Halaman

13 March 2014

Staf Jabatan Perhutanan belum ditemui.

Anggota JPAM bersiap memulakan operasi, pagi tadi.
Oleh: Aminudin Ismail.

SEORANG kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Wan Saidi Amri Wan Jusoh, 35, yang hilang di hutan simpan Kampung Payong, Langkap, Setiu kira-kira jam 2 petang semalam, masih belum ditemui sehingga jam 5 petang ini.

Seorang anggota JPAM yang berada di hutan berkenaan menyertai operasi mencari itu ketika dihubungi Teganukita memberitahu sehingga kini usaha mencari masih diteruskan.

"Kami masih belum menemui mangsa, jarak antara Kampung Payong ke kawasan tempat mangsa dipercayai hilang ini agak jauh dan hanya boleh dimasuki kenderaan pacuan empat roda.

"Sehingga kini seramai kira-kira 50 anggota dari PDRM, Bomba,JPAM, Jabatan Perhutanan dan Rela berganding tenaga mencari mangsa sejak awal pagi tadi," katanya mengenai mangsa yang tinggal di Losong, Kuala Terengganu dan berasal dari Besut itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Ab. Rahman Raja Mohamed melalui 'whatsapp'nya memberi tahu Teganukita bahawa kejadian berlaku apabila mangsa bersama empat pegawai Jabatan Perhutanan masuk ke hutan simpan itu untuk membuat bancian.

"Empat kakitangan Jabatan Perhutanan itu menaiki sebuah pacuan empat roda untuk membuat bancian pokok-pokok.

"Pada Jam kira-kira dua petang (12.3.2104) Seorang lelaki, Wan Saidi Amri Wan Jusoh telah tiada dalam kumpulan. Puas mencari di merata tempat tetapi tidak jumpa," katanya.

Selepas laporan polis itu, Abdul Rahman dan Ketua Balai Sungai Tong serta sembilan anggota masuk ke dalam hutan berkenaan untuk mengesan mangsa, bagaimanapun disebabkan lokasi hutan yang tebal dan keadaan gelap, usaha mencari diteruskan pagi ini.

"Sehingga kini, mangsa belum ditemui," kata Abdul Rahman ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, unit pencarian yang diketuai oleh ASP Idris Mohamed. Ketua Siasatan Daerah Setiu menamatkan operasi pencarian hari ini kira-kira jam 5 petang tadi dan akan disambung pagi esok.

 

250 hektar masih terbakar di Lembah Bidong.

Bieza...babitkan 100 anggota.
Oleh: Aminudin Ismail.

SELEPAS 17 hari menjalankan operasi memadam dan mengawal kawasan kebakaran di hutan tanah gambut Lembah Bidong, Bomba terus membuat ‘fire break’ dan semburan air bagi mengawal api daripada terus merebak, hari ini.

 Komander Operasinya, Kamerul Bieza Mohd Kasim, tiupan angin yang agak kencang di kawasan terbabit mengakibatkan usaha untuk memadam kebakaran sedikit terhalang sekaligus memudahkan api merebak ke tempat lain.

“Kita masih lagi mengawal dalam lingkungan 250 hektar kawasan kebakaran di Lembah Bidong ini (sehingga semalam).

Antara kawasan yang terbakar.
“Tempat yang padam kembali terbakar disebabkan sisa kebakaran dahulu menjadi kering dan keadaan yang berangin agak kuat memberi sedikit cabaran kepada kami dalam usaha untuk memadam kebakaran, di mana semua anggota perlu berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Setakat ini, segala usaha masih lagi terkawal di mana kita terpaksa membuat beberapa takungan air sebagai halangan untuk api merebak, di samping membuat semburan di kawasan yang berhampiran kebakaran,” katanya.

Menurut Kamerul Bieza lagi, selain memberi fokus kepada kawasan yang terbakar, pihaknya juga memantau kawasan lain bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

“Keadaan kebakaran di kawasan tanah gambut adalah berbeza di kawasan tanah biasa, di mana api sememangnya sukar untuk dipadamkan kerana ia bergerak di dalam tanah dan mengambil masa untuk dikesan.

“Bagaimanapun, dengan kepakaran dan usaha yang berterusan yang dilakukan pasukan kami seramai kira-kira 100 anggota, ia mampu mengelak api daripada terus merebak ke tempat yang lain,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengharapkan hujan akan turun dalam masa terdekat ini bagi membantu usaha mamadam dan mengawal kebakaran kawasan belukar itu dengan lebih berkesan.

Katanya, kerjasama daripada penduduk adalah sangat penting iaitu dengan tidak melakukan sebarang pembakaran secara terbuka dalam keadaan cuaca yang panas dan kering ini.

Kebakaran di kawasan hutan belukar lembah bidong itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 500 hektar termasuklah berhampiran Ladang Rakyat dan Ladang Tabung Haji, sejak lebih dua minggu lalu, bagaimanapun Bomba berjaya memadam dan mengawal lebih separuh kawasan kebakaran itu sehingga kelmarin.

 

PBSNT jual 7,000 tiket Sabtu ini

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menjual 7,000 tiket menjelang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Setiausaha Agungnya, Arpin Draman, berkata jumlah tiket itu hanya untuk tempat duduk terbuka dan tidak termasuk pas bermusim selain tempat duduk berbumbung yang dihadkan.

Katanya, pihaknya terpaksa mengehadkan penjualan tiket untuk langkah keselamatan walaupun stadium itu mampu menampung sehingga 10,000 penonton dalam satu perlawanan.

“Kami hanya menyediakan 100 keping kepada penyokong JDT dan jika mereka datang sendiri membeli tiket di kaunter stadium, itu kita tidak boleh buat apa-apa.

“Penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan mulai jam 10 pagi di kaunter tiket utama stadium Jumaat ini.

 “Pihak kami terpaksa mengehadkan penjualkan tiket atas faktor keselamatan, selain ingin mengelak pelbagai kemungkinan berlaku,” katanya.

Katanya Arpin berkata pihaknya memberi jaminan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan berikutan insiden `Terowong Larkin’ pada 1 Februari lalu.

 “Pihak kami dimaklumkan seramai 400 anggotan polis dari Bukit Aman akan ditugaskan pada hari perlawanan itu selaian gabungan tiga polis Pantai Timur, iaitu membabitkan Terengganu, Kelanatan dan Pahang,” katanya.



MH370: Semua masjid di Besut adakan solat hajat

Oleh: Noraini Jusoh
 YB Haji Muhammad Pehimi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof menyatakan, semua masjid di daerah Besut mengadakan solat hajat ekoran kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370.

“Semua 82 buah masjid disini telah mengadakan solat hajat disamping berdoa kepada Allah s.w.t supaya kemelut peristiwa kehilangan kapal terbang ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Ini adalah salah usaha yang dapat kita lakukan. Diharapkan mangsa yang terlibat dengan kehilangan pesawat MH370 dipanjangkan umur dan dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehilangan pesawat MH370 pada sidang media sempena Majlis Perasmian Seminar Mukmin Profesional anjuran Persatuan Pembelajaran Pascasiswazah Perubatan (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Hotel Permai, hari ini.
Turut hadir, Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri HSNZ, Dr. Nujaimin Udin.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal dilaporkan hilang daripada radar, kira-kira dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu lalu.

 Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Pehimi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Terengganu berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk Tabung Penyakit Kronik bagi tahun 2014 sebagai bantuan membiayai pesakit kronik negeri ini.

 

KLIT 2014 tawar hadiah RM55,000

Oleh: Suriati Ali

 Kenyir Lake International Triathlon (KLIT) 2014 anjuran Lembaga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( KETENGAH ) menawarkan hadiah keseluruhan RM55,000 kepada peserta.

 Seramai 446 individu daripada 23 buah negara telah mengesahkan penyertaan untuk menyertai KLIT 2014 yang bakal diadakan pada 16 Mac di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


 Antara negara itu, termasuk Australia, Belgium, Brunei, China, Czech Republick, Francis, Myanmar, Singapura, New Zealand, Denmark, India, Spain, Thaidland, United Kingdom dan Hongkong.

Pengurus Besar KETENGAH, Wan Mat Amin Wan Daud, berkata KLIT 2014 merupakan acara tahunan siri ke-10 yang dianjurkan sejak 2005 pihaknya dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.

 Katanya, kejohanan bertaraf antarabangsa itu merupakan acara ‘sport tourism’ yang disenaraikan sebagai acara utama Kalendar Pelancongan Terengganu 2014 dan juga bersempena Tahun Melawat Malaysia.


 “Kaedah pertandingan menggunakan jarak olimpik ‘ olympic distance ‘ di mana peserta akan memulakan acara berenang 1.6km,berbasikal sejauh 45km dan berlari sejauh 11km.

 “Penganjuran acra ‘sport tourism ini merupakan pemangkin kepada produk pelancongan Terengganu, sekaligus mampu mempromosi Tasik Kenyir yang berkonsepkan `Taman Pelancongan Akua Eko’,” katanya dalam satu kenyataan.

 

UniSZA anjur minggu penyelidikan dan pertandingan inovasi

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi buat julung kalinya akan menganjurkan Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi 2014 (MPI 14) selama empat hari bermula 16 Mac bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA.

Penyelaras program MPI, Dr Khamsah Suryati Mohd yang juga merangkap Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (Bahagian Inovasi) berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan serta memperluaskan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh 100 penyelidik UniSZA kepada penyelidik dari universiti luar serta orang awam.

"Kita akan mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan yang telah berjaya dibuat oleh para penyelidik UniSZA dan kita dedahkan kepada penyelidik lain dan orang ramai supaya dapat menyumbang kepada penemuan baru yang berpotensi dapat dikomersilkan dan dimanfaatkan sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.

"Pada program ini juga para penyelidik di UniSZA akan membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam satu seminar yang mana mereka akan bentangkan hasil geran yang mereka peroleh,” katanya.

Menurutnya pelbagai aktiviti turut diadakan untuk pengunjung yang datang antaranya pembentangan projek penyelidikan, pertandingan inovasi, pameran penyelidikan dan inovasi serta ceramah industri.

"Untuk pelajar tahun akhir juga, kita akan bawa beberapa syarikat dan agensi luar untuk diadakan sesi ceramah industri dan temuduga untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar tahun akhir untuk ditemuduga supaya mereka mendapat tempat dalam pasaran kerja.

"Program ini juga dijangka akan dapat memperkasa serta membudayakan penyelidikan yang kreatif serta inovatif dan pihak kami menyasarkan 300 pengunjung dari luar dalam sehari," katanya.

Menurutnya program itu juga selaras dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan inovasi sebagai medium mencipta kekayaan negara dan dasar–dasar semasa kerajaan selain membina jaringan perhubungan dan perkongsian pintar antara penyelidik UniSZA dan pihak luar.

Program tersebut dibuka kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Dr Khamsah Suryati Mohd (013-3863244) dan Norazfani Abd Rahim (019-9347786).

 

12 March 2014

Pembinaan Pasar Payang tetap diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru empat tingkat yang berhawa dingin bagi mengantikan bangunan itu yang disahkan sudah tidak selamat didiami.

 Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB A. Latiff, berkata tambahan pula keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, bocor dan kotor, tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.


 “Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat.


 “Kita laksanakan semua itu untuk kemudahan orang ramai, terutama peniaga dan pelancong, bukannya seperti yang diperkatakan pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa mahu membunuh warisanTerengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri, baru-baru ini.

 Tinjauan Teganukita mendapati peniaga Pasar Payang masih meneruskan perniagaan masing-masing kerana belum mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berpindah ke bangunan sementara.

 Perniaga makanan tradisional Terengganu, Ramlah, Hamid, 40, apa yang dirancang dan bakal dilaksanakan kerajaan untuk membina Pasar Payang baru diterima dengan hati terbuka kerana baik untuk peniaga, pelanggan dan pelancong.

 Katanya, jika tetap berniaga di bangunan uzur dan lama, bukan saja membahayakan peniaga malah pelanggan berasa tidak selesa.

 “Pada masa sama, pandangan orang ramai pun kurang elok kerana bangunan sekeliling Pasar Payang semuanya cantik dan moden,” katanya.

Seorang peniaga buah-buahan, Ramli Salleh, 30, dia tetap berpindah seperti yang diarahkan walaupun rasa berat hati untuk berniaga di lokasi baru.

“Pasar payang seakan sebati buat kami sekeluarga, kerana hampir 25 tahun kami sekeluarga mencari rezeki di sini.

“Perniagaan ini asalkan ayah yang mulakan sebelum saya mengambil alih tangunggjawab itu,” katanya

 

Chew jumpa pengundi di awal pagi

Oleh: Ruslan Abd Rahman 

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Chew Mei Fun seawal jam 7 pagi memulakan kempen turun padang menemui para pegundi hari ini (12 Mac).

 Katanya, dengan cara itu, beliau mempunyai peluang lebih banyak menemui pengundi secara bersemuka atau sentuhan yang lebih mesra berbanding mengadakan perjumpaan dalam majlis besar.

Ketika ditemui Pengarang Teganukita, pagi ini, di kawasan perumahan Sungai Jelok, berdekatan bandar Kajang, Selangor.


Chew berkata, dia yakin rakyat memberi sokongan dan kemenangan kepada BN.

Berusia 50 dan berkelulusan ijazah sastera Cina, calon BN ini cukup tinggi penghayataannya terhadap rakyat dan menjiwai pengundi pelbagai kaum. Lebih-lebih lagi pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini. 

“Kali ini saya akan buat yang terbaik, jika di pilih untuk menjadi wakil pembangkang yang berkesan di DUN Selangor pula. Iaitu memperkuatkan Check and Balance kepada kerajaan Selangor.

 “Saya amat mohon restu kepada para pengundi DUN Kajang,” katanya yang mengakhiri temubual ringkas dengan Teganukita.

 

UMT sedia komersialkan kajian saintifik teknologi rawatan air sisa

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia untuk mengkormesialkan hasil kajian teknologi rawatan air sisa mengunakan kaedah teknologi rawatan hijau bagi membantu mengembangkan bidang akuakultur di negara ini.
Profesor Kejuruteraan Air dan Air Sisa UMT, Ahmad Jusoh berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan pemain utama dalam indutri ini khususnya penternak ikan dan petani bagi membantu meningkatkan pengeluaran produk yang mereka usahakan.


“UMT mempunyai kepakaran dalam bidang akuakultur dan ada penyelidik yang pakar dalam bidang teknologi, baka ikan, penyakit ikan serta makanan ikan itu sendiri.

“Apabila bergabung ia akan memberikan faedah kepada kedua-dua pihak dan tidak mustahil produk ini boleh dikomersialkan suatu hari nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Syarahan Inaugural bertajuk ‘Wastewater Treatment Technology: A Green Application In Aquaculture’ di UMT, semalam.

Menurut beliau, teknologi rawatan hijau perlu digunakan dalam bidang akuakultur sebab ia berbeza dengan rawatan air biasa.

“Kita mesti menggunakan kaedah yang tidak merosakkan samada dari segi ikan atau alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, hasil kajian tersebut telah diimplimentasikan oleh seorang penternak ikan kerapu di Kampung Air Tawar, Setiu.

“Masalah yang dihadapi penternak ikan ini berpunca dari ammonia yang menyebabkan ikan yang dibela bersaiz dua inci sahaja. Sedangkan dia hendak besarkan ikan itu kepada saiz tiga inci.

“Dengan kaedah teknologi rawatan hijau ini, diharap dia akan berjaya menghasilkan saiz ikan yang dikehendaki,” ujarnya.

 

KETARA bantu penanam sayur di Jabi.

TABUR...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd sedang manabur benih sejenis sayuran ketika hadir di Majlis Pelancaran Projek Perintis Baja Organik KETARA di Kampung Oh, Jabi, baru-baru ini. 

Projek kelompok yang membabitkan seramai 65 penduduk di dua buah kampung itu iaitu Kampung Dalam Oh dan Kampung Gong Dasar mampu menghasil sayuran yang bermutu tinggi hasil daripada pengunaan baja organik itu.

"Baja ini mereka buat sendiri daripada bahan-bahan asli seperti najis haiwan dan ia dibantu oleh KETARA untuk menghasilkan formula baja yang baik.

Iskandar memegang sayur yang segar.
"Hasilnya amat baik sekali kerana sayuran kelihatan begitu segar dan bebas daripada bahan kimia. Saya mengharapkan projek perintis ini akan menjadi permulaan kepada penanam sayur di kawasan Jabi ini untuk mengunakan teknologi baja ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegarah IADA Ketara, Mohamad Kaberi Ghani dan beberapa pegawainya serta penduduk kampung berkenaan.-Aminudin.