Halaman

16 February 2014

Kemudahan wifi percuma secara berperingkat

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) percuma melibatkan peruntukan RM30 juta dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kepada rakyat secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Terengganu negeri pertama dilengkapi wifi percuma sepenuhnya.

“Kini, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijadikan lokasi pertama yang disediakan dengan kemudahan itu untuk kegunaan orang ramai.

“Bermula di LTSM, ia akan diperluaskan ke Bestari.com, Tasik Kenyir, perpustakaan desa dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, kerja-kerja pemasangan WiFi di tempat-tempat lain selain LTSM, sedang dan akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, kemungkinan jarak liputan untuk orang ramai akses kepada kemudahan WiFi percuma ini akan ditingkatkan supaya masyarakat sekitar di kawasan yang dibekalkan kemudahan berkenaan turut mendapat manfaat.

“Sekarang ini, kawasan liputannya lebih kurang dalam jarak 100 meter dan kemungkinan selepas ini akan ditingkatkan sehingga 500 meter,” katanya.

 

ADUN Jabi serah e-book di rumah murid berpenyakit lukemia


YB Mohd Iskandar (kanan) menyerahkan e-book kepada Adam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pengagihan e-book kepada murid di negeri ini tidak hanya terbatas kepada mereka yang normal sebaliknya ada juga murid malang yang menghadapi pelbagai penyakit turut mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Murid berpenyakit lukemia, Adam Noruddin, 11, dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung,Jabi adalah yang bertuah kerana turut mendapat pemberian e-book oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Mohd Iskandar Jaafar bersama Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan, turun padang menyerahkan e-book berkenaan kepada Adam di rumah keluarganya di Kampung Bukit Tempurung, Kerandang.

Kehadiran Mohd Iskandar dan Ab Halim menyerahkan e-book di rumah keluarga Adam, mengembirakan mereka kerana tidak disisihkan daripada mendapat kemudahan itu.

Adam yang ditimpa penyakit lukemia sejak tiga tahun lalu, sebenarnya ingin datang sendiri untuk menerima ketika majlis penyerahan diadakan di Sekolah Kebangsaan Jabi, tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia tidak upaya untuk hadir majlis itu.

Bagaimanapun, Mohd Iskandar yang prihatin dengan nasib menimpa murid terbabit membuat keputusan hadir sindiri di rumah keluarga untuk menyerahkan e-book sumbangan kerajaan negeri.

Bapanya, Noruddin Abdullah,46, terharu dengan kehadiran Yang Berhormat ke rumahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang turut memilih anaknya menerima e-book.

Mohd Iskandar berkata pada tahun ini 500 murid dari 13 sekolah diDUN Jabi menerima e-book dan berharap ibu bapa turut memantau aktiviti anak ketika menggunakan kemudahan itu.

Karnival ICT dedah MO jenayah siber

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran Karnival Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Terengganu, di Pusat Dagagan Terengganu bukan saja mempamerkan bahan berkaitan kemudahan itu malah mendedahkan mengenai Modus Operandi (MO) jenayah siber.

 Karnival yang diadakan selama tiga hari bermula 13 Februari dan berakhir semalam (15 Februari) kali pertama diadakan sebagai usaha menekankan mengenai kepentingan pengetahuan ICT di semua peringkat usia khususnya kepada golongan warga emas.

 Eksekutif Program Penggalakan Sains Inovasi, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Mohd Hakimi Awang Su berkata, kebanyakan jenayah siber yang berlaku disebabkan masyarakat tidak mendapat maklumat lengkap mengenai MO yang dijalankan dalam jenayah siber ini malah taktik licik yang dilakukan penjenayah memudahkan ramai tertipu.

“Justeru, kita memandang serius penganjuran karnival dan pengisian di dalamnya agar pendedahan ilmu pengetahuan, sains teknologi dan multimedia dapat dikongsi bersama supaya masyarakat sedar kepentingan ICT dalam era globalisasi ini,” katanya.

 Menurutnya, hampir 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Berang mengunjungi Karnival ICT Terengganu yang dianjurkan Unit Pengurusan Maklumat Negeri dengan kerjasama Pusat Sains Kreativiti Terengganu itu.

 “Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan daripada semua peringkat usia terutama golongan pelajar. Tahun depan kita sasarkan karnival yang lebih hebat lagi dengan pengisian lebih bermanfaat.

 “Kita juga ada menjemput 500 pelajar untuk menyertai karnival ini dan jumlah penyertaan hampir 1,000 pelajar. Justeru, kita menyasarkan pengunjung Karnival ICT Terengganu ini melebihi 10,000 pada tahun akan datang,” katanya.

 Beliau berkata, karnival itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan malah ia amat bersesuaian lebih-lebih lagi apabila pelajar didedahkan dengan e-book dan kelas maya.

 “Sebab itulah kita dedahkan mengenai pengetahuan ICT dalam dunia serba moden ini kerana sekiranya kita tidak tahu mengenai ICT, kita akan dianggap mundur. Sistem pembelajaran sekarang pun banyak menggunakan ICT.

 “Selain menyemai minat masyarakat mengenai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ICT, kita juga mencungkil bakat dan minat peserta menerusi daya reka cipta ICT yang kreatif.

 Kita harap karnival ICT ini akan terus menjadi medium untuk menyalurkan maklumat mengenai teknologi terkini kepada masyarakat,” katanya.

 

Intel Iktiraf Terengganu Perintis Penggunaan eBook

Laporan Terus daripada Ruslan Abdul Rahman dari TATIuC:

 Intel syarikat pengusaha komputer bertaraf dunia mengiktiraf negeri Terengganu satu satunya negeri yang pertama mengadakan e-Book kepada pelajar sekolah rendah, demikian diberitahu Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said.
 Katanya, pada tahun ini sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan untuk pemberian e-Book percuma kepada pelajar tahun 4 dan 5 di Terengganu, suatu pelaburan yang besar untuk melahirkan pelajar yang sesuai dengan zamannya.
 Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian e Books untuk pelajar tahun 5 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, Kemaman, bertempat di TATIuC.
 Seramai kira kira pelajar 600 orang tahun 5 dari 10 buah sekolah rendah dalam Dun Kijal.
 Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud, Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Hussien, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman Mustaffa Khalid, Pengarah APMT Haji Roshali Taha dan para ibubapa.
Pelajar OKU, Norhazwani Ain dari Sek Keb Meraga Beris antara pelajar yang mendapat E-Book dari Menteri Besar pagi ini.

Gambar itu Palsu- Neelofa.

Neelofa...hentikan fitnah.
Oleh: Aminudin Ismail.

PELAKON Neelofa Mohd Noor mengesahkan bahawa gambar dia bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang tersebar di internet itu adalah palsu dan ia sengaja diadakan bagi mengaibkan dia dan MB Terengganu.

Neelofa ketika memberitahu Teganukita melalui perantara rakan karibnya, Tengku Khalidah Tengku Bidin, Neelofa (25) berkata, gambarnya bersama Ahmad Said itu yang kini tersebar di beberapa media sosial dan blog itu sengaja dicipta bagi mencemarkan nama baik MB Terengganu, juga dia sendiri.

“Ini adalah gambar ‘superimposed’. Gambar asal adalah gambar saya bergambar dengan arca lilin actor Hollywood, George Clooney ketika saya berkunjung ke LA (Los Angeles) tidak lama dulu. 

“Pihak tidak bertanggungjawab sudah manipulasi gambar itu dengan menukarkan wajah Clooney kepada wajah MB Terengganu. Ini adalah satu penipuan dan fitnah yang mengaibkan kedua-dua pihak,” katanya.

Pelakon jelita yang pernah membintangi beberapa filem dan drama itu turut menunjukan sekeping gambar asal dia dan patung lilin itu kepada Tengku Khalidah.

Dengan penjelasan ini, Neelofa meminta supaya fitnah itu dihentikan segera dan dia mahu sesiapa yang menerima gambar yang diubahsuai itu tidak dihantar (forward) kepada orang lain.

“MB Terengganu menjadi mangsa fitnah, begitu juga dengan saya. Atas semangat saudara sesama Islam, saya mengharapkan pihak terbabit hentikan fitnah itu segera kerana ia tidak mendatang apa-apa faedah,” katanya.

Teganukita semalam, melaporkan berita penafian Dato’ Seri Ahmad Said mengenai gambar beliau bersama Neelofa yang tersebar luas di internet.

"Kerja mengedit gambar ni bukan mudah, nak suruh nampak macam betul, tetapi ada yang sanggup melakukan kerja fitnah begitu dan tidak takut kepada dosa dan larangan Allah' kata Ahmad Said.

Dalam pada itu, MB Terengganu itu juga turut menjelaskan mengenai hal sebenar perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian e.Book di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, di Kemaman, hari ini.


Cakna Rakyat Parlimen Setiu diteruskan.

Zulkifli dan Iskandar di rumah seorang pesakit di Tok Dor.
BAGI memastikan semua penduduk mendapat manfaat daripada Program Cakna Rakyat Parlimen Setiu, kini Cakna Rakyat pusingan kedua pula dilaksanakan iaitu membabitkan beberapa kampung di Dun Jabi, kelmarin.

Program yang bertujuan untuk menyelami denyut nadi rakyat itu menziarahi beberapa rumah pesakit dan warga emas serta mengenalpasti pelbagai permasalah penduduk untuk diselesaikan.

Di Dun Jabi kelmarin itu, sebanyak lapan buah rumah dikunjungi iaitu dua di Kampung Tok Tor, Kampung Baru Tok Dor (2), Kampung Anak Ikan Dalam dua buah rumah dan Kampung anak ikan (4).
Rombongan ketika menziarahi rumah orang meninggal.

 Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata seramai kira-kira 20 peserta menyertai rombongan cakna rakyat itu terdiri daripada Wanita, Pemuda, Putri UMNO dan beberapa pengerusi JKKK.

"Pada program itu juga, kita mengunjungi rumah dua penduduk yang meninggal dunia iaitu di Kampung Tok Dor dan Kampung Bukit Tanah.

"Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan dengan baik dan lancar supaya semua kampung dapat kita ziarahi pada pada tahun ini, Insya Allah," katanya yang turut menghulurkan hamper kepada pesakit dan wargaemas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh, berkata beliau akan terus sentiasa berada di samping rakyat sekiranya tidak mempunyai tugas di Parlimen kerana mahu memastikan penduduk di Parlimen Setiu ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan.- Aminudin Ismail.
Di rumah seorang wargaemas.
En.Zul bersama Iskandar sempat berjenaka dengan Mohd Abdul Rahman dari Kampung Tok Dor.

 

15 February 2014

KEJADIAN BANJIR JADIKAN PENGAJARAN SUPAYA TINGKATKAN KESYUKURAN - MB

Oleh: Ruslan A.Rahman



Kejadian banjir besar di Terengganu baru-baru ini, termasuk Kemaman sewajarnya memberi keinsafan kepada semua supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah dan jangan sekali-kali menjadi orang yang kufur nikmat, demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Beliau menjelaskan bahawa pihak pembangkang seringkali mengajar masyarakat supaya tidak bersyukur dengan menentang segala apa yang dibuat oleh pihak kerajaan sedangkan keseluruhan yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan, bahkan turut dinikmati oleh pemimpin dan penyokong pembangkang, tetapi pada masa yang sama diajar menentang dan itulah tandanya orang yang tidak bersyukur.

“Apabila kita tidak bersyukur azab Tuhan amatlah pedih, termasuklah azab banjir besar yang menimpa dan sebagainya lagi,” kata Menteri Besar sambil menjelaskan bahawa ucapannya itu amatlah jelas tetapi seringkali diputarbelit oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan dan kata-kata kesat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Banjir Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal di Padang Kubu, Kemaman di sini hari ini 15 Februari.



Seramai 83 keluarga yang terlibat banjir buruk menerima bantuan membabitkan man gsa di Padang Kubu dan juga kampung sekitar iaitu Sungai Mas dan Lubuk Lesung.

 Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud hadir bersama menyertai majlis tersebut. Hadir sama di majlis itu ialah Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah yang turut menyampaikan bantuan berupa barangan dan baucer.



Ahli Dewan Negara, Senator Hajah Rohani Abdullah ,Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustaffar Khalid, Pengarah Agensi Pemaju Masyarakat Negeri (APMT) Haji Roshali Taha dan pegawai-pegawai TDM Plantation Bhd turut hadir.

Menteri Besar berkata, di Terengganu dalam sejarah banjir besar ialah pada tahun 1922 yang disebut “bah merah” tetapi yang pernah dilalui ialah banjir tahun 1970 dan 1983.

Katanya, jumlah hujan terlebat luar biasa baru-baru ini menyebabkan banjir besar di Kemaman iaitu 777 mililiter sehari dan 1661 mililiter dalam masa tiga hari.

Berbanding kadar hujan setahun di Terengganu sebelum ini setahun ialah 3,900 mililiter, tetapi di Kemaman baru-baru ini 1 661 mililiter dalam masa tiga hari sahaja, yang sudah tentu membawa banjir yang amat besar.

Sementara itu dalam hal lain Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu seramai 200 orang saintis Antlantik dari seluruh dunia dijangka datang ke Terengganu pada tahun 2016 sempena satu seminar saintis Antartika peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya oleh media tentang kebakaran hutan di Dungun, beliau menjelaskan ia perlu kerjasama orang ramai supaya mengelak dari menjadi punca kebakaran seperti api puting rokok dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, terserah kepada Jabatan Alam Sekitar yang mempunyai akta tertentu yang berkaitan manakala pihak bomba sentiasa berusaha memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu Wan Mohd Hasnan memberitahu Petronas Wilayah Timur memperuntukkan RM5 juta untuk bantuan banjir di Pantai Timur, dari jumlah itu RM3.4 juta diperuntukkan kepada mangsa banjir di Kemaman.

Petronas memberi bantuan kepada setiap mangsa terbabit dua set selimut jenama Toto dan kad baucer bernilai RM150 untuk membeli barangan di kedai di stesen minyak Petronas.








SAYA TAK KENAL PUN NEELOFA- MB

'Saya tak kenal pun siapa Neelofa...saya sebut nama dia pun tak berapa nok reti saya bukan tahu sangat pelakon pelakon ni, khususnya yang baru, " kata Dato' Seri Haji Ahmad Said. RUSLAN RAHMAN melaporkan dari lokasi pagi ini.

 "Banyak sangat salah guna kemudahan teknologi komunikasi termasuk mengadakan akaun FB palsu saya, dulu dah ada fitnah begini kepada diri saya' sambungnya.

Nasib baik isteri saya tak cemburu lihat gambar yang diedit seperti itu, kata Dato' Seri Ahmad sambil menoleh kepada isterinya To' Puan Norliza Mahmud yang kebetulan hadir sama dalam Majlis Penyampaian Bantuan Banjir dan Bersama Rakyat Dun Kijal di Padang Kubu pagi ini.



"Kerja mengedit gambar ni bukan mudah, nak suruh nampak macam betul, tetapi ada yang sanggup melakukan kerja fitnah begitu dan tidak takut kepada dosa dan larangan Allah' katanya mengulas gambar beliau bersama pelakon itu dalam akaun FB palsu kononnya milik beliau yang kemudiannya tersebar meluas. 

Kalau yang membuat itu fikir ia satu dosa dan menyusahkan serta memikirkan perasaan diri sendiri kalau difitnah begitu, dia tidak.akan buat," katanya lagi kepada media selepas majlis itu.

To' Puan Seri Norliza juga telah.menghadiah sejambak bunga kepada suaminya di majlis itu sempena hari lahir Menteri Besar Terengganu pada hari ini.



Kemudian To'Puan Seri menyuapkan nasi semangat ke mulut suami yang tercinta itu dengan tepukan gemuruh hadirin di majlis itu.






30 'student' UiTM KT berbakti di Pelong.

Oleh: Aminudin Ismail. 

PERIHATIN dengan peningkatan pendidikan di negeri Terengganu, Pusat Kecemerlangan Akademik (PKA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu mengambil inisiatif mengadakan Program Bakti Siswa Merentas Sempadan di Kampung Pelong, Setiu, selama tiga hari berakhir hari ini.

Penyelasnya, Noor Erni Fazlina Mohd Akhir, berkata program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara penuntut UiTM dengan masyarakat luar itu disertai seramai 30 penuntut dari pelbagai jurusan dan tiga pensyarah.

Selain itu, Fazlina berkata, program ini juga bagi membantu pelajar tingkatan lima SMK Pelong mempertingkat mutu pembelajaran mereka bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.

“Kita ada beberapa program selama tiga hari di sini antaranya ialah Kem Kepimpinan Dan Mitovasi Pelajar untuk pelajar tingkatan lima SMK Pelong dan SK Pelong , gotong-royong membersih kawasan Masjid Pelong dan lawatan ke tiga tempat Industri Kecil dan Sederhana yang terdapat di kampung ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa aktiviti lain juga diadakan antaranya ialah solat berjemaah, kelas motivasi, ‘explorase’ dan taklimat kemasukan ke UiTM.

“Kami mengharapkan program ini memberi faedah kepada kedua-dua pihak iaitu masyarakat setempat dan penuntut UiTM yang terbabit. Mereka semua akan mendapat sesuatu yang baru terutamanya pelajar yang menyertai kem kerana banyak ilmu yang dapat dikongsi daripada peserta program,” katanya.

Majlis penutup program dilakukan oleh wakil Pegawai Pendidikan Setiu, Alias Hussin. Turut hadir ialah Pengerusi JKKK Kampung Seri Kenangan dan Pengetua SMK Pelong dan Penyelaras Unit Komunikasi Korporat, misi akademik & MDAB UITM, Syahrul Hezrin Mahmud.
Alias (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan.



Wakil Pelajar, Amirun Khan Ali Khan.


Mohd Farid..dapat banyak manafaat.



Pelajar SMK Pelong mengibar bendera kejayaan.

Antara aktiviti yang diadakan.

Fasilitator bergambar kenangan bersama murid SK Pelong.

Azri Abu Bakar...tabur bakti kepada masyarakat.

Shahid Ramadan (SMK Pelong)..terima kasih fasilitator.


Pelajar bersemangat ketika menyanyikan lagu tema.
Murid SK Pelong bergambar sebelum buat aktiviti

 

2,335 murid Tahun Lima daerah dungun terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 2,335 murid Tahun Lima di daerah Dungun menerima seunit e-Book yang memuatkan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini.

 E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Idris Bidin berkata, pembahagian e-Book berkenaan melibatkan 43 buah sekolah di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dun Bukit Besi, Dun Rantau Abang serta Dun Paka.

 "Murid yang menerima e-Book ini sepatutnya menerimanya pada tahun lepas kerana kebiasaanya pembahagian e-books ini diberikan ketika murid berkenaan (penerima) di tahun empat, tetapi disebabkan berlakunya kekangan seperti banjir pada tahun lepas, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said minta untuk tangguhkan dulu pembahagiannya.

 "Walaupun e-book ini diberikan lambat sedikit, ia tidak menjejaskan sesi pengajaran kerana ia dibahagikan awal tahun dan masih dikira awal," katanya.

Idris Bidin berkata, murid tahun lima di Dun Sura telah menerima e-book ini pada tahun lalu dan kini kesemua murid tahun lima di daerah Dungun telah memiliki e-book setiap seorang. 

Majlis pembahagian e-book berkenaan telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, Roslee Daud merangkap ADUN Bukit Besi.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Bakar Jusoh.

 "Bagi murid tahun empat pada tahun ini, mereka juga akan menerima e-book untuk setiap seorang kerana setiap murid di tahun empat layak menerimanya, tetapi tarikhnya masih belum diketahui," katanya.