Halaman

29 December 2012

PITC Labur RM40 Juta Bina Kompleks Tekstil Kedua

 Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal, Kemaman.



 Pengerusinya, Dai Bing Nam berkata, PITC akan menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara bagi persatuan itu berikutan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan prasarana pelaburan terbaik untuk industri tersebut.

 Menurutnya, PITC akan mengeksport barangan tekstil terus dari China ke kompleks itu melalui Pelabuhan Teluk Kalong di Kemaman serta sokongan logistik melalui pembinaan Pelabuhan Darat Bandar Baru Kijal pada tahun depan.


“Kita mahu mencari peluang pelaburan yang baik dan Terengganu mempunyai prasarana kemudahan yang diperlukan seperti di kawasan Bandar Baru Kijal ini yang berdekatan dengan kawasan perindustrian Telok kalong,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PITC dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi perlaksanaan projek itu di Kompleks Tekstil Bandar Baru Kijal, Kemaman semalam.

 PITC diwakili Dai Bing Nam manakala MPK oleh Yang Dipertuanya, Dato’ Mustafar Khalid dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw serta 40 deligasi dari PITC.



 Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, pelaburan kerajaan negeri dengan kerjasama PITC dijangka mampu mendatangkan keuntungan untuk jangka panjang dalam industri tekstil.

 Katanya, dengan adanya kompleks itu, ia akan memberi kemudahan kepada peniaga dan penduduk di Pantai Timur khususnya mendapatkan pelbagai bahan berasaskan tekstil yang bermutu. “Ini adalah projek jangka panjang yang akan memberi keuntungan kepada peniaga tekstil. Kompleks tekstil yang akan dibina itu nanti bakal menjadi hab tekstil yang pertama seumpamanya di Pantai Timur.

 “Penduduk Pantai Timur dan peniaga tekstil tidak perlu lagi pergi jauh bagi mendapatkan barangan berasaskan tekstil serta kain yang bermutu kerana semuanya akan disediakan di kompleks di Bandar Baru Kijal,” katanya.

 Tambah beliau, Kompleks Tekstil pertama yang bernilai kira-kira RM40.7 juta itu telah siap pertengahan tahun lalu akan dibuka sepenuhnya untuk aktiviti jualan pada April tahun depan.

 Katanya, sebanyak 37 daripada 42 lot kompleks tekstil tiga tingkat itu akan disewa oleh pelabur-pelabur dari China dan selebihnya oleh pengusaha tempatan yang telah berminat.

 “Kita telah membuat tawaran sebanyak tiga kali kepada pengusaha-pengusaha tempatan dari seluruh negara.

 Pada asalnya kita jangkakan 10 pengusaha dan yang terakhir hanya lima yang tinggal,” ujarnya.

 Kompleks itu adalah antara lebih 12 komponen projek bagi pembangunan bandar berkenaan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM143 juta.

 Pembangunan di tanah seluas 160 hektar itu turut melibatkan bangunan komersil, pelabuhan darat, balai polis dan bomba, Jabatan Kastam dan Imigresen, perumahan dan institusi pengajian tinggi serta hospital dan mahkamah baru untuk Daerah Kemaman.

 





Bantuan Pakaian Sekolah DUN Kijal

Menyediakan makan minum dan pakaian bagi anak-anak tentunya tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang tidak perlu dipersoalkan.



 Namun tidak semua keperluan itu dapat disediakan dengan sempurna apatah lagi jika ibu bapa menghadapi kekangan kewangan dalam menguruskan keperluan harian keluarga.

 Dalam konteks pakaian sekolah misalnya ada yang hanya mampu menyediakan sepasang dua pakaian untuk digunakan sepanjang tahun sehingga kelihatan kusam dan lusuh apabila tidak berganti.

Justeru, kerajaan negeri yang terus berusaha memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan menjadikan negeri ini sebagai negeri berkebajikan turut memberikan sumbangan pakaian kepada pelajar di seluruh negeri.



 Semalam, hampir 4,000 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan pakaian sekolah yang diterima oleh ibu bapa masing-masing.

 Bantuan bernilai RM100 setiap seorang untuk membeli keperluan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada ibu bapa di empat tempat berasingan iaitu di Sekolah Kebangsaan Payoh, Dewan Sivik Bukit Kuang, Dewan Ketengah Seri Bandi dan Dewan Sivik Kijal.



 Ibu bapa yang hadir pada majlis itu mengucapkan terima kasih dan syukur kepada pimpinan negeri pasti sumbangan itu pastinya menggembirakan anak-anak.

 Kebanyakan penerima sumbangan tersebut adalah pekerja ladang, petani, nelayan dan buruh binaan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 seorang dan bagi keluarga yang mempunyai lebih dari seorang anak bersekolah mereka menerima RM200.

 






Polis buka 3,225 kertas siasat jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 3,225 kertas siasatan jenayah indeks dibuka dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 284 kes atau 8.09 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.


Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, tahun lalu sebanyak 3,509 kertas siasatan jenayah indeks dibuka.

Menurutnya, kadar penurunan itu telah mencapai sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus

Katanya, dalam tempoh itu juga Polis negeri berjaya menyelesaikan 1,620 kes atau 50.2 peratus pada tahun ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 1,670 kes atau 47.6 peratus dengan peningkatan sebanyak 2.64 peratus.

``Bagi jenayah jalanan pula sebanyak 204 kes dilaporkan pada tahun ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 238 kes dalam tempoh yang sama,’’

 ``Ini telah menunjukkan penurunan sebanyak 34 kes atau 14.29 peratus. Bagaimanapun ianya tidak mencapai kadar penurunan yang telah ditetapkan sebanyak 40 peratus bagi jenayah jalanan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis negeri. Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Dato’ Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin.

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga Polis berjaya menumpaskan beberapa kumpulan penjenayah motosikal, motokar, kabel dan lain –lain yang aktif di negeri ini.

Katanya, antara kumpulan penjenayah yang ditumpaskan ialah kumpulan arif, kumpulan zimi Bukit Bading, kumpulan angah, kumpulan mirul payung, kumpulan zuan dan kumpulan botak.

Katanya, walaupun tahun tahun ini banyak kejayaan telah dicapai, tetapi pegawai dan anggota perlu mengambil iktibar dan merancang untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tindakan pada tahun depan.

``Saya berharap pegawai dan anggota akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan dari masa ke semasa dengan berkhidmat lebih berintergriti, berhemah, berbudi pekerti dan hindari perkara yang bertentangan disiplin dan undang-undang,’’ katanya.

Sempena dengan majlis itu beliau turut menyampaikan 67 surat penghargaan kepada pegawai dan anggotanya kerana telah menunjukkan kecemerlangan, kegigihan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas.
 

81 pelajar cemerlang dapat hadiah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 81 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima hadiah insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan awam tersebut baru-baru ini.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata 56 pelajar cemerlang UPSR serta 25 pelajar cemerlang PMR dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima penghargaan tersebut.

"Setiap pelajar yang cemerlang dalam UPSR menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

"Manakala, bagi pelajar cemerlang dalam PMR pula menerima wang tunai RM150 dan juga sijil penghargaan yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9350,” ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan perasmian Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, semalam.

Katanya, pemberian hadiah tersebut adalah sebagai galakan dan sokongan kepada mereka untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pelajaran dan sebagai motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri turut menasihatkan pelajar agar terus berusaha menuntut ilmu ke peringkat tertinggi.

"Sekiranya kita mempunyai ilmu orang akan hormat dan pandang kita, dan dengan ilmu jugalah kita mampu mengubah nasib keluarga apabila telah berjaya kelak,” katanya.

 



Imbuhan kebajikan naik, elaun khas perubatan untuk ahli Kawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Bermula Januari tahun depan  imbuhan kebajikan untuk ahli Kalab Wartawan Terengganu (Kawat) akan dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

 “Setiap anggota Kawat juga akan menerima elaun khas perubatan RM200 setahun manakala anak-anak anggota yang cemerlang dalam peperiksaan utama juga akan menerima imbuhan,” kata Presidennya, Encik Ayob Mamat ketika berucap di Mesyuarat Agung Kawat 2012, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, Kawat juga berhasrat membiayai dua orang anlinya mengerjakan ibadah umrah setiap tahun sebagai menghargai jasa pengamal media dalam menjalankan tugas dengan dedikasi selama ini.

 "Kawat juga mahu menjadi sebuah kelab yang maju dan menjadi kebanggaan pengamal media di negara ini di mana golongan wartawan juga mampu menjalankan aktiviti perniagaan menerusi penubuhan Koperasi Media Terengganu Berhad,” katanya.

Menurut Encik Ayob, kewujudan Koperasi Media Terengganu Berhad itu membuktikan Kawat telah menyahut seruan kerajaan yang mahu meningkatkan taraf ekonomi rakyat negara ini dengan menyertai koperasi kerana ia adalah antara medium yang mampu menjana ekonomi ahlinya.


28 December 2012

Kerajaan BN bantu mangsa banjir di DUN Tepoh

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam usaha membantu rakyat terutamanya yang melibatkan pengagihan bantuan akibat bencana alam.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh malam tadi telah turun padang bersama-sama Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus, Encik Apli Yusoff, wakil Kelab Putera 1Malaysia serta para sukarelawan bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di lima pusat pemindahan banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Adun Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, pengagihan bantuan seperti tilam, selimut serta barangan keperluan lain diberikan secara adil kepada mangsa banjir yang berdaftar di pusat pemindahan yang telah ditetapkan.

"Kerajaan BN sentiasa cakna kebajikan rakyat dan tidak pernah membezakan fahaman politik dalam menghulurkan bantuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa banjir.

"Saya mengharapkan bantuan yang berikan oleh pihak kerajaan contohnya seperti selimut dan tilam yang disalurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia dapat memberikan sedikit keselesaan kepada mangsa banjir yang masih berada di semua pusat pemindahan di DUN ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di SK Kompleks Gong Badak, malam tadi.

Difahamkan, misi pengagihan bantuan tersebut melibatkan mangsa banjir yang ditempatkan di SK Kompleks Gong Badak, SK Bukit Guntong, SK Tok Jiring, SK Bukit Nenas dan SK Kampung Gemuroh.

 


Empangan Paya Beda Hulu Besut tidak mampu menampung lebihan air


ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad (hadapan sekali) meninjau Empangan Paya Beda

Oleh: Mohammad Ishak

Banjir yang melanda Besut hingga menyebabkan lebih 2,300 penduduk berpindah berpunca daripada limpahan air dari satu aliran Empangan Baru Paya Beda, Hulu Besut setelah ia tidak mampu menampung air hujan yang turun tanpa henti sejak Ahad lalu.

Jurutera Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Wee Yit Ming berkata banjir luar biasa itu berpunca daripada satu bahagian tebing hulu Empangan Paya Beda yang dalam pembinaan  mengalami hakisan hingga berlaku sedikit keruntuhan.

"Kajian pihak pengurusan mendapati empangan tersebut tidak mampu menakung peningkatan air limpahan hujan sejak Ahad yang mencecah ketinggian 25 meter hingga mengalami sedikit keruntuhan di satu bahagian tebing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan itu juga menyebut ekoran hujan berterusan pada pagi hari berikutnya, paras air meningkat sehingga ketinggian di tahap maksimum di satu bahagian empangan lencongan tersebut.

Justeru, pihak pengurusan mengambil keputusan mengorek sebuah kawasan bagi melencongkan air ke satu kawasan lencongan bagi memastikan takungan air di empangan utama tidak melimpah keluar.

 "Ketika pekerja melakukan kerja-kerja pengorekan, datang sekumpulan penduduk menghalang pekerja dari meneruskan kerja "

Oleh kerana ketakutan, pekerja tersebut telah memberhentikan kerja dan tanpa disedari paras air empangan utama tersebut meningkat ke ketinggian maksimum 28 meter dan menyebabkan satu bahagian daripada empangan utama tersebut terhakis dan runtuh sedikit hingga menyebabkan air melimpah keluar," katanya. 

Menurut laporan itu juga, air limpahan kemudiannya mengalir ke Sungai Angga berdekatan dan melimpah hingga ke Kampung Padang Bual, di sini hingga menyebabkan kawasan berkenaan ditenggelami sehingga ke paras bumbung.

Laporan itu juga menyebut pihak pengurusan Ketara telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam dan memutuskan satu mesyuarat lanjutan akan diadakan bersama Pegawai Daerah Besut bagi memastikan tidak ada urusan campur tangan daripada penduduk setempat di atas pembinaan empangan berkenaan selepas ini.

Projek Empangan Paya Beda yang bernilai RM333 juta itu telah dimulakan pembinaan pada tahun lepas dan dijangka siap akhir tahun 2013. Ia bertujuan membekalkan air kepada 8,000 petani di Besut dan Setiu selain membekalkan sumber air asli untuk kegunaan penduduk daerah berkenaan.

270 terima agihan pemutihan dana hari raya



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 270 golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih,yang terbabit dalam pemutihan hari ini menerima agihan dana hari raya.

Mereka adalah dari kategori miskin, ibu tunggal, duna, OKU dan usia emas yang sebelum ini nama mereka tercicir daripada senarai penerima bantuan berkenaan.

Proses bayaran kepada penerima terbabit dilakukan kakitangan Pejabat Daerah Besut (PDB) yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut,Gong Kemuntong, selepas nama penerima terbabit disenarai semula selepas semakan pihak terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan pengagihan dana berkenaan. Pengagihan dana berkenaan sebelum ini dilakukan menjelang Aidilfiri lalu tetapi disebabkan beberapa teknikal nama penerima terbabit tiada dalam senarai sehinggalah dibuat pemutihan semula.

Berucap pada majlis itu Idris berkata, rakyat Terengganu sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan dana berkenaan untuk membantu golongan terbabit.

Katanya, pelbagai skim bantuan di sediakan kerajaan negeri untuk membantu rakyat tetapi masih ada yang menuduh kerajaan zalim.

Menurut, selepas ini rakyat Terengganu akan diberikan bantuan pakaian sekolah yang dijangka diadakan pada awal Januari dan diukuti dengan pemberian BRIM oleh Kerajaan Pusat.

PPAT anjur persembahan seni tutup tirai 2012

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan mengadakan persembahan seni dan sastera, sebagai penutup tirai 2012 di PPAT esok (29 Disember) bermula 8.30 pagi hingga 12.00 malam.

Persembahan seni dan sastera itu diadakan sempena Seminar Kewartawanan Islam Nusantara, pasca Anugerah Seni Terengganu dan penubuhan Galeri Seni Sastera Terengganu.

Menurut kenyataan itu antara aktiviti yang diadakan ialah diskusi buku, pameran dan jualan buku, demontrasi khat, persembahan teater, deklamasi puisi serta pembicaraan buku.

Acara yang diadakan itu adalah sebagai usaha untuk memartabatkan ilmu dan menanam minat membaca di kalangan masyarakat negeri ini. ``Ia selaras dengan wawasan pendidikan negara ke arah mewujudkan generasi celik ilmu dan menghargai sejarah serta kesusasteraan Melayu,’’ katanya.

Melalui usaha seperti itu juga dapat memberi pendedahan kepada generasi baru tentang kepentingan sastera dan teater dalam kehidupan bagi membantu generasi 3K iaitu kreatif, kritis dan kualiti.

Manakala Galeri Sastera Terengganu yang bakal ditubuhkan oleh PPAT akan menjadi sebahagian daripada koleksi Terengganu dengan menempatkan karya-karya penulis tempatan sebagai rujukan umum di samping mengumpul semua hasil seni dan kesusasteraan negeri ini.

Empat persatuan bergabung untuk mengadakan program tersebut iaitu Majlis Pengarang dan Sastera Terengganu (Master), Persatuan Karya Negeri Terengganu (Karya), Persatuan Wartawan Terengganu (Pewarta) dan Persatuan Seni Khat Trerengganu (Pikat).

 

BN Diminta Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin meminta semua jentera Barisan Nasional dan pemimpin tempatan agar turun padang membantu mangsa banjir termasuk membersihkan rumah penduduk.

Menurut beliau, pasukan sukarelawan terbabit yang akan dibantu pihak keselamatan diminta memantau rumah-rumah yang ditinggalkan kerana penghuninya berpindah.

 “Di mana ada ahli dan pemimpin Barisan Nasional di situ aka nada bantuan. Ini pendekatan kita kerana kita dekat dengan rakyat.

 "Jaminan yang saya berikan pasukan keselamatan akan memantau dan menjaga keselamatan termasuk rumah yang ditinggalkan di samping memberi kerjasama kepada skuad sukarelawan," katanya selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman.

 Turut serta isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Noriah Kasnon.

 Kata Muhyiddin, dengan jaminan itu, penduduk tidak akan khuatir untuk berpindah seperti yang dilaporkan sebelum ini.

 Mengenai sekolah yang terlibat banjir termasuk dijadikan pusat pemindahan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan untuk menangguhkan sesi persekolahan hanya akan diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

 Beliau juga berkata bantuan seperti bekalan makanan dan keperluan diri adalah mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir.

 "Kita minta perhatian khusus diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak dan makanan pula perlulah dipelbagaikan. "Soal kesihatan dan bekalan air bersih juga sangat memuaskan dan kerajaan sangat komited menjaga keperluan rakyat," katanya.