabila timbul pertikaian yang melibatkan maruah, harga diri rakyat Terengganu dan harga diri pihak tertentu, maka kita tiada pilhan. Kerana dalam dunia hari ini masing-masing hendak mengaku mereka tidak bersalah dan mereka tidak buat.


“Sebab itu saya lebih teruja untuk menyaksikan acara ini dilaksanakan kerana pada peringkat awal saya tidak menjangkakannya akan dibuat. Tetapi apabila saya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, apabila JDT (Johor Darul Takzim) membuat laporan polis mengatakan kejadian ini tidak benar, termasuk pengakuan yang dibuat oleh pemain T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani yang berasal dari Johor mengatakan ini tidak berlaku, jadi saya tercabar, seolah-olah anak buah saya, mungkin pemain T-Team ini sudah menipu dan membohongi saya serta rakyat Terengganu.

“Jadi untuk membuktikan kebenaran perkara ini dan mereka tidak berbohong, apatah lagi bercakap menerusi televisyen ke seluruh negara, seolah-olah kita menipu orang. Jadi jalan terbaik, kita mengadakan sumpah pada malam ini, bagi membuktikannya,” kata beliau kepada pemberita di Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh.

Menteri Besar juga terharu dengan keberanian dan ketegasan penolong jurulatih, Azlan Johar dan pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali selaku saksi kejadian yang sanggup bersumpah walaupun menyedari risiko sekiranya berbohong.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad juga sudah mendapatkan pandangan dan merujuk pakar agama mengenai tindakan bersumpah, malah menyedari natijah yang boleh terjadi sekiranya mempermainkan al-Quran.

“Kita nak berbohong jangan main-main, kita berbohong dengan manusia boleh, menipu manusia boleh, tetapi jangan kita menipu tuhan dengan bersaksikan al-Quran. Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui, sebab itulah mahu membuktikan jika mereka tidak nampak jangan bersumpah. Jika tidak saya panggil satu pasukan bersumpah.

"Sebab tadi saya kata yang nampak sahaja kita minta bersumpah..jangan main-main, ini bukan perkara kecil sebab apabila orang mengatakan kita berbohong, pihak JDT juga membuat laporan polis, kenapa kita harus berbohong? Orang ramai saksi, mungkin termasuk anggota keselamatan. Kita bercakap tentang hak,” katanya.

Tambah beliau, terpulang kepada JDT untuk bersumpah atau tidak, tetapi yang lebih penting T-Team sudah melafaz sumpah bagi membuktikan insiden itu benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, pemain sensasi T-Team,  Irfan Abd Ghani tidak muncul di majlis itu. Dia yang bertindak menafikan insiden itu menerusi sidang media dan laporan polis di Johor Bahru, sebelum itu dikatakan gagal dijejaki pihak media di negeri itu.

Tindakan Irfan itu juga mendorong Menteri Besar mengarahkan pemain T-Team melakukan lafaz sumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kejadian `Terowong Larkin’ itu.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan antara T-Team dengan JDT dalam babak kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu pada babak kedua untuk langkah keselamatan apabila Rodrigues dipukul pengurusan tertinggi JDT, sementara jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo turut dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan.



Biri-biri di BSA mula melahirkan anak.

Seekor biri-biri bersama anak sebulan dilahir.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SELEPAS kira-kira sembilan bulan beroperasi, Besut Setiu Agropolitan (BSA) yang terletak di Pasir Bederu, Dun Langkap, Setiu akhirnya membuahkan hasil apabila, beberapa ekor biri-biri di pusat ternakan biri-biri terbesar di Terengganu itu mula melahirkan anak.

Ketua Peserta, Mahasan Muhammad, berkata biri-biri jenis dorper itu mula melahirkan anak pada pertengahan Disember lalu dan hingga kini kira-kira 40 ekor anak biri-biri sudah dilahirkan ibu masing-masing.

Mahasan...anak biri-biri sihat.
“Biri-biri ini mula melahirkan anak pada pertengahan Disember lalu dan dalam tempoh sebulan seramai 12 ekor biri-biri dilahirkan.

“Jumlah kelahiran semakin bertambah selepas tempoh sebulan itu dan sehingga hari ini (10 Februari) seramai kira-kira 40 anak biri-biri di lahirkan,” katanya.

Menurutnya, kesemua anak-anak biri-biri itu dalam keadaan sihat dan dapat menyusu dengan baik bersama ibu masing-masing.

“Kami akan memastikan anak-anak biri-biri ini dapat membesar dengan baik dan tiga petugas bahagian kesihatan biri-biri ini sentiasa mengambil berat tentang masalah kesihatan dan pemakanan anak-anak kambing ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus BSA, Abdul Rahim Maulud, berkata pihak pengurusan belum lagi membuat keputusan mengenai penjualan biri-biri itu tetapi menjangkakan akan dijual selewat-lewatnya akhir tahun ini.

 

Lafaz sumpah Azlan

Oleh: Aida Abd Rahman
Video oleh Mohd Yahya Muda



“Saya Azlan Johar, penolong jurulatih bola sepak Liga Super T-Team musim 2014 dengan sesungguhnya pada hari ini, mengangkat sumpah dengan nama Allah s.w.t bahawa pada 1 Februari 2014, kira-kira jam 9.40 malam di dalam terowong semasa menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, saya dalam keadaan sedar dan waras melihat sendiri kejadian pemain saya Evaldoe Rodriques pemain T-Team yang memakai jersi nombor 16 ditumbuk di bahagian muka,” demikian ayat terkandung dalam lafaz sumpah Azlan, malam tadi.

Selepas Azlan, seorang pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali turut melafaz sumpah yang sama, dengan disaksikan Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh dan semua pegawai serta pemain T-Team dan Terengganu. Majlis mengangkat sumpah berkenaan diadakan sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Azlan yang ditemui selepas majlis itu berasa lega dan bersyukur kerana dapat menyelesaikan satu perkara yang cukup penting bagi membuktikan kebenaran dakwaannnya sebelum ini, bahawa insiden di Larkin itu benar-benar berlaku.



 “Saya rasa apa yang sudah saya dan pemain saya lakukan pada malam ini adalah satu langkah terpuji bagi membuktikan kebenaran kejadian itu.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan cukup padu kepada pasukan kami,” katanya.

Terdahulu, beliau sebagai individu yang menyaksikan `insiden Terowong Larkin' menceritakan detik-detik bagaimana kejadian itu terjadi dan menyifatkannya amat menggerunkan, sekali gus mendorong T-Team menarik diri dari meneruskan perlawanan pada babak kedua, 1 Februari lalu.



MENJADI REALITI: T TEAM BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

Kata dikota, itulah Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Haji Ahmad Said yang telah menunai janjinya untuk memanggil pasukan bola sepak T-Team bersumpah di hadapannya bagi.membuktikan kebenaran peristiwa yang berlaku ketika pasukan itu menentang JDT di Johor baru baru ini.

Majlis sumpah di hadapan Al-Quran disaksikan sendiri beliau bersama Pengurus Pasukan T Team YB Haji Rozi.Mamat dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak.Negeri.Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam berlangsung di Hotel Tabung Haji, Jalan Lapangan Terbang , di Kuala Terengganu malam ini (10 Feb) kira kira jam 9.30 malam.

Penolong Jurulatih T-Team Azlan.Johar dan pemain Khairul Ezuan Razali telah melafazkan sumpah di hadapan Al-Quran mewakili pasukan T-Team memperakui bahawa kejadian memukul di lorong oleh pihak tertentu yang mengancam keselamatan mereka sewaktu perlawanan menentang JDT di Johor baru-baru ini.

T-Team mengambil keputusan tidak meneruskan perlawanan di separuh masa kedua kerana faktor keselamatan akibat.insiden "memukul" oleh pihak tertentu membabitkan pengurusan tertinggi JDT.