Halaman

05 June 2012

PBNT yakin peroleh emas

Oleh: Suriati Ali

Persatuan Badminton Negeri Terengganu (PBNT) yakin latihan selama sebulan di Indonesia akan membuahkan hasil untuk pasukan itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang,bulan depan.

Pengurus Pasukan PBNT Noordin Hashan, berkata pihaknya ada menghantar enam pemain terbaiknya berlatih bersama beberapa kelab badminton ternama di Jakarta, Bandung dan Jawa Tengah sejak 6 Mei lalu sehingga semalam.

Mereka yang mengikuti latihan itu adalah tiga pemain lelaki dan tiga pemain wanita iaitu Mohd Shah Mohd Desa, Mohd Syasir Mohamad, Mohd Arif Akib Hashim, Nor Ardina Abdullah, Siti Fatihah Abdullah dan Siti Farah Farhana Mat Junoh.

“Prestasi semua pemain itu dolihat semakin meningkat dan sebagai usaha memantapkan lagi persediaan, PBNT menggunakan khidmat seorang pemain badminton Indonesia sebagai rakan sepelatih.

“Pihak kami turut membariskan enam pemain muda sebagai pasukan pelapis pada Sukma 2012,” katanya.



Pemberian Dana Remaja, tarik minat untuk daftar sebagai pemilih

Oleh: Suriati Ali

Ketua Pergerakana Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang terus memberi Dana Remaja berjumlah RM200 setiap individu.

Katanya, perlaksanaan itu mampu membentuk generasi muda untuk mendaftar sebagai pemilih di mana sebelum ini kurang berminat untuk berbuat demikian.

“Kita harap remaja-remaja yang menerima dana ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya kepada Teganukita.

Sebelum blog Teganukita pernah melaporkan anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 91,517 belia yang layak di seluruh Terengganu akan menerima Dana Remaja bermula besok (1 Jun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM18.3 juta akan diperuntukan di mana setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 83,197 belia membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

“Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.

“Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,”katanya.


SPR kenal pasti calon hilang kelayakan bertanding

Oleh: Aida Abd Rahman
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya ketika bertanding sebelum ini supaya tidak mengemukakan borang pencalonan baru kerana mereka sudah hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata sehubungan itu, SPR akan mengenalpasti dan mengeluarkan senarai nama calon yang gagal di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dari seluruh negara untuk diserahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi menolak borang pencalonan mereka nanti.

“Supaya nanti tiada ahli politik yang telah gagal dan tidak layak ini akan menyerahkan sekali lagi borang penamaan calon mereka. Kalau dia menyerahkan kertas penamaan calon dan namanya ada dalam senarai, tidak payah buang masa lah, pegawai pengurus (pilihan raya) akan menolak serta-merta.

“Di samping itu, kita juga akan membuat semakan awal, apabila parti-parti politik mengisytiharkan senarai calon masing-masing, dua tiga hari sebelum penamaan calon kebiasaannya, SPR akan semak dengan Jabatan Insolvensi..hendak cari ada orang (calon) bangkrup ataupun tidak,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, SPR akan membantu pegawai pengurus pilihan raya mengenalpasti calon yang tidak layak bertanding sebelum proses penamaan calon berikutan tiada lagi proses mempamer dan bantahan pencalonan sepertimana amalan ketika penamaan sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman kita, mesti ada calon yang kalah dalam pilihan raya sebelumnya, tidak ambil kisah hendak menghantar penyata perbelanjaan, dia sudah kalah, dia Cuma ambil deposit pilihan raya sahaja, jika dia dapat jumlah undi yang banyak dan tidak hilang wang deposit.

“Kalau tidak salah saya, semasa PRU12, kita ada lebih kurang 40 nama calon. Semasa itu orang yang masuk PRU11 gagal menyerahkan penyata perbelanjaan (pada PRU12),”katanya.

Beliau menjangkakan jumlah calon hampir sama pada musim PRU13 ini berdasarkan pertandingan yang melibatkan 505 kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 222 Parlimen dengan keseluruhan calon yang bertanding menjangkau 4,000 calon dari parti kerajaan, pembangkang serta Bebas.

“Yang menang dia sudah jadi wakil rakyat dan dia ingat semua (menghantar penyata perbelanjaan), dia sudah ada pembantu, setiausaha. Tetapi ada wakil rakyat yang menang dan gagal menghantar penyata dia akan dapat kemaafan mahkamah melalui proses undang-undang, SPR akan beri peringatan untuk ke mahkamah supaya dia minta mahkamah maafkan,” katanya.

Selain itu, SPR turut mengingatkan pegawai kerajaan yang mungkin menjadi calon pada pilihan raya akan datang supaya meletak jawatan dan mengemukakan surat pengesahan peletakan jawatan berkenaan.



Klinik pemulihan untuk penagih di setiap daerah

Oleh; Esah Abdullah

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bercadang untuk membuka Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia di semua daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Encik Abdul Mutalib Abdullah berkata, klinik ini menyediakan khidmat pemulihan dan nasihat kepada individu yang terjebak dengan najis dadah serta ingin kembali ke pangkal jalan.

“Setakat ini tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Dungun telah memiliki klinik berkenaan dan ia mendapat sambutan daripada masyarakat,” katanya.

Katanya, AADK sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan klinik pemulihan yang dijangka membuat keputusan dalam masa terdekat ini.

Tambahnya, pihak AADK menempatkan beberapa pembimbing termasuk bekas penagih yang bekerja secara sukarela membantu rakan-rakan mereka untuk memberi kesedaran melalui pengalaman masing-masing.

Menurutnya, tiada paksaan kepada mana-mana pihak teruama penagih menjalani pemulihan di pusat yang disediakan itu sebaliknya terserah kepada individu untuk berubah.

“Kita juga ada menyediakan bilik penginapan kepada pelatih terutama mereka yang tidak ada tempat tinggal atau yang telah dibuang keluarga untuk tinggal sementara menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ada ibu bapa datang ke pusat untuk menyerahkan anak mereka dan tindakan sebegini amat dipuji kerana usaha menyelamatkan golongan muda dari terus terjebak menjadi mudah bila dapat kerjasama daripada penjaga masing-masing.




Dua lagi homestay baru dibuka di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak dua lagi kawasan baru homestay di negeri ini akan didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia pada penghujung tahun ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata, dua kawasan tersebut itu ialah Felda Keruak di Besut sebanyak 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman sebanyak 10 peserta

Katanya, lawatan di kedua-dua kawasan tersebut akan diadakan dalam waktu terdekat oleh pasukan yang terdiri daripada Pejabat Kementerian Pelancongan bersama Tourism Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Persatuan Homestay sebelum lesen dikeluarkan bagi memastikan semua aspek yang telah ditetapkan dipatuhi.

"Pada masa ini sebanyak enam kawasan di negeri ini didaftarkan sebagai homestay yang melibatkan seramai 103 peserta," katanya

Mohd Sabri berkata, enam kawasan terbabit ialah dua di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun ( Kampung Pasir Raja), Setiu (Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh).

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terkeliru dengan homestay yang berdaftar dengan kementerian adalah berkonsepkan tinggal bersama penduduk dan menikmati aktiviti yang dijalankan di homestay berkenaan.

Ini kerana katanya, pada masa ini banyak individu yang menggunakan nama homestay untuk mengiklankan rumah rehat atau rumah penginapan mereka.

"Sehubungan dengan itu pihak kementerian pada masa ini sedang berusaha untuk mangazetkan nama homestay supaya ianya tidak mengelirukan orang ramai terutama pelancong," ujarnya.

Beliau menambah, kementerian tidak mempunyai peraturan untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit kecuali setelah digazetkan kerana lesen tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.



Tapak rumah untuk generasi kedua Felda Selasih

Oleh: Mohammad Ishak


Menteri Besar bergambar kenangan bersama pasukan futsal Felda Selasih

Kerajaan Negeri sedia menimbang permohonan peneroka Felda Selasih, Jabi,Setiu, untuk mendapatkan lot perumahan bagi peneroka generasi kedua membina rumah baru di kawasan tanah rancangan berkenaan.

Menteri Besar,Dato’ Seri Haji Ahmad Said. berkata tanah seluas 100 hektar sudah dikenalpasti untuk dijadikan penempatan baru terutama kepada anak peneroka di Felda berkenaan

Katanya, langkah itu bagi membolehkan anak pneroka terus tinggal di dalam rancangan tanah Felda dan dapat meemberi sumbangan kepada keluarga dan pihak Felda.

Menurutnya, sebanyak 400 lot perumahan baru boleh dibina di kawasan yang disediakan dan ia akan menambah jumlah penduduk di Felda terbabit.

“Kerajaan tidak ada masalah untuk meluluskan permohonan daripada peneroka terbabit jika mempunyai kawasan tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak rumah,” katanya pada majlis pertemuan bersama peneroka Felda Selasih, dekat Jertih, semalam.

Program bersama peneroka itu adalah yang terakhir dalam siri jelajah Menteri Besar ke rancangan Felda di seluruh negeri ini.

Masalah ketiadaan tempat tinggal yang dihadapi anak peneroka di situ semakin serius menyebabkan ramai yang terpaksa berpindah keluar untuk mencari tempat tinggal kerana tiada rumah.

Keadaan itu juga menyebabkan jumlah murid yang belajar di Sekolah Kebangsaan Felda Selasih semakin menurun pada tiap tahun dan ini membimbangkan bukan sahaja pihak sekolah malah ibu bapa sendiri.

Menurut rekod jumlah asal murid di sekolah itu lima tahun lalu ialah 300 tetapi kini menurun kepada 83 murid sahaja.

Penurunan murid pada setiap tahun itu amat ketara dan membimbangkan sedang di Felda itu mempunyai kemudahan sekolah serba lengkap, sama seperti sekolah di luar Felda.


04 June 2012

Terengganu rekod jumlah pengundi belum daftar terendah

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu merekod jumlah pengundi yang belum mendaftar paling rendah apabila hanya mencatat seramai 46,000 orang berbanding 3.65 juta keseluruhan pengundi yang gagal berbuat demikian di seluruh negara, sehingga kini.

Timbalan Pengerusi SPRM, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata daripada jumlah itu, negeri yang mencatat jumlah pengundi yang belum mendaftar paling tinggi adalah Selangor (kira-kira 600,000 orang), Johor (kira-kira 500,000), Wilayah Persekutuan (kira-kira 350,000), Kelantan (kira-kira 200,000).

“Terengganu dikenalpasti negeri yang mencatat jumlah pengundi paling kecil yang gagal mendaftar. Jadi nampaknya rakyat Terengganu memang peka untuk mendaftar dan menggunakan hak mereka untuk mengundi pada pilihan raya,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, SPR merekodkan 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan jumlah pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini berjumlah kira-kira 100,000 pengundi dengan 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.

Katanya, Terengganu yang mempunyai lapan bahagian pilihan raya bagi Parlimen dan 32 bahagian Dewan Undangan Negeri , turut membuka 355 pusat mengundi yang melibatkan 1,212 saluran pusat mengundi.

Selain itu, Datuk Wira Wan Ahmad berkata, daripada 16.5 juta warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, seramai 3.65 juta daripada mereka belum mendaftar sebagai pengundi.

“Sehingga kini, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, SPR menjangkakan hampir dua juta terdiri daripada pengundi baru yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

“Daripada hampir dua juta pengundi baru yang pertama kali (mengundi) ini , kita dapati 35 peratus sahaja pengundi yang dianggap sebagai orang muda..belia, iaitu 35 tahun ke bawah. Jadi, kini baru SPR tahu rupa-rupanya ramai lagi orang yang berusia 35 tahun ke atas yang baru mendaftar buat pertama kali. Sebab itulah, maka di negara kita sekarang masih ada 3.5 juta rakyat yang belum mendaftar,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian kerana apabila mereka mendaftar pada hari ini serta nama mereka diwartakan sebagai pengundi pada Ogos, maka secara automatik mereka boleh mengundi sekiranya PRU13 berlangsung selepas Ogos.

“Kalau tidak diduga Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kita tidak tahu kerana ia terpulang kepada kuasa Perdana Menteri, akan sembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong (bila) kita tidak tahu. Tetapi mengambil kira tempoh masa yang kita perlu kalau hendak mengadakan pilihan raya sebelum bulan puasa , maka Parlimen perlu bubar dalam bulan Jun.

“Tetapi jika Parlimen tidak dibubarkan pada bulan Jun, maka faham-fahamlah..,” katanya.

Menurutnya, SPR yang menjangkakan aktiviti PRU13 lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas pilihan raya, selain mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing berdasarkan penerangan dan taklimat yang diberikan oleh SPR.





SPR tubuh pasukan penguatkuasa kempen PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sedang mengenal pasti ahli untuk menganggotai pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya di setiap Parlimen di Terengganu bagi memantau dan melancarkan aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi SPRM, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata pasukan itu akan disertai empat ahli yang terdiri daripada ketua pasukan penguatkuasa, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan, pegawai polis sekurang-kurangnya yang berpangkat Inspektor dan wakil calon yang bertanding.

“Tidak ramai ahli dalam pasukan penguatkuasa berkenaan, bagaimanapun tugas dan jaringan amat luas dengan menggunakan balai polis seluruh negara..seluruh negeri. Kalau perlu buat rondaan mereka pergilah.. Kalau dapat aduan, ketua balai (polis) berdekatan akan semak aduan, kalau perlu ambil tindakan mereka akan pergilah.

“Ada negeri membuat pasukan mengikut Parlimen dan ada mengikut DUN (Dewan Undangan Negeri). Tetapi Terengganu buat masa kini, Pengarah (SPR negeri) bincang dengan pengurus pilihan raya (RO) untuk mengikut Parlimen sahaja,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, pasukan ini akan dilengkapi dengan kenderaan pacuan empat roda selain peralatan seperti kamera, tali dan gunting yang mungkin digunakan bagi tujuan menurunkan bendera atau sepanduk yang didapati melanggar undang-undang sepanjang berkempen.

Pada masa yang sama, SPR juga kini berdepan dengan masalah kekurangan pegawai polis bagi ditugaskan dalam pasukan itu berikutan PRU yang berjalan serentak seluruh negeri memerlukan khidmat ramai pegawai keselamatan itu.

“Kita sudah menubuhkan pasukan penguatkuasa berkenaan bagi negeri Pahang, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan hari ini kita mengenal pasti pasukan bagi negeri Terengganu untuk memantau aktiviti berkempen sepanjang PRU13 ini,” katanya.

Sehubungan itu juga, SPRM tidak mengambil kira waktu PRU13 kerana terserah dan bergantung kepada tarikh Parlimen dibubarkan.

Bagi SPR, katanya apabila Parlimen dibubarkan, pihaknya mempunyai tarikh 60 hari bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian yang tertakluk kepada undang-undang wajib membuat persiapan untuk menjalankan pilihan raya.

“Jadi tentang bila Parlimen dibubarkan terserahkan kepada Perdana Menteri. Apabila Parlimen dibubarkan SPR tidak boleh kata tidak bersedia. SPR mesti bersedia, jadi begitulah keadaannya,” katanya.




Terharu dapat jumpa MB

Oleh; Esah Abdullah

Kata orang melalui riak wajah ia mampu menceritakan apa yang tersirat di hati dan itulah yang boleh digambarkan bahasa badan Rahimah Abdul Rahim, 41, bila menerima kunjungan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud ke rumahnya di Kampung Tanjung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.



Rahimah dikategorikan orang kurang upaya (OKU) yang mengidap penyakit saraf sejak kecil dan hanya sempat belajar setakat darjah satu di Sekolah Kebangsaan Ladang serta kerap berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Pendengaran dan penglihatanya agak baik tapi tidak mampu bercakap dengan lancar,” kata ibunya Puan Saadiah Embong, 71 yang mempunyai lima anak dan Rahimah adalah yang bongsu.

“Saya bersyukur kerana Rahimah dapat bantuan bulanan sebanyak RM200 sebualn dan dapatlah meringankan beban Pak Cik yang tidak boleh bekerja kuat kerana uzur,” kata Encik Abdul Rahim Mohamed, 73.

Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Besar dan isteri yang sudi menjejakkan kaki ke rumahnya serta menawarkan rumah yang lebih selesa bila projek yang sedang dibina siap nanti.

“Saya macam tidak percaya bila melihatnya berada didalam rumah saya dan ternyata beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.

Menurut Encik Abdul Rahim anaknya faham bila diberitahu ada orang besar (Menteri Besar) nak datang dan jelas kelihatan dia mengenggam erat sumbangan wang dan hamper yang disampaikan To’ Puan Seri Hajah Norliza.



Menteri Besar dan isteri mengunjungi rumah warga emas, keluarga miskin dan orang uzur dalam program masuk kampung sempena program Evolusi R anjuran Pergerakan Pemuda Perhubungan negeri dengan kerjasama Penyelaras UMNO DUN Ladang.




Teganukita 60