Halaman

02 August 2011

MB minta Masyarakat bantu cegah jenayah

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YAB Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melawat mangsa ragut di ICU HSNZ Kuala Terengganu. - Foto: Zulkipli Putra.

Masyarakat tempatan diminta membantu pihak berkuasa mencegah jenayah dengan cara menyalur pelbagai maklumat yang diperlukan bagi membolehkan mereka yang terlibat dengan jenayah dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masyarakat tidak perlu takut memberi maklumat kepada polis jika mereka menjadi saksi kejadian jenayah, agar mereka yang tidak bertanggungjawab itu didakwa mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan.

“Jika orang ramai tengok kes ragut misalnya, mereka perlu lapor kepada polis jika mereka cam nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan peragut,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua mangsa ragut di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.



Maleha Abdul Malek dan adiknya, Mazida menjadi mangsa ragut dua hari lalu di mana kedua-duanya terlibat dalam kemalangan selepas mereka diragut.



Keadaan Maleha dilaporkan stabil, tetapi adiknya Mazida yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan masih belum sedarkan diri.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk memasang 25 CCTV baru di sekitar bandar ini bagi pelbagai tujuan, termasuk pemantauan lalu lintas dan mengesan kegiatan jenayah.



Beliau berkata, pihaknya berharap tambahan CCTV tersebut dapat membantu mengurangkan masalah jenayah di sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu.

Pada masa ini MBKT sudah memasang 25 CCTV di sekitar bandar ini bagi tujuan yang sama.

Tatiuc bakal bina asrama baru

Oleh: Suriati Ali

Kolej Universiti Tati (Tatiuc) bakal mendapat sebuah asrama pelajar baru yang serba lengkap apabila pembinaannya akan dimulakan dalam masa terdekat ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Rektornya Dr. Mohd Rozailan Mamat@Ibrahim, berkata Tatiuc telah pun mendapat surat kelulusan bagi pembinaan asrama berkenaan daripada kerajaan negeri dan apabila siap kelak ianya dapat menampung kira-kira 2000 pelajar dalam satu-satu masa.

“Tatiuc sudah mempunyai tapak sesuai i bagi pembinaan bangunan asrama berkenaan dan ianya adalah sebahagian daripada insfratruktur asas yang dirancang untuk menaiktaraf Tatiuc sebagai sebuah universiti kemahiran penuh pada tahun 2015 nanti,” katanya.

Katanya, kemudahan bangunan asrama yang ada pada masa ini tidak dapat menampung keperluan dan pertambahan pelajar yang semakin mendesak berikutan menerima banyak permohonan pada setiap tahun termasuk daripada pelajar luar negara.

“Tatiuc telah menggunakan semua kemudahan asrama yang ada termasuk kemudahan asrama di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) serta akan menyewa beberapa bangunan di Awana Kijal untuk dijadikan tempat penginapan sementara pelajar,” katanya.



Jabatan Penerangan anjur Program Kembara Ramadan

Oleh: Fauzi Mohd.

Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang 2011 anjuran Jabatan Penerangan negeri (JPN) bakal berlangsung selama tujuh hari bermula esok (3 Ogos 2011).

Pengarah JPN Terengganu Hajah Azizah Awang, berkata program yang melibatkan semua tujuh daerah di Terengganu itu bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan ke-54 pada tahun ini yang disesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.

Menurutnya, kembara yang bermula di daerah Besut itu melibatkan 30 buah kenderaan di setiap daerah bagi mengagihkan 3,500 Jalur Gemilang secara percuma di setiap lokasi yang dikunjungi.

"Program di bawah aktiviti Semarak Merdeka 2011 itu antara lain mahu mendekatkan Jabatan Penerangan dengan kumpulan sasar kembara ini seperti pelajar, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, belia dan komuniti masjid.

"Ia memberi peluang kepada komuniti yang ditemui bersama-sama pemimpin setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur serta menerima sumbangan 'touch point' daripada JPN," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azizah, hari pertama program di Besut bermula di Dataran Ketara, Kampung Gerai dengan di sertai 30 buah kenderaan sebelum menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Padang Luas dan bersahur di Sekolah Menengah Imtiaz.

Jelasnya, hari kedua di Setiu, kembara singgah di Masjid Guntung Luar untuk aktiviti pemasangan bendera dan seterusnya bersama masyarakat setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur.

Meneruskan program di Hulu Terengganu pada hari ketiga katanya, konvoi oleh 30 buah motosikal belia bersama komuniti di Masjid Kampung Matang sebelum ke Akademi Binaan Malaysia di Jenagor bagi program Qiamulail dan bersahur.

"Hari seterusnya di Kuala Terengganu, sebelum menyertai majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat di Masjid Tok Jembal, konvoi mengagihkan Jalur Gemilang di Taman Uda Murni, Teluk Ketapang.

"Sumbangan kepada anak-anak yatim turut diagihkan kepada Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Teluk Ketapang serentak dengan sahur," katanya.

Kembara hari kelima di Marang kata Azizah, bermula dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di Stesen Minyak Caltex Pulau Kerangga sebelum menyampaikan sumbangan dan berbuka puasa kepada penghuni Taman Rahmat.

Sejurus itu katanya, program sumbangan kepada anak-anak yatim diteruskan ke Asrama Darul Falah, Bukit Payong, serentak dengan sahur.

Meneruskan kembara di Dungun pada keesokkan harinya, Azizah memberitahu, di samping aktiviti memasang bendera di 15 buah rumah penduduk, program di Masjid Seberang Pintasan turut memberi sumbangan kepada individu bertuah yang lahir pada 31 Ogos dan bersahur di Sekolah Mengengah Imtiaz Dungun.

"Hari terakhir di Kemaman, perarakan 30 pembawa hidangan berbuka puasa berlangsung di Masjid Paya Berenjut sebelum mengakhiri kembara di Institut Pengajian Islam Marpa untuk program Qiamulai dan sahur," ujarnya.





Murid SK Seri Bandi pelajar terbaik UPKK seluruh negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Seorang lagi pelajar tempatan, Adik Nurul Nadiah Wahidah Azhar, 12, dari Seri Bandi, Kemaman, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2010, yang diumumkan baru-baru ini.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Seri Bandi itu mendapat kelulusan seratus peratus bagi semua lapan mata pelajaran peperiksaan UPKK yang didudukinya pada bulan Oktober tahun lalu.

Dia yang mendapat markah 800/800 dalam UPKK menerima anugerah tersebut pada satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berikutan kejayaan itu Nurul Nadiah yang bercita-cita mahu menjadi guru, menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.



Menurut bapanya, Azhar Ahmad, 40, anaknya bukan saja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Kafa tetapi dia sentiasa mendapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolahnya sejak dari Tahun Satu.

“Alhamdulillah, Nurul Nadiah mendapat 5 A dalam setiap kali peperiksaan diadakan di sekolah,” kata bapa kepada lima anak itu kepada Teganukita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.



Puan Nazirah Salleh, 36, berkata Nurul Nadiah yang merupakan anak sulungnya, gemar belajar dan mengaji sejak kecil lagi dan dia sudah khatam al-Quran sebanyak empat kali.

“Dia belajar tuisyen di sekolah manakala bapanya turut mengajar Nurul Nadiah di rumah jika ada masa lapang,” katanya.

Jia Cheng terus ditawar ke Universiti Cambridge

Oleh: Suriati Ali


Lau Jia Cheng menunjukkan surat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, University Of Cambridge, London. - Foto: Haris

Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, University Of Cambridge, London, September ini.

Jia Cheng yang memperoleh 14 A1 merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, nyata gembira dengan tawaran itu yang sememangnya menjadi impiannya sejak dibangku sekolah.

Beliau yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap mata pelajaran Matematik dan Ekonomi mengharapkan kejayaan demi kejayaan ditempa ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk dua adiknya yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Jia Cheng yang tinggal di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu cukup bertuah kerana pelajarannya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor dengan mengikuti Program Persediaan Pelajar (A level), ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, dia berasa bangga kerana dilahirkan sebagai anak jati Terengganu kerana pelbagai bantuan dihulurkan kerajaan negeri tanpa mengira bangsa dan keturunan.

“Saya cukup terhutang budi dengan semua bantuan yang diberikan dan berazam akan berusaha bersungguh-sungguh supaya mendapat kejayaan yang diimpikan dan seterusnya menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

“Setiap pelajar perlu mempunyai displin yang tinggi sekiranya serius untuk berjaya dalam apa jua bidang,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

IMBAS KEMBALI (Klik Foto)

YAB MB berbual mesra dengan dua pelajar cemerlang SPM 2008, Lau Jia Cheng dan Khairina Abdullah. -Foto: SHUHAIMI AHMAD.

Jia Cheng turut memberitahu dia tetap mengamalkan beberapa kaedah terdiri dengan mendapat rehat yang cukup, mengulangkaji pelajaran dengan penuh konsisten dan sentiasa menjalinkan hubungan baik antara guru walaupun sudah tamat alam persekolahan.

“Pelajaran cukup penting bagi saya kerana melaluinya ia mampu memiliki kerjaya yang disegani serta dapat mengubah keadaan ekonomi masing-masing,” katanya.


Umat Islam makan di khalayak akan didakwa

Oleh: Esah Abdullah


Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh.

Umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan serta makan di waktu siang akan didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh berkata, bahagian penguatkuasa JHEAT bergerak secara aktif sepanjang Ramadan ini terutama kawasan ‘panas’ untuk membendung gejala tidak sihat.

“Mereka yang ditangkap samaada sedang makan atau menjual makanan kepada orang Islam secara terbuka atau di tempat awam akan di dakwa,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duannya sekali dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebih RM2,000 serta penjara tidak melebih setahun.

Menurutnya, pada tahun sebelum ini jumlah tangkapan terhadap umat Islam yang makan di khalayak ramai adalah kurang daripada 10 orang.

Haji Mohd Rozali kemudiannya menasihatkan seluruh umat Islam di negeri ini dapat menghayati Ramadan melalui aktiviti keagamaan serta mempertingkatkan ibadat pada malam hari.

“Sebolehnya, biarlah kita tidak terlalu melayan nafsu makan sebaliknya penuhi malam dengan amal ibadat bagi merebut kelebihan yang dijanjikan Allah SWT yang tidak ada pada bulan-bulan lain,” katanya.

Katanya, rebutlah 10 Ramadan pertama yang membawa kerahmatan, 10 Ramadan kedua yang membawa keampunan dan 10 Ramadan terakhir yang melepaskan umat Islam daripada azab api neraka.




Peniaga bazar Ramadan jangan jual makanan basi - MB

Oleh: Esah Abdullah


YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said mengagihkan apron kepada peniaga di Bazar Ramadan, Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya tidak menjual makanan basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang bulan puasa ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jika ada yang berbuat demikian mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya .

“Jika kita menerima aduan daripada orang ramai terdapat makanan basi dijual oleh peniaga, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengantung lesen perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita ketika meninjau bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu petang semalam.



Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Datuk Bandar, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang serta pegawai dari Jabatan Kesihatan negeri.

“Langkah tegas perlu diambil supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan mudah di samping orang ramai dapat menikmati makanan yang bersih,” katanya.



Menteri Besar kemudiannya telah mengagihkan 500 helai apron untuk peniaga di bazar berkenaan dan meminta semua peniaga memakainya sepanjang berada di gerai.

Sementara itu beberapa kakitangan Jabatan Kesihatan turut melakukan pemeriksaan kebersihan ke atas 306 buah gerai yang menjual pelbagai juadah di bazar berkenaan.




01 August 2011

Kerajaan tambah dana raya 10 peratus

Oleh; Esah Abdullah


YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan di Masjid Abidin (Masjid Putih).

Kerajaan Terengganu akan menambah peruntukan bantuan Hari Raya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh negeri sebanyak 10 peratus tahun ini memandangkan jumlah penerimanya semakin meningkat, terutama mereka yang baru mendirikan rumah tangga.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tahun lalu kerajaan membelanjakan lebih RM40 juta untuk diagih kepada 150,000 keluarga di seluruh negeri.

“Tahun ini mungkin kita akan tambah peruntukan untuk dana berkenaan kerana ada yang baru mendirikan rumah tangga dan layak menerima dana berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk di perkarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu hari ini.



Katanya, dana berkenaan akan mula diagihkan kepada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, warga emas, orang kurang upaya serta ibu tunggal.

Dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).

Sementara itu Menteri Besar yang diiringi isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, mengagihkan bubuk lambuk kepada orang ramai di kawasan berkenaan.

Program pengagihan ini masuk tahun kedua dan 2,000 paket bubur lambuk habis tidak sampai satu jam apabila diserbu orang ramai yang ingin merasai bubur lambuk.

Bubur lambuk berkenaan di masak secara bergotong royong oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Abidin sebanyak 10 kawah dengan perasa ayam, ikan, sotong dan daging dan akan berterusan sepanjang bulan Ramadan.



“Hari ini kita sedia dulu 2,000 paket, kalau tak cukup esok kita akan tambah lagi bagi memberi peluang orang ramai dapat menikmati bubur lambuk ini,” katanya.





MB rai 23 imam Arab Saudi, Mesir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Azwa Shamsudin



Kehadiran 23 imam dari Mesir dan Arab Saudi buat musim ketiga ke bumi Terengganu diraikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.



“Saya mengucapkan selamat datang dan mudah-mudahan akan meningkatkan lagi silaturrahim antara Terengganu dan Mesir.

“Kunjungan mereka buat kali ketiga untuk berkhidmat sempena Ramadan ini di Terengganu,” kata Menteri Besar yang turut melahirkan ucapan terima kasih kepada ketua rombongan Imam dari Arab Saudi, Sheikh Khalid sempena perkhidmatan mereka di negeri ini.

Beliau berkata, dengan kehadiran rombongan itu akan memberi peluang kepada rakyat Terengganu menunaikan solat terawih dengan diimamkan imam daripada Mesir.



Justeru itu, Menteri Besar merasa bangga dengan apa yang sudah berjaya dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan berharap program murni berkenaan dapat diteruskan pada masa depan.

Kesemua imam berkenaan, masing-masing 15 daripada Arab Saudi dan lapan dari Mesir mula tiba di negeri ini sejak 29 Julai hingga semalam. Sebahagian imam dari mesir merupakan tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di beberapa sekolah di negeri ini.



Rombongan diraikan dalam majlis mesra bersama pemimpin serta makan malam kira-kira jam 10.30 malam tadi, selepas selesai menunaikan solat terawih di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Mereka akan dihantar berkhidmat ke masjid setiap daerah seluruh Terengganu bermula hari ini.



Fama buat akujanji dengan petani

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mengadakan perjanjian usahasama dengan 579 petani di bawah Program Ladang Kontrak (PLK) di negeri ini.

Pengarah Fama Wilayah Timur, Encik Mohd Ariffin Awang berkata, anggaran nilai pasaran yang dikeluarkan peserta adalah hampir RM1 juta.

Katanya, dalam perjanjian jual beli, pihak Fama akan membuat pembelian terus mengikut rekod yang ada dan cara begini dapat mengelakkan lambakan hasil bila tiba masa pengeluaran hasil.

Katanya, melalui perjanjian ini juga, petani terbabit akan dapat meningkatkan pendapatan masing-masing kerana harga yang ditawarkan oleh Fama adalah melebih kos yang ditanggung peserta.

Selain itu katanya, Fama akan menetapkan harga lantai antara 10 hingga 15 peratus daripada perbelanjaan awal pengusaha tanaman berdasarkan kajian Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, petani yang terlibat dalam PLK ini tidak perlu memikirkan tentang pasaran tetapi hanya perlu fokus kepada pengeluaran hasil sahaja,” katanya.

Menurutnya, Fama mahu melihat hasil pertanian dan berkualiti serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) dan diharap petani dapat menanam tanaman yang disarankan oleh pihak Fama.

Peserta yang terlibat dalam PLR ini telah menanam labu manis dan tembikai tanpa biji di seluruh negeri di mana 59 peserta dari Setiu mengusahakan tanaman berkenaan di sembilan kawasan.

Katanya, setakat ini 138 hektar telah diusaha oleh petani dan pihak Fama menyasarkan 503 hektar seluruh negeri dengan kuantiti pengeluaran antara 22,300 tan metrik.