Halaman

20 September 2011

KPM jamin selesai kes pelajar kena kurung secepat mungkin

Oleh: Suriati Ali

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kesal dengan kejadian tiga calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di salah sebuah sekolah rendah di Bandar Sarawak yang dikurung bagi mengelak menduduki ujian itu.



Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, berkata dia dukacita dengan apa yang berlaku kerana pelajar itu sudah mendaftar mengambil UPSR.

“Mereka wajar diberikan peluang untuk mengambil peperiksaan itu sama ada pelajar itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah itu soal kedua.


“Pentadbir sekolah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang setiap calon menduduki setiap peperiksaan kerana ia sudah termaktub dalam Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas berucap di majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidilfitri di Dataran Padang Merdeka, Sura, Dungun, hari ini.

Katanya, Kementerian sudah meminta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentabir sekolah itu.

“Pada masa sama, kita juga akan mendapatkan laporan kenapa pelajar itu tidak dibenarkan ambil UPSR.

“KPM memberi jaminan kes ini dapat diselesaikan dengan segera di mana pelajar yang menjadi mangsa itu akan menduduki semula UPSR dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, pihak berkaitan akan mengolah soalan yang hampir sama taraf dengan soalan peperiksaan yang baru berlalu.

“Saya berharap dalam keghairahan pentadbir sekolah mendapat mencapai kecemerlangan dan memperoleh tawaran baru yang diberikan KPM di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ia tidak seharusnya bertindak di luar batasan.

“Sekolah ini mungkin bimbang kalau pelajar yang dikurung itu menduduki UPSR akan menyebabkan penurunan paras kecemerlangan sekolah,” katanya.

Katanya, ini hak pelajar dan sebagai ibu bapa pun berhak mengetahui di mana tahap pencapaian kecemerlangan anak masing-masing.

“Walaupun KPM ada membuat tawaran, jangan sampai ke peringkat hak dan keupayaan pelajar untuk ambil peperiksaan itu dihalang.

“Saya meminta maaf kepada ibu bapa berkenaan kerana anak mereka tidak dibenarkan menduduki UPSR,” katanya.


UMT minta sokongan Kerajaan Terengganu wujudkan ‘life museum’

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang untuk mewujudkan sebuah 'life museum' yang bakal menempatkan hasil kajian penyelidik universiti itu dalam bidang maritim dan akua.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, penubuhan muzium itu sebagai tatapan umum, agar masyarakat lebih terdedah dan memahami dengan lebih mendalam, apatah lagi bidang maritim menjadi fokus utama kepada universiti itu.

Menurutnya, berdasarkan perancangan awal, muzium itu akan turut dilengkapi dengan sebuah akuarium besar yang dianggarkan melibatkan kos bernilai RM10 juta hingga RM30 juta.

“UMT ada keperluan mendesak untuk membina muzium ini kerana kita sedang berusaha untuk meningkatkan keperluan dan kemudahan dalam bidang ini, bersesuaian dengan dua bidang baru yang diperkenalkan di UMT sendiri, iaitu Fakulti Perikanan dan Akua serta Pelancongan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kita mengharapkan Kerajaan Negeri dapat memberikan sokongan sewajarnya dengan memberikan satu kawasan yang bersesuaian seperti di Pulau Duyong atau Seberang Takir kerana faktor lokasinya yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjayakan Program Malam Mesra Media UMT di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong di sini, malam tadi..

Menurut Dr. Aziz lagi, walaupun Terengganu dikelilingi dengan lautan, tetapi masih belum ada muzium bagi menempatkan hasil-hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar penyelidik, khususnya dari UMT untuk tatapan umum.

“Sebelum ini, kebanyakan hasil penyelidikan yang ditemui sama ada sampel hidup atau mati tidak dapat disimpan dalam tempoh lama memandangkan bilik penyimpanan yang terdapat di universiti mempunyai ruang yang terhad.

“Jadi, dengan adanya muzium ini, ia akan memberi peluang kepada orang ramai melihat keadaan sebenar proses penyelidikan yang dijalankan dan seterusnya dapat menjadi tarikan baru kepada sektor pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.

Pejabat Meteorologi Gong Kedak bekal khidmat ramalan cuaca

oleh: Mohammad Ishak


Dr Maximus melihat skrim yang memaparkan keadaan cuaca semasa

Pembinaan Pejabat Meteorologi di kawasan pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, dekat Jertih, satu lagi usaha kerajaan untuk menyampaikan maklumat tepat mengenai ramalan cuaca bukan sahaja kepada penduduk Terengganu malah seluruh negeri di Pantai Timur.

Pejabat berharga RM4.7 juta yang dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke 9 oleh Kementerian Sains,Teknologi dan Inonovasi dirasmikan oleh Menteri berkenaan,Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili hari ini.

Dengan adanya pejabat berkenaan ia memudahkan agensi keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca di seluruh Negara.

Selain itu, ia juga turut memberi khidmat nasihat ramalan cuaca kepada Bilik Gerakan Operasi Negeri Kelantan dan Terengganu terutama ketika musim monsun timur laut dan menyalurkan amaran awal berkenaan aktiviti seismik kepada pihak berkuasa.

Dr Maximus ketika merasmikan pejabat baru berkenaan berkata Terengganu juga kini mempunyai Sistem Pemantauan Gempa Bumi dan Tsunami apabila kementerian terbabit memasang alat pngesan di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian.

Katanya, usaha menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengesan bencana alam itu akan ditingkatkan lagi apabila sebuah lagi pejabat akan dibina di Hulu Terengganu dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke 10.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur memerlukan stesyen dan pejabat Meteorologi yang canggih dan moden untuk mengesan sebarang bentuk bencana alam yang bakal berlaku di kawasan ini.

Berikutan pembukaan pejabat terbabit, orang ramai termasuk pelajar dan pemimpin masyarakat boleh memohon untuk melakukan lawatan sambil belajar ke pejabat berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung keadaan cuaca semasa selain melihat sendiri tugas yang dilakukan oleh kakitangan pejabat itu.

Dato' Awang Jabar maut kemalangan

Oleh FAUZI MOHD

Bekas Ahli Parlimen Dungun, Dato' Awang Jabar, 66, terbunuh apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alor Tuman, Merchang, pagi tadi.



Dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, Penasihat Khas Menteri Besar Terengganu yang menaiki Mercedes-Benz dalam perjalanan menghadiri program tinjauan mesra Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Dungun.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu, penumpang Perodua Alza yang juga seorang warga Yaman, Nisma Nabil Abdul Karim al-Saiban.

Muhyiddin dijangka melawat jenazah Allahyarham yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Terengganu, pada 2 petang di rumahnya di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Marang, Supt Ahmad Mazlan berkata polis masih menyiasat kejadian itu.

Pesalah trafik ditawar diskaun 30 peratus

Oleh; Esah Abdullah

Pesalah lalu lintas di negeri ini berpeluang mendapat diskaun bayaran saman sehingga 30 peratus sekiranya mereka membuat bayaran dalam tempoh 14 hari saman dikeluarkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Encik Abdul Rahman Emang Anyie berkata, diskaun ini sudah lama dikuatkuasakan, tetapi masih ramai tidak mengetahuinya.

Katanya, jika pesalah membayar saman dalam tempoh satu hingga 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan, mereka layak mendapat diskaun 30 peratus seperti yang ditawarkan.

“Selain itu, jika membuat bayaran melebih tempoh berkenaan sehingga 30 hari saman dikeluarkan, JPJ masih memberi potongan sebanyak 15 peratus,” katanya.

Bagaimanapun katanya,jika membuat bayaran selepas 30 hari tarikh saman dikeluarkan pesalah lalu lintas perlu membayar pada kadar penuh dan jika semakin lewat membayar harga akan meningkat dari kadar asal.





Enam jurulatih luar bantu mantapkan atlet Sukma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah membuat persiapan awal bagi menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang tahun depan dengan mengambil enam jurulatih luar iaitu tiga dari Thailand dan masing-masing seorang dari Cina, Korea dan Indonesia.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin berkata, enam jurulatih luar ini meliputi sukan sepak takraw, judo, tekwando, badminton, gimnastik dan tinju yang sudah memulakan latihan dua minggu lau dibantu jurulatih tempatan.

“Usaha yang dilakukan ini adalah untuk memantapkan atlet kita sekali gus diharap mampu mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan turut menghantar atlet pelbagai peringkat mengikuti beberapa kejohanan peringkat negeri dan pusat untuk memberi pendedahan kepada mereka sebelum bersaing diperingkat lebih besar tahun depan.

“Sebenarnya, latihan awal sudah bermula sebaik sahaja selesai Sukma 2011 di Kuala Lumpur Jun lalu, namun latihan secara insentif akan dilaksanakan selepas semua atlet selesai menduduki peperiksaan akhir tahun,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap semua jurulatih terbabit dapat memulakan program latihan secepat mungkin bagi memastikan hasrat kekal juara menjadi kenyataan.

Katanya, sehingga ini, kesemua 24 persatuan telah dipanggil untuk mengatur jadual latihan masing-masing dan 1 Disember depan merupakan tarikh akhir persatuan terbabit mengemukakan senarai nama atlet yang akan mewakili negeri.

Menurut Zainal Abidin, berdasarkan pelbagai kejayaanyang dicapai pada kejohanan lalu kerajaan optimis untuk bergelar juara sekali lagi tahun depan setelah berjaya mengengamnya pada 2008,2010 dan 2011.





PERKIM Besut terima 50 saudara baru tahun ini

Oleh: Mohammad Ishak


Anuar (tengah) beramah mesra dengan sudara baru

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Besut menerima 50 kemasukan saudara yang memeluk agama Islam menerusi pertubuhan itu sepanjang tahun ini sehingga akhir bulan lalu.

Yang Dipertuanya, Anuar Hassan berkata, jumlah kemasukkan saudara baru pada tahun ini amat memberangsangkan berikutan semain ramai dikalangan penganut agama lain yang memilih Islam sebagai agama baru mereka.

Katanya, sebahagian besar saudara baru terbabit ialah yang berasal dari agama Kristian dan kebanyakkan mereka dari Negara Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam yang bekerja di negara ini.

“Mereka yang memilih Islam menerusi Perkim bukan disebabkan paksaan oleh mana-mana pihak sebaliknya atas kesedaran dan minat mereka terhadap agama Islam,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Perkim semalam.

Kira-kira 300 jemputan menghadiri majlis yang diadakan di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Daerah Besut, Kampung Raja.

Anuar berkata, berikutan kemasukkan sejumlah besar saudara baru berkenaan, Perkim Besut kini mempunyai 600 keahlian dan yang terbesar di Terengganu.

Beliau berkata, Perkim juga sentiasa membuat pemantauan terhadap ahlinya yang memeluk Islam supaya mereka sentiasa mengikut ajaran Islam sebenar.

Sehingga ini,katanya, tiada seorang pun dikalangan ahli Perkim Besut yang kembali semula kepada agama asal mereka sebaliknya sentiasa diberi bimbingan dan latihan supaya sentiasa mendekati ajaran agama Islam.

19 September 2011

Kerajaan bina pasar borong kekal

Oleh; Esah Abdullah

Mendengar rungutan rakyat serta memahami kehendak masyarakat tempatan, kerajaan mengambil keputusan untuk membina pasar borong kekal di Bukit Payong, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari Idris berkata, kawasan seluas 20 hektar telah dikenal pasti di Kampung Batu 6, bagi tujuan pembinaan pasar berkenaan.

Katanya, kawasan itu terletak kira-kira satu kilometer dari pekan Bukit Payong dan 16 kilometer dari pusat bandar Bandaraya Kuala Terengganu.

Sehubungan itu katanya, pasar borong sedia ada di Kampung Gong Pauh dan sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu diberi kebenaran meneruskan urusniaga seperti biasa.

“Sebelum melaksanakan projek ini, beberapa pegawai telah dihantar membuat tinjauan ke beberapa negeri lain untuk mengambil contoh pasar borong yang sesuai di negeri ini,” katanya.

YB Haji Asha’ari kemudiannya tidak menyebut kos sebenar pasar borong yang bakal dibina itu, namun ia bergantung kepada penyediaan pelan serta keperluan semasa.

Katanya, kerajaan berusaha memenuhi kehendak rakyat dan perancangan membina pasar borong kekal yang selesa ini mampu memberi pulangan ekonomi kepada golongan peniaga di negeri ini.




Pasangan terpilih teruja sertai majlis persandingan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh pasangan bertuah yang berjaya melepasi syarat Program My Idol Raja Sehari 1Malaysia teruja untuk menyertai majlis persandingan yang bakal diadakan secara serentak di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu pada 22 Oktober ini.

Setiap pasangan terpilih program anjuran bersama Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu dan Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) Kuala Terengganu itu mendapat tajaan 99 peratus urusan perkahwinan mereka.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata semua urusan berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan ditanggung sepenuhnya pihak penganjur.

“Ini termasuklah kos kenduri , pengedaran kad kahwin sebanyak 1,000 setiap pasangan , kelengkapan pelamin, pakaian, mak andam, wang hantaran anggaran RM5,000 serta pakej bulan madu bagi setiap pasangan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, program berkonsepkan Gagasan 1Malaysia itu diadakan bertujuan membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.

Pihak penganjur akan mengetengahkan tradisi perkahwinan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India sebagai asas penganjurannya selain memupuk semangat perpaduan dan kesepakatan kaum sesuai matlamat Gagasan 1Malaysia.

“Program pertama kali dianjurkan itu mendapat sambutan lebih 100 pasangan menetap dan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Bandar,” katanya.


Dua kedai T’Shoppe dipindahkan, bukan ditutup

Oleh FAUZI MOHD

Dua daripada 18 rangkaian kedai serbenaka 24 jam, T'Shoppe telah dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik dan berdaya saing, bukannya ditutup seperti yang didakwa segelintir pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Azmi Razik berkata, perpindahan lokasi itu bertujuan untuk menyelamatkan dua kedai berkenaan yang berdepan kemungkinan 'gulung tikar' akibat kerugian.

Menurutnya, aspek lokasi yang kurang strategik serta faktor keselamatan menjadi pertimbangan pihak YPU untuk memindahkan T’Shoppe di Pantai Kelulut, Marang ke Wakaf Tapai, Marang.

“Manakala T’Shoppe di Gong Kapas dipindahkan ke Pengadang Baru kerana pemilik premis menaikkan sewa sehingga RM8,300 sebulan,” katanya di sini baru-baru ini.

T' Shoppe dikelolakan anak syarikat YPU iaitu Cakna Sdn. Bhd. yang memasarkan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah, keropok lekor dan jus roselle melibatkan 95 usahawan serta syarikat.

Tambah Azmi, perpindahan itu tidak memberi kesan kepada premis lain jenis itu yang terus menampakkan daya maju dan merangsang lagi usaha meningkatkan jumlahnya.

“Itu tidak benar, kerana ada di antara pemilik cawangan T'Shoppe mampu memperoleh nilai jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

“Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak sebelum ini bahawa banyak kedai terbabit gulung tikar,” katanya.

Selain mempunyai cawangan di Bandar Melaka dan Sungai Petani, Kedah katanya, T'Shoppe bakal membuka cawangan seterusnya di kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, selepas kejayaan operasinya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.