Halaman

15 February 2014

Rohani jatuh cinta pada ‘orang sakit’

 Oleh: Suriati Ali 

 23 TAHUN menjalin ‘cinta’ dengan para pesakit di hospital merupakan satu pengalaman indah. Bagi sebahagian jururawat, ia sesuatu yang biasa tetapi tidak bagi Puan Rohani A. Rahman.

 Bagi sesetengah masyarakat, ada apa dengan jururawat yang rutin hariannya menghabiskan masa dengan darah, nanah, pesakit meraung kesakitan dan orang menangis meratap kematian.

 Tidak bagi ibu kepada tiga anak yang berusia 43 tahun. Hospital adalah ‘singgahsana’ idamannya dan kerjaya jururawat merupakan impian sejak dari bangku sekolah.

 Pada awal kerjayanya, Rohani memegang jawatan Jururawat U29 selama 15 tahun dan kini dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jururawat atau digelar `Sister’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mempamerkan kualiti dan ketrampilan dalam tugas.

Puan Rohani, berkata selain doktor, cikgu dan golongan pendidik, kejururawatan merupakan satu bidang dianggap mulia oleh masyarakat iaitu membantu pesakit dalam meneruskan kehidupan.

 “Apabila seseorang itu memutuskan untuk menjadi jururawat, kami berjanji akan membantu masyarakat dari segi fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.

 “Kami tetap bersabar walaupun ada segelintir pesakit kurang memahami tugas, jika boleh, pesakit mahukan jururawat yang sama merawatnya bermula awal mendapat rawatan hingga sembuh,” katanya ketika di temui di HSNZ, baru-baru ini.

 Katanya, tugas jururawat tidak sama dengan kerjaya lain, perlu melaksanakan tanggungjawab walaupun orang lain cuti pada hari raya, Hari Pekerja dan pelbagai cuti umum lain.

 “Rutin itu tidak menjadi satu masalah pada kami kerana sudah menjadi kewajipan membantu masyarakat, yang sememangnya memerlukan perhatian, terutama mereka yang menghidap penyakit kronik.

“Pengalaman suka dan duka, sudah menjadi asam garam dalam tugas harian, paling mengharukan apabila berdepan dengan pesakit atau ibu yang terpaksa menerima hakikat bayi yang dikandung meninggal dunia sebaik dilahirkan.

 “Apabila berdepan dengan situasi itu, tugas jururawat cukup penting bagi meredakan perasan runsing dan sedih ibu bayi, selain perlu menerangkan secara menyeluruh, mengapa keadaan itu berlaku,” katanya yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu.

 Katanya, ada juga segelitir masyarakat mempersoalkan mengenai kerjaya itu, sama ada bosan atau sebaliknya, kerana beranggapan melakukan tugas sama, hampir setiap hari.

“Perkara itu tidak menjadi masalah kerana jika sudah minat dan `cinta’ secara sendiri kita mampu melakukanya tugas sebaik mungkin tanpa rasa dipaksa,” katanya,

 Puan Rohani turut memberitahu, dia mula timbul minat dalam bidang itu, sejak dibangku sekolah ditambah pula, melihat kakaknya Azibah A Rahman, kelihatan bergaya ketika mengenakan pakaian seragam jururawat.

“Keluarga, terutama anak-anak cukup memahami tugas ini walaupun saya terpaksa bertugas sehingga larut malam, dan dipanggil majikan supaya bertugas pada hari cuti umum,” katanya.

 .

14 February 2014

‘ANAK POK ID ‘TURUN PADANG DI KAMPUNG SENDIRI-ORANG KAMPUNG TELUK KALONG BERSYUKUR ANAK KELAHIRAN KAMPUNGNYA MENJADI PEMIMPIN UTAMA NEGERI TERENGGANU



 Seorang yang sentiasa menjiwai rakyat, prihatin kepada masyarakat terutama yang memerlukan bantuan, yang derita dibantu, yang menghadapi kesukaran dicari jalan penyelesaian, semangat tolong menolong, pemimpin dan rakyat- bagai aur dengan tebing- demikian Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.


Hari ini Dato’ Seri Haji Ahmad bersama isteri meneruskan tradisi turun padang ziarah pesakit dan warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, khususnya di kampong asal Menteri Besar Terengganu itu yang sudah pasti amat bermakna dan penuh nostalgia.

Bersama turut serta ialah Prof Dr Selvaraj Y Subramaniam yang membantu membuat rawatan kepada pesakit yang dilawati.



Beliau memulakan kunjungan ke rumah warga yang paling tua, iaitu Omar bin Mohamad berusia 95 tahun di Kampung Telok Kalong.

Menteri Besar kelihatan amat gembira dan penuh nostalgik kerana orang tua itu dikenalinya sejak lama dulu iaitu kampong asal beliau.

Beliau juga kemudiannya melawat dua beradik yang menghidap penyakit saraf juga di Teluk Kalong, Kemaman.

Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri melawat Mohd Masudi Razali, 29, yang menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan adiknya Mohd Ashamudin Razali, 26, yang menghidapnya dua tahun lepas yang membuatkan mereka tidak dapat berjalan dan berdiri ekoran otot yang lemah dan tidak berfungsi dengan baik.

 "Mereka yang menerima rawatan hari ini akan diberikan rawatan susulan oleh doktor jika perlu dan semua kos akan ditanggung oleh saya secara peribadi.

"Ada sesetengah pesakit yang perlukan kerusi roda, kita bagi kerusi roda hari ini dan ada yang kita berikan ubat-ubatan dan ini akan dijadikan lawatan rutin saya.

"Insya-Allah lepas ini saya akan ke Bukit Kuang pula untuk melawat penduduk yang mengalami masalah kesihatan," katanya.

Kedua-dua adik-beradik tersebut melahirkan rasa terharu dengan kunjungan MB dan isteri. "Saya bersyukur sangat hari ni menteri besar sudi datang ke rumah saya dan memberi bantuan stok makanan kering dan membawa doktor untuk periksa kami.

Kami harap sangat supaya dapat kembali sihat dan berjalan seperti biasa supaya dapat kembali bekerja," kata Mohd Masudi.Adek Jusof, 54, turut terkejut dengan kunjungan Dato’ Seri Ahmad ke atas keluarganya buat kali kedua.

"Tahun lepas beliau datang ke rumah saya untuk menyampaikan sumbangan bantuan kerusi roda dan lampin pakai buang untuk anak saya yang tergolong dalam kalangan kanak-kanak spastik.

"Tapi tahun ini, beliau datang untuk memberi sumbangan dan melawat ibu saya, Zaharah Selamah Abu Bakar, 66, yang menghidap penyakit paru-paru berair.

Syukur dan saya sangat berterima kasih pada Menteri Besar yang sangat prihatin ini," katanya dengan penuh gembira berbaur terharu kerana pemimpin nombor satu negeri itu adalah anak kampungnya.

Sebanyak Sembilan buah rumah sempat dilawati Menteri Besar dan isteri pada hari ini 14 Februari dan ia merupakan hari yang amat bermakna bagi keluarga yang mendapat perhatian Dato’ Seri Ahmad yang merupakan pemimpin utama Terengganu yang berasal dari kampong mereka.

Dalam hati mereka yang mengenali Menteri Besar sedari kecil lagi, apatah lagi Dato’ Seri Ahmad adalah anak “Pok Id” yang amat rapat dengan penduduk di situ.



Sekitar Menteri Besar Melawat Pesakit di Kampung Teluk Kalong, Kemaman












102 Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan di Besut malam tadi


Antara pendatang tanpa izin yang ditahan Imigresen

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 102 Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan di sekitar daerah Besut dalam operasi bersepadu membabitkan semua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) malam tadi.

Operasi bermula jam 12 tengahah malam dan berakhir jam 8 pagi tadi membabitkan Jabatan Imigresen, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Ageni Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan tidak ketinggalan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Imigresen Terengganu, Azhar Abd Hami berkata, hasil serbuah ke lokasi yang ditetapkan pihaknya memeriksa 257 pendatang dan 102 daripadanya ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, 93 pendatang lelaki dan 9 perempuan ditahan ketika mereka sedang bermalam di rumah banglo dan rumah teres.

Menurutnya, operasi itu juga memberi tumpuan kepada kawasan pembinaan projek di sekitar Kampung Raja dan kawasan perladangan di Hulu Besut membabitkan kampung Keruak, Kampung La, dan Felda Tenang.

Katanya, pendatang paling ramai ditahan ialah dari Indonesia seramai 51 orang, diikuti Bangladesh (23), Nepal (22), Minyamar (4), dan India 2.

Beliau berkata, semua tahan termasuk kanak-kanak lekaki berusia tiga tahun yang ditahan bersama ibunya kini dihantar ke Depo Tahanan di Ajil, Hulu Terengganu.

UMT jayakan pendidikan anak peserta BSA.

Dari Kanan :  En. Muhammad Khairie b. Kemat (Pengurus, Bahagian Pembangunan Sosial, ECERDC), Dr. Hailan Salamun (UMT), Prof. Madya Dr. Zakaria Mohamad (UMT), En. Zulkifli Ya’acob (Pengurus Besar ECERDC), Prof. Madya Dr. Fadzli b. Adam (UMT), En. Abd. Rahim b Maulud (Pengurus Projek Besut-Setiu Agropolitan), ketika mengadakan taklimat di BSA, baru-baru ini.
Oleh: Aminudin Ismail.

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) di bawah Pusat Jaringan Penyelidikan ECER akan membantu peserta dan ahli keluarga Besut-Setiu Agropolitan (BSA) di Pancur Menderu, Langkap bagi bagi menjayakan transformasi komuniti itu melalui perubahan minda dan peningkatan kemahiran mereka.

Pegawai Kaji Sosial UMT, Mohd Fikri Mohamad, berkata program Motivasi dan Sinar itu diketuai Prof.Madya Dr. Fadzli Adam dan dibantu beberapa pensyarah lain.

Sebahagian peserta mendengar taklimat.
"Program ini memfokuskan untuk memberi motivasi kepada peserta supaya menjadi lebih bersemangat dan bekerja lebih gigih bagi memajukan diri sendiri dan menjayakan BSA.

"Selain itu,ia juga memberi panduan kepada peserta supaya menjadi lebih bertanggung-jawab terhadap keluarga, pendidikan dan juga masa depan anak-anak," katanya.

Mohd Fikri berkata, Program Sinar Ecer pula adalah untuk memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik anak-anak peserta dan antara objektifnya ialah mengurangkan masalah 3M dalam pendidikan.

"Ia juga bagi meningkatkan keupayaan membaca, menulis dan mengira serta bersedia darisegi mental dan emosi bagi menghadapi UPSR, PPMR dan SPM," katanya.


Nenek bersyukur dapat bantuan bina rumah baru


YB Muhamad Pehimi menyampaikan bantuan kewangan kepada Siti Aminah

Oleh: Mohammad Ishak 

Impian nenek, Siti Aminah Abdullah,75, dari Kampung Gong Mat Som, dekat sini untuk memiliki rumah baru akan menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri menyumbangkan bantuan khas untuk membina baru selepas rumah asalnya musnah dalam kebakaran. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,

Muhamad Pehimi Yusof berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan peruntukkan khas kepada mangsa kebakaran itu.

Katanya, bantuan itu bagi meringankan beban hidup yang dihadapi warga emas berkenaan yang tidak mempunyai suami dan dapat meneruskan kehidupan di rumah baru yang bakal dibina tidak lama lagi. 

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jetih, menyerahkan sumbangan RM25,000 kepada Siti Aminah di Kampung Gong Mat Som, dekat sini semalam. 

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi 26 Disember tahun lalu,ketika nenek berkenaan yang tinggal bersama empat cucunya berumur 3 dan 11 tahun hanya yang hanya sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak membakar rumah kayu peninggalan arwah suaminya.

 “Semua peralatan sekolah yang baru dibeli musnah sama sekali dan tidak sempat diselamatkan apabila hangus dalam kebakaran,” kata nenek,Siti Aminah.

Siti Aminah berkata, ketika kejadian beliau berada di dalam rumah bersama cucunya, tiba-tiba dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar yang melihat kepulan asap dari bahagian depan.

Katanya, disebabkan uzur beliau hanya merangkak keluar dari pintu belakang dan bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran berkenaan.

 “Saya mengarahkan keempat-empat cucu yang tinggal bersama saya keluar menyelamatkan diri dan syukur tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua ibu bapa cucunya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana masing-masing pergi bekerja.

 Menurutnya, kebakaran rumah peninggalan suaminya itu menyebabkan beliau mengalami kerugian RM160,00 apabila semua barang yang ada tidak dapat diselamatkan.

 “Lebih malang semua peralatan sekolah yang dibelikan oleh ibu bapa cucunya untuk persekolahan yang bermula  hangus,” katanya.

UniSZA sasar lahir 50 usahawan tani dalam kalangan siswazah

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Keusahawanan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan untuk melahirkan 50 usahawan tani muda dalam kalangan siswazah terutamanya mahasiswa dari Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan (FPBSM).

 Pengarahnya, Dr Fakhrul Anwar Zainol berkata, pihaknya kini giat merancang kerjasama dengan beberapa usahawan dari dalam dan luar negara untuk menghasilkan projek pertanian dan penternakan komersil berimpak tinggi.

"Bagi mencapai sasaran ini, kita melaksanakan konsep inkubator tani yang mana ia merangkumi tiga aspek iaitu latihan, bimbingan serta melaksanakan model perniagaan untuk bakal usahawan kita.

 "Mereka juga akan dibimbing oleh mentor mereka iaitu usahawan yang telah berjaya bagi memastikan mereka mengikut jejak langkah mentor mereka sehingga berjaya memasarkan produk," katanya.

Menurut beliau, UniSZA kini turut menjalankan projek inkubator penternakan ayam daging serta penanaman ubi jepun di kawasan Agropolis UniSZA di Kampus Tembila, Besut dan hasilnya akan dieksport.

 "Bagi memastikan sasaran kita berjaya, awal Januari lalu pihak kami telah mengadakan satu siri lawatan ke beberapa ladang pertanian di Perak dan di Pulau Pinang untuk meninjau peluang keusahawanan dalam bidang agropreneur.

 "Kita turut mempelajari beberapa model pembangunan pertanian komersil yang dilaksanakan di sebuah ladang pertanian komersil untuk pasaran pertanian untuk eksport iaitu JPB Asia Pacific dan melihat serta mempelajari cara ternakan rusa dan itik di pusat ternakan di Perak," katanya.

 Beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan beberapa lagi usahawan bagi memastikan hasrat universiti untuk melahirkan 50 usahawan tani muda pada tahun ini tercapai dan dijadikan sebagai pemangkin kepada projek Agropolis UniSZA.

 

PBSNT anjur kejohanan bola sepak

Oleh: Suriati Ali

 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah-20 dalam usaha memastikan Terengganu mempunyai bakat-bakat baru pada masa depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, YB Rozi Mamat berkata kejohanan yang akan berlangsung pada 7 Mac hingga 23 Mei itu bakal merebut piala Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia.

 Katanya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilantik selaku urusetia kejohanan dengan setiap daerah diwakili satu pasukan kecuali daerah Kuala Terengganu yang diwakili dua pasukan iaitu Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan.

“Kejohanan itu juga diharap akan menjadi pelengkap kepada struktur program pembangunan bola sepak negeri,” katanya.

 YB Rozi turut memberitahu, kerajaan negeri melihat program pembangunan bola sepak di negeri ini terbukti berjaya melahirkan bakat-bakat baharu yang berkualiti hasil beberapa inisiatif dilakukan.

 Rozi berkata ini dapat dilihat apabila 13 orang pemain telah dipilih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan Harimau Muda C, Harimau Muda B serta Harimau Muda A bagi tahun ini.

 Katanya sebahagian daripada mereka telahpun bersama FAM dan sebahagian lagi akan dipanggil menjalani latihan.

 

13 February 2014

SAIS juara bolajaring MSSDS.

Oleh: Aminudin Ismail.

SEKOLAH Menengah (SM)Sains Setiu (SAIS) muncul juara dalam kejohanan bolajaring bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Setiu (MSSDS) menewaskan SM Putera Jaya dalam perlawanan akhir kategori itu yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Setiu, hari ini.

Dalam kategori bawah 15 tahun pula, pasukan SM Bukit Nenas berjaya menjadi juara menewaskan pasukan SMK Pelong manakala bawah 12 tahun, tempat pertama dimenangi pasukan Zon Setiu Utara menewaskan Zon Setiu Barat.


Norasikin Simat, Pengerusi Teknik Bolajaring Sekolah Rendah Daerah Setiu, berkata prestasi perlawanan bolajaring pada kejohanan ini semakin baik dan setiap pasukan bertanding dengan penuh bersemangat.

"Kita sudahpun memilih pemain-pemain melalui kejohanan ini untuk mewakili daerah Setiu di kejohanan bolajaring MSST tidak lama lagi.

"Ramai yang berbakat untuk mewakili daerah tetapi kita hanya memilih pemain yang betul-betul berpotensi darisegi bentuk fizikal dan kemahiran," katanya.

Norasikin berkata, pasukan yang bertanding ialah sebanyak 12 pasukan bawah 18 tahun dan 12 pasukan bawah 15 tahun manakala kategori bawah 12 tahun ialah sebanyak empat pasukan.

"Kepada pasukan yang gagal menjadi juara, jangan berputus asa, tingkatlah latihan dan kemahiran selepas ini bagi menghadapi kejohanan pada tahun hadapan dan kepada pasukan yang menang dan mereka yang terpilih mewakili daerah saya ucapkan tahniah," katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu ialah wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Hasmadi Nasir dan Guru Besar SK Sungai Lerek, Zanariah Jaafar.

 

50 Bantah Teresa Kok di Setiu.

BANTAH...seramai kira-kira 50 ahli Wanita, Pemuda, Putri UMNO Bahagian Setiu dan Majlis Belia Daerah Setiu hadir membuat laporan Polis membantah klip video yang dikatakan menghina Perdana Menteri dan isterinya pada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Laporan dibuat berikutan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa terbabit dalam pembikinan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia' sempena Tahun Baharu Cina itu dan dimuat turun dan tersebar meluas dalam laman YouTube.

Laporan dibuat di Balai Polis, Ibu Pajabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Bandar Permaisuri, Setiu antara jam 10 pagi sehingga jam 12 tengahari, hari ini.

Iskandar menunjukan dua laporan polis.
Adun Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar, berkata laporan itu dibuat meminta polis bertindak terhadap pihak yang terbabit dalam mengarah dan menerbit klip video yang disifatkan boleh menggugat perpaduan dan keamanan negara ini.

"Dengan bantahan ini, membuktikan bahawa kita bersungguh-sungguh supaya kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat perpaduan dan kestabilan negara. 

"Perbuatan pemimpin pembangkang itu boleh mencetuskan masalah perkauman di negara ini dan kami meminta KDN betul-betul bertindak dan jangan memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang cuba mengugat kestabilan dan keharmonian negara ini," katanya.

Iskandar yang juga Biro Sosial Etika Pemuda UMNO Malaysia itu mahu orang ramai serta golongan muda di negara ini sedar bahawa tindakan pemimpin pembangkang itu adalah satu penghinaan secara halus.

"Semua pihak perlu kekalkan keamanan negara ini dan kumpulan majoriti tidak perlu tunduk kepada golongan minoriti yang cuba mencetuskan pelbagai isu di negara ini," katanya.

"Kami berharap Teresa Kok meminta maaf dan menarik balik klip video itu," katanya selepas hadir bersama-sama kumpulan itu membuat lapan laporan Polis di IPD Setiu, hari ini. - Aminudin.
Iskandar bersama Ketua Puteri Setiu, Norfuzilawati(duduk).

Wanita UMNO Setiu membuat kenyataan kepada Polis.

Ahli Puteri membuat bantahan.


Iskandar (kanan) mahu KDN bertindak