Halaman

11 April 2014

PESERTA FESTIVAL CANDAT SOTONG ANTARABANGSA TERENGGANU TIBA



Gembira...beberapa peserta tiba di LTSM, hari ini.
Oleh: Ruslan AR

PENGAMAL media dari luar negara, termasuk Negara China telah pun mula tiba ke Terengganu bagi menyertai Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014.

Peserta dari Chile seramai empat orang telah tiba semalam (10 April) melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu. Manakala pagi ini  (11 April) antara peserta luar negara yang tiba ialah China seramai 5 orang, India (3), Indonesia (4), Amerika Syarikat (2), Australia (1), Thailand (1), Hong Kong (1) dan Italy (1).

Tiga peserta luar negara teruja tiba di LTSM, hari ini.
Sehingga ini berita ditulis para peserta masih lagi tiba untuk menyertai pesta yang julung-julung kali diadakan bagi peringkat antarabangsa bagi tujuan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Dijangka keseluruhannya wartawan, bloggers dan semua pengamal media luar negara yang bakal menyertai pesta ini ialah seramai 102 orang.

Mereka akan digabungkan dengan peserta tempatan terdiri kira-kira 100 orang pengamal media tempatan, terutamanya dari media arus perdana Malaysia dan juga bloggers terkemuka di negara ini.

Mereka menginap di beberapa hotel utama di bandar Kuala Terengganu, termasuklah Hotel Primula, Permai Inn dan Grand Puteri.

Malam ini para peserta akan diraikan dalam satu majlis makan malam di Hotel Primula serta diberi taklimat sebelum akan berlepas ke Setiu Wetland keesokannya dan mencandat sotong di sekitar laut di daerah Setiu.
Gambar-gambar: Harris Fadzillah

Peserta dari China yang tiba hari ini.

 

Dalami a-Quran Elah Syiah

Umat islam terutama golongan muda di Terengganu di minta berusaha mempelajari dan menghafaz al-Quran bertujuan mengelak terjebak daripada gejala sekularisma, liberalisme , syiah dan anti hadith.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kita juga perlu memartabatkan agama kita melalui al-Quran, jangan lupa bahawa hadith Nabi S.A.W merupakan sumber penting dalam ajaran islam. Katanya, hadith sahih perlu dipelihara dan dipelajari manakala hadith palsu hendaklah dibendung penyebarannya.

Golongan anti hadith yang hanya menggunakan logik akal juga wajar disekat dan diambil tindakan tegas.
“Mana mungkin kita boleh terpengaruh dengan fahaman ini, sedangkan di dalam al-Quran mengajar kita supaya mencontohi dan menjadikan Rasullullah S.A.W sebagai ikon serta ikutan melalui teladan yang baik,’’katanya

. Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Tilawah Al-Quran peringkat Terengganu, di Padang Majlis Daerah Marang, malam tadi. Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 Qari terbaik dimenangi, Ahmad Tarmizi Ali dari Dungun, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000, sijil penyertaan, piala pusingan serta layak mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung mulai 13 hingga 17 Mei.

 Naib johan, Aziz Mohammad (Hulu Terengganu) membawa pulang RM5,000 beserta sijil dan tempat ketiga dimenangi, Abu Bakar Deraman (RM4,000).

Manakala Qariah terbaik pula Nur Hidayah Abd Rahman, 23, memenangi wang tunai berjumlah RM7,000, sijil penyertaan, piala pusingan dan layak wakil Terengganu. Tempat kedua Azizah Zakaria dan ketiga pula Raziyati Mohd Ali.

 

Qari dan Qariah wakili Terengganu ke Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan

Majlis Tilawah al-Quran peringkat Negeri Terengganu berakhir malam tadi (10 April) di Dataran Marang dan majlis penutup dan penyampaian hadiah selamat disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said.


Qari dan Qariah yang akan mewakili Terengganu di Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti.








10 April 2014

Sekitar Kemeriahan Pesta Wau Mukim Guntong, Setiu.

Sebahagian pemenang bergambar kenangan bersama Lizan (topi merah).
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 200 peserta dari 13 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung  (JKKK) Mukim Guntung bertanding bagi memeriahkan lagi Pesta Wau Mukim Guntong 2014 yang diadakan di Padang Bola Kampung Guntong Dalam, Setiu, hari ini.

Program yang bertujuan untuk menyuburkan warisan di kalangan masyarakat khususnya generasi baru yang masih terpinggir itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pagawai Daerah Setiu, Lizan Che Mat mewakili Dato' Mohd Jidin Shafee, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Penghulu Mukim itu, Mohd Apandi Husain, berkata, sambutan peserta terhadap pertandingan wau itu amat mengalakkan walaupun ia adalah kali pertama diadakan bagi peringkat Mukim Guntung.

Peserta dan penyokong melihat pengadilan dilakukan.
"Penyertaan orang ramai amat mengalakan dan sebanyak kira-kira 200 wau menyertai pertandingan dalam semua kategori kali ini.

'Ini memberi semangat pada kami untuk terus menganjurkan pesta ini pada tahun-tahun akan datang dan ianya diharapkan dapat menarik lebih ramai peserta akan menyertainya.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan Pesta Wau Mukim Guntong ini," katanya.

Menurutnya, antara kategori yang dipertandingkan ialah Tertutup JKKK, Kategori Terbuka, Kategori Tertutup Mukim dan Petandingan Wau Cantik.

Sementara itu, Lizan dalam ucapanya memberitahu pihak Pejabat Daerah Setiu dengan kerjasama Ahli Parlimen Setiu dan dua Adun di daerah Setiu akan menganjurkan Pesta Wau Peringkat Daerah Setiu pada Mei ini.

"Insya Allah, pihak kami sedang berbincang mengenai perkara ini dengan Ahli Parlimen dan dua Adun di Parlimen Setiu ini untuk mengajurkan Pesta Wau Daerah Setiu pula dan sekiranya mendapat persetujuan kita akan mengadakanya di Sungai Tarom pada bulan Mei ini," katanya.
Peserta mendaftar wau.

Sebahagian penduduk yang hadir.

Seorang peserta berpengalaman turut serta.
Antara wau yang bertanding.

Seorang peserta mengimbangi waunya.

Penyokong bersemangat memberi sokongan.

Peserta bergaya dengan wau yang bertanding.

Kanak-kanak turut hadir melihat wau.

Apandi...meriah.

Antara yang melihat pertandingan.

Peserta termuda, Mohd Saiful Iqbal.

Pengadil mengadili wau yang menang.

Pengerusi JKKK Guntung Luar (kiri), turut hadir.

Lizan menyampaikan hadiah pemenang cabutan bertuah.
PA Ahli Parlimen Setiu, Abdullah turut menyampaikan hadiah.

Lizan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan.

Peserta memulakan pertandingan.

Pemenang menerima hadiah.
Yusof Ghani, Penyelaras Pengadilan Wau.

 

“ORANG DIALAH BUAT SESUATU YANG TIDAK MASUK AKAL!- KATA DS AHMAD SAID (MENGULAS TINDAKAN FAM ISU TEROWONG)

Oleh : RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita.

 “Orang dialah tak masuk akal, tulislah,,tulis!, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika seorang wartawan menyampuk bahawa apakah tindakan tiada pertuduhan ke atas isu terowong yang membabitkan pasukan JDT itu suatu perkara tidak masuk akal.

  “Macam mana ni sebelum ini telah denda JDT selepas itu kata tiada menerima sebarang pertuduhan pula??” kata Dato’ Seri Ahmad dengan nada yang agak keras dan kecewa.

 Awal April lalu pasukan bolasepak Johor Darul Takzim atau lebih dikenali dengan JDT didenda RM 30,000 atas insiden di Stadium Larkin.
  "Setelah panjang lebar hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan." kata Datuk Taufek Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM itu mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.
Insiden Terowong Larkin menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA 1 Februari lalu.
 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kalau Johor (JDT) didapati bersalah kerana keselamatan, “mestilah ada orang tertentu yang terlibat, Johor itu negeri, mesti ada orangnya, pegawai pasukan bolasepaknya.”

Sambungnya lagi: “Takkan denda negeri tetapi tidak tahu siapa individu yang bersalah itu”.

 Beliau mengulas satu artikel dalam akhbar Berita Harian harian ini yang dibacakan oleh salah seorang wartawan kepadanya di sidang media di Kuala Terengganu sempena kunjungan Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan Man bagi menjemput deligasi Terengganu menyertai SUKMA di Perlis tahun ini.

 Antara perkara yang dibacakan oleh wartawan bagi mendapat ulasan beliau ialah: Kuala Lumpur: Adakah 'tangan ghaib' benar-benar wujud dalam kes 'Terowong Larkin'?
 
Persoalan itu timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak (gambar) semalam membuat kejutan apabila mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang pertuduhan daripada pihak sekretariat FAM bagi membicarakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terbabit dalam kes pergaduhan di terowong itu.

  Jangan salahkan jawatankuasa tataterbit...tanyalah sekateriat FAM, kata Datuk Taufek sepertimana disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.

Dato’ Seri Ahmad berkata, FAM persatuan bolasepak yang tidak demokartik, kritik sikit, tegur sikit ambil tindakan, gantung , pecat dan sebagainya di bawah perkara 48 yang diperuntukkan dalam peraturan mereka.
“Mana demokrasinya...saya kritik pula kata saya tiada hak kerana tiada kaitan dengan FAM, habis tu kerajaan negeri Terengganu belanja berjuta-juta bagi kepada pasukan bolasepak di bawah FAM, wajarkah dikatakan saya tidak berhak bercakap?”
 .
Beliau meminta wartawan menelefon pihak FAM segera memberitahu apa yang disebutkannya petang ini untuk dapat ulasan berkaitan kirtikannya itu, khususnya tentang tindakan FAM yang meniadakan pertuduhan berkaitan isu kejadian dalam terowong.
 
“Kejadian itu di dalam terowong, bukan di atas padang, pengadil dan jawatankuasa pertandingan boleh buat keputusan batal pertandingan berdasarkan suasana di padang, ini berlaku dalam terowong sehingga pasukan Terengganu terpaksa diiring pasukan polis sampai ke sempadan Johor untuk balik dan diminta menanggalkan jersey Terengganu untuk elak kejadian tidak diingini,” katanya dengan nada agak tegas.

 “Macam mana tiada pertuduhan, denda sebelum ini telah dibuat, macam mana tiba-tiba tiada pertuduhan pula....sebab tu saya katakana ada tangan-tangan ghaib,” tegas Dato’ Seri Ahmad lagi dalam sidang media di Tingkat 18, Wisma Darul Iman hari ini 10 April sempena kunjungan Menteri Besar Perlis bagi tujuan jemputan ke SUKMA di negeri itu.

09 April 2014

Ternakan Ayam Berhawa Dingin, Bawa Pulangan Besar

Oleh: Suriati Ali 

 Penggunaan teknologi moden menternak ayam daging dalam reban berhawa dingin menjadi anjakan paradigma kepada Pusat Keusahawanan dan Koperasi Siswa Unisza Berhad (Kosiswa) untuk meneroka.

Berdasarkan kajian selama dua tahun bersama pelbagai pihak, Kosiswa yakin kaedah berkenaan lebih mendatangkan hasil berskala besar, selain risiko kematian ayam berkurangan berbading kaedah tradisional.

Yang Dipertua/ Penasihat Kosiswa, Dr Fakhrul Anwar Zainol berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 100,000 ayam pedaging dapat dipasarkan kepada pelanggan dalam tempoh lima tahun akan datang. Katanya, dia yakin sasaran itu mampu dicapai kerana melalui penggunaan teknologi moden memberi pulangan pendapatan berlipat kali ganda berbanding sistem tradisional.

“Sistem tertutup mampu menempatkan 20,000 hingga 25,000 ayam dalam setiap reban, sedangkan reban sistem terbuka hanya boleh menempatkan kira-kira 4,000 ayam saja.

“Penjagaan makanan dan kebersihan melalui sistem tersebut juga mudah menyebabkan kadar kematian ayam berkurangan, purata keuntungan bagi seekor ayam pula RM1.00 seekor,” katanya.

Menurutnya, Kosiswa membelanjakan hampir RM600, 000 bagi sebuah reban, walaupun modal asal untuk menggunakan sistem ini agak tinggi tetapi pulangan modal akan diperoleh dalam jangka masa singkat iaitu selewat-lewatnya tiga tahun.

 “Buat permulaan, pihaknya akan menternak lebih 20,000 ayam daging di Ladang Usahawan Tani, Kampung Pasir Akar, Hulu Besut mulai minggu depan.

 “Kita cuba peringkat pertama itu dengan dibantu 50 pelajar Falkulti Pertanian, Bioteknologi & Sains Makanan sebelum dapat menambah reban secara berperingkat peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Terengganu, Wima Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SKM, Mahmud Kadar dan Pengerusi Kosiswa, Muhammad Norsyahidin Abu Hasan. Dr Fakhrul turut memberitahu, projek yang dikelola di bawah Inkubator Usahawan Tani mempunyai perancangan cukup besar, termasuk menjadikan graduan sebagai usahawan berjaya apabila tamat pengajian kelak.

“Mereka ini sudah ada pengalaman luas, mendapat bimbingan melaksanakan projek pertanian berskala besar, memahami konsep perniagaan, faktor itu tidak menimbulkan masalah jika mereka ingin meneroka sendiri dalam bidang sama,” katanya.

 

MISI TAWAN EVEREST

Satu lagi sejarah bakal dipahat apabila lapan orang anak Terengganu dan lima orang pendaki sokongan bakal menggalas tugas menawan puncak Gunung Everest yang dijangka pada 2015 nanti. Hari ini Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melancarkan Ekspedisi Terengganu De' Everest yang diadakan di Wisma Darul Iman bagi memberi sokongan dan galakkan agar pendaki-pendaki yang semuanya terdiri daripada anak jati Terengganu berjaya memacakkan bendera negeri ini di puncak gunung tertinggi di dunia itu. - Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.







Jual Bilis 300 kilo Sehari.

LARIS...dua pekerja sedang merebus ikan bilis di Kampung Seberang Takir dengan berlatar belakangkan bandar Kuala Terengganu, sebelum menjemur dan menjual kepada peraih yang datang membeli di tempat itu untuk diedarkan ke seluruh negeri Terengganu termasuklah beberapa tempat di Kelantan.

Pengusahanya, Mohd Zin Sulong, berkata beliau mengusahakan penjualan ikan bilis itu sejak lebih 40 tahun lalu selepas mewarisi dari datuk neneknya di tempat yang sama di kampung itu.

Dalam sehari, Mohd Zin mampu menjual sebanyak 300 kilogram bilis dan dijual dengan harga sekitar RM13 sekilogram kepada peraih ikan bilis yang datang ketempatnya untuk diedarkan kepada penguna seluruh negeri termasuklah di Pasar Payang.

Mohd Zin..sejak remaja.
"Selain ikan bilis, saya juga menjual belacan dan juga ikan kering tambang. Ikan kering tambang saya jual dengan harga RM8 sekilo manakala belacan pula RM6," katanya yang mempunyai seramai lima orang pekerja itu.

Katanya, beliau mengharapkan perniagaan ikan bilis dan belacan ini akan terus diwarisi oleh generasi akan datang walaupun jumlah pengusahanya semakin berkurangan di kampung itu berbanding masa lalu.

"Dulu ramai yang melakukan perniagaan ini di kawasan hujung Kampung Seberang Takir ini tetapi sekarang ia semakin kurang kerana budak-budak sekarang tidak berminat mengusahakanya selepas ibubapa mereka meninggal dunia dan saya harap perniagaan saya ini akan terus diwarisi oleh anak cucu pula," katanya.- Aminudin Ismail.
Maziah Jusoh sedang menunjukan bilis yang siap untuk dijual.

Seorang pekerja membersih bilis.

Bilis siap direbus untuk dijemur.


08 April 2014

RM5000 untuk kampung bersih di Langkap.

Dato' Sabri...pemenang mengikut zon.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SATU pertandingan kebersihan yang menawarkan hadiah RM5,000 kepada pemenang antara zon yang akan dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dalam usaha menggalakkan masyarakatnya mengamal dan mempraktikkan aspek kebersihan.

Ahli Dewan Undangan DUN itu, Dato' Sabri Mohd Noor, berkata beliau mengambil inisiatif terbabit bagi meningkatkan kebersihan di kawasan kampung terutama di kawasan yang agak pendalaman.

Katanya, pertandingan itu akan dimulakan di kawasan zon empat merangkumi Kampung Alor Lik, Kampung Sungai Las, Kampung Bukit Lawang dan Kampung Bukit.

"Tahap kebersihan kampung masih berada pada tahap tidak memuaskan dan saya ingin lihat aspek kebersihan diberi perhatian penting oleh masyarakat kampung.

"Saya ingin ubah mentaliti masyarakat kampung yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan yang sepatutnya perlu keutamaan kerana ia memperngaruhi kesihatan masyarakat,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana Bersama Yang Berhormat Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifli Jusoh dan Adun Langkap di Kampung Alor Lik, baru-baru ini. (Sabtu).

Turut hadir, Pengarah JASA Terenggau, Azli Kesah dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiu, Mohd Fahmi Zakaria.

Sabri berkata, pertandingan itu akan diperluaskan ke tiga zon lain di DUN Langkap dengan hadah utama berupa wang tunai RM5,000 bagi setiap zon.

"Kita akan mulakan pertandigan ini secepat mungkin dan upacara penyampaian hadiah akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas pertandingan dimulakan.

"Kita harap penduduk kampung akan bekerjasama serta berusaha bersungguh-sungguh bukan saja untuk mendapatkan hadiah tetapi untuk keindahan serta kebersihan kawasan masing-masing," katanya.

Majlis Gotong Royong Perdana itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk jamuan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan masakan.