Halaman

15 May 2018

Jalinan Kerjasama Dua Pegangan Politik Terengganu


Majlis penyerahan tugas antara mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kepada Menteri Besar baharu, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berlangsung dengan lancar di Wisma Darul Iman, hari ini. 

 Ahmad Samsuri berkata, majlis ini merupakan satu permulaan yang baik di Terengganu kerana membuktikan rakyat negeri ini boleh berpolitik dengan apa sahaja pegangan dan kefahaman.

“Walaupun berbeza tetapi akhirnya kita mencari jalan yang terbaik untuk rakyat Terengganu dan negeri khususnya. 

“Sekali lagi saya bagi pihak pentadbiran kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Razif kerana hadir bersama kita pada hari ini,”katanya kepada pemberita di sidang media selepas majlis penyerahan tugas yang diadakan di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Turut hadir Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain. 


Sementara itu, Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar baharu dan juga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta parti Pas yang telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini. 

“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, saya menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan yang paling penting hari ini adalah untuk rakyat dan saya tak ada masalah untuk membantu sekiranya tenaga saya dan rakan-rakan diperlukan kerana apa yang paling penting pada hari ini kita kena saling bantu membantu dan tolong menolong…yang lepas biarlah lepas. 

 “Yang penting bagaimana kita nak ‘moving forward’ untuk pastikan rakyat mendapat manfaat daripada apa yang diperjuangkan mana-mana parti apabila menang… mereka akan memberi perkhidmatan terbaik jadi bagi pihak saya tiada masalah kerana kita perlu berjiwa besar..kita perlu manfaat masa-masa yang mendatang dengan sebaik mungkin,”ujarnya.
 

Projek Benteng Pemecah Ombak di Sungai Merchang Dijangka Siap pada 2020


Kerajaan negeri meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Merchang, Marang bagi kemudahan laluan bot nelayan di kawasan itu. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berharap projek bernilai RM43 juta yang sedang berjalan dapat disiapkan secepat mungkin bagi memudahkan kegiatan nelayan untuk keluar masuk dari muara sungai ke perairan laut. 

“Kerajaan memberi jaminan, nelayan boleh menggunakan laluan ini dalam tempoh terdekat selepas selesai kerja-kerja mendalam sungai. 


“Kerja-kerja ini hanya bersifat sementara sebelum pembinaan benteng pemecah ombak dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Benteng Pemecah Ombak di Sungai Merchang, Marang, hari ini. 


Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya. 

Ahmad Samsuri, pihaknya ada berbincang dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil penduduk dan nelayan bagi mencari alternatif serta jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. 


“Jalan terbaik adalah membina benteng pemecah ombak bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku di pesisiran pantai termasuk hakisan pasir dan runtuhan tebing,”katanya.

Difahamkan, kerajaan sebelum ini ada memperuntukkan lebih RM20,000 setiap tahun bagi kerja-kerja mendalamkan muara itu. 

Bagaimanapun, kerja menggali dan mendalamkan laluan-laluan untuk ke laut ini sentiasa dibuat dari semasa ke semasa dan ia hanya penyelesaian sementara.


14 May 2018

Program YDSM Jadi Ikutan Pelajar Indonesia


Penganjuran Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sejak 2010 bukan saja mendapat sambutan di semua sekolah di Terengganu, malah formatnya juga menjadi ikutan pelajar dari Sulawesi Selatan, Indonesia. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong berkata, format program penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang diikuti oleh warga pendidik serta pelajar di Sulawesi Selatan itu adalah hasil kerjasama yang terjalin sejak 2011.


"Kita memang sudah lama bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan di sana dan pihaknya juga meminta kebenaran dengan YDSM untuk melaksanakan program pengukuhan bahasa Inggeris dan Bahasa Arab iaitu acara berbentuk pertandingan sebegini. 

“Malah, kerjasama itu juga memudahkan kami melaksanakan program pertukaran pelajar antara pelajar dan pendidik di Terengganu dengan Sulawesi," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2018, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


Abdul Rahman yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Piala YDSM 2018 berkata, program dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu adalah usaha yayasan memberi nilai tambah dan sokongan Kerajaan Persekutuan serta negeri sejak dulu lagi. 

Kerajaan Negeri Tidak Mahu Dibayangi Sejarah 1999



Kerajaan negeri akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh pentadbiran negeri dan melangkah ke hadapan untuk kepentingan rakyat tanpa dibayangi sejarah politik yang berlaku pada tahun 1999.

Menteri Besar, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pentadbiran negeri tidak mahu membandingkan era pemerintahan pada tahun 1999 sehingga 2003 dengan masa kini berikutan suasana politik yang berbeza mengikut perubahan waktu. 

“Saya tidak mahu banding senario politik dan pentadbiran pada tahun 1999 dengan sekarang kerana kita berada di era yang berbeza. Semuanya berbeza dari segi cabaran, media sosial, internet, kita berada dalam berlainan era. 


“Kita mesti berubah untuk membaiki diri dan mesti melangkah ke hadapan bermula sekarang untuk kearah yang lebih baik,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, jam 8.55 pagi ini. 

Sebelum itu, dalam ucapan ringkas beliau, Dr Samsuri berkata, prinsip dan dasaranya ialah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang serta menjadi contoh negeri yang `maju, berkat dan sejahtera’. 


Beliau berkata, dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah, pentadbiran negeri mempunyai sasaran untuk menjadikan Negeri Terengganu yang dicintai ini sebagai Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hab Pendidikan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Produk dan Makanan Laut Serantau. 

“Hab Industri Batik Dunia, Hab Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara, Hab Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan gas, Hab Industri Galian Negara, Hab Industri Pembekalan Air, Pembangunan Bersepadu dengan Jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lainnya serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi Rantaian Nilai Lengkap (Complete Value Chains),” ujarnya.



MB Terengganu Baharu Mulakan Tugas Rasmi


Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas secara rasmi pada hari ini pada jam 8.50 pagi di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. 

Beliau yang mengenakan sut kelabu kelihatan tenang memasuki ruang pejabat di Tingkat 16 dengan diiringi 10 barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Turut mengiringi beliau, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya. 

Dr Samsuri kemudiannya menyertai pegawai dan kakitangan menunaikan solat hajat berjemaah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman diikuti dengan ucapan ringkas sebaik selesai solat dan kemudiannya menyertai sidang media sebelum ke jamuan pagi di tingkat U2. 

Sebaik selesai jamuan pagi, Menteri Besar diiringi ke sesi pembentangan di Bilik Gerakan Tingkat 17. 

Sebelum itu, dalam ucapan ringkas beliau, Dr Samsuri berkata, prinsip dan dasaranya ialah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang serta menjadi contoh negeri yang `maju, berkat dan sejahtera’. 

“Marilah kita memahami panduan Allah sebagaimana yang diimankan olehNya di awal Surah al-Baqarah. (membaca Surah al-Baqarah dan maksudnya). Matlamat kita adalah besar, membawa agenda Pelan Induk Terengganu Sejahtera yang bermatlamatkan; Maju, (pertama), pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyelesaikan masalahan rakyat; (kedua) pembangunan modal insan berteraskan kepada prinsip Islam yang melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing serta ketiga, kelestarian pembangunan (ekonomi, masyarakat dan alam sekitar) berasaskan prinsip Islam. 

Manakala kedua, Berkat; (pertama) prinsip Islam dijadikan asas dalam pentadbiran, ekonomi yang bebas riba, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta (kedua) penghayatan takwa menjadi asas terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat. 

Ketiga, Sejahtera; Negeri yang menekankan keselamatan, berkebajikan dan kemakmuran, iaitu pertama, konsep keselamatan adalah meminimakan kebimbangan ancaman jenayah, masalah sosial dan kesan bencana kepada rakyat; konsep berkebajikan adalah menggabungjalinkan peranan dan sumbangan kerajaan, badan korporat dan rakyat untuk membangunkan negeri dan konsep kemakmuran adalah perkongsian pembangunan dan hasil negeri yang dinikmati oleh semua masyarakat,”katanya. 


Beliau berkata, dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah, pentadbiran negeri mempunyai sasaran untuk menjadikan Negeri Terengganu yang dicintai ini sebagai Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hab Pendidikan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Produk dan Makanan Laut Serantau. 

Selain itu, sasaran kerajaan juga menjadikan Terengganu sebagai Hab Industri Batik Dunia, Hab Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara, Hab Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan gas, Hab Industri Galian Negara, Hab Industri Pembekalan Air, Pembangunan Bersepadu dengan Jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lainnya serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi Rantaian Nilai Lengkap (Complete Value Chains). 

“Akhirnya, saya ingin mengajak semua pihak untuk berganding bahu membina dan pembangunan Negeri Terengganu, di mana peranan pembuat dasar, enjin pelaksana strategi, pimpinan pentadbiran kerajaan Negeri, seluruh jentera kerajaan dan rakyat, adalah sama penting serta mempunyai peranan masing-masing.

"Bekerjalah bersama kami, bukan bekerja untuk kami. Semoga setiap antara kita diberi panduan oleh Allah SWT dan dipermudah olehNya,”katanya.



11 May 2018

Ahmad Samsuri Menteri Besar Baharu Terengganu



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu yang baharu selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), semalam.


Perlantikan Setiausaha Politik Presiden PAS itu diperkenan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Syarqiyyah, Chendering, malam tadi.  

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu disenaraikan sebagai calon Menteri Besar bersama dua lagi nama lain. 


Pemilihan Dr Ahmad Samsuri yang juga pakar aeroangkasa itu dikatakan usaha PAS menampilkan generasi kepimpinan baharu di Terengganu dengan menggembleng tenaga teknokrat dan ulama.


 

31 October 2015

Terengganu Perintis Ubah Hasil Sisa Pepejal Ke Tenaga


Terengganu bakal menjadi negeri pertama yang mengubah hasil sisa pepejal kepada tenaga selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan projek ‘Waste To Wealth’.

MoU di antara Syarikat Mercu Resolution Sdn. Bhd. dengan sebuah anak syarikat DONG Energy yang berpengkalan di Denmark, Renescience A/S turut diadakan bagi memastikan kesinambungan projek tersebut.

Bagi memastikan komitmen kepada kerajaan negeri dalam perlaksanaan projek yang akan dijalankan itu, Renescience A/S turut menandatangani Surat Aku Janji (LoU) pada majlis yang sama.

Payang.my Jadi Medium Usahawan Terengganu Luaskan Pasaran Ke Peringkat Global


Terengganu merintis inisiatif baharu membangunkan portal e-Dagang yang dikenali sebagai Payang.my.untuk kemudahan capaian usahawan tempatan secara percuma bagi meluaskan pasaran jualan produk tempatan ke peringkat lebih global.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi anak syarikat Top IT Industries Sdn Bhd itu memberi peluang kepada para peniaga tempatan untuk lebih berdaya saing dan meraih keuntungan lebih tinggi dengan bantuan Yayasan Pembagunan Usahawan Negeri Terengganu.

“Projek Payang.my akan menawarkan perkhidmatan jualan dan pemasaran dalam talian secara percuma untuk usahawan-usahawan tempatan seluruh Malaysia, khasnya usahawan Terengganu.

27 January 2015

Hutan Lipur Chemerong Masih Dara


Hutan Lipur Chemerong (HLC) terletak di kawasan hutan simpan Pasir Raja, Dungun diliputi hutan dara kekal sebagai khazanah yang amat ternilai.

Pengunjung menggemarinya kerana pelbagai spesis flora dan fauna yang jarang ditemui di hutan lipur lain.

Di situ, terletak Gunung Berembun dan Air Terjun Langsir tercatat sebagai air terjun tertinggi di negara ini.

Penolong Pengarah (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Zuraida Zakaria, berkata HLC yang dimajukan pada 1993 mencatatkan peningkatan bilangan pengunjung setiap tahun.

17 December 2014

Terengganu Tawar Diri Anjur Piala Dunia Remaja 2016


Buat julung kalinya, Terengganu menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran Bola Sepak Piala Dunia Remaja 2016.

Menteri Besar, Dato’Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, penganjuran itu mampu memberi impak positif kepada rakyat dalam pelbagai aspek khususnya pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai kuasa baharu sukan negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia menyediakan kemudahan infrastruktur yang memenuhi piawaian ditetapkan.

“Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dijangka boleh digunakan semula tahun depan. Stadium itu mampu memuatkan sehingga 50,000 orang, jadi tidak mustahil untuk kita menjadi tuan rumah bagi perlawanan itu.

“Selain itu, kita juga bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan di Hulu Terengganu yang menelan belanja RM50juta,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Kata Ahmad Razif, penganjuran itu sejajar dengan perancangan kerajaan negeri untuk mengisytiharkan dan menjenamakan semula Tahun Melawat Terengganu pada 2016.

“Persiapan akan dibuat selama setahun ke arah itu. Elok benar jika kita laksanakan sebab kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir juga akan dibuka, ia akan menjadi tarikan kepada orang luar datang ke Terengganu,” katanya.